Home > Remaja > Remaja Umum > Idola

Idola

Definisi

Sumber: http://4.bp.blogspot.com/efad38ccb4daf11b94df23bfd80fff0e.jpg

Idola adalah sumber inspirasi atau tokoh yang disanjung oleh seseorang dalam hidup mereka. Semua orang dari berbagai kalangan dapat dijadikan idola. Dunia hari ini dihidangkan dengan pelbagai ikon yang ada kalanya bertentangan dengan syariat Islam dan agama. Mereka yang dijadikan idola ini adakalanya tidak bersesuaian daripada segi sahsiah kehidupan yang negatif dan tidak layak dicontohi.

Tahukah anda

Tokoh nombor satu dari seratus tokoh paling berpengaruh di dunia adalah Nabi Muhammad SAW yang telah dijelaskan oleh seorang tokoh ahli sejarah yang bukan beragama Islam bernama Michael H. Hart. Menurut Micheal H. Hart beliau memilih Nabi Muhammad SAW sebagai idola kerana Nabi Muhammad SAW sahaja dalam sejarah yang berjaya dalam dua bidang iaitu bidang keagamaan dan keduniaan.

Tips memilih idola

Pilihlah idola yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  • Mempunyai ciri keperibadian dan personaliti cemerlang sebagai seorang pemimpin iaitu mempunyai sifat:

    •  Siddiq (bercakap benar)

    •  Amanah (boleh dipercayai)

    • Tabligh (menyampaikan) dan

    •  Fatanah (kebijaksanaan)

  • Mempunyai sifat dan tingkah laku mengikut jantina hakiki iaitu jika ia seorang lelaki maka sifatnya adalah seorang lelaki sempurna contohnya:

    •  Kehebatan Nabi Muhammad SAW mampu menggalas tanggungjawab sebagai penghulu, pemimpin, pemerintah, tempat rujukan, bapa, suami dan banyak lagi tanggungjawab dalam satu masa.

  • Sentiasa bersifat positif

Bagaimana untuk memilih seorang idola

Anda layak untuk memilih sesiapa jua untuk menjadi idola serta inspirasi dalam hidup ini. Idola anda mungkin juga tinggal bersama anda contohnya ibubapa atau seseorang yang anda tidak pernah bersua tetapi hanya membaca atau mendengar melalui internet.  Idola seseorang itu boleh berbeza dari orang yang lain, tetapi apa yang penting, pilihlah idola yang boleh diikuti buat selama-lamanya dan  mempunyai ciri-ciri seperti di atas.

Kebaikan mempunyai idola

Pemilihan idola yang mempunyai sifat sifat yang terpuji seperti di atas boleh mempengaruhi pemikiran, tindak tanduk dalam membuat keputusan serta kesungguhan seseorang remaja untuk memastikan apa yang dihasratkan dalam hidup dapat dicapai. Sememangnya, idola dapat mempengaruhi seseorang dalam membina semangat dan motivasi ke arah hidup yang lebih berjaya

Keburukan

Sifat idola yang tidak bermoral dan melanggar batas agama, adat resam serta budaya seseorang boleh juga mempengaruhi remaja dalam hidupan harian, maka remaja harus bijak memilih sifat yang mana boleh diikuti dan yang perlu dihindari.  Jika anda hadapi masalah untuk memilih, maka anda jangan lah malu untuk berbincang perkara ini bersama pakar motivasi atau guru motivasi yang anda kenali. 

Bagaimana ibubapa boleh membantu remaja memilih idola mereka

Sesungguhnya sifat yang terpuji seperti yang dinyatakan di atas amat sukar kita temui pada seseorang. Walaubagaimanapun saya pasti sifat ini ada dalam diri kita semua. Ibubapa sewajarnya menyokong minat remaja walaupun pemilihan idola remaja bertentangan dengan mereka. Ibubapa hendaklah sentiasa berbincang bersama anak remaja dalam apa jua keputusan yang melibatkan masa hadapan remaja anda agar keputusan yang dipilih memberi kebaikan kepada semua.

Bagi menyokong pemilihan anak remaja mereka, ibubapa berperanan memperlengkapkan segala keperluan remaja dan menyemai sifat yang terpuji yang diingini. Ibubapa hendaklah sentiasa memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak remaja sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual.  Sebagai ibubapa yang berjaya dampingilah remaja agar mereka merasa lebih selesa meluahkan perasaan, pendapat dan mendapat bantuan apabila mereka memerlukan.

Kesimpulan

Pemilihan idola yang ideal boleh membentuk seorang remaja yang berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Remaja yang berjaya ini juga boleh dijadikan idola kepada ramai remaja-remaja yang lain.

Last Reviewed : 9 December 2014
Writer : Dr. Norizzati Bukhary bte. Ismail Bukhary
Accreditor : Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid

 

(Visited 131 times, 1 visits today)