A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Ubat
  6. /
  7. Iklan ubat prekripsi

Iklan ubat prekripsi

Pengenalan

Apabila seseorang jatuh sakit atau mengalami gangguan kesihatan, perkara penting yang perlu dilakukan adalah untuk mendapatkan ubat. Ubat berfungsi untuk membantu menyembuhkan penyakit atau mengembalikan keadaan kesihatan yang normal.

Mengikut definisi di bawah Akta Jualan Dadah 1952, ubat (dadah) adalah termasuk apa-apa bahan, produk atau artikel yang bertujuan atau berupaya untuk digunakan ke atas manusia atau haiwan samada secara dalaman atau luaran, bagi tujuan perubatan.

Di negara kita, semua ubat yang digunakan samada di hospital atau dijual di kedai-kedai farmasi mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tujuan pendaftaran ubat adalah bagi memastikan hanya ubat yang berkualiti, selamat digunakan dan berkesan sahaja yang digunakan di negara kita. Pendaftaran ubat dengan KKM, sama ada moden atau tradisional, dapat melindungi pengguna daripada penipuan dan produk yang tidak berkesan atau berbahaya.

Apa itu ubat preskripsi?

Di dalam dunia farmaseutikal, ubat dikelaskan kepada 2 kategori utama iaitu ubat mengandungi racun berjadual dan ubat tanpa racun berjadual:

  1. Ubat mengandungi racun berjadual adalah kategori ubat-ubatan yang mengandungi bahan- bahan racun berjadual yang telah disenaraikan didalam Akta Racun 1952.
    Di dalam bahasa yang mudah, racun ini dikenali sebagai ubat terkawal. Semua ubat terkawal mempunyai nombor pendaftaran yang diakhiri dengan huruf ‘A’. Sebagai contoh MAL20031234A.
  2. Ubat tanpa racun berjadual adalah ubat yang boleh dibeli di premis farmasi komuniti atau premis lain tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor atau berjumpa dengan ahli farmasi. Contoh ubat ini adalah seperti vitamin, suplemen, ubat tradisional dan sebagainya. Semua ubat kategori ini mempunyai nombor pendaftaran yang diakhiri dengan huruf ‘X,N atauT’.

Kategori Pendaftaran Produk.
Sumber: Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Selangor.

Ubat terkawal pula dikelaskan kepada ubat preskripsi dan ubat tanpa preskripsi.Ubat preskripsi bermaksud ubat tersebut hanya boleh dibekalkan kepada pesakit setelah mendapat preskripsi daripada doktor. Contoh ubat preskripsi adalah seperti ubat untuk penyakit jantung, darah tinggi, asma dan sebagainya. Ubat preskripsi dikawal dari segi pembekalan dibawah undang-undang iaitu Akta Racun 1952 dan pengiklanan dikawal oleh Lembaga Iklan Ubat yang menguatkuasakan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Contoh ubat terkawal kategori ubat preskripsi.
Sumber: Bahagian Penguatkuasa Farmasi KKM

Bagaimanapun, Akta Racun 1952 juga memberi kebenaran kepada ahli farmasi untuk membekalkan ubat tanpa preskripsi. Ubat tanpa preskripsi ialah ubat terkawal yang boleh diperolehi dari premis farmasi komuniti dengan berjumpa ahli farmasi yan bertugas tanpa menunjukkan preskripsi daripada doktor. Walau bagaimanapun ubat yang boleh dibekalkan hanya terhad kepada jenis-jenis ubat tertentu sahaja seperti krim sapu, ubat batuk, ubat demam, ubat selsema dan sebagainya.

Pesakit menghidapi batuk dan selsema boleh mendapatkan ubat tanpa preskripsi.

Dimana Ubat Preskripsi Boleh Diperolehi?

Sepertimana dinyatakan di atas, ubat preskripsi hanya boleh dibekalkan kepada pesakit setelah mendapat preskripsi daripada doktor, maka ubat preskripsi hanya boleh diperolehi dari sumber yang sah sahaja iaitu di hospital, klinik atau premis farmasi. Ini kerana hanya premis dan fasiliti seperti ini sahaja yang mempunyai doktor bertugas untuk memastikan ubat-ubat tersebut dapat dipreskripkan kepada pesakit. Sementara Ahli Farmasi di premis farmasi pula berperanan memastikan ubat preskripsi yang dibekalkan adalah bersesuaian untuk pesakit tersebut.

Secara amnya, ubat preskripsi hanya boleh diperolehi daripada:

  1. Hospital
  2. Klinik
  3. Premis Farmasi Komuniti
  4. Lain-lain premis perubatan yang berdaftar dan mempunyai doktor bertugas

Premis farmasi komuniti.
Sumber: http://quezi.com/wp-content/uploads/2009/02/pharmacy.jpg

Mengapa Tiada Pengiklanan Ubat ini di media?

Pengiklanan ubat-ubatan di Malaysia di kawal oleh Lembaga Iklan Ubat yang diberi kuasa di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 untuk meluluskan sesuatu pengiklanan berkaitan ubat-ubatan. Pengiklanan ubat membantu orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan ubat sebelum membuat keputusan berkaitan rawatan yang diperlukan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kawalan iklan ubat, sila klik disini.

Contoh iklan ubat preskripsi dari luar negara.
Sumber: www.fda.gov

Di Malaysia, Lembaga Iklan Ubat yang bertanggungjawab mengawal pengiklanan ubat preskripsi telah membuat keputusan bahawa tiada kelulusan diberikan bagi sebarang ubat preskripsi untuk diiklankan kepada orang ramai. Oleh itu, ubat preskripsi tidak boleh diiklankan secara terbuka kepada orang ramai di mana-mana media.

Larangan ini adalah bertujuan memastikan ubat preskripsi tidak disalahgunakan oleh orang awam. Memandangkan ubat preskripsi hanya boleh dibekalkan sekiranya seseorang telah mendapat preskripsi dari doktor, maka pengiklanan ubat ini secara terbuka adalah tidak wajar. Jika seseorang pesakit memerlukan maklumat lanjut berkenaan ubat preskripsi yang diterima, beliau boleh mendapatkan maklumat tersebut secara terus dari pihak doktor atau ahli farmasi yang membekalkan ubat tersebut.

Begitu juga sekiranya pihak doktor atau ahli farmasi sendiri yang ingin mengetahui sebarang maklumat lanjut berkenaan sesuatu ubat preskripsi, beliau juga boleh mendapatkan maklumat secara terus dari syarikat pembekal ubat tersebut. Disamping itu, maklumat ubat juga boleh diperolehi daripada label ubat tersebut dan sisipan bungkusan yang disertakan bersama setiap ubat yang dibekalkan.

Maklumat label ubat.
Sumber : http://knowyourmedicine.gov.my/aeimages/Image/Poster_03-Label_Ubat.jpg

Ubat preskripsi tidak diiklankan di media secara terbuka kerana ia tidak boleh diambil sembarangan. Semua ubat preskipsi mempunyai indikasi atau kegunaan khusus bagi sesuatu penyakit. Oleh itu, pesakit yang perlu mengambil ubat ini harus diperiksa dengan teliti oleh doktor sebelum diberikan preskripsi ubat tersebut.

Ahli farmasi pula bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat berkenaan pengambilan ubat tersebut dengan tepat disamping mengenalpasti sebarang interaksi atau kesan sampingan ubat preskripsi sekiranya pesakit ada mengambil ubat lain bersama-sama ubat preskripsi. Justeru, pengiklanan ubat presksipsi tidak seharusnya dibuat secara terbuka. Pengiklanan di medium sosial seperti di internet juga tidak dibenarkan.

Contoh maklumat yang perlu ada di dalam preskripsi ubat seperti dinyatakan dalam Akta Racun 1952 adalah seperti contoh dibawah.

Contoh preskripsi ubat.

Pengecualian

Walau bagaimanapun, terdapat kelonggaran yang diberikan oleh Lembaga Iklan Ubat bagi keadaan tertentu iaitu iklan ubat preskripsi boleh disiarkan sekiranya mendapat kelulusan dan pengecualian dari Lembaga Iklan Ubat.

Peruntukan undang-undang juga membenarkan iklan ubat preskripsi disiarkan sekiranya ia bertujuan untuk memberi maklumat kepada kepada pihak tertentu sahaja seperti para doktor, ahli farmasi, jururawat dan ahli ahli kepada pihak berkuasa tempatan atau badan pengawal sesuatu hospital dan sebagainya seperti yang telah diperuntukan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Pengiklanan oleh pihak kerajaan juga tidak tertakluk kepada peraturan ini.

Bagaimana mendapatkan maklumat ubat preskripsi?

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat ubat preskripsi secara terus daripada doktor yang mempreskrib ubat tersebut kepada mereka. Doktor bertanggungjawab memastikan ubat preskripsi adalah betul dari aspek indikasi, dos dan keberkesanan-kos (cost-effective). Di samping itu, pengguna atau pesakit juga boleh bertanyakan kepada ahli farmasi berkenaan ubat yang diambil oleh mereka.

Maklumat ubat yang tepat berkenaan dengan mekanisme tindakan ubat, kegunaan ubat dalam rawatan, dos ubat yang disyorkan untuk rawatan, profil farmakokinetik dan kesan sampingan yang mungkin timbul akan diperolehi oleh ahli farmasi semasa ubat tersebut masih di peringkat pemasaran. Maklumat ini akan digunakan untuk mempertimbangkan ubat yang paling sesuai kepada seseorang pesakit.

Pesakit perlu dibekalkan dengan maklumat yang lengkap mengenai ubat-ubat yang diterima supaya mereka boleh bertanggungjawab sendiri dalam mengambil ubat secara berkualiti. Gambar dibawah menunjukkan contoh maklumat ubat.

Contoh maklumat ubat.
Sumber: http://stepnrun.com/images/acetaminophen.PNG

Disamping itu, pengguna juga perlu mengambil inisiatif untuk membaca risalah yang menjelaskan maklumat lengkap ubat, terutamanya tujuan dan cara penggunaan di samping kesan sampingan yang mungkin timbul. Oleh yang demikian, pengguna atau pesakit dinasihatkan supaya berhati-hati apabila melihat iklan-iklan ubat dan jangan mudah terpedaya dengan iklan ubat.

Rujukan

  1. Akta Racun 1952
  2. Akta Jualan Dadah 1952
  3. Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956
  4. Sam Wong, ‘Kenali Ubat Anda’, www.konsumerkini.net.my retrieved on 13/2/2015
  5. ‘Sample Prescription Drug Advertisement’, www.fda.gov retrieved on 17/3/2015
  6. ‘Cara Pengambilan dan Ciri-ciri Ubat’, ww1.utusan.com.my retrieved on 17/3/2015
  7. www.pharmacy.gov.my
  8. http://knowyourmedicine.gov.my
Semakan Akhir : 01 Jun 2015
Penulis : Umikalsom bt. Ibrahim
Akreditor : Mazlan bin Ismail

 

Artikel Berkaitan

Mengapa Perlu Menggunakan Ubat Berdaftar?

Semua ubat-ubatan sama ada ubat farmaseutikal mahupun ubat tradisional perlu terlebih dahulu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ianya boleh diimport, dikilangkan atau dijual di Malaysia.

Produk Pemutih/Pencerah Kulit

Produk pemutih/pencerah kulit yang dibenarkan dalam pasaran adalah merujuk kepada krim, losyen atau sediaan lain yang digunakan secara luaran sahaja. Ianya sama sekali tidak termasuk produk yang digunakan secara suntikan atau dimakan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,629,754

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia