A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kanser Payudara

Pengenalan

Perkataan kanser diambil dari bahasa latin “crab”. Umumnya 1 billion sel kanser diperlukan untuk membentuk selonggok tisu kanser bersaiz 1 diameter dan berat 1 gram. Oleh itu, kanser adalah sukar dan lewat dikesan melalui teknik pengimejan.Menurut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan ‘National Cancer Registry’ 2002:

  • Terdapat lebih dari 26,000 kes baru kanser dikesan di Semenanjung Malaysia.
  • Wanita Malaysia mempunyai insiden kanser lebih tinggi (55 peratus berbanding 45 peratus) daripada lelaki.
  • 1 dalam 5.5 warga Malaysia dijangka mendapat kanser sepanjang hayatnya (1 dalam 4 orang bagi kaum Cina, 1 dalam 5 orang bagi kaum India dan 1 dalam 7 orang bagi kaum Melayu).

Kanser yang biasa di Malaysia ialah:

  • Di kalangan lelaki- Kanser paru-paru tinggi di kalangan lelaki yang merokok diikuti kanser hidung (nasopharyngeal cancer) dan kanser usus/colorectal.
  • Di kalangan wanita- Kanser payudara adalah tinggi diikuti dengan kanser pangkal rahim.
  • Kanser usus – kadar insiden meningkat pada kedua-dua jantina.

Apa itu Kanser Payudara?

Kanser payudara merupakan kanser utama di kalangan wanita di Malaysia, 1 dalam 19 wanita adalah berisiko. Berbanding 1 dalam 8 wanita di Eropah dan Amerika Syarikat. Kanser payudara bermula dari sel payudara. Kanser payudara adalah biasa pada wanita dan hanya 1% lelaki mendapat kanser ini.

Payudara wanita adalah terdiri dari sel-sel kelenjar lobul yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang bawa susu ke bahagian puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa. Kebanyakan kanser payudara bermula dari sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer) dan selebihnya bermula dari tisu-tisu lain.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.

Jenis-jenis kanser payudara

  1. Kanser setempat ‘Carcinoma in situ’ : Istilah ini merujuk kepada kanser peringkat awal dan masih berada di tempat ia bermula iaitu terhad di saluran atau kelenjar susu payudara.
  2. Kanser saluran ‘Ductal carcinoma in situ’ (DCIS): Ia adalah jenis kanser payudara yang tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluran susu payudara.
  3. Kanser lobular (Lobular carcinoma in situ) (LCIS): Keadaan ini bermula di kelenjar susu dan tidak melepasi dindingnya.
  4. Kanser saluran merebak (Invasive (infiltrating) ductal carcinoma) (IDC): Merupakan kanser payudara yang paling biasa. Bermula pada saluran susu, melepasi dinding saluran dan merebak ke tisu payudara lain.
  5. Kanser lobul merebak (Invasive (infiltrating) lobular carcinoma (ILC)): Kanser ini bermula pada kelenjar susu. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Penyebab Kanser Payudara

Beberapa faktor dikenalpasti menyumbang kepada kanser payudara. Faktor risiko meningkatkan kemungkinan seseorang untuk mendapat penyakit.

Faktor risiko terbahagi kepada 2 kategori :

Faktor Risiko tidak boleh di kawal :

  • Umur-Semakin berumur semakin tinggi kemungkinan mendapatnya. Wanita berumur 50 tahun ke atas mempunyai 8-10 kali ganda kemungkinan mendapat kanser berbanding umur muda.
  • Wanita mempunyai 100 kali ganda risiko berbanding dengan lelaki.
  • Sejarah keluarga- sekiranya anda ada sejarah keluarga kanser payudara, anda adalah berisiko tinggi. 4.
  • Sejarah lalu kanser payudara- sekiranya anda telah didiagnosa kanser payudara waktu dulu, anda lebih berisiko mendapat kanser payudara sekarang.
  • Tempoh haid- lebih awal datang haid yang pertama, anda berisiko mendapatnya semasa anda telah berumur.
  • Faktor keturunan- 5%-10% berkaitan dengan mutasi gen. Gen BRCA1 dan BRCA2 adalah gen utama ( 80% dari semua gen).

Faktor Risiko Boleh di Kawal

  • Penyusuan- wanita yang menyusukan anak dalam tempoh 1-2 tahun akan mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.
  • Alkohol- wanita mengambil minuman beralkohol berisiko 1.5 kali ganda lebih tinggi dari wanita yang tidak mengambil alcohol 2.5 gbs.
  • Senaman- wanita yang melakukan senaman berterusan dapat mengurangkan risiko kanser payudara. Kajian menunjukkan senaman 30 minit sehari untuk 5 hari seminggu adalah mencukupi.

Gejala-Gejala Kanser Payudara

  • Tanda paling biasa kanser payudara ialah ketulan atau bengkakkan.
  • Ketulan yang tidak sakit, keras dan tidak sekata berkemungkinan besar kanser. Ada juga ketulan kanser yang sakit, lembut dan berbentuk bulat. Oleh itu sangat penting berjumpa doktor segera apabila ada pembengkakan atau ketulan di payudara.

Tanda-tanda lain kanser payudara seperti berikut:

  1. Bengkak pada sebahagian payudara
  2. Kulit jadi berkedut seperti kulit limau
  3. Puting masuk ke dalam atau sakit
  4. Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
  5. Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.
  6. Ketulan pada bahagian ketiak

Bagaimana kanser payudara dikesan?

  1. Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)– wanita patut melakukan PSP secara berkala bermula dari umur 20 tahun. Belajarlah dari jururawat anda dan sekiranya ada ketulan dikesan, jumpa doktor segera.
  2. Mammogram- Mammogram ialah ujian x-ray payudara. Pemeriksaan ini dibuat kepada wanita yang tiada masalah tetapi berisiko. Pemeriksaan bagi wanita yang ada tanda atau masalah payudara juga akan dilakukan. Semasa ujian mammogram, payudara ditekan antara 2 keping plet dan boleh menyebabkan rasa tidak selesa. Kadar radiasi x-ray adalah rendah dan tidak meningkatkan risiko kanser payudara.
  3. (Pengambilan tisu dari payudara (biopsi). Semasa ujian ini, sel dari kawasan yang disyaki diambil dan duji di makmal.

Tahap Kanser Payudara

Pengkelasan tahap kanser payudara penting untuk memastikan sama ada pesakit boleh sembuh sepenuhnya pada peringkat awal atau sebaliknya:

  1. Tahap 0 – Kanser setempat (Cancer in Situ)
  2. Tahap I – Kanser kurang dari 2 cm.
  3. Tahap II – Kanser 2 hingga 5 cm tanpa atau dengan bengkakan kelenjar di ketiak
  4. Tahap III – Kanser besar dari 5 cm atau penglibatan kelenjar ketiak yang banyak
  5. Tahap IV – Kanser telah merebak ke luar payudara dan melibatkan organ lain dalam tubuh
  6. Tahap I & II – adalah awal dan boleh disembuhkan.
  7. Tahap IV – tidak boleh disembuh

Rawatan

Wanita yang dikesan kanser payudara diberi rawatan selepas dibuat penilaian lengkap oleh doktor. Sebahagian pesakit akan dibedah sebelum diberi rawatan kemoterapi (adjuvant chemotherapy). Sekiranya pakar bedah memutuskan untuk mengecilkan saiz kanser sebelum pembedahan, rawatan kemoterapi atau radioterapi akan diberi terlebih dahulu.

