Home > Ubat & Anda > Hempedu bumi

Hempedu bumi

Pengenalan

Hempedu Bumi atau nama saintifiknya Andrographis juga sinonim dengan nama Justicia latebrosa merupakan sejenis tumbuhan herba berubat. Ianya terkenal di kalangan pengamal perubatan tradisional China, Ayurvedic dan Yunani di mana jenis A. paniculata banyak digunakan dalam perubatan tersebut.

Hempedu Bumi dipanggil juga sebagai akar cerita, hempedu tanah, bidara (Melayu), mompoit (Sabah), sambiloto (Indonesia), kalmegh (India), nilavempu (Tamil) chuan xin lian (China) dan King of the bitter (Inggeris).

Pokok Hempedu Bumi merupakan tumbuhan semusim yang tumbuh menegak dan renek sesuai ditanam sepanjang tahun pada semua jenis tanah (bris, liat dan gambut) dengan jangka masa tanaman 8 hingga 10 minggu. Walaubagaimanapun, tanaman ini memerlukan kawasan bersaliran baik.

Deskripsi

Hempedu Bumi tumbuh menegak dengan ketinggian boleh mencapai 60-70 cm. Daunnya berbentuk tunggal, berwarna hijau pekat, licin dan tersusun secara bersilang. Bentuk daunnya bujur, runcing di hujung dan nipis di pangkal. Bunga pokok ini pula bewarna putih keunguan.

Kegunaan Tradisional

Hempedu Bumi mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Penduduk Asia menggunakan herba ini untuk merawat masalah berkaitan penghadaman, pernafasan, demam, batuk dan penyakit berjangkit.

Di kalangan masyarakat Melayu, air rebusan tumbuhan ini digunakan untuk merawat demam, darah tinggi, cirit birit, luka, ulser, gigitan serangga dan menghapuskan cacing dalam sistem pencernaan.

Daun Hempedu Bumi ini boleh dijadikan ubat untuk menurunkan darah tinggi disamping merawat penyakit kencing manis. Cara menjadikannya ubat ialah dengan hanya merebus daun tersebut dan airnya diambil untuk diminum. Air rebusan yang pahit ini dipercayai mengandungi bahan kimia tumbuhan yang boleh memecahkan molekul lemak yang ada di sekeliling salur darah yang tersumbat.

Daun Hempedu Bumi ini juga boleh merawat luka dengan cara menumbuk lumat daun tersebut dan meletakkannya pada luka terutamanya pada luka gigitan ular dan sengatan serangga.

Hasil kajian terhadap hempedu bumi

Hasil kajian ke atas tumbuhan ini menunjukkan ianya mengandungi banyak bahan-bahan kimia dari kumpulan diterpenoids lactone dengan kadar antara 65 hingga 70 peratus contohnya angrographolide dan neoangrographolide. Bahan kimia ini mungkin penyumbang besar dalam mengawal dan merawat penyakit-penyakit yang telah dinyatakan di atas.

Terdapat kajian-kajian bukan klinikal dan klinikal telah dilakukan ke atas haiwan dan manusia dengan menggunakan serbuk dan pati (ekstrak) A. paniculata. Kajian-kajian ini telah membuktikan bahawa Hempedu Bumi boleh membantu dalam merawat penyakit malaria (antimalarial), masalah darah beku (antithrombotic), diabetis, kanser dan darah tinggi.

Produk tradisional yang mengandungi hempedu bumi

Sebelum Hempedu Bumi diproses menjadi ubat atau produk, ujian pengesahan (authentication) bahan mentah herba adalah penting untuk memastikan kesahihan bahan mentah Hempedu Bumi telah digunakan atau dimasukkan dalam formulasi produk tradisional tersebut. Pengesahan ini perlu dilakukan oleh pihak pengilang atau pengeluar produk tradisional melalui kaedah pemeriksaan makroskopik untuk melihat ciri-ciri seperti saiz, bentuk dan warna bahagian-bahagian tumbuhan Hempedu Bumi. Alternatif kepada pemeriksaan mikroskopik adalah dengan menggunakan kaedah kromatografi di mana tumbuhan Hempedu Bumi boleh dikesan melalui petanda kimia tumbuhan (chemical marker) yang unik kepada Hempedu Bumi sahaja iaitu bahan kimia andrographolide. Kualiti atau mutu produk tradisional yang mengandungi Hempedu Bumi bergantung kepada ujian pengesahan ini dan lain-lain ujian kualiti dan keselamatan seperti yang tersenarai dalam Monograf Hempedu Bumi (sesawang www.globinmed.com)

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Monograf Hempedu Bumi, produk tradisional yang mengandungi Hempedu Bumi boleh memberi kesan sampingan seperti ketidakselesaan dalam perut, muntah dan kehilangan selera makan. Produk ini juga tidak boleh diambil oleh ibu yang sedang mengandung dan ibu yang menyusukan bayi. Tiada kajian atau maklumat mengenai kegunaan hempedu untuk kanak-kanak dengan itu, pengguna perlu mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memberi ubat tradisional tersebut kepada kanak-kanak.

Pengguna juga dinasihatkan untuk memilih produk tradisional yang telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna perlu mendapat nasihat doktor sekiranya mengalami alahan dan kesan sampingan yang berlarutan.

Rujukan

  1. http://agromedia.mardi.gov.my
  2. http://www.globinmed.com
Semakan Akhir : 02 September 2014
Penulis : Zarina bt. Rosli
Akreditor : Dr. Noraida bt. Mohamad Zainoor