A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Keadaan Kecemasan Pergigian yang...

Keadaan Kecemasan Pergigian yang Dialami oleh Pesakit

Secara umumnya, keadaan kecemasan pergigian jarang sekali membawa maut tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit yang terlibat. Nasihat-nasihat berhubung kecemasan pergigian adalah seperti berikut:

    1. Gigi patah atau serpih

      Gambar menunjukkan gigi atas hadapan yang patah akibat terjatuh
      1. Punca berlakunya gigi patah atau serpih

        Punca utama berlakunya adalah trauma (contohnya: jatuh, kemalangan, sukan lasak dan serangan fizikal), gigi yang reput dan tabiat penyalahgunaan gigi (seperti menggunakan gigi belakang untuk membuka penutup botol). Gigi tersebut mungkin boleh patah di korona atau akar gigi bergantung kepada amaun, arah daya yang terlibat dan umur individu tersebut.

        Korona dan akar gigi primer (gigi susu) jarang patah / serpih kerana tulang alveolar adalah lebih elastik pada kanak-kanak.

      2. Apa yang perlu dilakukan?

        Lakukan Pemeriksaan sendiri

        • Gunakan cermin dan periksa jika ada kecederaan tisu lembut di sekitarnya (seperti bibir, gusi dan lidah)
          • Pendarahan yang mendadak berlaku jika terdapat kecederaan tisu lembut. Jangan panik, ambil langkah mudah untuk menghentikan pendarahan, contohnya; tekan pada kawasan luka tersebut dengan jari atau gigit sapu tangan yang bersih selama 15-20 minit.
        • Pegang gigi tersebut dengan jari dan gerakkan dan rasa pergerakannya.
        • Periksa kedudukan gigi pada rahang jika ia berubah kedudukan(displaced). Ia mungkin mengarah ke hadapan atau terkeluar atau termasuk ke dalam tulang (gigi kelihatan lebih pendek berbanding gigi bersebelahan).
        • Sila berjumpa doktor pergigian secepat mungkin agar tahap kecederaan dapat diperiksa. Selalunya doktor pergigian akan :
          • Menilai risiko kecederaan terhadap gigi kekal yang sedang terbentuk di bahagian bawah gigi susu pada kanak-kanak.
          • Menilai tahap goyah atau perubahan kedudukan gigi tersebut.
          • Menilai tahap kecederaan gigi ( sama ada korona yang patah melibatkan lapisan enamel gigi sahaja, atau lepisan enamel dan dentin, atau lapisan enamel, dentin dan pulpa gigi).
          • Mengesyorkan rawatan berdasarkan tahap kecederaan gigi dan sama ada gigi tersebut goyah atau berubah kedudukan.

 

  1. Gigi teravulsi
    1. Apakah maksudnya?

      Gigi yang terkeluar dari soketnya dikenali sebagai gigi teravulsi. Punca utama adalah trauma: jatuh, kemalangan, sukan lasak dan serangan fizikal.

    2. Apakah yang perlu dilakukan pada gigi tersebut?
      • Jika boleh, cari gigi tersebut. Tidak mengapa jika anda tidak dapat mencarinya.
      • Jika gigi tersebut kotor, pegang pada korona dan bersihkan dengan air yang mengalir. Jangan sentuh permukaan akar gigi atau jangan bersihkan dengan larutan antiseptik.
      • Letakkan gigi ke dalam soket secepat mungkin. Jika gigi dimasukkan dalam soket dalam tempoh 1 jam, peluang untuk gigi tersebut selamat adalah baik. Jangan paksa gigi tersebut masuk ke dalam soket.
      • Jika gigi tidak boleh dimasukkan terus ke dalam soket, letakkan gigi tersebut dalam mulut individu tersebut setelah pendarahan dari soket berhenti. Jika tidak boleh dilakukan, letakkan gigi di dalam cawan yang mengandungi susu (atau air yang dicampurkan secubit garam jika susu tiada). Berjumpa dengan doktor pergigian secepat mungkin. Gigi perlu dimasukkan ke dalam soket dalam tempoh 1 jam dari tempoh ia terkeluar untuk memastikan prognosis yang lebih baik. Adalah diingatkan, semakin lama gigi tersebut berada di luar soket gigi, semakin kurang prognosis gigi tersebut.
    3. Apa yang perlu dilakukan dengan soket gigi tersebut?

      Gigit pada sapu tangan yang bersih atau kain pembebat (gauze) selama 15-20 minit untuk memberhentikan pendarahan.

      Nota: Jika gigi teralvusi adalah gigi susu, tidak perlu masukkan ke dalam soket kembali.

    4. Apa tindakan seterusnya?

      Pergi ke unit kemalangan dan kecemasan di hospital berdekatan atau telefon doktor pergigian untuk mendapatkan temujanji segera.

    5. Bagaimana untuk mengelaknya dari berlaku?

      Gunakan pelindung gigi semasa bermain sukan lasak.

  2. Sakit gigi
    1. Apa yang perlu dilakukan jika sakit gigi?
      • Sakit gigi yang teruk mungkin boleh berlaku. Ubat tahan sakit yang boleh dibeli di kaunter seperti paracetamol mungkin memadai untuk mengurangkan rasa sakit. Ubat tahan sakit yang lebih kuat mungkin diperlukan untuk mengurangkan rasa sakit. Jangan ambil ubat tahan sakit lebih dari dos yang disyorkan.
      • Dapatkan temujanji segera dengan doktor pergigian.
    2. Apakah yang akan terjadi jika sakit gigi tidak dirawat?
      • Jika sakit gigi tidak dirawat, ia boleh menyebabkan terjadinya nanah pada bahagian gusi (acute dento-alveolar abscess), yang mana seterusnya akan bertukar menjadi selulitis muka atau nanah (lihat Nanah muka dan selulitis).
      • Rasa sakit mungkin menjadi teruk. Anda mungkin mengalami pembengkakan gusi atau muka jika abses berlaku. Jika ini berlaku, dapatkan rawatan pada unit kecemasan dan kemalangan secepat mungkin.
  3. Nanah gusi
    1. Apakah itu nanah gusi?
      • Nanah gusi adalah bengkak pada bahagian gusi yang berkaitan dengan gigi yang rosak teruk atau gigi yang mempunyai tampalan besar (dento-alveolar abscess) atau penyakit gusi yang teruk (periodontal abscess) atau jangkitan pada gusi yang menutup gigi (pericoronitis).
      • Biasanya, pesakit akan merasa sakit, gusi bengkak dan kadangkala bernanah.
    2. Apakah yang perlu dibuat apabila and mempunyai nanah gusi?
      • Jumpa doktor pergigian anda untuk rawatan segera.
      • Doktor pergigian anda akan mengenalpasti punca bengkak pada gusi dan memberikan rawatan yang diperlukan.
      • Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan berlakunya nanah muka dan selulitis
  4. Nanah muka dan selulitis
    1. Apakah itu nanah muka dan selulitis?
      • Nanah muka ialah jangkitan setempat pada muka, rahang dan leher, dan selulitis ialah penyebaran jangkitan ke kawasan yang luas di sekitaran muka, rahang dan leher.
      • Biasanya, pesakit akan menghidap demam, bengkak-bengkak dengan kemerahan.
      • Bengkak tersebut boleh menjadi lebih terula jika pesakit mempunyai masalah kesihatan yang lain, misalnya, kencing manis yang tidak terkawal.
      • Nanah muka dan selulitis boleh disebabkan oleh:
        • Sakit gigi yang tidak dirawat atau nanah gusi setempat (dento-alveolar abscess and periodontal abscess).
        • Jangkitan pada gusi yang menutupi gigi (pericoronitis).
        • Masalah pergigian yang kronik seperti nanah gusi.
    2. Apakah yang perlu dibuat jika mempunyai nanah muka atau selulitis?
      • Dapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Kemalangan secepat mungkin.
      • Jika menghidap masalah kesihatan yang lain misalnya, kencing manis yang tidak terkawal, pesakit harus dimasukkan ke hospital untuk mengstabilkan kesihatan dan mengawal jangkitan.
  5. Dentur (gigi palsu) yang patah
    1. Apa yang perlu dilakukan jika dentur patah?
      • Bersihkan dentur dengan larutan pembersih dentur.
      • Elakkan dari memakai dentur tersebut kerana permukaan yang tajam pada dentur boleh mencederakan gusi, pipi dan lidah.
      • Letakkan dentur di dalam bekas bersih yang megandungi air untuk mengelak pengecutan dentur.
      • Berjumpa doktor pergigian secepat mungkin. Doktor mungkin mengesyorkan pembaikan dentur atau membuat dentur yang baru.
  6. Korona/Jambatan yang longgar

    Punca utama korona/jambatan menjadi longgar adalah: kegagalan simen, rangka yang patah atau masalah dengan gigi bersebelahan (gigi tupang yang menyokong jambatan). Gigi bersebelahan tersebut mungkin telah reput atau patah.

    1. Apa yang perlu dilakukan jika korona/jambatan menjadi longgar?
      • Jika ia masih melekat, cuba cabutkannya menggunakan jari. Jika ia masih kuat melekat, biarkan sahaja.
      • Jangan gunakan bahagian tersebut semasa makan.
      • Dapatkan temujanji secepat mungkin dengan doktor pergigian. Pastikan anda membawa korona/jambatan yang telah tertanggal semasa berjumpa doktor.
    2. Bagaimana untuk mengelakkannya dari berlaku?
      • Elakkan dari menggigit makanan keras jika anda mempunyai korona/jambatan. Anda mungkin perlu memotong dengan lebih kecil/nipis sebelum mengunyah makanan.
      • Anda dinasihatkan agar melakukan pemeriksaan berkala untuk menilai tahap keutuhan rangka korona/jambatan anda.
  7. Tampalan tertanggal
    1. Apa yang perlu dilakukan jika tampalan anda tertanggal?
      • Dapatkan temujanji awal dengan doktor pergigian.
  8. Braket ortodontik yang hilang
    1. Apa yang perlu dilakukan jika braket ortodontik anda hilang?
      • Hubungi doktor pergigian atau pakar ortodontik anda untuk temujanji segera. Jika anda menunggu temujanji rutin, susunan gigi anda mungkin kembali ke kedudukan asal, maka ia melambatkan lagi proses rawatan.
    2. Bagaimana untuk mengelaknya?
      • Jika boleh, elakkan dari mengambil makanan yang keras. Anda mungkin perlu memotong makan tersebut dengan lebih kecil sebelum mengunyahnya.
      • Berhati-hati semasa anda membersihkan mulut secara rutin (pemberusan gigi dan pemflosan).
  9. Bibir/lidah yang tergigit
    1. Punca tergigit bibir/lidah
      • Punca utama adalah trauma atau sawan/epilepsi.
    2. Langkah bantuan serta-merta
      • Pendarahan yang banyak akan berlaku. Jangan panik, ambil langkah mudah untuk menghentikan pendarahan, contohnya; tekan pada kawasan luka tersebut dengan jari atau gigit sapu tangan yang bersih selama 15-20 minit.
      • Biarkan individu tersebut baring secara mengiring untuk mengelakkan dia dari tercekik.
    3. Langkah bantuan seterusnya
      • Hantar pesakit tersebut ke unit kemalangan dan kecemasan secepat mungkin.
Semakan Akhir : 27 Ogos 2012
Penulis : Dr. Lani Daga
Penyemak : Dr. Marzuki b. Zainal Abidin

 

Artikel Berkaitan

Rawatan Selan Fisur

Selan Fisur merupakan suatu bahan plastik khas, digunakan oleh doktor pergigian untuk menutup lubang-lubang kecil (pits) dan alur yang dalam (fissures) pada permukaan mengunyah gigi geraham (molar).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,407

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia