A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Halalkah Ramuan Dalam Makanan Anda?

Pengenalan

Bagaimana anda pastikan bahawa makanan anda adalah halal?

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan tetapi yang paling mudah semestinya membaca label pembungkusan bagi memastikan bahan ramuan dan logo halal yang diiktiraf.

Selain daripada itu, pihak yang berkuasa iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga menyediakan pelbagai saluran yang boleh diakses oleh pengguna seperti :

  1. Sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) barcode produk

  2. Direktori halal melalui ;

    1. Aplikasi android atau applestore (JAKIM apps),

    2. Halal Square yang boleh dimuat turun terus melalui peranti pintar (seperti telefon pintar atau tablet).

Rajah 1 : Logo aplikasi Halal (Halal Square)

Aplikasi ini bertujuan memastikan pengguna boleh menyemak terus status halal produk yang telah mendapat pensijilan halal Malaysia hanya di hujung jari.

Seperti yang kita ketahui, bahan ramuan merupakan bahan utama dalam penghasilan makanan harian kita. Makanan yang sedap dan enak sudah tentu menjadi bualan orang ramai. Apatah lagi dibantu dengan adanya laman sosial terkini seperti Facebook, Instagram, Twitter dan blog-blog tertentu yang banyak memaparkan makanan sedap dan enak di tempat-tempat tertentu.

Walau bagaimanapun, sesedap mana pun makanan tersebut, pengguna Muslim perlu berhati-hati dengan makanan yang dimakan.

Bahan Ramuan Makanan, Halal atau Tidak?

Gambar 1 : Contoh bakeri

Apabila melihat roti dan kek yang gebu dan berkilat, ditambah dengan bau yang menyelerakan, pantas sahaja tangan kita membelinya.

Tahukah anda terdapat bahan ramuan utama yang digunakan bagi membantu keenakan roti dan kek tersebut, seperti :

  • keju

  • serbuk wei (whey powder), dan

  • L-Cysteine.

1. Keju

Secara ringkas, keju merupakan bahan ramuan yang dihasilkan daripada susu. Hakikatnya dalam penghasilan keju, terdapat enzim yang digunakan bertujuan membantu dalam penggumpalan susu yang dikenali dengan enzim :

  • pepsin,
  • lipase, dan
  • rennet.

Enzim ini boleh dihasilkan daripada sumber :

  • haiwan,
  • tumbuhan, atau
  • mikrobiologi.

Semestinya enzim daripada sumber khinzir adalah HARAM dimakan dan enzim daripada organ haiwan yang halal (contoh : perut lembu atau perut anak kambing) perlu dipastikan haiwan tersebut disembelih mengikut hukum syarak.

2. Serbuk Wei (Whey Powder)

Daripada proses keju ini, bahan ramuan seperti serbuk wei (whey powder) boleh didapati hasil daripada proses pemisahan penggumpalan susu tersebut. Sekali lagi, ia juga merupakan bahan ramuan yang dikategorikan sebagai was-was (syubhah) yang perlu dipastikan sumber asalnya.

3. L-Cysteine

Terdapat juga penggunaan bahan ramuan di dalam produk bakeri yang dikenali sebagai L-Cysteine digunakan. Apakah itu L-Cysteine?

Ia merupakan bahan aditif iaitu asid-amino-tidak-perlu dan merupakan bahan asas protein. Ia banyak digunakan dalam pemprosesan makanan terutama bagi membantu dalam melembutkan roti dengan mengurangkan masa mengadun doh dan menjadikan doh tidak mudah melekat.

Sumber L-Cysteine ini juga boleh dihasilkan daripada :

  • sintetik (bukan organik), dan
  • bulu haiwan (itik).

Pernah juga kita digemparkan dengan sumber L-Cysteine daripada rambut manusia yang jauh lebih murah dan mengandungi 8% asid amino semulajadi cystein. Walau bagaimanapun, dalam sektor makanan halal mengikut piawaian halal, ia HARAM digunakan.

Berhubung perkara ini juga, mengikut keputusan Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-90 telah memutuskan bahawa hukum penggunaan bulu haiwan yang halal dimakan sebagai bahan ramuan makanan adalah HARUS sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.

Gambar hiasan

Pensijilan Halal

Di negara kita, dalam menentusahkan status halal sesuatu produk, pihak JAKIM menjalankan pengauditan dokumentasi dan lapangan di premis-premis yang memohon pensijilan Halal Malaysia berlandaskan konsep halalan toyibban (bersih, suci dan selamat).

Pengauditan ini bermula daripada proses semakan dokumentasi bagi bahan ramuan yang terlibat dan sistem yang dijalankan oleh pihak syarikat sehingga pengauditan lapangan yang melibatkan :

  1. penerimaan bahan mentah

  2. pemprosesan

  3. penyimpanan, dan

  4. pengedaran produk.

Pihak syarikat yang mematuhi piawaian halal seperti yang termaktub dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Standard yang berkaitan adalah layak menerima sijil halal dan boleh menggunakan logo halal Malaysia pada pembungkusan produk dan premis makanan.

Gambar hiasan

Kesimpulan

Dalam konteks mencari makanan halal, ia merupakan satu kewajipan kepada semua masyarakat Muslim. Selain daripada mendapat pengesahan halal daripada pihak berkuasa di Malaysia (JAKIM/JAIN/MAIN) dan Badan Islam Luar Negara yang diiktiraf, kita juga perlu prihatin dengan isu-isu semasa yang mendatang.

Sememangnya makanan halal merupakan makanan yang ;

  1. selamat,

  2. bersih,

  3. berkhasiat, dan

  4. suci dimakan.

Tanpa disedari, makanan halal telah mendapat tempat di segenap lapisan masyarakat di dunia. Dengan keperihatinan pengguna dan kesedaran pengambilan makanan halal, ekonomi makanan halal melonjak naik. Justeru, pilihan yang bijak perlu dilaksanakan dalam memastikan pengambilan makanan yang suci dan bersih.

Rujukan :

  1. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, JAKIM.
  2. Article of l-cysteine : http://pubs.acs.org/doi/pdf/10.1021/ja01157a510
  3. Does your daily bread contain human hair and chicken feathers which are from animals not Halal slaughtered in accordance with the Islamic Shariah Law? (by Dr Yunes Teinaz) – from The London Central Mosque Trust & The Islamic Cultural Centre (http://www.iccservices.org.uk/pdf/hair_in_bread.pdf )
  4. http://www.wheypowder.org/
  5. International dairy journal (www.elsevier.com)
Semakan akhir : 29 Januari 2014
Penulis : Pn. Shamsiah binti Aziz

 

Artikel Berkaitan

Diet Ketogenik : Bolehkah Diet Merawat Epilepsi?

Epilepsi ialah gangguan gelombang otak yang boleh menyebabkan serangan sawan. Diet ketogenik menggunakan lemak sebagai sumber tenaga utama dan akan menyebabkan tubuh menghasilkan keton. Diet ini menyerupai tindak balas ketika kebuluran. Sesetengah pesakit epilepsi dapat menghalang kejadian sawan apabila tubuh menghasilkan keton.

Tips Penyediaan Makanan Untuk Pesakit Hipertensi

“Enak” mungkin bukan perkataan pertama yang terlintas di fikiran apabila berfikir tentang diet untuk individu yang mempunyai tekanan darah tinggi. Tetapi sebelum anda membuat kesimpulan mengenai diet rendah natrium, belajarlah dahulu bagaimana ia boleh menjadi lazat dan sihat bukan hanya untuk pesakit, malah boleh dimakan seisi keluarga. Di samping mengambil tahu makanan yang perlu dielakkan, anda perlu tumpukan perhatian terhadap makanan yang BOLEH dan PERLU DIMAKAN.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,214,926

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia