Home > Kesihatan Pergigian > Bidang Kepakaran > Kaitan Antara Penyakit Gusi & Badan

Kaitan Antara Penyakit Gusi & Badan

Pengenalan

Terdapat begitu banyak kuman di dalam mulut kita. Dengan penjagaan mulut yang baik, kuman-kuman ini berada dalam keadaan yang terkawal dan tidak mendatangkan masalah. Penyakit gusi adalah jangkitan kuman apabila penjagaan mulut tidak memuaskan.

Jangkitan kuman ini akan menghasilkan keradangan pada gusi dan pemahaman terakhir mengenai kaitan penyakit gusi dan penyakit badan yang lain adalah disebabkan keradangan ini, bukan kuman seperti yang dipercayai sebelum ini.

Konsep jangkitan mulut boleh mempengaruhi keadaan kesihatan badan keseluruhan telah ditimbulkan semenjak 1920-an lagi. Walaubagaimanapun, idea ini telah diterima sehingga dua dekad lepas. Kajian terkini menunjukkan terdapat kaitan antara penyakit gusi dengan penyakit badan yang lain seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, jangkitan paru-paru dan sebagainya.

Penyakit Gusi

Penyakit gusi adalah penyakit dalam mulut yang paling kerap terjadi. Penyakit gusi kebiasaannya disebabkan oleh bakteria yang didapati dalam plak gigi yang mengakibatkan keradangan dan jangkitan yang kronik.

Dalam kajian Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2010, mendapati 94% daripada mereka yang diperiksa menghidapi penyakit gusi dalam berbagai peringkat penyakit. Dan 18.2% memerlukan rawatan gusi yang rumit.

Tambahan pula penyakit gusi dan penyakit badan yang tersebut mempunyai berkongsi faktor risiko seperti merokok, kelemahan fungsi ketahanan badan, obesiti dan stres yang teruk.

Penyakit badan yang mungkin berkait dengan penyakit gusi.

Diabetes (Kencing Manis)

Seseorang yang mengidap diabetes akan lebih mudah mendapat penyakit gusi kerana pertahanan badannya adalah lemah, malahan penyakit gusi boleh dianggap sebagai salah satu komplikasi diabetes. Seseorang yang diabetesnya tidak dikawal, akan mengalami masalah jangkitan yang kerap dan teruk.

Kajian telah menunjukkan terdapat kaitan dua hala antara penyakit diabetes dan penyakit gusi. Seseorang yang berpenyakit gusi akan lebih sukar mengawal paras gula dalam darah. Ini adalah kerana sebarang jangkitan dalam badan, termasuk gusi boleh menaikkan paras gula dalam darah dan memerlukan lebih insulin untuk menyeimbangkannya semula. Keadaan di mana paras gula dalam darah adalah tinggi akan makin kerap berlaku, dan seterusnya meningkatkan risiko mendapat komplikasi diabetes di kalangan pesakit ini.

Penyakit Kardiovaskular (Penyakit Jantung Dan Strok)

Terdapat bukti-bukti yang semakin kukuh mengaitkan penyakit gusi dengan penyakit kardiovaskular. Mengalami penyakit gusi untuk jangka masa yang panjang mungkin meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok. Kajian ada menunjukkan bakteria dan bahan kimia yang terhasil dari penyakit gusi boleh melalui salur darah hingga ke saluran darah jantung dan bahagian badan yang lain. Keadaan ini boleh menyumbangkan kepada serangan jantung dan strok. Bakteria dalam mulut juga boleh menyebabkan darah beku, justeru itu meninggikan risiko strok.

Para penyelidik berpendapat keradangan lebih merbahaya kepada sistem kardiovaskular daripada risiko yang telah pun dikenal pasti seperti kolesterol LDL yang tinggi. Kaitan antara keradangan dan penyakit jantung dapat menerangkan mengapa hampir separuh dari pesakit yang mengalami sakit jantung tidak mempunyai sebarang faktor risiko yang telah dikenal pasti, selain dari tahap keradangan yang tinggi.

Adalah munasabah untuk seseorang yang bimbang terkena penyakit kardiovaskular untuk menjaga kesihatan gusi dan mulutnya sebaik mungkin. Ini mungkin salah satu cara untuk mencegah penyakit kardiovaskular. Di samping itu ianya tidaklah membebankan jika dibandingkan dengan cara-cara pencegahan yang lain, contohnya mengurangkan berat badan atau melakukan senaman fizikal.

Komplikasi Mengandung

Semua jangkitan termasuk penyakit gusi perlu diambil berat di kalangan wanita mengandung kerana ianya boleh memberi risiko kepada kesihatan bayi dalam kandungan. Wanita mengandung yang berpenyakit gusi berkemungkinan mempunyai bayi yang dilahirkan terlalu awal dengan berat badan yang rendah.

Ketidakstabilan hormon semasa mengandung juga menjadikan sel-sel gusi lebih sensitif dengan kehadiran bakteria dalam plak gigi, seterusnya meningkatkan tahap keradangan gusi. Walau bagaimanapun kaitan sebenar belum begitu jelas. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti bagaimana penyakit gusi memberi kesan kepada bayi yang dikandung

Respiratori (Pernafasan)

Kajian terkini mencadangkan bakteria yang terdapat di tekak dan juga di mulut boleh memasuki saluran pernafasan hingga ke paru-paru. Ini boleh menyebabkan jangkitan atau memburukkan lagi keadaan sekiranya pesakit sememangnya mempunyai masalah paru-paru.

Seseorang yang berpenyakit respiratori biasanya mengalami sistem pertahanan yang lemah, menyebabkan sukar untuk menghapus bakteria dari paru-paru.
Dengan menjaga kesihatan mulut dengan baik boleh mengurangkan risiko jangkitan bakteria kepada paru-paru di kalangan pesakit-pesakit ini.

Penyakit Alzheimer

Kehilangan gigi dan penyakit gusi pada umur muda mungkin ada kaitan dengan penyakit Alzheimer. Ini menyokong lagi kaitan yang semakin ketara antara pendedahan kepada keradangan kronik dan kemerosotan fungsi otak.

Kajian ke atas 100 pasangan kembar di United Kingdom (di mana seorang mengalami Alzheimer dan seorang lagi tidak) menunjukkan jika seseorang mengalami penyakit gusi yang sederhana atau teruk sebelum umur 35 tahun, peluang untuk terkena Alzheimer meningkat sehingga 5 kali ganda.

Para pengkaji dari Universiti New York telah menemui bukti penemuan jangka panjang yang pertama bahawa penyakit gusi akan meningkatkan risiko ketidakfungsian kognitif yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer dalam individu yang sihat dan juga kepada yang telah mengalami kecacatan kognitif.

Penyakit Ginjal (Buah Pinggang)

Jangkitan bakteria yang kronik adalah di antara risiko bagi penyakit kardiovaskular. Oleh kerana penyakit kardiovaskular dan penyakit ginjal berkongsi faktor risiko yang sama, ada kemungkinan penyakit gusi mempunyai kaitan dengan penyakit ginjal.

Kanser Pankreas

Satu kajian terbaru telah menunjukkan penyakit gusi mungkin juga ada kaitan dengan risiko kanser pankreas. Kajian ini memberi bukti pertama yang kukuh menyatakan penyakit gusi mungkin meningkatkan risiko penyakit kanser pankreas. Ia dijalankan oleh pengkaji selidik di Harvard School of Public Health dan Dana-Farber Cancer Institute (telah diterbitkan dalam Journal of the National Cancer Institute). Keputusan kajian menunjukkan lelaki yang mengalami penyakit gusi mempunyai risiko 63% lebih tinggi untuk menghidap kanser pankreas dibandingkan dengan yang tiada masalah penyakit gusi (selepas diselaraskan untuk umur, merokok, diabetes, jisim indeks badan dan beberapa faktor lain). Didapati juga mereka yang tidak merokok tetapi mempunyai masalah gusi mempunyai 2 kali ganda risiko terkena kanser pankreas

Kesimpulan

Kesihatan badan secara keseluruhan mempunyai kaitan yang rapat dengan kesihatan mulut. Seseorang yang berpenyakit gusi adalah lebih berisiko menghidap penyakit badan yang lain. Hubung-kait yang sebenarnya masih belum dapat dikenal pasti sehinggalah lebih banyak kajian dapat membuktikannya. Walau bagaimanapun, adalah amat penting bagi seseorang yang berpenyakit gusi mengurangkan risiko jangkitan dan mengamalkan langkah pencegahan. Cara terbaik untuk mengelakkan penyakit gusi adalah mengamalkan penjagaan kebersihan mulut yang baik iaitu memberus dan menggunakan flos setiap hari serta mendapatkan pemeriksaan berkala boleh mengurangkan peluang terkena penyakit gusi dan juga akan meningkatkan kesihatan badan keseluruhannya.

Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Rosrahimi bt. Abd Rahim
Akreditor : Datin Dr. Sorayah bt. Sidek
Penyemak : Dr. Ahmad Sharifuddin b. Mohd Asari

 

(Visited 178 times, 1 visits today)