A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Jika Anda Memakai Alat Pendakap Ortodontik, Penjagaan Rapi Di Rumah Adalah Amat Penting!

Pengenalan

Rawatan ortodontik kebiasaannya melibatkan pemakaian alat pendakap (tetap/boleh tanggal) yang bertujuan untuk membetulkan susunan gigi dan juga memperbaiki penampilan rupa paras/wajah selain daripada membetulkan fungsi kegigian. Rawatan ini mengambil masa yang lama untuk selesai, jadi anda perlu memberi perhatian yang lebih terhadap penjagaan kebersihan mulut di rumah. Ini adalah untuk mengelakkan kejadian kerosakan gigi dan keradangan gusi yang disebabkan oleh pengumpulan plak gigi /tahi gigi. Selain itu, pengawalan diet pemakanan semasa tempoh rawatan ortodontik juga amat penting dalam pengekalan kesihatan pergigian.

Mengapa penting untuk menjaga kebersihan gigi dan pendakap gigi sepanjang masa?

Sisa makanan dan plak lebih mudah terkumpul di sekeliling alat pendakap yang dipakai. Ini menyebabkan  pembersihan gigi menjadi lebih sukar. Alat pendakap boleh tanggal ( ABT ) boleh ditanggalkan untuk pembersihan, manakala alat pendakap tetap yang lekat pada permukaan gigi tidak boleh ditanggalkan untuk pembersihan. Pembersihan yang  tidak sempurna mengakibatkan gusi bengkak dan kerosakan  gigi pada peringkat awal.

Gusi yang bengkak dan berdarah adalah tanda-tanda inflamasi gusi/ keradangan gusi yang disebabkan oleh pengumpulan plak gigi. Walaupun diketahui bahawa keradangan gusi akan berkurangan setelah braket ditanggalkan tetapi sekitar 10% pesakit ortodontik didapati mengalami kehilangan lekatan (attachment) gusi / gusi menyusut  secara kekal ( Zachrisson, 1976).

Kerosakan awal gigi dikesan sebagai tanda berwarna putih  (lesi tompok putih) pada permukaan gigi yang disebabkan oleh ancaman asid daripada bakteria di dalam plak. Gorelick et al (1982) melaporkan bahawa 50% daripada pemakai alat pendakap tetap (braces) mengalami lesi tompok putih  pada permukaan gigi berbanding dengan hanya 25% yang tidak memakai alat pendakap tetap. Pembersihan gigi dan braket secara teliti dapat mengurangkan  masalah ini jika dikesan pada peringkat dari awal. Jika sebaliknya, lesi tompok putih ini akan berkembang menjadi karies (gigi  berlubang).

Rawatan Ortodontik akan menjadi sia-sia jika kerosakan gigi dan gusi dikesan di penghujung  rawatan akibat pengabaian kebersihan mulut!

alt   alt

Keradangan gusi disebabkan oleh pengumpulan plak di pinggir gusi

 

Tompok putih ( kerosakan awal) dan karies selepas rawatan dengan pendakap tetap

Apakah langkah-langkah penjagaan di rumah yang perlu diambil jika memakai pendakap gigi?

  1. Jika anda memakai pendakap tetap,masa yang diperlukan untuk proses pembersihan gigi adalah lebih daripada biasa. Celah-celah di antara pendakap dan di pinggir gusi harus diberus dengan lebih sempurna menggunakan berus gigi dan ubat gigi yang sesuai. Penggunaan berus interdental atau flos/benang gigi dapat membantu pembersihan antara celah gigi, sekeliling braket dan di bawah dawai. Sebaik-baiknya, gigi harus diberus setiap kali selepas makan dan lebih penting lagi sebelum tidur.Di samping memberus gigi, penggunaan harian bahan kumur berfluorida (0.05% Sodium Fluorida) dapat melindungi gigi daripada kerosakan (Benson P.E. et al, 2005). Kehadiran fluorida di dalam mulut dapat membentuk lapisan ‘fluorapatite’ di atas permukaan gigi yang dapat menghalang pembentukan tompok-tompok putih dan seterusnya menghalang kerosakan gigi yang lebih teruk.
    ( Chang et al, 1997 )

    alt

    Berus gigi sepatutnya sampai ke kawasan pinggir gusi

    alt   alt

    Berus gigi hujung berumbai atau berus interdental digunakan untuk membersihkan antara celah braket

    alt

    Flos gigi untuk membersihkan bahagian yang sukar dicapai oleh berus gigi

  2. Jika anda menggunakan alat pendakap boleh tanggal / alat pemegang, ia mesti ditanggalkan untuk tujuan pembersihan. Gunakan berus gigi berbulu lembut untuk membersihkan alat ini. Anda juga boleh menggunakan bahan pembersih alat pendakap atau gigi palsu untuk membuang enapan (deposit) pepejal (karang gigi) di samping menyegarkan bau alat pendakap.
    alt

    Alat pendakap boleh tanggal (ABT) perlu dibersihkan dengan sempurna menggunakan berus gigi

    alt

    Rendam ABT  ( 20 minit ) dalam bekas mengandungi bahan pembersih  ABT yang larut  air,kemudian bilas dengan baik sebelum diguna

  3. Cuba elakkan mengambil makanan yang manis, keras seperti kekacang dan melekit seperti gula toffee dan gula-gula getah kerana ia menyebabkan kerosakan kepada alat pendakap. Elakkan  minuman ringan bergas kerana kandungan asid di dalamnya akan menghakis permukaan gigi, menyebabkan lapisan enamel menipis. Kekerapan mengambil makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula harus  dielakkan untuk mengurangkan ancaman asid dalam mulut (Yip et al, 2009).
  4. Hubungi Pakar Ortodontik anda jika berlaku kerosakan atau braket  menjadi longgar, supaya temu janji segera dapat diatur. Anda juga perlu mengambil perhatian bahawa alat pendakap tetap yang selalu tercabut akan memanjangkan tempoh rawatan. Pakar Ortodontik akan menyarankan penggunaan lilin lembut pada bahagian braket yang bergeser dengan bibir dan pipi untuk mengelakkan terjadi ulser.

Sekiranya anda berminat untuk menerima rawatan ortodontik dengan alat pendakap, penjagaan  kebersihan dan kesihatan mulut sepanjang rawatan adalah sangat penting. Dengan memberi perhatian lebih kepada penjagaan di rumah, anda sebenarnya dapat mengelakkan kerosakan teruk pada gigi dan gusi. Justeru itu, apabila rawatan ortodontik anda selesai, anda akan mempunyai senyuman yang cantik dan sihat untuk sepanjang hayat!

Rujukan

  1. Zachrisson, BU. (1976). Cause and prevention of injuries to teeth and supporting structures during orthodontic treatment. American Journal of Orthodontics, 69, 285-300.
  2. Gorelick, L., Geiger, A.M., Gwinnett, A.J.(1982). Incidence of white spot formation after bonding and banding. American Journal of Orthodontics, 81, 93–8.
  3. Andersson, R., Arvidsson, E., Crossner, C.G, Holm A.K., Mansson, B., Grahnen, H. (1974).The flow rate, pH and buffer effect of mixed saliva in children. J Int Assoc Dent Child, 5, 5-12.
  4. Benson, P.E., Shah, A.A., Millett, D.T., Dyer, F., Parkin, N., Vine, R.S. (2005). Fluorides, orthodontics and demineralization: a systematic review. Journal of Orthodontics, 32,102-114.
  5. Chang, H. S., Walsh, L.J., Freer, T.J. (1997). Enamel demineralization during orthodontic treatment:  Aetiology and prevention. Australian Dental Journal, 42(5), 322- 7.
  6. Yip, H.H.Y., Wong, R.W.K., Hägg, U., (2009). Complications of orthodontic treatment: Are soft drinks a risk factor? World Journal of Orthodontics, 10, 33-40.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Surguna Devi a/p R.S. Muniandy
Penterjemah : Dr. Yatimah bt. Othman
Akreditor : Dr. Goh Ai Hwa
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,420,600

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia