A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

KENALI KAMI JTMP

Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) adalah tunjang kepada perkhidmatan makmal perubatan yang terlibat dalam semua peringkat perkhidmatan makmal iaitu pra-klinikal, klinikal dan pasca-klinikal. JTMP ialah profesional SKB yang terlibat dalam proses pengdiagnosan untuk rawatan, rehabilitasi dan pencegahan melalui ujian-ujian makmal klinikal.

Pengenalan

Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) adalah satu daripada beberapa profesion Sains Kesihatan Bersekutu (SKB). Profesion ini tersembunyi daripada umum sebab mereka yang berada di dalam profesion ini bertugas di belakang tabir, tidak seperti Jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan. JTMP adalah tunjang kepada perkhidmatan makmal perubatan yang terlibat dalam semua peringkat perkhidmatan makmal iaitu pra-klinikal, klinikal dan pasca-klinikal. JTMP ialah profesional SKB yang terlibat dalam proses pengdiagnosan untuk rawatan, rehabilitasi dan pencegahan melalui ujian-ujian makmal klinikal.

Fungsi Dan Tanggungjawab

  • Fungsi utama JTMP adalah menjalankan ujian-ujian diagnostik di makmal-makmal hospital dan klinik kesihatan bagi menghasilkan keputusan ujian untuk membantu pegawai perubatan membuat diagnosis terhadap sesuatu penyakit.
  • Ujian diagnostik dilakukan ke atas pelbagai jenis spesimen seperti darah, urin, bendalir badan, tinja (stool) dan sampel tisu, bergantung kepada jenis ujian, bidang perkhidmatan makmal perubatan.
  • JTMP bertanggungjawab untuk memastikan kesesuaian spesimen yang diterima daripada pesakit dengan ujian yang akan dijalankan dan hasil keputusan yang tepat dalam masa yang paling cepat kepada pegawai perubatan untuk rawatan yang berkesan.

Latihan JTMP

  • Seorang individu boleh memohon melalui laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan memilih jawatan JTMP daripada beberapa jawatan yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  • Calon yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan disaring melalui peperiksaan dan temuduga.
  • Pemohon yang berjaya akan ditawarkan untuk mengikuti kursus Teknologi Makmal Perubatan yang dikendalikan oleh Kolej Teknologi Makmal Perubatan (KTMP) di Kuala Lumpur, dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Kuching.
  • Pelajar akan diberi biasiswa atau elaun sepanjang latihan 3 tahun dan kemudahan asrama ketika di Kolej KKM.
  • Berikut adalah beberapa bidang asas sains makmal perubatan:-

– Parasitologi (Kaji Parasit)

– Mikrobiologi (Kaji Kuman)

– Histopatologi (Kaji Tisu)

– Sitologi (Kaji Sel)

– Hematologi (Kaji Darah)

– Biochemistry (Patologi Kimia)

– Imunohematologi/ Blood Bank (Tabung Darah)

  • Setelah tamat latihan dan lulus peperiksaan yang diwajibkan pelajar-pelajar akan dianugerahkan Diploma Teknologi Makmal Perubatan dan dilantik sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP).
  • JTMP lantikan baru akan ditempatkan di makmal-makmal hospital, klinik kesihatan dan lain-lain institusi kesihatan awam mengikut kekosongan jawatan.
  • JTMP juga dilatih di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Sebelum liberasasi sistem pendidikan negara, selain daripada KTMP yang berada di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), JTMP juga dilatih di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Teknologi MARA (ITM).
  • Pada masa sekarang, USM dan UKM telah hentikan latihan JTMP peringkat diploma dan menumpu kepada program ijazah. Namun begitu terdapat banyak institusi pendidikan swasta yang menawarkan program diploma Teknologi Makmal Perubatan bagi calon-calon yang memenuhi syarat.
  • Pelajar-pelajar kolej dan universiti swasta tidak mendapat biasiswa seperti di KKM tetapi perlu mendapatkan pinjaman PTPTN atau daripada mana-mana agensi yang memberi pinjaman atau biasiswa pendidikan.

Tugas-Tugas JTMP Di Makmal

  • Terdapat beratus-ratus ujian makmal yang ditawarkan mengikut keperluan dan kapasiti sesebuah institusi kesihatan. Setiap daripada ujian memerlukan sampel yang tersendiri di mana setiap sampel perlu dihantar ke makmal dalam bekas berlabel biohazard. Ini kerana semua sampel akan dianggap sebagai biohazard atau bahan yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia dan persekitaran yang disebabkan oleh proses kerja biologi. Sebagai contoh mungkin sampel tersebut tercemar dengan kuman HIV atau Hepatitis dan sebagainya.      
(a) Sampel di dalam plastik biohazard (b) Sampel di dalam ais

Gambar 1 (a), (b): Kaedah pemindahan sampel ke makmal

  • Sebelum melakukan sebarang kerja teknikal, JTMP perlu melengkapkan diri dengan peralatan perlindungan diri seperti sarung tangan, goggle, mask, lab coat dan kasut yang bersesuian. Alat kelengkapan ini akan dipakai mengikut kerja yang akan dilakukan. JTMP akan menjalankan semua ujian diagnostik melibatkan ujian terhadap tisu atau cecair badan pesakit seperti urin (air kencing), najis, kahak atau darah bagi mengesan sesuatu yang tidak normal dan tahap kesihatan semasa pesakit.
  • Terdapat ujian-ujian makmal yang dijalankan dengan menggunakan bantuan mesin. Oleh kerana itu, JTMP yang bertugas di makmal yang sedemikian perlu menjalankan ujian pengawalan kualiti terhadap mesin-mesin yang akan digunakan. Ujian ini boleh memastikan mesin-mesin tersebut mengeluarkan keputusan ujian dengan tepat. Semua sampel yang telah dijalankan ujian akan disimpan di tempat yang ditetapkan.
  • Antara jenis-jenis ujian yang memerlukan sampel darah ialah ujian fungsi hepar, ujian fungsi renal, ujian bilirubin (penyakit kuning), ujian fungsi jantung, ujian hormon dan ujian pengiraan sel darah. Manakala antara ujian yang memerlukan sampel kahak adalah ujian batuk kering. Sesetengah sampel perlu dijalankan dengan menggunakan kebuk wasap kerana keadaan sampel yang mungkin boleh membebaskan virus atau kuman. Dalam menjalankan ujian, JTMP perlu mendapatkan keputusan ujian yang tepat dan secepat mungkin bagi membantu pegawai perubatan mengesan dan merawat masalah kesihatan, diagnosis dan juga menentukan keberkesanan rawatan yang diberikan.
  • Untuk pesakit yang memerlukan pemindahan darah, JTMP bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjalankan ujian keserasian darah antara darah penderma dan darah pesakit. Sebarang kesilapan TDAK BOLEH berlaku semasa menjalankan ujian keserasian darah kerana ujian ini melibatkan nyawa pesakit. Darah penderma akan melalui pelbagai peringkat saringan sebelum digunakan kepada pesakit yang memerlukan.
  • Selain daripada itu, JTMP turut membantu dalam menjalankan beberapa prosedur khas utama di hospital. Di antara prosedur tersebut adalah prosedur Bone Marrow Aspiration Test (BMAT), Fine Needles Aspiration Cytology (FNAC) dan bedside blood grouping test atau ujian menentukan kumpulan darah secara langsung dengan pesakit. Biasanya ujian BMAT dijalankan untuk pesakit yang disyaki menghidap kanser darah (leukemia) atau pun untuk melihat keberkesanan rawatan kemoterapi dan pemindahan sum-sum tulang. Ujian untuk FNAC pula dilakukan untuk tindakan awal bagi menyiasat penyakit limfoma (tumor yang terdapat pada nodus limfa). Manakala bedside blood grouping test dijalankan bagi menentukan kumpulan atau jenis darah pesakit sekiranya ada sebarang percanggahan antara dua keputusan kumpulan darah.
  • Reagen-reagen ini perlu disediakan oleh JTMP dengan sebaik mungkin. Penyediaan ini melibatkan pengalaman, kejituan dan ketepatan. Kebiasaannya perkara seperti ini disediakan oleh senior JTMP kerana sebarang kerosakan reagen boleh menyebabkan ujian makmal tidak sah.
  • Ada di antara ujian saringan awal makmal yang memerlukan ujian penunjukkan filem darah. Sebagai contoh untuk ujian pengiraan sel darah dan ujian filem darah periferal. Ujian-ujian seperti ini memerlukan JTMP melihat sisip kaca filem darah melalui mikroskop untuk mengesan atau mengira kehadiran sel-sel darah yang akan menjadi petunjuk kepada sesuatu jenis penyakit. Contoh utama penyakit yang memerlukan ujian ini adalah leukemia, talasemia, anemia, malaria dan denggi.
  • Seorang JTMP bukan hanya menguji sampel yang diberikan malahan perlu menjaga cara pengambilan dan juga pengangkutan sampel. Sampel darah yang dihantar di dalam bekas tiub perlu dipastikan agar tidak lysed (pemecahan sel darah merah) dan sesetengah dari ujian tidak boleh dijalankan sekiranya sampel darah tersebut clotted (penggumpalan sel darah merah). Sebelum analisis, sesetengah sampel itu perlu diambil dalam bekas bersesuaian (mengikut jenis sampel dan ujian) serta dipindahkan dalam ais atau bahan kimia bersesuaian ke makmal. Ini bagi menjamin keputusan ujian tepat dan boleh diperolehi secepat mungkin untuk membantu pegawai perubatan bagi membuat diagnosis, memberi rawatan.
  • Semua bendalir dan tisu badan dapat diuji untuk mendapatkan maklumat tertentu. Ini bukan sahaja berguna dalam diagnosis dan rawatan penyakit, malahan penting dalam dunia forensik untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.                                                                 Gambar 2: Mikroskop

 

Bidang JTMP

  • Pada masa sekarang, bidang-bidang utama  JTMP adalah :-

– Patologi Kimia

– Pemakanan

– Radiokimia

– Mikrobiologi Perubatan

– Virologi

– Parasitologi Perubatan

– Imunologi

– Patologi Anatomi

– Sitologi

– Hematologi

– Imunohematologi

– Bioteknologi

– Forensik

  • Terdapat juga pelbagai bidang lain seperti Perubatan Nuklear dan Embriologi, tetapi amat jarang JTMP ditugaskan di bidang-bidang tersebut.

Perkhidmatan Makmal

  • Dalam pengurusan makmal, JTMP kanan adalah bertanggungjawab bagi memastikan semua bekalan bahan pakai habis (consumable) dan alat pakai buang (disposables) sentiasa mencukupi.

  • JTMP Kanan akan memastikan pelbagai alatan dan mesin diperiksa dan diselenggara supaya mesin-mesin sentiasa dalam keadaan yang baik. JTMP Kanan juga bertanggungjawab melaporkan jumlah ujian yang telah dijalankan atau bebankerja untuk sesuatu jangka masa kepada pihak atasan untuk merancang keperluan tenaga kerja dan perbelanjaan pada masa hadapan.
  • Mesin-mesin adalah alat yang membantu JTMP untuk menjalankan ujian-ujian makmal.

 

Gambar 3: Media pengkulturan yang telah dikultur

  • Selain daripada makmal-makmal diagnostik, JTMP juga ditempatkan di Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research (IMR)) untuk menjalankan ujian-ujian diagnostik khas dan juga terlibat dalam penyelidikan bioperubatan. JTMP yang terlibat dalam penyelidikan perubatan, membantu menjalankan kajian penyakit atau ubat-ubat terbaru.
  • Di situ juga terdapat Rumah Haiwan atau unit sumber haiwan makmal di mana haiwan seperti tikus, monyet, arnab, guinea pig dan hamster dipelihara dan dibiak bagi tujuan penyelidikan. Haiwan-haiwan makmal akan dibekalkan kepada para penyelidik di Institut, di universiti-universiti dan agensi-agensi penyelidikan kerajaan yang lain.
  • Penyelidikan bukan sahaja dapat mengembangkan lagi kaedah ujian yang lebih tepat dan berkesan, malah untuk perkembangan teknologi yang digunakan di dalam makmal.
  • Demi mempertingkatkan perkhidmatan makmal perubatan, JTMP perlu mempunyai lebih kepakaran dan kemahiran dengan melanjutkan pelajaran dari diploma kepada ijazah sarjana muda, sarjana, dan ijazah kedoktoran Sekarang banyak institut pengajian tinggi yang menawarkan program-program pendidikan yang sesuai bagi JTMP yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Kesimpulan

Semua Juruteknologi Makmal Perubatan mempunyai ciri-ciri umum tertentu. Mereka adalah penyelesai masalah. Mereka suka kepada cabaran dan bersikap tanggungjawab (Accountable) atas semua hasil tugas. Mereka menghasilkan kerja yang tepat, boleh dipercayai, walaupun di bawah tekanan. Mereka berkomunikasi dengan baik dalam bentuk tulisan dan lisan. Mereka menetapkan piawaian yang tinggi untuk diri mereka sendiri dan mementingkan kualiti dalam kerja-kerja yang mereka lakukan. Mereka amat komited terhadap kerjaya mereka, dan benar-benar tertarik dengan semua bidang sains makmal perubatan. Bagi sesiapa yang memilih kerjaya di makmal perubatan, penerokaan tidak pernah berakhir.

Rujukan

  1. http://www.spa.gov.my
  2. http://kolejteknologimakmalperubatan.blogspot.com

 

Semakan Akhir : 3 Januari 2017
Penulis : Mohd Mustaqim bin Ab Karim
Akreditor : Badarul Zaman bin Abdul Aziz

Artikel Berkaitan

Mangsa Dera & Penderaan Kanak-Kanak

Keganasan mengikut tafsiran WHO (World Health Organisation) sebagai dengan sengaja menggunakan kekerasan atau kekasaran, ancaman atau benar-benar terhadap diri sendiri, orang lain, atau terhadap satu kumpulan atau komuniti sama ada mengakibatkan atau mempunyai kemungkinan yang tinggi menyebabkan kecederaan, kematian, gangguan emosi, terbantut tumbesaran atau kesusahan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,218,619

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia