A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Import dan Eksport Mayat

Import dan Eksport Mayat

Jika anda bercadang untuk membawa balik mayat atau mana-mana bahagiannya ke Malaysia atau membawa keluar dari Malaysia, anda perlu mendapat kebenaran berdasarkan perundangan kesihatan awam yang ditetapkan.

Pengenalan

Anda atau sanak saudara anda sedang bercuti, membuat lawatan atau membuat ibadat di luar negara atau dalam negara. Keseronokan atau keikhlasan beribadat kerap kali berlaku dengan pelbagai kecemasan awam. Kecemasan ini kadangkala berakhir dengan kematian.

Bila kematian berlaku bukan di tempat tinggal kita, adat resam serta pengendalian mengikut kepercayaan yang kita amalkan berbeza sedangkan kita ingin mengekalkan kepercayaan yang kita amalkan. Situasi sebegini menyebabkan orang yang tersayang akan cuba membawa balik mayat ke negara asal untuk tujuan ini.

Jika anda bercadang untuk membawa balik mayat atau mana-mana bahagiannya ke Malaysia atau membawa keluar mayat atau mana-mana bahagiannya dari Malaysia, anda perlu mendapat kebenaran berdasarkan perundangan kesihatan awam yang ditetapkan. Akta yang menguatkuasakan import atau eksport adalah akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (import/eksport mayat, tisu manusia dan organisma atau bahan patogenik) 2006.

Mayat ertinya manusia yang telah mati atau mana-mana bahagiannya. ‘Mana-mana bahagiannya’ ertinya organ-organ ataupun bahagian anggota daripada badan manusia yang telah mati.”

Mengikut peruntukan yang dikuatkuasakan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ( akta 342), di bawah seksyen 9 “Tiada seorang pun boleh membawa masuk atau keluar mayat atau mana-mana bahagianya tanpa mendapat kebenaran daripada pegawai diberi kuasa”.

Pegawai diberi kuasa  ertinya mana-mana Pegawai Kesihatan, mana-mana Inspektor Kesihatan atau mana-mana pegawai yang dilantik oleh menteri di bawah seksyen 3, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Pegawai-pegawai ini ditempatkan di semua Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Bahagian, Pejabat Kesihatan Kawasan dan Pejabat Kesihatan Pintu Masuk di seluruh negara.

Jika anda ingin meneruskan niat serta cadangan untuk membawa masuk atau membawa keluar mayat atau mana-mana bahagiannya, anda perlu mendapat kelulusan atau permit kebenaran ini daripada pegawai diberi kuasa.

Untuk tujuan kelulusan permit ini, permohonan boleh dibuat secara online melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) melalui www.bless.gov.my atau secara manual di semua Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Bahagian, Pejabat Kesihatan Kawasan dan Pejabat Kesihatan Pintu Masuk.

Dokumen- dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan adalah :

      1. Maklumat Pemohon
        • Salinan Kad Pengenalan atau dokumen perjalanan.
      2. Pastikan dokumen-dokumen berkaitan si mati seperti berikut disertakan
        • Sijil/Surat kematian
          • Butir-butir seperti nama, tarikh kematian dan sebab kematian (nama dan tandatangan Pegawai Perubatan/Forensik)
          • Bagi kematian bukan disebabkan oleh penyakit berjangkit perlu dinyatakan dengan jelas bahawa sebab kematian bukan disebabkan penyakit berjangkit.
        • Sijil kebenaran pengkebumian.
        • Surat Kebenaran Eksport dari kedutaan negara asal.
        • Sijil  Embalmen.
        • Lain-lain dokumen (jika perlu) contoh : laporan polis.

Satu peringatan, permit tidak dikeluarkan untuk mayat bukan warganegara Malaysia. Semasa urusan pengangkutan dijalankan, pihak pemohon perlu memeriksa dan memastikan keranda/bekas mayat manusia atau mana-mana bahagiannya mematuhi garis panduan ‘Guidelines for the safe transport of infectious substances and diagnostic specimens’ yang terkini, yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Syarat ini diperlukan bagi memastikan kaedah pembungkusan dan  pengangkutan tidak menyumbang kepada perebakan penyakit berjangkit  dari negara luar masuk atau keluar dari Malaysia dan menjejaskan kesihatan awam.

Untuk memastikan kepatuhan kepada ‘Guidelines for the safe transport of infectious substances and diagnostic specimens’ pihak anda perlu memastikan :

          • Kotak yang diperbuat daripada zink dalam keranda kayu.
          • Lak (hermertically seal) kotak zink dengan penutupnya dengan menggunakan sealant di sekeliling penutup kotak zink dan dirivet/ skru.
          • Penutup keranda kayu diletak dan dipakukan.
          • Keranda dibungkus dengan kain atau guni seperti yang disyaratkan oleh syarikat penerbangan (IATA)
          • Keranda diikat dan dilak dengan lak rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (sealing wax)

Jika berlaku sesuatu kemalangan pastikan keranda berada dalam keadaan baik, jika berlaku kerosakkan pastikan langkah-langkah keselamatan (PPE, dekontaminasi) dilakukan  untuk mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit.
Permit import mayat manusia atau mana-mana bahagiannya akan dikeluarkan dengan fi sebanyak RM 100.00 jika semua syarat-syarat yang ditetapkan dipatuhi atau dipenuhi.

 1  2

Foto 1: Keranda yang dilapis dengan plastic digunakan untuk mayat berpenyakit (Sumber: Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengimportan dan Pengeksportan atau Pemindahan Mayat, Tisu, Organisma atau Bahan Patogenik, 2006)).

 3 4 

Foto 2: Keranda dengan pembukaan untuk memudahkan mayat dilihat dari luar (Sumber: Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengimportan dan Pengeksportan atau Pemindahan Mayat, Tisu, Organisma atau Bahan Patogenik, 2006)).

Rujukan

        1. Akta 342. Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.Diambil dari http://jknns.moh.gov.my/v1/images/borang/cdc/AktaPencegahandanPengawalanPenyakitBerjangkit 1988.pdf
        2. Guidelines for the Safe Transport of Infectious Substances and Diagnostic Specimens. 1997. World Health Organization. Diambil dari http://www.who.int/csr/emc97_3.pdf
        3. Guidelines On the Import, Transport and Handling of Human Pathogens for Diagnosis, Scientific Research And Industrial Users in Singapore
        4. Cawangan Penyakit Berjangkit KKM. 2006. Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengimportan dan Pengeksportan Atau Pemindahan Mayat, Tisu, Organisma  Atau Bahan Patogenik 2006). Kementerian Kesihatan Malaysia. Putrajaya
 Semakan Akhir 3 Ogos 2016
 Penulis Othman bin Daud
 Akreditor Mohamad Ridzuan bin Mohd Salleh

Artikel Berkaitan

Unsur Surih

Pengenalan Unsur surih adalah penting untuk struktur biologi. Dalam kimia

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,416,908

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia