A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kandungan Gas Darah

Definisi

Darah

Adalah sejenis cecair tisu badan dimana fungsi utamanya adalah untuk mengangkut gas oksigen dan karbon dioksida. Darah juga berfungsi untuk membekalkan zat kepada tisu, menyingkirkan bahan kumuhan, dan mengandungi pelbagai bahan sistem imunisasi bertujuan mempertahankan badan dari jangkitan kuman. Hormon endokrin juga diedarkan melalui darah.

Gas Darah

Gas oksigen (O2) diperlukan untuk kebanyakan tindakbalas metabolisme dan karbon dioksida (CO2) di dalam darah yang berfungsi untuk mengawal keseimbangan asid bes / alkali dan proses pernafasan.

pH

Nilai untuk mengukur tahap keasidan dan kealkalian sesuatu larutan atau cecair.

O2 – Oksigen

CO2 – Karbon dioksida

HCO3 – Bikarbonat

Pengenalan

Darah meliputi kira-kira 8% daripada keseluruhan berat badan manusia, sebagai contoh: Individu dengan berat 70 kg mempunyai kira-kira 6 liter (10.5 pain) darah.

Jantung manusia mengepam darah pada kadar 5.5 liter / minit ( 9.7 pain /minit).

Darah merupakan medium pengangkut dari dan kepada sel untuk :

  • Pertukaran molekul makanan dan bahan buangan
  • Pertukaran oksigen dan karbon dioksida
  • Mengawal keseimbangan asid dan alkali
  • Perlindungan terhadap jangkitan
  • Mengawal suhu badan


Gambarajah di atas menunjukkan kitaran pernafasan yang berlaku dalam tubuh manusia dan nilai kandungan gas oksigen dan karbon dioksida yang terdapat di dalam paru-paru dan darah.

Keseimbangan Asid Bes Dalam Darah

pH atau darjah keasidan darah bergantung kepada kandungan ion H+ dan dikawal melalui 3 cara / faktor, iaitu mekanisme buffer / penyangga kimia, proses pernafasan dan fungsi ginjal.

Proses perubahan pH darah terlibat melalui 2 cara, iaitu

  1. Metabolik
    Berlaku perubahan pada kandungan bikarbonat [HCO3] yang disebabkan oleh gangguan metabolisme
  2. Respiratori
    Berlaku perubahan tekanan separa CO2 (pCO2) yang disebabkan oleh gangguan pernafasan.

Perubahan pCO2 dan/atau HCO3 akan menyebabkan perubahan pH darah. Asidosis (pH di bawah julat normal) akan terjadi jika pCO2 meningkat dan / atau bikarbonat menurun, sedangkan alkalosis terjadi bila sebaliknya.

Di dalam darah, tahap keasidan diukur dalam unit pH, nilainya antara 1 (asid) sehingga 14 (bes / alkali) dengan nilai normal atau neutral ialah 7 . Kebanyakan proses dalam tubuh manusia berjalan dengan pH fisiologi, iaitu, 7.4 .

Untuk memastikan pH tetap dalam kitaran normal maka keseimbangan asid bes dalam darah perlu dikawal dengan tepat karana perubahan yang sangat kecil pun dapat memberikan kesan yang serius pada organ atau sistem.

Keseimbangan asid bes dalam darah dikawal melalui 3 cara / mekanisme iaitu :

  1. Ginjal berperanan membuang kelebihan asid, sebahagian besar dalam bentuk ammonia.
  2. Buffer dalam darah berfungsi sebagai pelindung terhadap perubahan pH yang terjadi secara mendadak. Buffer yang paling penting dalam darah adalah bikarbonat (HCO3)
  3. Pembuangan CO2 di paru-paru
    Proses metabolisme menghasilkan gas CO2 yang akan dibawa oleh darah menuju ke paru-paru untuk dikeluarkakan daripada tubuh.

Ujian Kandungan Gas Darah

Apakah kegunaan ujian ini ?

Ujian gas darah digunakan untuk menilai tahap oksigen dan status asid / bes pesakit. Ujian ini dijalankan sekiranya pesakit mengalami gejala ketidakseimbangan asid / bes yang teruk, kesukaran bernafas atau sesak nafas.

Ujian gas darah boleh dijalankan bersama-sama dengan ujian yang lain, seperti

  1. Ujian elektrolit untuk menentukan sama ada ketidakseimbangan elektrolit hadir
  2. Ujian glukosa untuk menilai kepekatan gula dalam darah,
  3. Ujian urea dan kreatinin untuk menilai fungsi buah pinggang.

Jika pesakit sedang menjalani terapi oksigen tambahan,ujian gas darah boleh digunakan untuk memantau keberkesanan rawatan itu.

Bilakah ujian ini perlu dijalankan?

Ujian gas darah perlu dijalankan sekiranya pesakit mengalami gejala-gejala seperti berikut:

  • Kesukaran bernafas
  • Sesak nafas
  • Loya
  • Muntah

Ujian gas darah ini juga boleh dijalankan dalam keadaan berikut:

  • Pesakit yang mengalami kecederaan kepala dan leher yang boleh memberi kesan kepada pernafasan.
  • Pesakit dengan penyakit buah pinggang dan mengalami masalah pernafasan.

Apa yang diukur?

Analisis gas darah meliputi pemeriksaan parameter berikut:

  • Tekanan separa Oksigen (pO2)
  • Tekanan separa Karbon Dioksida (pCO2)
  • pH
  • Bikarbonat (HCO3)
  • Ketepuan (saturasi) oksigen (O2)

Kaedah Pengambilan Sampel Darah

  1. Persediaan pesakitStatus pernafasan pesakit hendaklah dipastikan dalam keadaan stabil.
    • Seboleh-bolehnya pesakit perlu berada dalam keadaan ventilasi yang stabil sebelum dan semasa pengambilan darah.
    • Pesakit perlu diberi tahu terlebih dahulu berkenaan prosedur yang akan dijalankan untuk mengelak sebarang kebimbangan pada pesakit. Sekiranya pesakit mengalami hiperventilasi akibat kerisauan, nilai pH dan gas darah mungkin akan berubah.
  2. Alatan/tiub yang digunakanPicagari yang mengandungi anti-koagulan (anti pembekuan darah) lithium heparin

  3. Jenis sampelTerdapat 2 jenis sampel untuk ujian kandungan gas darah iaitu :
    • Gas darah arteriSampel yang lebih utama dan disyorkan untuk menganalisa gas darah kerana ;
      – Memberikan maklumat yang paling tepat untuk tahap pengambilan dan pengangkutan oksigen di paru-paru.


      Gambar menunjukkan bagaimana sampel darah arteri diambil


      Gambarajah menunjukkan kedudukan salur darah arteri

    • Gas darah venousTidak begitu disyorkan untuk analisa kandungan gas darah kerana

      – Tidak boleh digunakan untuk menilai status oksigen darah.
      – Nilai parameter yang lain boleh menggambarkan status asid bes darah (pH, pCO2, HCO3).

  4. Tatacara pengambilan sampel darah
    • Tentukan waktu pengambilan sampel darah arteri atau venous.
    • Gunakan picagari pakai buang berukuran 1 ml.
    • Sekiranya menggunakan picagari biasa, sedut larutan heparin (5000 units per ml) ke dalam picagari dan tolak keluar lebihan larutan tersebut. Jangan gunakan larutan ammonium heparin atau EDTA.
    • Gunakan alkohol untuk membersihkan tempat yang akan disuntik dan pastikan alkohol tersebut kering sepenuhnya.
    • Sedut ke dalam picagari sebanyak 1 ml darah arteri / venous.
    • Terbalikkan picagari ke atas dan dan buang semua gelembung udara .
    • Pastikan darah bercampur sepenuhnya dengan menggosok picagari tersebut menggunakan dua belah tapak tangan.
  5. Penghantaran sampel ke makmal
    • Picagari berisi darah arteri / venous dimasukkan ke dalam bekas yang mengandungi air dan ketulan ais dan pastikan picagari tersebut mestilah tenggelam sepenuhnya di dalam air tersebut.
    • Ini adalah untuk mengurangkan kadar metabolisme yang masih berlaku dalam darah bagi memastikan nilai parameter ujian gas darah yang diukur adalah tepat.
    • Sampel tersebut perlu dihantar ke makmal dengan segera dalam masa 30 minit dari masa sampel darah diambil.
  6. Analisa ujian gas darahAnalisa ujian gas darah dijalankan menggunakan mesin yang khas berdasarkan prinsip elektrod.


    Contoh mesin yang digunakan untuk menjalankan ujian gas darah

Julat Normal Gas Darah

Parameter

Gas darah arteri

Gas darah venous

pH

7.35-7.45

7.33-7.43

pCO2 (mmHg)

35-45

38-51

     pO2 (mmHg)

71-104

30-71

    O2 sat (%)

95-100 %

60-85

HCO3 (mmol/L)

22-29

22-29

Jadual di atas menunjukkan nilai bacaan untuk julat normal gas darah.

pH

Bicarbonate

pCO2

Keadaan

Penyebab utama

Kurang dari 7.4

Rendah

Rendah

Metabolik asidosis

Kegagalan ginjal, terkejut, diabetic ketoacidosis

Melebihi 7.4

Tinggi

Tinggi

Metabolik alkalosis

Muntah yang teruk, kurang  potassium
Kurang dari 7.4

Tinggi

Tinggi

Respiratori asidosis

Penyakit paru-paru seperti pneumonia

Melebihi 7.4

Rendah

Rendah

Respiratori alkalosis

Hyperventilasi, kesakitan, kerisauan

 

Jadual di atas menunjukkan keputusan ujian gas darah dan penyebabnya.

Semakan Akhir : 5 Disember 2013
Penulis : Rohaznida bt. Baharudin

 

Artikel Berkaitan

Bakteria vs Virus

  Pengenalan Bakteria dan virus adalah antara mikroorganisma penting dalam

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,221,202

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia