A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Ujian Makmal Biokimia
  6. /
  7. Julat Normal Ujian Biokimia

Julat Normal Ujian Biokimia

Pengenalan

Pernahkan anda ke hospital ataupun klinik dan kakitangan di sana mengarahkan anda untuk mengambil sampel air kencing atau darah untuk ujian makmal?

Ujian makmal kebiasaannya menjadi kemestian apabila seseorang ingin membuat pemeriksaan kesihatan (medical check-up) bagi tujuan kemasukan ke kolej/universiti, pasangan yang bakal berkahwin dan semestinya bagi kaum ibu semasa pemeriksaan sewaktu mengandung.

Bagaimana sekiranya keputusan ujian makmal anda adalah ‘luar biasa’? Perlukah anda risau? Ringkasnya keputusan ujian yang ‘luar biasa’ akan memerlukan pemeriksaan lanjut. Interpretasi sesuatu keputusan ujian makmal akan merujuk serta membandingkan nilai yang diperolehi oleh seseorang individu dengan nilai julat normal bagi ujian tersebut.

Ujian kehamilan merupakan contoh ujian makmal yang paling ringkas. Julat normalnya berbentuk kualitatif (positif atau negatif).

Julat Normal

Julat normal bagi ujian-ujian darah kebiasaannya digunakan di dalam bidang biokimia (turut dikenali sebagai kimia hayat, patologi kimia, chemical pathology atau clinical biochemistry); salah satu bidang dalam patologi perubatan yang mengkhususkan kepada analisis cecair badan.

Julat normal bagi ujian-ujian biokimia di makmal-makmal perubatan digunakan oleh doktor / pengamal perubatan untuk membuat interpretasi bagi set keputusan ujian yang diperolehi daripada sampel pesakit (contoh : darah, air kencing dan lain-lain cecair badan). Julat normal juga turut dikenali sebagai julat rujukan.

Bagaimana Julat Normal Diperolehi

Julat normal diperolehi dengan menjalankan ujian kepada sejumlah besar individu yang sihat dalam sesebuah populasi dan menilai apakah nilai rujukan yang sesuai untuk populasi tersebut. Julat normal merupakan nilai yang merangkumi 95% data bagi individu yang sihat dalam sesebuah populasi. Ini bermaksud 5% individu yang sihat daripada sesebuah populasi akan berada di luar julat kebiasaan.


Julat normal dipilih merangkumi 95% data bagi individu sihat.

Pada masa sekarang, Clinical and Laboratory Standards Institute (CLSI) mencadangkan bahawa sejumlah minima 120 orang individu sihat dari satu populasi adalah mencukupi bagi penghasilan julat normal. Walau bagaimanapun, realitinya ia tidak semudah yang disangka kerana terdapat banyak kriteria yang perlu dipatuhi.

Bagi mendapatkan individu yang benar-benar sihat boleh menjadi satu isu. Ini kerana di dalam kajian bagi penghasilan julat normal, definisi individu sihat boleh menjadi satu ketidakpastian kerana kadangkala individu yang dipilih tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit.

Proses mendapatkan subjek yang sesuai serta kebenaran yang sah bagi kajian pada situasi sekarang memerlukan kos yang tinggi, masa yang panjang, komitmen yang jitu dan hakikatnya agak mustahil bagi kebanyakan makmal. Cabaran juga semakin besar dengan kesukaran untuk memperolehi subjek dari individu dalam kelompok umur yang berbeza seperti bayi, kanak-kanak dan orang tua, jenis sampel yang sukar diperolehi seperti cecair tulang belakang (cerebrospinal fluid), waktu kutipan sampel yang berlainan dan banyak lagi.

Verifikasi Julat Normal

Disebabkan banyak kekangan dalam menghasilkan julat normal, kebanyakan makmal akan memilih untuk tidak menghasilan julat normal sendiri. Pihak makmal akan menggunakan julat normal yang telah dikeluarkan oleh pihak ketiga seperti pengeluar peralatan makmal itu sendiri, makmal-makmal lain serta hasil-hasil kajian mengenai julat normal yang telah diterbitkan.

Secara relatifnya ianya agak mudah dan pihak makmal akan menjalankan proses verifikasi julat normal tersebut dengan menggunakan kajian ringkas yang memerlukan sekurang-kurangnya 20 orang individu sihat. Kajian ringkas ini dijalankan dengan mengangggarkan bahawa sistem analitikal makmal yang ada dikalibrasi dan menghasilkan keputusan ujian yang sama seperti metodologi yang digunakan oleh makmal asal yang mengeluar dan menerbitkan julat normal. Keputusan yang diperolehi akan diuji dengan menggunakan kaedah statistik yang telah diperakui.

Faktor yang mempengaruhi Julat Normal

Kebanyakan ujian biokimia tidak mempunyai satu julat normal sahaja disebabkan ia akan dipengaruhi oleh faktor seperti umur dan jantina serta faktor-faktor lain. Tiada istilah julat normal yang standard dalam ujian biokimia. Ujian-ujian biokimia akan dipengaruhi oleh faktor-faktor fisiologi seperti berikut :

  • Jantina – Julat normal bagi sesetengah ujian seperti serum kreatinine adalah lebih tinggi untuk lelaki berbanding dengan wanita.
  • Umur – Terdapat julat normal yang berlainan bagi bayi, kanak-kanak, orang dewasa dan warga tua.
  • Diet – Sesetengah keputusan ujian akan berbeza sekiranya diambil selepas berpuasa ataupun selepas makan. Contohnya ujian glukosa atau gula dalam darah.
  • Masa – Terdapat variasi keputusan ujian antara waktu siang dan waktu malam seperti ujian serum cortisol dimana paras paling tinggi pada awal pagi dan terrendah pada tengah malam.
  • Stres –  Faktor tekanan boleh mempengaruhi sesetengah ujian seperti paras glukosa lebih tinggi jika seseorang dalam tekanan.
  • Postur pesakit – Kedudukan pesakit semasa pengambilan sampel cecair badan akan mempengaruhi keputusan ujian disebabkan pengagihan cecair di dalam badan.
  • Aktiviti yang dijalankan – Melakukan kerja berat mahupun aktiviti lasak boleh membebaskan enzim dari dalam tisu badan.
  • Sejarah perubatan –  Infeksi dan/atau kecederaan tisu boleh memberi kesan kepada ujian biokimia.
  • Kehamilan – Kehamilan akan merubah sesetengah julat normal.
  • Kitaran haid – Kadar hormon akan berbeza-beza sepanjang kitaran haid.
  • Ubat – Pengambilan ubat-ubatan akan memberi kesan spesifik kepada ujian-ujian biokimia.

Kesimpulan

Perlu diingatkan bahawa keputusan ujian yang abnormal atau diluar dari julat normal tidak selalu menandakan bahawa anda bermasalah atau berpenyakit. Doktor anda perlu membuat interpretasi kepada keputusan ujian tersebut dengan melihat faktor-faktor lain seperti pemeriksaan klinikal pesakit dan sejarah perubatan.

Perlu juga diketahui bahawa jangan membandingkan keputusan ujian makmal anda dengan keputusan yang sama dari makmal lain. Ini kerana julat normal bagi setiap makmal mungkin berbeza disebabkan beberapa faktor teknikal kerana setiap makmal mempunyai peralatan dan metodologi ujian yang berlainan.

Sekiranya doktor anda merasakan bahawa keputusan ujian tersebut bermasalah, perkara pertama yang selalu dilakukan adalah mengulangi analisis ujian tersebut. Walaupun teknologi yang digunapakai di makmal sekarang adalah moden tetapi banyak faktor lain yang tidak boleh kita kawal seperti suhu, kelembapan dan masa penghantaran yang boleh mempengaruhi keputusan ujian.

Sebaliknya perlu diingati bahawa keputusan ujian makmal yang normal juga tidak memberi jaminan bahawa anda kebal. Sekiranya anda mengamalkan gaya hidup yang sihat; Ya, ia merupakan satu petanda yang baik. Jika anda mengamalkan gaya hidup yang berisiko seperti diet yang tidak sihat, penyalahgunaan dadah atau alkohol, anda hanya bernasib baik buat seketika.

Keputusan ujian makmal yang baik tidak memberi lesen kepada anda untuk mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Pemantauan keputusan ujian makmal secara berkala adalah lebih tepat berbanding hanya satu keputusan ujian sahaja.
Walaubagaimanapun sekiranya keputusan ujian anda sebelum ini bermasalah, keputusan ujian yang baik merupakan satu berita gembira. Doktor anda perlu sentiasa menjalankan pemeriksaan susulan bagi memastikan anda berada di landasan yang betul dan merekodkan segala perubahan.

Rujukan

  1. Alex Katayev, Claudiu Balciza, David W. Seccombe (2010). Establishing reference intervals for clinical laboratory test results. Is there a better way? Am J Clin Pathol 2010;133:180-186.
  2. Mujdat Aytekin, Kaya Emerk (2008). Accurate reference intervals are required for accurate diagnosis and monitoring of patients. eJIFCC 2008, 19 (2).
  3. Vidya Mave, Vandana Kulkarni, Renu Bharadwaj, Medha Khandekar, Amita Gupta, Nikhil Gupte (2012) Determination of a reference interval in a population. Natl Med J India 2012;25:33–34.
  4. Allan Gaw, Michael J. Murphy, et al (2008). Clinical Biochemistry. An Illustrated Colour Text. (4th. Edition). Churchill Livingstone Elsevier.
  5. Joseph Henny (2009). The IFCC recommendations for determining reference intervals: strengths and limitations. J Lab Med 2009;33(2):45–51

 

Semakan Akhir : 3 Januari 2014
Penulis : Syafiq Akram b. Suhaymin

 

Artikel Berkaitan

Keganasan Rumahtangga

Apakah keganasan rumahtangga? Keganasan rumahtangga bermaksud perlakuan keganasan terhadap pasangan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,057

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia