A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Kawalan Ke Atas Produk...

Kawalan Ke Atas Produk Untuk Kecantikan

Pengenalan

Kecantikan merupakan salah satu aspek penampilan yang sangat dititik beratkan oleh masyarakat. Tidak kira lelaki atau perempuan, semuanya sentiasa ingin tampil lebih cantik. Yang gelap ingin lebih cerah, yang gemuk mahu kurus, yang kurus mahu lebih berisi, yang tua mahu kelihatan lebih muda, dan sebagainya. Ditambah pula dengan peranan yang dimainkan oleh media massa, semua faktor ini menyumbang kepada lambakan produk kecantikan di pasaran tidak kira dalam bentuk kosmetik, supplemen, makanan, mahupun suntikan.

Lambakan produk kecantikan ini boleh mengundang masalah kepada keselamatan dan kesihatan pengguna sekiranya tiada kawalan dan penguatkuasaan yang wajar dari pihak berkuasa. Pengguna juga harus memperkemaskan diri dengan pengetahuan dan maklumat yang berkaitan supaya produk yang diperoleh adalah selamat dan memberi hasil seperti yang diinginkan.

Definisi

“Produk” seperti yang didefinisikan di dalam Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 adalah dadah yang digunakan sepenuhnya atau sebahagian besarnya ke atas manusia atau haiwan untuk tujuan perubatan.

“Kosmetik” pula seperti di dalam peraturan yang sama bermaksud apa sahaja bahan atau sediaan yang digunakan ke atas bahagian luaran badan manusia termasuk gigi dan rongga mulut yang digunakan untuk tujuan kecantikan.

“Makanan” merujuk kepada Peraturan Makanan 1983 bermaksud apa-apa bahan yang dikilang, dijual, atau diberi gambaran sebagai makanan atau minuman untuk kegunaan manusia atau yang masuk pada atau digunakan dalam campuran , penyediaan, pengawetan apa-apa makanan atau minuman dan meliputi gula-gula, benda kunyahan dan apa-apa ramuan bagi makanan, minuman, gula-gula atau benda kunyahan itu.

Produk Kecantikan

Terdapat pelbagai jenis produk kecantikan di pasaran. Ini termasuk dalam bentuk kosmetik, ubat, supplemen, suntikan, mahupun makanan. Semua produk farmaseutikal yang digunakan untuk tujuan perubatan atau kecantikan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan Malaysia manakala produk kosmetik pula perlu dinotifikasikan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ianya boleh diimport, dikilang atau dijual di Malaysia. Produk yang dipasarkan dalam bentuk makanan pula adalah dikawal melalui Bahagian Kawalan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kosmetik

Produk kosmetik dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984. Contoh-contoh produk kosmetik yang terdapat di pasaran adalah sabun, pencuci muka, deodoran, ubat gigi, cecair kumur mulut, dan gincu bibir. Dalam memilih produk kosmetik yang bersesuaian, pengguna perlu terlebih dahulu memastikan bahawa produk kosmetik tersebut adalah bernotifikasi dengan pihak BPFK. Syarikat yang membuat notifikasi tersebut bertanggungjawab untuk memastikan bahawa produk berkenaan adalah berkualiti dan selamat digunakan. Semakan bagi status notifikasi boleh dilakukan menerusi laman sesawang rasmi BPFK iaitu www.bpfk.gov.my.

Pengguna perlu bijak memilih dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk kosmetik di pelbagai saluran media massa. Iklan-iklan yang menjanjikan keberkesanan produk mereka secara drastik dan berlebih-lebihan selalunya hanyalah indah khabar dari rupa. Adalah lebih bijak untuk bertanya kepada mereka yang lebih pakar daripada mempercayai testimoni-testimoni yang kebanyakannya berbunyi serupa sahaja walau untuk apa jenis produk kosmetik sekalipun. Dikhuatiri produk-produk yang memberikan kesan terlalu drastik ini dicemari oleh racun seperti Hydroquinone dan Tretinoin yang boleh memudaratkan pengguna.

Oral

Produk untuk tujuan kecantikan juga boleh didapati dalam bentuk ubat, supplemen dan makanan. Ubat yang mengandungi bahan aktif Phentermine contohnya digunakan bagi tujuan menurunkan berat badan. Walau bagaimanapun, ubat ini perlu dipreskrip oleh doktor dan ianya tidak dijadikan pilihan utama untuk menurunkan berat badan. Seseorang itu mestilah sudah berusaha untuk menurunkan berat badan dengan cara bersenam dan menjaga pemakanan. Jika ia tidak berhasil, barulah doktor akan menilai keperluan menggunakan ubat jenis ini. Pengguna ubat ini akan dimonitor berat badannya oleh doktor secara konsisten dan jika tiada perubahan yang ketara, rawatan ini akan dihentikan dan ditukar dengan rawatan lain yang lebih wajar.

Terdapat juga pelbagai supplemen dalam bentuk farmaseutikal yang dijual untuk tujuan kecantikan seperti untuk menurunkan berat badan, mencantikkan kulit, malah menyembuhkan pelbagai penyakit. Produk supplemen dalam bentuk farmaseutikal perlu didaftarkan dengan PBKD dan produk yang telah didaftarkan akan diberi nombor pendaftaran yang wajib dipaparkan pada bungkusan produk tersebut. Nombor pendaftaran ini bermula dengan pekataan “MAL” diikuti dengan lapan angka dan pada penghujungnya terdapat huruf yang menunjukkan kategori produk tersebut. Huruf “A” digunakan untuk ubat terkawal, huruf “X” untuk ubat bukan racun, huruf “T” untuk ubat tradisional, dan huruf “N” untuk supplemen kesihatan. Contohnya:

MAL1

Selain nombor pendaftaran MAL, semua produk berdaftar juga perlu memaparkan pelekat hologram meditag pada bungkusan produk. Kedua-dua perkara ini mesti ada pada sesuatu produk untuk menunjukkan bahawa ianya adalah produk berdaftar.

hologram

Hologram yang digunakan pada produk berdaftar

Para pengguna juga boleh memeriksa status pendaftaran sesuatu produk itu melalui laman sesawang www.bpfk.gov.my. Produk-produk yang berdaftar dengan PBKD ini telah diuji, dinilai serta telah terbukti dari segi kualiti, keberkesanan, dan keselamatannya. Para pengguna perlu mengelakkan daripada membeli produk supplemen tidak berdaftar kerana dikhuatiri ianya mengandungi bahan kimia atau racun berjadual seperti Sibutramine yang boleh memudaratkan apabila diambil pada jumlah dos yang salah dan tanpa pemerhatian doktor.

Supplemen yang dihasilkan bukan dalam bentuk farmaseutikal pula adalah dikawal oleh BKKM melalui Akta Makanan 1983. Mana-mana produk yang dikelaskan sebagai makanan tidak boleh membuat sebarang tuntutan atau akuan perubatan termasuklah pencegahan, rawatan atau penyembuhan sesuatu penyakit atau keadaan fisiologi yang lain. Sekiranya ada perakuan-perakuan tersebut, maka produk tersebut adalah tertakluk di bawah kawalan PBKD dan perlu didaftarkan.

Suntikan

Produk untuk kecantikan juga turut ditawarkan dalam bentuk suntikan. Di antara produk yang sering ditawarkan ialah suntikan Vitamin C, Kolagen dan Gluthathione. Walaupun pengendalian jarum suntikan hanya boleh dilakukan oleh doktor bertauliah, perkhidmatan ini turut ditawarkan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di pusat-pusat kecantikan. Amalan seperti ini adalah sangat merbahaya kerana selain daripada ianya dilakukan oleh orang yang tidak bertauliah, produk yang digunakan juga adalah tidak berdaftar dengan PBKD. Buat masa ini, tiada sebarang produk suntikan untuk tujuan kecantikan yang didaftarkan dengan PBKD di Malaysia. Pengguna seharusnya mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang prosedur seperti suntikan untuk kecantikan ini bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.

Cakna Produk Kecantikan

Dalam keghairahan untuk tampil lebih cantik, masyarakat seharusnya lebih berhati-hati dalam memilih produk yang sesuai dan rawatan yang wajar. Jangan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan di pelbagai saluran media massa malah perlu memeriksa kesahihan sesuatu maklumat iklan tersebut dengan pihak yang berkenaan. Dapatkan maklumat yang secukupnya sebelum membuat keputusan untuk memilih produk yang tertentu. Laporkan kepada pihak Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya mempunyai maklumat atau aduan yang berkaitan.Di pihak kerajaan pula, peraturan-peraturan berkaitan produk kecantikan sentiasa diperkemaskan dan pelbagai hebahan serta kempen telah dilakukan untuk membantu masyarakat dalam penyampaian maklumat dan nasihat yang berkaitan. Tindakan penguatkuasaan juga telah diambil ke atas syarikat yang melanggar peraturan dan menjual produk-produk yang boleh memudaratkan penggunanya. Orang ramai pula perlu memastikan produk kecantikan yang dibeli adalah berdaftar atau bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Senarai produk yang telah dibatalkan pendaftaran, tidak berdaftar atau tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan tidak dibenarkan dijual di pasaran boleh disemak di laman sesawang www.pharmacy.gov.my

Rujukan

  1. Akta Dadah 1952
  2. Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984
  3. Akta makanan 1983
Semakan Akhir : 14 Jun 2016
Penulis : Saiful Mujaheed bin Yusoff
Akreditor : Halimi bin Mat Piah

Artikel Berkaitan

Antihipertensif

Index Antihipertensif Amiloride Enalapril Nifedipine Amlodipine Felodipine Perindopril Atenolol Furosemide

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,420,551

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia