Home > Dewasa > Helicobacter Pylori Dalam Ulser Peptik

Helicobacter Pylori Dalam Ulser Peptik

Pengenalan

Ulser di bahagian perut dan bahagian usus kecil (iaitu duodenum) dikenali sebagai ulser peptik atau ulser gastrik. Ia merupakan satu keadaan di mana selaput di dalam perut atau usus kecil itu mengalami luka atau rekahan yang ketara diakibatkan oleh kesan-kesan kaustik oleh asid hidroklorik dan pepsin di dalam lumen. Kajian menunjukkan bahawa penyebab utama ulser peptik adalah jangkitan bakteria Helicobacter pylori.

 Pembentukan rekahan pada usus dan perut akibat jangkitan H.pylori

Rajah 1: Pembentukan rekahan pada usus dan perut akibat jangkitan H.pylori

Bakteria H.pylori berbentuk pilin atau lingkaran

Rajah 2: Bakteria H.pylori berbentuk pilin atau lingkaran

Helicobacter Pylori

Helicobacter pylori merupakan gram negatif bakteria yang berbentuk lingkaran. Habitat utamanya adalah dalam lapisan mukus bersebelahan lapisan gastrik. Penyebaran H.pylori terhadap manusia tidak begitu dikenal pasti. Beberapa teori begaimana H.pylori ini tersebar telah di usulkan iaitu melalui oral-oral (kucupan atau pendedahan pada muntah yang mengandungi H.pylori), oral-fecal (makanan atau air yang dicemari najis) dan dari sumber persekitaran (Diagnostic microbiology). H.pylori melemahkan lapisan mukus perut dan usus kecil menyebabkan asid dapat memasuki ke dalam lapisan perut. Tindakan bakteria bersama asid menyebabkan ulser.

Tindakan H.pylori bersama asid hidroklorik menyebabkan ulser1

Tindakan H.pylori bersama asid hidroklorik menyebabkan ulser2

Rajah 3 dan 4: Tindakan H.pylori bersama asid hidroklorik menyebabkan ulser

Gejala/Tanda

Rasa sakit seperti terbakar dirasai di bahagian perut hingga ke dada ( sakit epigastrik). Rasa sakit ini disebabkan oleh ulser dan asid perut yang terkena kawasan ulser. Ia mengambil masa beberapa minit hingga ke beberapa jam. Kebiasaannya kesakitan bertambah di waktu malam yang boleh menganggu tidur. Lain-lain simptom adalah seperti rasa mual atau muntah, najis berdarah atau najis kehitaman seperti tar ( jika mengalami ulser peptik berdarah), kembung perut dan hilang berat badan.

Komplikasi

H.pylori boleh juga menyebabkan komplikasi lain. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan gastritis, iaitu keradangan lapisan perut. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan H.pylori sebagai karsinogen Kelas 1 (kuman punca kanser) pada 1994. Kegagalan untuk menghapuskan H.pylori boleh meningkatkan enam kali ganda risiko kanser gastrik.

Diagnosis

Jika doktor mengesyaki anda mempunyai ulser berdasarkan simptom-simptom yang ada, satu prosedur yang dipanggil endoskopi akan dilakukan. Dalam prosedur ini satu tiub panjang dengan kamera di hujungnya akan dimasukkan secara perlahan-lahan melalui tekak dan esofagus, terus ke dalam perut dan duodenum. Melalui prosedur ini doktor boleh mengenal pasti ulser.

Rawatan

Jika tidak dirawat, ulser boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius. Rawatan yang biasa digunakan ialah membunuh bakteria dengan antibiotik dan mengurangkan tahap keasidan dengan menggunakan penghalang asid, antasid, atau pam perencat proton.

Pembedahan untuk membantu menyembuhkan ulser hanya diperlukan apabila ulser tidak menunjukkan sebarang tindakbalas terhadap rawatan yang diberi.

Pencegahan

Belum ada cara yang pasti dan mudah untuk mencegah H.pylori kerana tiada vaksin untuk mencegah dari bakteria ini. Sikap sentiasa menjaga kebersihan peribadi dan sanitasi boleh membantu mengelak dari jangkitan. Sekiranya berlaku wabak di sesuatu kawasan, usaha menjalani pemeriksaan atau ujian H.pylori jangkitan H.pylori dan kanser gastrik di hospital boleh membantu untuk mencegah kanser.

Rujukan

  1. Bailey & Scott’s(2007).Diagnostic Microbiology,Twelth Edition.St Louis Missouri. Mosby Elsevier.
  2. Abd Hamid Sain(2011).Ulser Peptik – Apa yang anda perlu tahu, http://www.columbiaasia. Com
  3. Traci L Testerman & James Morris (2014). Beyond The Stomach: An Updated view of Helicobacter pylori pathogenesis,diagnosis and treatment.World Journal of Gastroenterology.20(36), doi:10.3748/wjg.v20.i36.12781
  4. Joo, T.H.( Januari, 2010). Mengenali Ulser Peptik. Utusan Malaysia

 

Semakan Akhir : 5 Januari 2016
Penulis : Sharifuddin bin Husain
Akreditor : Zuraini binti Yacob