  1. Jenis Pembedahan-tujuan pembedahan ialah untuk membuang tisu kanser payudara
      • Pembuangan ketulan kanser pada payudara (lumpectomy). Merupakan terapi konservatif, tisu normal tidak dibuang.
      • Pembuangan sebahagian payudara (Partial (segmental mastectomy)’ (mas-tek-tuh-me) : Pembedahan ini melibatkan pembuangan lebih tisu payudara berbanding dengan (lumpectomy). Ia biasanya diikuti dengan radioterapi.
      • Pembuangan sebahagian atau seluruh payudara (simple or total mastectomy): Dalam pembedahan ini, keseluruhan payudara yang terlibat dibuang, tetapi kelenjar limfa di ketiak dan otot-otot di bawah payudara tidak dibuang.
      • Pembuangan payudara radikal diubahsuai (Modified radical mastectomy). Pembedahan ini melibatkan pembuangan seluruh payudara yang terlibat dan sebahagian kelenjar limfa di ketiak.
      • Pembuangan payudara radikal (Radical mastectomy). Pembuangan seluruh payudara, yang terlibat kelenjar limfa dan otot-otot bahagian bawah payudara.
      • Pembedahan bahagian ketiak (Axillary dissection). Pembedahan ini dilakukan untuk memastikan sama ada kanser payudara telah merebak ke kelenjar limfa di ketiak atau tidak. Sebahagian kelenjar akan dikeluarkan dan diperiksa dibawah mikroskop.
  2. Kimoterapi
    • Kimoterapi bertindak sebagai ubat pembunuh sel kanser yang diberi melalui salur darah atau secara pil memakan. Ubat kimoterapi memasuki salur darah ke seluruh badan. Sekiranya kimoterapi diberi selepas pembedahan ia dapat kurangkan kemungkinan kanser berulang. Kimoterapi juga merupakan rawatan utama yang diberi bila kanser telah merebak menjangkaui luar payudara dan di kawasan ketiak atau rebakan meluas selepas rawatan pertama.
    • Kimoterapi juga diberi sebelum pembedahan, biasanya untuk mengecilkan saiz bengkakan dan mudah dibuang.
    • Kimoterapi diberi dalam beberapa kitaran, setiap kitaran diikuti dengan tempoh rehat. Jumlah kitaran rawatan biasanya sehingga 3 – 6 bulan. Biasanya kombinasi beberapa ubat diberi.
    • Kesan sampingan kimoterapi bergantung kepada jenis, jumlah dan tempoh ubat-ubat diberi:
        • Sangat letih kerana kekurangan sel darah merah
        • Loya dan muntah
        • Hilang selera makan
        • Rambut gugur
        • Kudis mulut
        • Perubahan kitaran haid (mungkin berkekalan)
        • Risiko jangkitan meningkat kerana kekurangan sel darah putih
        • Lebam atau pendarahan dari luka kecil disebabkan oleh kekurangan sel pembeku darah
  3. Terapi Radiasi
      • Rawatan ini melibatkan penggunaan pancaran bertenaga tinggi (seperti x-ray) untuk membunuh atau mengecut sel-sel kanser. Radiasi mungkin dari luar badan (radiasi luaran) atau dari bahan radioaktif yang diletakkan pada ketumbuhan (brachytherapy).
      • Rawatan ini digunakan untuk memusnahkan sel kanser yang masih tertinggal di dalam payudara, dinding dada atau bahagian ketiak selepas pembedahan. Kadang-kadang ianya digunakan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan sebelum pembedahan.Setiap rawatan mengambil masa beberapa minit.
      • Rawatan ini biasanya diberi 5 hari seminggu sebagai pesakit luar, untuk selama 6 atau 7 minggu. Ia bermula sebulan selepas pembedahan.
      • Kesan sampingan utama terapi radiasi ialah bengkak dan merasa berat pada payudara, kesan kemerahan pada kawasan berkenaan dan keletihan.
  4. Terapi Hormon
    • Hormon estrogen menggalakkan pertumbuhan sel-sel kanser payu dara pada sesetengah wanita. Kaedah untuk menghalang atau mengurangkan paras estrogen digunakan untuk merawat kanser payu dara.
    • Ubat tamoxifen bertindak untuk menghalang kesan estrogen. Ia diambil dalam bentuk pil, biasanya setiap hari selama 5 tahun selepas pembedahan. Ia mengurangkan risiko kanser daripada berulang.
    • Aromatase inhibitors ialah sejenis ubat yang menghalang tubuh membentuk estrogen. Ia hanya berkesan untuk wanita yang telah putus haid dan kanser yang dihidapinya positif hormon (reseptor estrogen positif).
Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Arief Budiman Abdul Aziz
Penyemak : Dr. Fitjerald Henry

 

Artikel Berkaitan

Cannabis

Apa Itu Cannabis? Cannabis adalah sejenis pokok yang mempunyai tiga

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,378,361

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia