A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Karies Akar Gigi

Karies akar gigi biasanya terjadi di kawasan aras gusi yang telah menyusut atau mengecut dan mengakibatkan bahagian akar gigi tersebut terdedah.

Pengenalan

Karies akar gigi biasanya terjadi di kawasan aras gusi yang telah menyusut atau mengecut dan mengakibatkan bahagian akar gigi tersebut terdedah.

Karies, yang juga dikenali sebagai kerosakan gigi atau kaviti, adalah jangkitan yang berpunca dari bakteria yang menyebabkan demineralisasi dan kemusnahan tisu keras (enamel, dentin dan simentum), Kemusnahan tisu keras ini biasanya adalah akibat dari penghasilan asid oleh fermentasi (pereputan) bakteria yang berpunca dari pengumpulan sisa makanan di permukaan gigi. Sekiranya proses demineralisasi mengatasi rembesan air liur dan faktor-faktor remineralisasi lain yang berkaitan seperti kalsium dan ubat gigi berfluorida, maka tisu keras ini akan terus mengalami kemusnahan sehingga menghasilkan karies gigi (kaviti atau gigi berlubang).

Bakteria utama penyebab karies gigi adalah dari streptokokus, terutamanya Streptococcus mutans dan Streptococcus sobrinus, serta lactobacillus. Jika dibiarkan tanpa rawatan, karies gigi boleh membawa kepada kesakitan gigi, kehilangan gigi serta jangkitan pada gusi dan tisu lembut dalam mulut.

Karies akar awal biasanya meliputi permukaan akar gigi yang luas sebelum menyusuri sempadan enamel-simentum atau permukaan akar gigi. Lesi karies lanjutan pula akan merebak ke pulpa sama seperti karies yang bermula dari permukaan korona gigi.

Gusi biasanya melindungi akar gigi daripada bakteria yang menyebabkan karies. Namun akar ini boleh terdedah apabila gusi menyusut akibat tekanan dari teknik pemberusan yang traumatik (tekanan berlebihan menggunakan bulu berus gigi yang keras). Kebersihan mulut yang tidak dijaga serta kekurangan rembesan air liur (mulut kering) merupakan antara faktor risiko kejadian karies akar. Mulut kering biasanya adalah berkaitan dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu dan tidak bergantung pada faktor usia.

Warna karies berbeza, bergantung kepada tahap kerosakan dan lokasinya. Penyebaran kerosakan/karies ke lapisan enamel menghasilkan transparensi yang berbeza dan seterusnya warna yang berbeza.

Karies yang tidak dirawat boleh merebak ke bahagian dentin gigi dan seterusnya ke bahagian pulpa di mana rawatan akar gigi mungkin diperlukan bagi mengelakkan gigi tersebut terpaksa dicabut.  Sekiranya karies tersebut telah merebak ke bahagian bawah/dalam gusi maka gigi tesebut mungkin tidak dapat diselamatkan lagi dan perlu dicabut. Oleh itu adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan gigi secara berkala supaya masalah dapat dikesan di peringkat awal dan rawatan sewajarnya mampu diberikan

Faktor-faktor Dalam Mulut

  1. Kekurangan rembesan air liur yang mengakibatkan Xerostomia (mulut kering) dan kapasiti peneutralan air liur yang rendah.
  2. Kebersihan mulut yang tidak memuaskan sehingga menyebabkan pengumpulan plak dan karang gigi.
  3. Penyakit tisu penyokong gigi dan pembedahan periodontium/gusi
  4. Gusi menyusut.
  5. Peningkatan aras bakteria dalam air liur
  6. Kekerapan pengambilan karbohidrat dan peratus pengumpulan plak gigi
  7. Karies di bahagian korona dan akar gigi yang telah dan belum ditampal/direstorasikan.
  8. Dentur boleh tanggal dan gigi pemegang dentur, di mana komponen dentur juga boleh menjadi kawasan pengumpulan sisa makanan.
  9. Maloklusi, lelasan gigi, pergerakan serta kecondongan gigi yang mana kesemuanya boleh menyebabkan kesukaran untuk membersihkan gigi dengan berkesan.

Faktor-faktor Luar Mulut

  1. Usia lanjut, karies akar lebih tinggi di kalangan golongan yang lebih berusia.
  2. Jarang mendapatkan pemeriksaan gigi
  3. Tahap pendidikan dan sosio-ekonomi yang rendah.
  4. Jantina, di mana lelaki didapati lebih mudah mendapat karies berbanding wanita.
  5. Kekurangan keupayaan fizikal (contohnya, Penyakit Parkinson) yang menyebabkan kesukaran membersihkan gigi dengan sempurna.
  6. Ubat-ubatan yang mengakibatkan pengurangan rembesan air liur
  7. Diabetes, kekurangan daya tahan penyakit (contohnya, Sindrom Sjogren), atau terapi radiasi
  8. Ubat-ubat anti-psikotik, penenang, barbiturate dan antihistamine.
  9. Penggunaan bekalan air befluorida yang terhad
  10. Ketagihan arak dan dadah

Tanda dan Gejala

karies-akar-gigi

Kebanyakan pesakit yang mempunyai karies akar tidak menyedari akan kehadirannya di dalam mulut. Biasanya ia kerap terjadi pada aras ataupun terbenam di bawah gusi di mana tanda dan gejala akibat kerosakan gigi yang biasa terjadi seperti sensitif terhadap ransangan sejuk dan manis tidak dirasai. Tambahan pula, gigi menjadi semakin kurang sensitif dengan peningkatan usia mengakibatkan kerosakan gigi yang telah berlaku tidak disedari.

Kerapkali karies akar dikenalpasti semasa pesakit mendapatkan pemeriksaan gigi. Penggunaan radiograf (sinar-x) dapat membantu mengesan karies akar pada kawasan antara gigi (interproksimal) dan kawasan yang sukar dilihat dengan mata kasar..

Rawatan

Karies akar sering tersembunyi. Kaviti yang kelihatan biasanya nampak kecil berbanding dengan kerosakan yang sebenarnya. Kerosakan asas struktur boleh melemahkan keseluruhan gigi tersebut dan berisiko untuk patah pada aras gusi.

Karies yang kelihatan kecil, sebaliknya mungkin memerlukan restorasi korona dan tidak memadai setakat tampalan biasa. Kerosakan mungkin telah merebak ke kawasan pulpa gigi sehingga memerlukan rawatan endodontik (rawatan kanal akar) bagi mengelakkan kesakitan dan jangkitan berterusan. Pada peringkat yang tertentu, kerosakan yang teruk boleh menyebabkan gigi tidak dapat diselamatkan lagi dan terpaksa dicabut.

Bahan-bahan tampalan seperti resin komposit, glass ionomer dan kompomer boleh digunakan sebagai bahan tampalan karies akar tetapi penggunaan resin-modified glass ionomer digalakkan kerana ciri estetik dan sifat-sifat anti-karies yang sesuai bagi pesakit yang berisiko karies tinggi.

Pencegahan

Karies akar berpunca daripada bakteria. Maka adalah penting untuk menjaga kebersihan gigi setiap hari. Gusi yang telah menyusut mungkin menyebabkan pembersihan gigi menjadi lebih sukar. Kaedah dan teknik yang lebih berkesan perlu untuk membersih akar yang telah ditampal untuk membuang plak: menggunakan bulu berus gigi lembut/sederhana dalam pergerakan dan tekanan yang tidak merosakkan gusi, serta menggunakan flos dan/atau berus gigi interdental. Doktor gigi haruslah dimaklumkan sekiranya pesakit mempunyai masalah fizikal dan sukar untuk membersih gigi.

Penggunaan fluorida telah terbukti sangat berkesan di dalam pencegahan karies akar gigi. Kini ia terdapat di dalam pelbagai bentuk, teknik aplikasi serta kepekatan bergantung kepada keperluan individu, contohnya rawatan fluorida di klinik gigi. Produk yang mengandungi fluorida juga mudah diperolehi dan boleh membantu di dalam usaha mencegah karies.

Diet turut merupakan faktor penting kerana sesetengah makanan, seperti makanan ringan terutamanya boleh meningkatkan jumlah bakteria yang membentuk plak penyebab karies.

Akhir sekali pemeriksaan mulut dan pembersihan gigi berkala secara professional boleh mencegah karies akar atau mengesannya awal di kala gigi masih lagi boleh dirawat.

Rujukan

  1. MedlinePlus Encyclopedia Dental Cavities
  2. Cavities/ tooth decay, hosted on the Mayo Clinic website. Page accessed May 25, 2008.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Saripah bt. Saud
Penterjemah : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif
Akreditor : Dr. Kamarul Hisham bin Kamarudin
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

Penjagaan Luka Di Bahagian Muka

Kecederaan di muka sering berlaku di dalam setiap kemalangan seperti kemalangan jalan raya, serangan daripada manusia atau haiwan, kebakaran, letupan dan tembakan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,498

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia