A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Penuaan Penduduk
  6. /
  7. Implikasi Penuaan Penduduk

Implikasi Penuaan Penduduk

Epidemiologi

Penuaan penduduk berlaku apabila ada penambahan warga emas dalam sesebuah negara; samada penambahan “angka sebenar” ataupun penambahan “kadarnya”.   Manakala “negara tua” pula (aged nation) didefinasikan sebagai sebuah negara yang apabila:

Penduduk yang berumur 60 tahun dan keatas merupakan 15% daripada jumlah keseluruhan populasi dalam sesebuah negara, ATAU,

Penduduk yang berumur 65 tahun dan keatas merupakan 7% daripada jumlah keseluruhan populasi dalam sesebuah negara, ATAU,

Umur “penengah” (median age) penduduk dalam sesebuah negara itu meningkat kepada 30 tahun.

Ia merupakan satu fenomena global yang telah dan akan berlaku serta melibatkan hampir semua negara pada kadar yang berbeza. Negara yang maju seperti Amerika, negara-negara dibenua Eropah, Korea, China malahan Singapura sudah mencapai tahap ”negara tua”. Namun Malaysia masih dianggap sebagai sebuah “negara yang muda” dan dijangka akan menjadi sebuah “negara tua” (aged nation) pada tahun 2030.

Warga emas adalah mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengkalsifikasikan warga emas kepada dua kumpulan, iaitu:

“Tua muda” (60 hingga 74 tahun)

“Tua tua” (75 tahun dan keatas)

Faktor Penyebab Penuaan Penduduk

Tiga faktor utama yang menyebabkan peningkatan bilangan atau kadar warga emas, iaitu, peningkatan jangka hayat, penurunan kadar fertiliti dan penurunan kadar mortaliti sesebuah negara.

  • Peningkatan jangka hayat

Di Malaysia, semenjak mencapai kemerdekaan hingga ke hari ini, jangka hayat penduduknya meningkat dengan ketara sekali.   Pada tahun 1957, jangka hayat penduduk lelakinya adalah 55.8 tahun, wanita 58.2 tahun.   Pada tahun 2000, jangka hayat bagi lelaki meningkat kepada 70.2 tahun dan 75.0 tahun bagi wanita.    Manakala pada tahun 2013, jangka hayat ini terus meningkat kepada 72.6 tahun bagi lelaki dan wanitanya adalah 77.2 tahun (Health Facts 2014, Pusat Informatik Kesihatan KKM, Jun 2014).

  • Penurunan kadar fertiliti

Kadar fertiliti bagi Malaysia telah menunjukkan penurunan di mana pada tahun  1980 kadarnya adalah 3.79, pada tahun 1990 ialah 3.51, tahun 2000 ialah 3.06 dan pada tahun 2010 ialah 2.64.

  • Penurunan kadar mortaliti

Kesemua kadar mortaliti di Malaysia menunjukkan penurunan. Sebagai  contoh kadar kematian bayi pada tahun 1970 adalah 39.4 per 1000 kelahiran hidup. Pada tahun 1980 kadarnya menurun ke 23.8, tahun 1990 ialah 15.6, tahun 2000 ialah 9.1 dan menjadi 5.4 pada tahun 2010.

  • Implikasi penuaan penduduk

Implikasi penuaan sesebuah penduduk boleh dilihat dari tiga aspek iaitu aspek sosial, ekonomi dan kesihatan. Walaubagaimana pun ketiga-tiga aspek ini berkait antara satu sama lain.

  • Sosial
  • Lebih wanita dari lelaki

Di Malaysia dan di mana-mana negara pun jangka hayat wanita adalah melebihi dari jangka hayat lelaki. Oleh itu apabila berlakunya penuaan penduduk dengan sendirinya akan terdapat lebih ramai warga emas wanita berbanding lelaki. Ini menjadikan satu fenomena yang dipanggil “feminisasi usia tua” (feminisation ageing) dan mereka ini rata-rata tinggal sendirian.

  • Kekurangan penjaga

Penjagaan warga emas, khususnya diperingkat “tua tua”, selalunya memerlukan  penjagaan yang lebih rapi, berjangka panjang dan lebih memerlukan tenaga. Bayangkan ibu atau bapa kita yang lanjut usia serta terlantar atau mengidap penyakit nyanyuk. Tentu berbeza dengan ibubapa yang diperingkat “tua muda” yang mana mereka masih boleh berdikari. Implikasinya ialah penjaga perlu mengorbankan kerja, masa dan tanggungjawab lain untuk menjaga ibubapa yang tua.

Kajian telah menunjukkan selalunya anak perempuan atau menantu perempuan atau pasangan sendiri yang menjadi penjaga. Pasangan yang perempuan selalunya menjaga suami mereka kerana suami yang lazimnya lebih tua dari mereka. Pada zaman sekarang anak-anak sama ada lelaki atau perempuan kebanyakannya bekerja kerana mereka lebih berpelajaran berbanding 30 atau 40 tahun dahulu. Keadaan ekonomi kini kerap memaksa kedua-dua suami dan isteri bekerja bagi menampung keperluan hidup. Oleh itu sumber penjaga kepada warga emas semakin berkurangan.   Jadi persoalannya siapa yang akan menjaga warga emas.

  • Warga emas ditinggalkan di kampung

Golongan muda selalunya mencari rezeki dibandar-bandar, ibubapa mereka akan ditinggalkan di kampung. Dengan berlakunya penghijrahan sebegini, maka terjadinya fenomena ramai warga emas di luar bandar. Implikasi penjagaan warga emas juga timbul dalam keadaan begini.

  • Wanita yang kesepian

Secara lazimnya wanita di Malaysia tidak berkahwin lagi apabila suami mereka meninggal dunia di usia tua. “Feminisasi usia tua” yang berlaku, melahirkan golongan wanita yang berstatus janda dan tinggal sendirian kerana anak-anak berhijrah ke bandar. Lama kelamaan mereka ini boleh menjadikan kesepian.

  • Jurang antara generasi

Jangka hayat yang meningkat menjadikan jurang antara warga emas dan remaja semakin jauh. Perbezaan umur ini boleh melahirkan ketidakserasian antara mereka akibat dari tidak faham kehendak dan naluri masing-masing. Kehendak dan naluri remaja mungkin tidak sesuai dengan apa yang dipegang oleh golongan warga emas. Ini menyebabkan cucu tidak mahu pulang ke kampung menziarahi nenek dan berbuat demikian hanya atas paksaan ibubapa mereka.

  • Peningkatan keperluan kemudahan untuk warga emas

Dari segi kemudahan riadah dan rekreasi yang bersesuaian untuk warga emas dalam komuniti pada masa kini masih tidak memenuhi keperluan. Oleh kerana kita sekarang mengalami penuaan penduduk dan akan menjadi “negara tua”, keperluan sebegini amat diperlukan bagi memastikan warga emas berupaya untuk kekal sihat dan aktif. Begitu juga perlunya diadakan pusat penjagaan warga emas dalam komuniti seperti pusat jagaan harian yang mana warga emas boleh ditinggalkan semasa anak-anak mereka keluar bekerja.

  • “Kami tidak diperlukan lagi….”

Bagi mereka yang sudah berhenti (bersara) daripada bekerja, keadaan hidup rutin harian menjadi sangat berbeza. Kalau semasa bekerja mereka merasakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang mesti dijalankan, apabila sudah bersara daripada bekerja, mereka akan merasa kekosongan dari segi pengisian waktu seharian. Mereka juga boleh merasa bahawa mereka sudah tidak berguna kepada orang lain. Lebih teruk lagi jika persediaan awal tidak dibuat, mereka yang pernah memegang jawatan tinggi boleh bertukar menjadi murung kerana kuasa yang ada pada mereka sebelum ini hilang dengan tiba-tiba.

  • Ekonomi
  • Kekurangan pendapatan (sumber ekonomi)

Bagi mereka yang sedang bekerja tetapi menghampiri umur bersara iaitu 60, mereka mula merasa gusar akan keadaan kewangan yang akan sangat berkurangan dari apa yang mereka dapat semasa masih bekerja. Bagi yang masih mempunyai hutang yang berterusan melepasi umur persaraan seperti hutang rumah, ini merupakan masalah yang kerap menghantui mereka. Bagi yang bekerja dengan swasta, mereka tiada pencen tetapi mendapat sejumlah wang yang agak besar semasa bersara. Jika wang ini tidak tidak diurus dengan betul, akan menyebabkan kehabisan wang simpanan. Jika umur panjang, tidak cukup untuk kegunaan.

  • Kos penjagaan warga emas meningkat

Warga emas sering dikaitkan dengan penyakit kronik. Penyakit kronik pula perlukan rawatan dan penjagaan yang berpanjangan. Ini membawa implikasi peningkatan kos penjagaan kesihatan. Sebagai contoh peningkatan kes-kes kerosakan buah pinggang akibat dari tidak terkawal penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis) dan hipertensi (darah tinggi) membawa kepada peningkatan kes yang memerlukan penjagaan hemodialisis. Ramai dari mereka yang terlibat merupakan warga emas.

  • Kehilangan punca pendapatan

Bagi golongan wanita warga emas yang selama ini tidak pernah bekerja dan bergantung sepenuhnya pada suami, akan menjadikan mereka kehilangan punca pendapatan jika suami mereka bekerja sendiri dan tidak ada punca pencen atau simpanan. Wanita dalam golongan ini akan terpaksa mengaharapkan anak-anak sepenuhnya. Jika tiada anak atau anak yang tidak mampu untuk menyara, warga emas ini terpaksa mengharapkan bantuan daripada pihak lain.

  • Kesihatan

Warga emas merupakan sekumpulan manusia yang heterogeneous. Keperluan dan perubahan yang berlaku pada kumpulan “tua muda” (60-74) berbeza dari mereka yang di dalam kumpulan “tua tua” (75 dan keatas. Oleh itu, dengan meningkatnya jumlah mereka yang tua-tua, maka keperluan golongan warga emas tidak boleh dianggap  sebagai sama semuanya.

Penjagaan pemakanan juga amat penting untuk warga emas. Cara penyediaan makanan berbeza bagi peringkat umur warga emas. Oleh itu pakar pemakanan juga hendaklah peka tentang keperluan ini.

Kita tidak boleh menunggu sahaja berlakunya penuaan penduduk tanpa melakukan apa-apa tindakan dari segi kesihatan. Promosi kesihatan hendaklah bermula dari peringkat umur yang muda supaya penduduk menua dalam keadaan yang sihat dan kurang berpenyakit kronik.

Penyedia penjagaan kesihatan seperti para doktor, jururawat dan lain-lain mestilah diberi kefahaman tentang warga emas dan penjagaan yang diperlukan oleh warga emas. Memahami keperluan dan perubahan-perubahan yang berlaku kepada warga emas sangatlah penting supaya tidak berlaku diskrimasi terhadap warga emas. Kakitangan kesihatan perlu dihantar untuk latihan dalam bidang penuaan supaya warga emas di rawat dan dijaga oleh kakitangan yang terlatih.

Rujukan:

  1. Aliran Penuaan Penduduk di Malaysia, 2000, Jabatan Perangkaan Malaysia.
  2. Doris Padmini Selvaratnam, Nor Aini Idris & Norlaila Abu Bakar (2010) Warga Emas di Malaysia:ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial, UKM: Bangi
  3. Julia Johnson and Robert Slater (1994) Ageing and later life (ed) Sage Publications: London.

 

 

Semakan Akhir : 27 Januari 2016
Penulis : Prof. Dr. Rahmah bt. Mohd. Amin
Akreditor : Dr. Mohmad bin Salleh

 

Artikel Berkaitan

Piramid Makanan Malaysia 2020

Piramid Makanan Malaysia merupakan satu panduan pemakanan sihat dalam bentuk grafik yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ia bertujuan untuk memberi maklumat mengenai keperluan kalori harian yang disarankan bagi kumpulan umur berusia 7 tahun dan ke atas, termasuk orang dewasa dan warga emas.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,416,183

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia