A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Reproduktif
  6. /
  7. Hipertensi Semasa Mengandung

Hipertensi Semasa Mengandung

Hipertensi adalah satu masalah kesihatan yang kerap berlaku di kalangan wanita mengandung.

Hipertensi semasa mengandung adalah terdiri dari beberapa kategori:

  • Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung lagi);
  • Hipertensi akibat mengandung; dan
  • Pra-eklampsia

Hipertensi yang sedia ada terjadi di kalangan 1 hingga 5% wanita hamil, manakala hipertensi akibat mengandung terjadi di kalangan 5 hingga 10% wanita hamil. Peratusan ini mungkin lebih tinggi di kalangan penduduk Asia oleh kerana faktor genetik. Hipertensi semasa mengandung adalah lebih kerap berlaku semasa kandungan pertama (sehingga 25% wanita hamil).

Hipertensi semasa mengandung memerlukan pemerhatian dan rawatan yang rapi. Wanita hamil berisiko tinggi mengalami Pra-eklampsia atau Eklampsia (sawan) yang boleh menyebabkan kerosakan otak dan buah pinggang, masalah pendarahan dan kemudaratan kepada janin yang belum lahir.

Mengapa hipertensi semasa mengandung terjadi?

Sebab sebenar mengapa sesetengah wanita hamil mendapat hipertensi dan ada yang tidak, masih belum diketahui. Salah satu faktor risiko adalah faktor genetik. Teori pertama menyatakan bahawa terdapat masalah ketika perkembangan bahagian uri semasa awal mengandung. Teori yang kedua pula menyatakan bahawa mungkin terdapat kejadian peradangan yang tidak terkawal, di mana tubuh badan bertindak balas terhadap uri itu sendiri. Laporan saintifik menyatakan bahawa lebih ramai wanita Asia yang menghidap hipertensi semasa mengandung.

Siapakah yang berisiko?

Golongan wanita mengandung yang berisiko mendapat hipertensi adalah seperti berikut:

Faktor-Faktor Am:

  • Wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
  • Obes: BMI <30 kg/m2 adalah dikaitkan dengan peningkatan dua kali ganda risiko mendapat pra-eklampsia. BMI yang tinggi sebelum mengandung atau pada peringkat awal mengandung akan meningkatkan risiko kejadian hipertensi semasa mengandung.

Faktor Genetik:

  • Sejarah kejadian hipertensi semasa mengandung di kalangan ahli keluarga, sama ada sebelah ibu atau pun adik beradik meningkatkan risiko antara 20% hingga 40%.

Faktor-Faktor Obstetrik

  • Primigravida : kandungan yang pertama (2-3 kali ganda lebih tinggi risiko)
  • Kandungan kembar
  • Sejarah pra-eklampsia pada kandungan yang sebelumnya
  • Tempoh antara kandungan yang lama
  • Penyakit Hydrops, dengan uri yang besar
  • Kandungan molar

Nota: Walaupun wanita primigravida (kandungan pertama) berisiko tinggi mendapat pra-eklampsia, wanita yang multiparous (anak yang ramai) berisiko mendapat gejala yang lebih serius dengan pelbagai komplikasi.

Faktor-Faktor Perubatan

  • Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung)
  • Penyakit buah pinggang
  • Diabetes
  • Kehadiran antibodi Anti-fosfohipid
  • Penyakit Connective tissue
  • Trombofilia keturunan (Inherited thrombophilia)

Peralatan mengukur tekanan darah adalah untuk ukuran standard bagi tekanan darah

Bilakah hipertensi berlaku semasa mengandung?

Hipertensi boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang tempoh mengandung. Oleh yang demikian, bacaan tekanan darah perlu diambil setiap kali wanita hamil mendapatkan rawatan susulan di klinik.

Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung)

Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) selalunya dikesan pada peringkat awal kehamilan (trimester pertama). Lazimnya individu ini tidak mengalami sebarang gejala dan tidak mengetahui mereka mempunyai tekanan darah yang tinggi sehinggalah mengandung, di mana tekanan darah yang tinggi tersebut dikesan semasa lawatan antenatal.

Bagi golongan yang muda, andaian bahawa hipertensi yang dihidapi adalah jenis hipertensi primer (essential hypertension) tidak boleh dibuat, tanpa pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sebab yang menyebabkan hipertensi sekunder seperti Sindrom Cushing’s, Sindrom Conn’s dan phaeochromocytoma.

Wanita dengan hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) adalah berisiko untuk turut mendapat pra-eklampsia, bayi yang kecil berbanding umur (small for gestational age) dan placental abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Golongan wanita ini memerlukan rawatan oleh kerana risiko kejadian pra-eklampsia dianggarkan dua kali ganda.

Hipertensi akibat mengandung

Berbanding dengan kategori di atas, hipertensi akibat mengandung dan pra-eklampsia lazimnya dihidapi pada separuh kedua kehamilan sehingga 6 minggu selepas bersalin. Tekanan darah mungkin berada pada paras tinggi sehingga 3 bulan selepas bersalin. Hipertensi akibat mengandung boleh didefinisikan sebagai hipertensi yang berlaku semasa separuh terakhir kehamilan tetapi tanpa tanda-tanda pra-eklampsia (seperti yang dinyatakan di bawah). Rawatan bagi hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) dan hipertensi akibat mengandung adalah sama. Jika hipertensi berlaku selepas 20 minggu kehamilan, kemungkinan ia melarat menjadi pra-eklampsia adalah kira-kira 15%. Hipertensi akibat mengandung lazimnya berulang semasa kehamilan yang seterusnya. Sesetengah wanita pula kekal dengan tekanan darah yang tinggi selepas kehamilan yang bermasalah akibat hipertensi akibat mengandung.

Pra-eklampsia

Hipertensi dan protinuria (kehadiran protein di dalam air kencing) adalah tanda-tanda utama kejadian pra-eklampsia. Protinuria semasa mengandung boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada saluran air kencing (urinary tract infection), tetapi ia mungkin kejadian pre-eklampsia walaupun tekanan darah adalah tinggi sedikit dari aras normal. Tanda-tanda pre-eklampsia (dan juga eklampsia) mungkin timbul sebelum, semasa dan juga selepas bersalin. Wanita-wanita hamil mungkin mendapat sakit kepala, gangguan penglihatan, sakit di bahagian perut, loya, muntah, atau odema (bengkak, terutamanya di bahagian kaki). Malangnya, kebanyakan wanita hamil tidak mengalami sebarang gejala, menjadikan penyakit ini sukar dinilai secara klinikal. Wanita-wanita hamil perlu diberikan pendidikan kesihatan untuk mengenali tanda-tanda awal pra-eklampsia dan seterusnya mengambil langkah awal untuk mendapatkan rawatan.

Jika keadaan ini dibiarkan tanpa rawatan rapi, ia boleh melarat menjadi eklampsia atau sawan, memudaratkan ibu mengandung dan juga janin. Pra-eklampsia menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan masalah pembekuan darah, diikuti kejadian placenta abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Sebab utama kematian penghidap pra-eklampsia adalah pendarahan dalam otak dan masalah pernafasan yang serius (adult respiratory syndrome). Janin pula boleh mengalami kelemasa (masalah pernafasan), pembantutan tumbesaran dan kematian.

Eklampsia

Eklampsia adalah satu masalah kesihatan di mana pesakit yang mengalami gejala-gejala pra-eklampsia (seperti di atas) turut mengalami sawan. Lain-lain penyebab sawan seperti epilepsy, ketidakseimbangan biokimia dalam tubuh badan atau hipoglisemia (kurang gula dalam darah) perlu disahkan bukan penyebab sawan sebelum eklampsia didiagnosa. Terdapat juga situasi di mana pra-eklampsia tidak menunjukkan tanda klinikal yang jelas dan diagnosis hanya boleh dilakukan selepas eklampsia terjadi.

Lebih dari satu pertiga daripada wanita yang hamil mengalami episod sawan yang pertama sebelum kejadian tekanan darah tinggi dan protinuria. Remaja hamil berisiko lebih 3 kali ganda mengalami eklampsia berbanding wanita dewasa.

Komplikasi akibat eklampsia termasuklah angin ahmar (strok) disebabkan oleh pengecutan salur darah atau edema (kebengkakan) di bahagian otak. Komplikasi ini lazimnya akan kembali normal dengan sendirinya, namun ada di kalangan wanita ini yang mengalami kerosakan otak yang kekal.

Saringan & Pemeriksaan Klinikal

Hipertensi boleh didefinisikan sebagai tekanan darah sistolik >140 mmHg dan/atau tekanan darah diastolik >90 mmHg. Sebarang kejadian tekanan darah tinggi yang dikesan semasa pemeriksaan perlu diambil secara serius, dan ujian saringan bagi protinuria (protin dalam air kencing) perlu dilakukan bagi mengesan kemunculan pra-eklampsia. Selain dari pemantauan tekanan darah dan protinuria, odema turut dikaitkan dengan kejadian pra-eklampsia. Pemantauan fungsi buah pinggang dan hati juga perlu dilakukan bagi mengelakkan komplikasi yang lain.

Wanita hamil yang berisiko tinggi memerlukan pemeriksaan dan pemantauan yang rapi, serta rujukan awal kepada doktor pakar.

 

Kawasan saringan di klinik antenatal

Mengukur tekanan darah dilakukan secara rutin di klinik antenatal

 

Rawatan Klinikal

Wanita yang berisiko tinggi untuk mendapat hipertensi semasa mengandung iaitu yang pernah mengidap hipertensi semasa mengandung dahulu, mengidap penyakit hipertensi kronik, sakit buah pinggang dan diabetes mellitus harus mengambil aspirin 150mg sekali setiap hari dari minggu ke 12 hingga hendak melahirkan. Ada bukti klinikal yang menunjukkan aspirin boleh memberi manfaat untuk kumpulan wanita yang mengandung ini. Supplemen kalsium dan vitamin D juga bermanfaat dan diberi dari minggu 20 kandungan.

Ubatan yang lazim digunakan adalah Methyldopa dan Labetolol. Wanita yang menghidapi hipertensi sedia ada (sebelum mengandung) mungkin perlu menukarkan ubatan yang mereka ambil memandangkan Angiotensin Receptor Blocker (ARB) dan Angiotension Converting Enzyme Inhibitor (ACE-I) tidak boleh digunakan semasa mengandung. Rawatan hipertensi semasa mengandung adalah bertujuan untuk keselamatan wanita yang mengandung itu sendiri.

Pemeriksaan saringan untuk mengesan sebab-sebab lain yang menyebabkan hipertensi perlu dilakukan sekiranya hipertensi dikesan sebelum 20 minggu tempoh kehamilan. Selepas 16 minggu tempoh kehamilan, pemeriksaan saringan bagi mengesan hipertensi perlu dilakukan ke atas semua wanita yang mengandung tanpa mengira umur dan lain-lain faktor risiko.

Sasaran rawatan mungkin berbeza dari satu ke satu klinik. Untuk memastikan peredaran darah di dalam sistem darah uri-janin tidak terganggu, tekanan darah diastolik mestilah tidak kurang dari 90 mmHg. Jika pra-eklampsia terjadi, tidak kira sama ada sedikit ataupun serius, rujukan kepada doktor pakar obstetrik adalah wajib, dan pesakit diberikan rawatan dengan kerjasama pakar perubatan keluarga. Bagi kes yang tiada komplikasi, wanita tersebut dibenarkan bersalin pada tempoh kehamilan 38 hingga 40 minggu. Bagi semua kes-kes eklampsia pula, wanita ini perlu dirawat di hospital pakar, yang mempunyai unit rawatan rapi neonatal yang baik. Keputusan untuk melahirkan bayi awal perlu dilakukan oleh doktor pakar obstetrik dengan mengambil kira semua fakta klinikal bagi setiap kes.

Penjagaan selepas bersalin

Semua wanita yang mengidap hipertensi semasa mengandung perlu menjalani pemeriksaan tekanan darah secara berkala di klinik kesihatan yang terdekat selepas bersalin. Lazimnya tekanan darah akan kembali normal selepas 6 minggu tempoh berpantang, namun ia mungkin mengambil masa yang lebih panjang bagi sesetengah wanita. Pengambilan ubatan bagi mengawal tekanan darah akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat sebelum diberhentikan, dan bukan dengan mengejut. Penggunaan ubat Methyldopa dalam tempoh selepas bersalin adalah tidak dibenarkan oleh kerana risiko kejadian kemurungan yang tinggi.

Ada wanita akan terus mengalami tekanan darah yang tinggi. Oleh yang demikian, pemeriksaan secara berkala adalah amat penting, diikuti dengan rawatan. Wanita yang menghidapi hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) boleh kembali mengambil semula ubatan hipertensi yang diambil sebelum mengandung. ACE-I dan ARB adalah selamat untuk diambil oleh wanita yang menyusu badan. Walau bagaimanapun, pengambilan diuretics tidak digalakkan di kalangan wanita yang menyusu badan untuk mengelakkan perasaan kehausan yang melampau. Peningkatan tekanan darah yang tidak terkawal boleh terjadi selepas bersalin dan keadaan ini perlu diambil secara serius oleh kerana ia mungkin satu tanda kejadian eklampsia (yang masih boleh berlaku selepas bersalin). Jika tekanan darah kekal tinggi selepas tiga bulan bersalin, wanita tersebut boleh didiagnosa mengidap hipertensi yang kronik.

Wanita yang berisiko menghidap hipertensi semasa mengandung dan pra-eklampsia adalah turut berisiko mendapat penyakit jantung (atau kardiovaskular) apabila umur mereka semakin meningkat. Oleh yang demikian mereka perlu dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan susulan secara berkala sepanjang hayat mereka. Semua wanita yang menghidap hipertensi sebelum mengandung perlu memastikan tekanan darah mereka terkawal dengan baik selama tiga bulan sebelum bercadang untuk mengandung lagi.

 

Kompromi janin boleh terjadi jika tekanan darah tinggi semasa kandungan diurus dengan baik

Ciri-ciri Pra-Eklamsia Akut

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Sri Wahyu Taher
Akreditor : Dr. Chang Boon Cheng
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

Stimulasi Ovari

Fasa kitar stimulasi ataupun fasa rangsangan ovari dilakukan dengan tujuan untuk menghasilkan jumlah folikel yang mengandungi telur yang cukup dengan menggunakan suntikan Hormon Perangsang Folikel (follicle stimulating hormone (FSH)) yang juga dikenali sebagai rawatan gonadotropin.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,541,665

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia