A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kecacatan Jantung

Kecacatan jantung yang ujud sejak lahir (kongenital) terjadi dalam 8 per 1000 kelahiran. Tanda dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi-bayi ini berbeza antara satu sama lain mengikut kecacatan masing-masing. Jantung mempunyai 4 ruang, 2 atrium dan 2 ventrikel yang berfungsi sebagai jantung sebelah kanan dan jantung sebelah kiri.

Darah yang beroksigen rendah (deoxyhaemoglobin) yang kembali dari tubuh masuk ke dalam jantung sebelah kanan dan dipam melalui injap pulmonari ke paru-paru untuk mendapatkan oksigen. Darah beroksigen tinggi dari paru-paru ini kemudian kembali masuk ke dalam jantung sebelah kiri dan dipam ke seluruh tubuh melalui aorta. Tekanan sistemik adalah lebih tinggi dari tekanan pulmonary.

Apakah tanda-tanda kecacatan jantung pada anak?

Bayi yang mempunyai kecacatan jantung biasanya menunjukkan tanda-tanda berikut:

  • Mempunyai deruan jantung (murmur) : bunyi ini dihasilkan oleh gangguan atau tubulasi aliran darah contohnya apabila terdapat lubang pada jantung atau laluan injap yang sempit. Bunyi murmur ini tidak begitu ketara semasa lahir malah hanya dikesan apabila anak sudah agak besar dan kelihatan sihat dalam aliran sistemik.
  • Kebiruan (cyanosis) : bayi mungkin kelihatan kebiruan sejak lahir. Ini disebabkan oleh kandungan darah tanpa oksigen yang tinggi dalam darah.
  • Kegagalan jantung : bayi mungkin bernafas secara kencang atau sesak nafas ketika rehat atau semasa menyusu.
  • Tumbesaran terganggu disebabkan oleh kegagalan jantung atau kekurangan oksigen disebabkan oleh sakit jantung jenis biru.

Diagnosa jenis kecacatan jantung. Doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut seperti:

  • Elektrokardiografi (ECG) untuk menilai aktiviti elektrik pada jantung yang tidak normal.
  • X-ray dada untuk menilai bentuk dan saiz jantung serta pembuluh darah.
  • Echokardiografi : imbasan organ jantung membantu untuk membuat diagnosa
  • Jika perlu bayi akan dirujuk kepada pakar jantung untuk membuat penilaian dan rawatan lanjut.

Rawatan

Perkara yang harus diingat:

  • Diagnosa yang tepat sangat penting bagi menentukan tindakan dan rawatan selanjut pesakit.
  • Keadaan jantung bayi adalah dinamik dan kemerosotan fungsi jantung boleh berlaku secara tidak disedari.
  • Kebersihan gigi adalah penting. Antibiotik perlu diberikan sebelum melalui pembedahan atau prosedur pergigian. Ini dapat mencegah pembiakan bakteria di dalam jantung.
  • Sebahagian bayi tidak memerlukan rawatan pembedahan seperti ASD dan VSD yang kecil yang tidak memberi apa-apa impak negative pada jantung atau badan.
  • Kecacatan jantung yang menyebabkan kebiruan harus dinilai sebaik mungkin bagi menentukan samada pembedahan diperlukan atau sebaliknya.

Jenis-jenis kecacatan jantung:

  1. Jantung berlubang tanpa kebiruan:
    • Ventricular septal defect (VSD) : terdapat lubang diantara dinding ventrikel kiri dan kanan yang menyebabkan darah mengelencong dari ventrikal kiri ke saluran paru-paru. Lubang yang kecil biasanya tertutupsecara sendiri. Pembedahan jantung terbuka bergantung kepada saiz dan lokasi lubang tersebut.
    • Atrial septal defect (ASD) : terdapat lubang di antara atrium kanan dan kiri. ASD sederhana boleh ditutup dengan alat penutupan khas (tanpa pembedahan jantung terbuka). Bagi lubang yang besar pembedahan perlu dilakukan.
    • Atrio-ventricular septal defect (AVSD): biasanya dikaitkan dengan sindrom Down. Sekiranya memerlukan pembedahan jantung, ia akan dilakukan seawal usia setahun.
    • Patent ductus arteriosus (PDA) : terdapat saluran darah menghubungkan aorta dan arteri pulmonary. PDA yang kecil boleh ditutup menggunakan coil atau alat sumbatan khas (tanpa pembedahan jantung terbuka). PDA yang besar selalunya memerlukan pembedahan jantung untuk menutupnya. Bayi yang lahir pramatang berisiko mempunyai saluran PDA ketika sakit dan boleh diberikan ubat untuk menutupnya.
  2. Sakit jantung jenis biru (cyanotic heart defects)
    • Transposition of great arteries (TGA): dalam hal ini pembuluh darah aorta dan pulmonari arteri bertukar tempat dan keluar dari ventrikal secara salah. Ini menyebabkan pengaliran darah yang tebalik di mana darah yang kembali dari badan tidak pergi ke paru-paru malah kembali ke badan semula menyebabkan bayi mengalami kebiruan. Dalam kes tertentu sebahagian bayi perlu menjalani prosedur kecemasan sejurus selepas kelahiran.
    • Fallot tetralogy – kecacatan ini melibatkan VSD dan penyempitan injap pulmonari yang menyebabkan kekurangan pengaliran darah ke paru-paru. Pembedahan paliatif (meringankan simtom) biasanya dilakukan sebelum pembedahan definitif.
  3. Kecacatan jantung jenis sumbatan
    • Pulmonary stenosis (PS) : Terjadi apabila berlaku penyempitan di injap atau di arteri  pulmonary. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan belon yang dikembangkan di tempat tersempit ini atau pun secara pembedahan.
    • Aortic stenosis (AS). Saluran atau injap aorta yang sempit yang akan memmberi bebean ke atas ventrikal kiri. KAnak-kanak ini perlu diberi perhatian yang lebih terutama di dalam menjalani aktiviti harian, di mana mereka perlu mengelakkan aktiviti lasak atau berat.

Kanak-kanak

Keadaan ini boleh dicegah melalui imunisasi.

Kebanyakan pesakit akan melakukan aktiviti seperti kanak-kanak lain. Bagaimanapun pesakit kecacatan jantung biasanya tidak seaktif kanak-kanak lain walaupun selepas menjalani pembedahan.

Penjagaan gigi endocarditis

Gigi yang rosak boleh menjadi sumber pertumbuhan dan pembiakan bakteria di dalam jantung, yang boleh menyebabkan keadaan menjadi serius. Keadaan ini dikenali dengan “ infective endocarditis”.

Kumpulan sokongan

Tiada kumpulan sokongan bagi menyokong pesakit kecacatan jantung. Kebanyakan persoalan/kemuskilan akan dijawab oleh doctor. Kumpulan sokongan yang ada pada masa ini adalah persatuan sindrom Down.

Semakan akhir : 26 April 2012
Penulis : Dato’ Dr. Jimmy Lee Kok Foo
  : Dr. Leow Poy Lee
Penyemak : Dr. Sharifah Ainon bt. Ismail Mokhtar

 

Artikel Berkaitan

Deruan Jantung

Mengapakah deruan jantung (“murmur”) boleh terjadi? Deruan jantung (“murmur”) ialah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,575

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia