A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Terapi Bahasa & Pertuturan
  6. /
  7. Interaksi Dengan Anak Autisme

Interaksi Dengan Anak Autisme

Kanak-kanak autisme kebiasaannya lambat bertutur jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka. Perkembangan bahasa kanak-kanak autisme adalah berbeza bagi setiap individu.

Apa itu autisme?

Istilah ‘autisme’ berasal daripada perkataan ‘autos’ bermaksud ‘diri sendiri’. Manakala, ‘-isme’ bermaksud satu aliran. Autisme merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Ia memberi kesan kepada tiga komponen iaitu sosial, komunikasi dan tingkahlaku.

Justeru itu, kanak-kanak autisme mengalami masalah:

  • Pertuturan
  • Emosi
  • Pemikiran
  • Pola bermain

Apakah masalah bahasa dan komunikasi kanak-kanak autisme?

Kanak-kanak autisme kebiasaannya lambat bertutur jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka. Perkembangan bahasa kanak-kanak autisme adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada tahap keterukan ciri-ciri autisme kanak-kanak tersebut sama ada tahap ringan atau teruk.

Antara masalah perkembangan bahasa kanak-kanak autisme ialah:

  • Tidak boleh bertutur
  • Hanya mengeluarkan bunyi sahaja seperti bunyi vokal /a/ atau menjerit.
  • Mampu bertutur tetapi tidak difahami (jargon)

Manakala, masalah bahasa bagi kanak-kanak autisme yang bertutur ialah:

  • Perkataan yang dilafazkan kadangkala tidak mempunyai makna dan tidak difahami
  • Sukar diajak berbual kerana tiada tumpuan dan kontek mata
  • Kadangkala dapat menuturkan sesuatu tetapi seketika sahaja
  • Perkataan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan/konteks perbualan
  • Dapat meniru ayat atau menyanyi tanpa mengerti maksudnya
  • Ekolalia iaitu mengulang perkataan-perkataan yang dituturkan oleh orang lain.

Kebanyakan kanak-kanak autisme tidak tahu bagaimana hendak memulakan atau respon dalam perbualan kerana:

  • Tiada tumpuan
  • Tiada kontek mata
  • Tiada keinginan untuk berkomunikasi
  • Sentiasa bermain sendiri

Oleh itu, kanak-kanak autisme mengalami perkembangan komunikasi yang amat terhad.

Apakah tips untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak autisme?

Berikut merupakan tips untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak autisme:

  1. Arahan mudah dan jelas
    • Berikan arahan yang mudah dan jelas.
    • Sebut nama anak terlebih dahulu
      Contoh: “Ali, duduk sini.” daripada “Boleh tak awak mari dan duduk di sini.”
    • Gunakan isyarat (gesture) atau bahasa badan jika perlu.
  2. Rutin
    • Lakukan aktiviti yang digemari kanak-kanak tersebut secara berulang-ulang. Ini kerana kanak-kanak autisme gemar melakukan sesuatu aktiviti secara berulang-ulang.
    • Guna jadual bergambar untuk membantu kanak-kanak autisme melakukan rutin secara visual.
  3. Main, main, main!!!

    • Kenal pasti dan cipta permainan/situasi yang anak anda paling berminat seperti bola, buih sabun, muzik, air, pasir, lompat dan lain-lain.
    • Semasa bermain bersama anda perlu:
      • Berhadapan dengan anak
      • Meniru perbuatan, bunyi dan sebutan pertuturan.
      • Tunggu dan perhatikan apabila anak cuba hendak berkomunikasi (isyarat badan, bunyi tidak bermakna, ekspresi muka)
      • Respon kepada komunikasi yang cuba disampaikan oleh anak.
      • Komen bagi setiap perbuatan yang anak anda sedang lakukan (berikan rangsangan bahasa)
      • Pelbagai intonasi suara untuk menarik minat anak anda
  4. Sistem pujian dan ganjaran yang konsisten

    • Berikan pujian atau ganjaran yang konsisten jika anak anda membuat perkara yang positif
    • Ganjaran negatif (seperti ‘time-out’) jika anak melakukan perkara yang tidak diingini
  5. Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (hyperlink artikel 2015, Teknologi Berkomunikasi)
    • 25% kanak-kanak autisme adalah bukan verbal (nonverbal), tetapi mereka boleh menggunakan kaedah lain untuk berkomunikasi.
    • Komunikasi Augmentatif dan Alternatif digunakan jika anak anda tidak menggunakan verbal untuk berkomunikasi.
    • Kaedah komunikasi ini sangat berkesan bagi kanak-kanak autisme kerana ia membantu komunikasi mereka senang difahami.

Di mana bantuan boleh diperolehi?

Jika anda risau anak anda menunjukkan ciri-ciri di atas, anda perlu mendapatkan rawatan daripada pakar dengan segera. Anda boleh mendapatkan rujukan doktor dari hospital atau klinik kesihatan berhampiran.
Semasa menjalani proses rehabilitasi, kanak-kanak autisme akan dirujuk kepada disiplin berikut:

  1. Pakar Kanak-Kanak
  2. Pakar Pskiatri Kanak-Kanak
  3. Pakar Psikologi
  4. Terapis Pertuturan-Bahasa
  5. Audiologis
  6. Terapis Carakerja

Rujukan

  1. A. Manolson. 1992. It Takes Two to Talk. The Hanen Centre. National Library of Canada.
  2. K.A. Razhiyah. 2008. Apa itu autisme? PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur
  3. R. Sumardi. Autisma: Adakah Anak Saya Boleh Normal? Peroleh dari  www.myhealth.gov.my/index.php/my/bayikanak-kanak/tumbesaran-a-perkembangan/autisma-adakah-anak-saya-boleh-normal pada 1/9/2015
  4. W.N Wan Abdullah & H. Ahmad. 2013. Aku Bersyukur Anakku Autisme. Telaga Biru Sdn. Bhd.: Kuala Lumpur
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurbaiti bt. Mohamad Adli
Akreditor : Fairus bt. Mukhtar
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Bedah Siasat : Mediko Legal vs Klinikal

Prinsip asas pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan kepada mayat atau jasad adalah untuk mengetahui dengan lebih tepat berkaitan dengan cara dan penyebab yang paling mungkin keatas sesuatu kejadian kematian.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,778,439

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia