A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Japanese Encephalitis (JE) – TA

Pengenalan

Penyakit Japanese Encephalitis (JE) telah berlaku di kebanyakan negara-negara Asia seperti Kemboja, China, Indonesia, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Korea, Thailand, Vietnam, India serta kawasan di Selatan-Timur Persekutuan Rusia.

Kira-kira 3 bilion daripada penduduk dunia tinggal di kawasan-kawasan endemik dan hampir 50,000 kes JE dengan 10,000 kematian dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia.

Di Malaysia, kes JE dilaporkan secara sporadik (kes-kes terpencil) dan kes pertama telah dicatatkan oleh Cruikshank pada tahun 1951 di mana berlaku kejadian wabak di kalangan banduan British semasa Perang Dunia Kedua.

Agen penyebab: Virus Japanese Encephalitis daripada genus Flavivirus di dalam keluarga Flaviviridae.

Cara jangkitan: Virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala  yang dijangkiti virus JE.  Khinzir dan pelbagai burung liar akan dijangkiti penyakit JE terlebih dahulu sebelum virus JE menjangkiti  manusia melalui gigitan nyamuk. Manusia tidak dianggap sebagai perumah untuk penyebaran virus dan jangkitan daripada manusia ke manusia tidak pernah didokumenkan.

Tempoh pengeraman: 5 hingga 15 hari.

Tanda dan gejala

Kebanyakan jangkitan JE tidak menunjukkan tanda dan gejala (asimtomatik).

Anggaran 1 pesakit dalam 250 yang dijangkiti menunjukkan gejala penyakit. Gejala yang biasa adalah demam, sakit kepala, loya dan muntah.

Perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan muncul selepas beberapa hari. Sawan berlaku dalam 66% kes dan paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

Komplikasi

Kesan daripada gejala penyakit ini boleh menjadi serius termasuklah kecacatan otak dan kematian. Kadar kematian adalah sehingga 60% untuk pesakit yang menunjukkan gejala manakala lebih kurang 30% pesakit akan mengalami kerosakan pada sistem saraf pusat.

Rawatan

Tiada rawatan spesifik untuk pesakit JE. Walau bagaimanapun rawatan di hospital adalah penting untuk perawatan sokongan dan pengawasan rapi. Pesakit dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi, meminum air yang banyak dan mengambil ubat berdasarkan kepada nasihat doktor untuk melegakan gejala penyakit.

Pencegahan

    • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk dan lakukan pemeriksaan 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan persekitaran kita bebas daripada pembiakan nyamuk.

 

    • Kurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk terutamanya di lokaliti bermasalah penyakit JE.

 

    • Gunakan ubat penjauh serangga (‘insect repellant’) pada kulit yang terdedah berdasarkan panduan yang diberikan oleh syarikat pengeluar untuk aktiviti luar terutama di waktu senja hingga subuh.

 

    • Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang. Cuba elakkan memakai pakaian berwarna gelap (kerana warna gelap akan menarik perhatian nyamuk).

 

    • Tutup tingkap atau bidai apabila berada dalam bangunan. Gunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk.

 

  • Suntikan vaksin JE akan hanya diberikan kepada penduduk berisiko tinggi di lokaliti berlakunya wabak dan untuk negeri Sarawak di mana program vaksinasi JE diberikan kepada semua bayi yang baru lahir yang berumur 9 bulan dan ke atas mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Sumber

  1. World Health Organization. International Travel & Health. 2006
  2. Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition. David L. Heymann, MD, Editor, 2004.
  3. Centers for Disease Prevention & Control, Atlanta. 2012. Available at URL:  http://www.cdc.gov/japaneseencephalitis/vaccine/index.html
Semakan Akhir : 19 Jun 2013
Penulis : Dr. Norhayati Rusli

 

Artikel Berkaitan

Chikungunya – TA

Pengenalan Chikungunya adalah jangkitan virus yang merebak kepada manusia melalui

Hepatitis B

Pengenalan Hepatitis B adalah sejenis penyakit berjangkit yang ketiga paling

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,231,920

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia