A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kacip Fatimah

Pengenalan

Kacip Fatimah merupakan sejenis herba yang tumbuh melata di lantai hutan dan banyak didapati di Malaysia. Terdapat tiga jenis varians Kacip Fatimah di Malaysia iaitu var. Alata, var. Lanceolata dan var Pumila. Kacip Fatimah juga dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Selusoh Fatimah, rumput Siti Fatimah, akar Fatimah, kacit Fatimah, kacip Patimah, kunci Fatimah, pokok pinggang, rumput palis, tadah matahari, mata pelanduk rimba, bunga belungkas hutan, remoyan batu atau Sangkoh.

Kacip Fatimah amat sinonim dengan kegunaannya di kalangan wanita. Secara tradisional, Kacip Fatimah digunakan untuk mempercepatkan kelahiran bayi dan sebagai ubat memulihkan kesihatan wanita semasa pantang.

Labisia pumila var. Pumila (foto daripada www.mytreesdata.info)

Penggunaan Kacip Fatimah

Mengikut amalan secara turun-temurun, keseluruhan tumbuhan Kacip Fatimah ini direbus samada secara tunggal atau direbus bersama herba-herba lain bagi tujuan kesihatan wanita. Herba Kacip Fatimah juga boleh dijadikan ramuan di dalam makanan atau minuman kesihatan. Bagi ubat tradisional, Kacip Fatimah boleh didapati dalam pelbagai jenis persediaan seperti kapsul, tablet dan teh herba.

Jenis indikasi yang dibenarkan

Tuntutan kesihatan yang dibenarkan bagi produk tradisional yang mengandungi Kacip Fatimah adalah untuk kesihatan wanita seperti menguatkan badan selepas bersalin, mengurangkan keputihan dan melancarkan haid. Tuntutan kesihatan bagi produk tradisional ini dibenarkan dengan syarat ia disokong dengan rujukan daripada buku-buku rujukan, farmakopea atau data kajian klinikal.

Secara umumnya, Kacip Fatimah ditambahkan ke dalam ubat dan minuman disebabkan khasiatnya terhadap kesihatan wanita. Disebabkan nilai khasiatnya yang tinggi secara turun -temurun, Kacip Fatimah telah meraih banyak perhatian daripada pengkaji tempatan dan antarabangsa. Selain daripada khasiat Kacip Fatimah bagi mempercepatkan kelahiran bayi dan penjagaan ibu semasa pantang terdapat banyak kajian-kajian terbaru yang menonjolkan potensi Kacip Fatimah yang boleh diperkembangkan sebagai ubat. Di antaranya adalah terdapat kajian berkenaan kandungan anti-oksidan dan anti-penuaan dalam Kacip Fatimah. Selain itu, pengusaha –pengusaha produk tempatan turut mencampurkan Kacip Fatimah ke dalam produk berasaskan makanan dan minuman kesihatan untuk tujuan kecantikan wanita. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tiada kajian klinikal khusus ke atas manusia yang dapat membuktikan kebenaran dakwaan ini.

Amaran penggunaan

Sebelum sebarang ubat tradisional boleh dipasarkan, pihak syarikat perlu mendapat kelulusan daripada pihak PBKD bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk yang berada di pasaran. Pengguna boleh menyemak samada sesuatu produk berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui nombor pendaftaran MAL yang dicetak pada label produk.

Walaupun Kacip Fatimah telah digunakan oleh nenek moyang kita sejak turun temurun, namun malangnya, tiada data klinikal yang mencukupi bagi menilai keselamatan penggunaan Kacip Fatimah untuk jangka masa yang panjang. Oleh itu, para pengguna dinasihatkan agar merujuk kepada ahli farmasi dan doktor sekiranya simptom penyakit masih berlanjutan atau bertambah teruk selepas pengambilan produk ubat atau makanan/ minuman yang mengandungi Kacip Fatimah.

Semakan Akhir : 27 Disember 2013
Penulis : Noor’ain bt. Shamsuddin
Akreditor : Datin Shantini Thevanderan

 

Artikel Berkaitan

Bahan semulajadi dalam kosmetik

Produk kosmetik mengandungi pelbagai bahan yang boleh dikelaskan sebagai bahan semulajadi dan bahan sintetik. Formulasi suatu produk kosmetik boleh terdiri daripada samada campuran bahan sintetik dan bahan semulajadi, bahan-bahan sintetik atau bahan-bahan semulajadi sahaja.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,673,368

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia