A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Jangkitan Herpes Simplex Oral

Herpes, walaupun tidak melibatkan kematian, tetapi ia boleh mengubah kehidupan. Adalah sangat penting untuk mengetahui tentang HSV; faktor-faktor risiko jangkitan virus ini, dan bagaimana untuk menghalang dari merebak dan berulang

Pengenalan

Virus Herpes Simpleks

Virus herpes simpleks atau lebih dikenali sebagai herpes; dikategorikan kepada 2 jenis:

  1. Herpes simpleks jenis 1 (HSV-1, atau herpes oral)
  2. Herpes simpleks jenis 2 (HSV-2, atau herpes alat kelamin)

Herpes simpleks jenis 1 (HSV-1) selalunya akan menyebabkan jangkitan di bahagian mulut. Walau bagaimanapun ianya boleh menyebabkan herpes alat kelamin.

Untuk Herpes Simplex jenis 2 (HSV-2), jangkitan biasanya akan tertumpu di bahagian bawah aras pinggang iaitu pada bahagian alat kelamin atau dubur.

Sinonim

Herpes Simplex, Herpes

Herpes Simplex Virus Structure

Struktur Virus Herpes Simplex
Sumber : http://www.bio-rad.com

Jangkitan Virus Herpes Simpleks (HSV 1)

Jenis-jenis jangkitan HSV 1

Boleh dibahagi kepada 2 :

  • Jangkitan HSV 1 primer
  • Jangkitan Herpes Simpleks sekunder atau berulang

Jangkitan HSV 1 Primer

Ianya terjadi apabila pertama kali terdedah kepada virus HSV1. Jangkitan bermula apabila cecair terjangkit daripada pengidap jangkitan memasuki mukosa mulut, kulit yang terbuka/terluka dan juga mata.) seseorang yang sihat (proses inokulasi).

Virus HSV ini kemudiannya akan bergerak melalui saraf sensori pesakit dan menghuni di ganglion sesuatu saraf contohnya ganglion saraf Trigeminal. Ini akan mengakibatkan jangkitan pendam atau jangkitan tidak aktif secara klinikal di ganglion tersebut untuk suatu tempoh yang tidak diketahui.

Keadaan di mana HSV ini dorman di luar sel neuron seperti di sel epithelia kulit merupakan penyebab kepada jangkitan HSV berulang di kawasan bibir atau dipanggil jangkitan herpes labialis berulang.

Vesicular Lesions Of Hsv Infection On Lip

Lesi vesicular HSV di kawasan bibir.
Sumber : www.collectionpicture.stockmd.net

HSV sekunder atau jangkitan HSV berulang adalah disebabkan oleh HSV1 di kawasan dorman diaktifkan semula oleh faktor-faktor tertentu yang mana virus ini akan bergerak keluar ke kawasan mucosa atau kulit. Jangkitan akan muncul semula sebagai vesikel/ biji-biji air yang kemudiannya pecah menjadi ulser.

Prevalens

Jangkitan Herpes Simpleks kebanyakannya adalah subklinikal, iaitu tidak menampakkan tanda-tanda jangkitan dan berlaku pada kanak-kanak dan remaja. Jangkitan HSV primer pula lebih kepada kanak-kanak 6 bulan ke 5 tahun. Virus ini boleh tersebar melalui sentuhan kulit ke kulit dengan orang dewasa yang dijangkiti.

Primary Herpes Simplex Infection In A Baby

Jangkitan Herpes Simpleks primer pada bayi
Sumber: https://pedclerk.bsd.uchicago.edu

Patogenesis

Jangkitan herpes simpleks sangat mudah disebarkan melalui sentuhan secara langsung atau tidak langsung. Menyentuh atau berkongsi barang dengan mereka yang terjangkit terutama jangkitan aktif akan menyebabkan jangkitan HSV. Kebanyakan pesakit dijangkiti virus ini dari mereka yang tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal. Doktor memanggil ini sebagai “Jangkitan virus tanpa symptom”. Kemungkinan untuk mendapat jangkitan herpes simpleks jenis 1 di bahagian alat kelamin adalah tinggi apabila seseorang yang mempunyai jangkitan aktif melakukan aktiviti seksual.

Jangkitan HSV 1 primer

Manifestasi klinikal

Pesakit akan mengalami sindrom pridormal seperti demam, hilang selera makan, keletihan dan sakit otot selama 1 ke 3 hari. Mungkin juga disertai dengan pening dan rasa mual. Kesakitan dalam mulut akan menyebabkan kesukaran untuk makan dan minum. Jika berlarutan, pesakit mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk proses kemasukan air ke dalam badan (hidrasi). Jangkitan HSV 1 adalah penyakit yang boleh hilang dalam 10 ke 14 hari tanpa apa-apa rawatan kecuali dalam pesakit yang mempunyai keadaan sistemik lain contohnya HIV.

Penemuan Oral

  • Radang gusi primer.
    • Selepas beberapa hari tempoh prodromal, kemerahan dan vesikel akan timbul di bahagian lelangit keras, gusi melekat dan permukaan lidah. Ini adalah kawasan mukosa ber-epithelium keratin. Ianya mungkin juga melibatkan bahagian mukosa epitelium tidak berkeratin seperti mukosa pipi, mukosa bibir dalam,mukosa permukaan bawah lidah dan lelangit lembut.
    • Vesikel-vesikel kecil yang berukuran 1-5mm akan pecah dan bercantum membentuk ulser yang besar
    • Gusi akan kelihatan merah menyala dan kawasan mulut akan merasa sangat sakit dan mengganggu pemakanan.
  • Radang tekak selalunya di dalam pesakit dewasa akan menyebabkan kesusahan untuk menelan.

Herpetic Gingivostomatitis

Radang gusi dan ulcer di bibir dalam
Sumber: http://www.aafp.org

Vesicular Lesions Of HSV Infection On Palate

Vesikel-vesikel herpes di lelangit
Sumber: http://intranet.tdmu.edu.ua

Jangkitan HSV 1 sekunder

Mereka yang dijangkiti HSV akan mempunyai virus ini di dalam badan mereka seumur hidup. Walaupun tiada sebarang tanda jangkitan, virus ini akan terus menghuni sel saraf pesakit. Setengah orang akan mengalami jangkitan berulang yang kerap. Yang lain mungkin mengalami hanya sekali sahaja jangkitan berulang selepas virus berada laten di saraf mereka.

HSV1 boleh diaktifkan semula oleh beberapa faktor:

  • Stres
  • Kedatangan haid
  • Demam
  • Terdedah kepada cahaya matahari yang kuat.
  • Surgeri
  • Sistem imuniti yang rendah (cth: HIV, pemindahan organ, kimoterapi, leukimia)

Manifestasi klinikal

Keadaan di mulut adalah sama seperti jangkitan HSV1. Untuk pesakit yang mempunyai sistem imuniti rendah; ulser mulut akibat jangkitan HSV mungkin berbeza, saiznya lebih besar, mengambil masa lebih lama untuk sembuh dan boleh merebak ke kawasan badan yang lain jika tidak didiagnos dan dirawat.

Kawasan Jangkitan

Kebanyakan lesi HSV-1 di bahagian mulut timbul di bibir dan sekeliling mulut, dipanggil sebagai herpes labialis. Kadang-kadang boleh muncul di muka dan lidah atau di mana-mana sahaja di kulit.

Herpes Labialis In Adult

Herpes Labialis dalam pesakit dewasa
Sumber: http://youritablets.com

Petugas perubatan dan pergigian serta jururawat boleh mendapat jangkitan HSV1 di kawasan jari jemari, jika sarung tangan tidak digunakan semasa merawat pesakit yang berjangkitan aktif. Jangkitan akibat bersentuhan secara terus ini dipanggil herpetic whitlow (post herpetik kelurut).

Herpetic Whitlow

Herpetic Whitlow (post herpetik kelurut)
Sumber: http://diseasespictures.com

Tanda dan simptom

  • Kesakitan, kegatalan dan kepanasan di kawasan jangkitan dapat dirasa sehari atau lebih sebelum gelembung air jangkitan timbul.
  • Kesakitan dan gelembung air akan muncul: Gelembung air ini akan pecah dan membentuk ulcer dan ditutupi kepingan keras . Keadaan ini akan berlarutan Antara 2 hingga ke 20 hari.
  • Simptom seperti selsema, demam, kesakitan otot dan kebengkakan nodus limfa leher.
  • Herpes keratitis iaitu jangkitan herpes bahagian mata boleh terjadi. Kesakitan, sensitif kepada cahaya, rembesan cecair dan ketidakselesaan boleh terjadi pada satu atau dua mata yang dijangkiti. Kelewatan untuk diagnos dan rawat boleh menyebabkan penglihatan kabur atau buta.

Diagnosis

Tanda-tanda klinikal selalunya sudah cukup untuk mendiagnosa jangkitan HSV.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa prosedur makmal untuk memastikan diagnosis jangkitan HSV.

  1. Ujian serologi untuk antibodi HSV
  2. Kultur virus
  3. Ujian DFA untuk pengesanan antigen HSV
  4. Ujian lumuran Tzank: slide spesimen dilumurkan/ distainkan Wright Giemsa, diikuti dengan pemeriksaan mikroskopi.
  5. Ujian PCR untuk kesan DNA HSV

Rawatan

Buat masa ini tiada rawatan penyembuhan oleh itu rawatan tertumpu kepada kelegaan simptom.

Lesi jangkitan akan hilang dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, terdapat ubat-ubatan yang boleh mengurangkan frekuensi dan keterukan jangkitan berulang:

  • Acyclovir
  • Famciclovir
  • Valacyclovir

Ubat-ubatan ini boleh didapati dalam bentuk pill atau krim sapu. Untuk jangkitan yang teruk, ubat boleh diberi secara suntikan.

Ubat lain yang melegakan simptom adalah ubat anti-keradangan, ubat demam dan ubat tahan sakit.

Rumusan

Herpes, walaupun tidak melibatkan kematian, tetapi ia boleh mengubah kehidupan. Adalah sangat penting untuk mengetahui tentang HSV; faktor-faktor risiko jangkitan virus ini, dan bagaimana untuk menghalang dari merebak dan berulang

Rujukan

  1. Vesiculo-bullous lesions of the oral mucosa. S.R Prabu. Textbook of Oral Medicine, Oxford University Press; 2004.
  2. Oral and Maxillofacial Pathology. Neville and Damm. Second edition; 2005.
  3. The laboratory diagnosis of herpes simplex virus infections. Singh A, Preiksaitis J, Ferenczy A, Romanowski B; Can J Infect Dis Med Microbiol 16(2): 92-98, 2005.

 

Semakan Akhir : 6 Mei 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Hartinie bt. Muhamad
Akreditor : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,942,105

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia