A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Sistem Respiratori
  8. /
  9. Interstitial Lung Disease

Interstitial Lung Disease

Interstitial lung disease merangkumi sekumpulan penyakit yang boleh menyebabkan kerosakan/ parut kepada tisu paru-paru dan ia tidak boleh dipulihkan kepada keadaan asal.

Kerosakan yang terjadi kepada tisu paru-paru boleh memberi kesan terhadap keupayaan bernafas dan oksigen yang secukupnya ke dalam darah. Pendedahan yang berpanjangan terhadap bahan-bahan berbahaya seperti asbestos boleh menyebabkan terjadinya parut di paru-paru. Ianya juga boleh berpunca daripada penyakit ‘systemic’ seperti connective tissue disease tetapi ada juga yang tidak diketahui puncanya.

Interstitial lung disease merupakan penyakit yang jarang berlaku berbanding dengan masalah paru-paru yang lain dan ia lebih kerap terjadi di kalangan golongan pertengahan umur dan warga emas.

Gejala/Tanda

Simptom utama penyakit ini adalah sesak nafas yang akan terjadi secara berperingkat-peringkat. Kebanyakan pesakit interstitial lung disease akan mengalami sesak nafas yang mungkin akan menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa.

Simptom yang lain termasuklah batuk tanpa kahak. Sesetengah orang yang mengalami interstitial lung disease juga boleh mengalami demam, penurunan berat badan dan rasa letih sepanjang masa.

Punca/Faktor Risiko

Untuk kebanyakan jenis interstitial lung disease, puncanya tidak dapat diketahui. Sesetengah interstitial lung disease terjadi apabila anda mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti rheumatoid arthritis dan scleroderma.

Interstitial lung disease boleh disebabkan oleh banyak perkara yang berbeza termasuklah toksin yang dibawa oleh udara di tempat kerja seperti asbestos, silika dan radiasi. Segelintir ubat-ubatan juga boleh menyebabkan kerosakan kepada paru-paru seperti kemoterapi, ubat jantung dan beberapa antibiotik.

Terdapat faktor-faktor tertentu yang membuat anda lebih terdedah kepada terjadinya interstitial lung disease dan ini termasuklah gastroesophageal reflux disease, merokok dan menyedut oksigen pada tekanan tinggi secara berterusan.

Ujian/Diagnosa

Beberapa siri ujian adalah perlu bagi menganalisa interstitial lung disease, mengenal pasti punca dan tahap kerosakan paru-paru.

  • Ujian pengimejan
    1. X-ray dada : Ia boleh nampak seperti normal tetapi mungkin akan ada tanda-tanda yang dapat dilihat di x-ray dada
    2. Computerized tomography (CT) scan : CT scan yang mempunyai resolusi tinggi digunakan untuk menentukan tahap kerosakan paru-paru yang disebabkan oleh penyakit serta mengumpul butiran tentang fibrosis (parut).
  • Ujian fungsi paru-paru
    Ujian ini dijalankan untuk menentukan seberapa baik anda boleh menarik dan menghembus nafas serta berapa banyak paru-paru dan keupayaan pernafasan anda terjejas. Ia juga digunakan untuk memantau perkembangan penyakit.
  • Biopsi paru-paru
    Biopsi paru-paru diperlukan bagi mendapatkan diagnosa yang muktamad. Ia boleh dilakukan sama ada melalui bronchosopy atau pembedahan.

Rawatan

Parut paru-paru yang terdapat di dalam interstitial lung disease tidak boleh dihilangkan dan rawatan tidak akan sentiasa berkesan dalam meyembuhkan penyakit tersebut. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa ubatan mampu menyembuhkan interstitial lung disease. Beberapa ubatan yang digunakan boleh melambatkan perkembangan penyakit dan ada yang mungkin meningkatkan kualiti hidup. Pesakit biasanya akan diberikan ubat immunosuppresant seperti corticosteroid atau azathioprine untuk mengawal sistem ‘immune’ dan mengurangkan keradangan.
Terapi oksigen diperlukan untuk sesetengah orang yang mempunyai tahap oksigen yang rendah dalam darah.

Permindahan paru-paru merupakan pilihan bagi kes-kes yang kritikal.

Komplikasi

Antara komplikasi yang terjadi disebabkan oleh interstitial lung disease ialah :

  1. Hipertensi pulmonari : Tekanan darah tinggi dalam paru-paru yang akan memberi kesan kepada arteri yang terdapat di dalam paru-paru.
  2. Kegagalan jantung sebelah kanan [cor pulmonale] : Keadaan ini sering diakibatkan oleh hipertensi pulmonari.
  3. Kegagalan pernafasan : Di peringkat akhir penyakit, kegagalan pernafasan berlaku apabila tahap oksigen di dalam darah adalah rendah bersama dengan hipertensi pulmonari dan kegagalan jantung sebelah kanan. 

Rehabilitasi/Cara Hidup

Pesakit dengan interstitial lung disease perlu kekal sihat dan mereka seharusnya :

  1. Berhenti merokok
  2. Makan makanan berkhasiat
  3. Dapatkan vaksin kerana jangkitan pernafasan boleh menyebabkan simptom menjadi lebih teruk.

Pemulihan pulmonari adalah disyorkan untuk membantu pesakit untuk mencapai tahap kesihatan yang bagus. Matlamat pemulihan ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan gejala pernafasan dan komplikasi, meningkatkan fizikal dan prestasi senaman, meningkatkan emosi kesejahteraan dan mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital. Program ini termasuklah pendidikan, senaman, teknik pernafasan, kaunseling pemakanan serta sokongan psikososial.

Semakan Akhir : 29 Mei 2017
Penulis/Penterjemah : Dr. Rozanah bt. Abd Rahman
Akreditor : Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahman

Artikel Berkaitan

Nodul Paru-paru Tunggal

Nodul paru-paru tunggal adalah satu tompok tak normal dalam paru-paru yang saiznya kurang dari 3 sentimeter dalam garispusat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,425,757

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia