A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gigi Terimpak

Gigi terimpak didefinisikan sebagai gigi yang tertanam di dalam rahang yang telah melangkaui tarikh normal pertumbuhan gigi.

 

Pengenalan

Gigi terimpak didefinisikan sebagai gigi yang tertanam di dalam rahang yang telah melangkaui tarikh normal pertumbuhan gigi. Gigi boleh terimpak disebabkan pertumbuhan gigi telah diganggu oleh gigi yang berhampiran, kepadatan tulang atau tisu lembut yang berlebihan, kedudukan gigi yang tidak bersesuaian (malpositioning) atau ruang rahang yang tidak mencukupi. Oleh yang demikian, gigi yang terimpak boleh menjadi tidak berfungsi, tidak normal seperti kelaziman (abnormal) atau berpatologi.

Gigi terimpak boleh dibahagikan kepada gigi tumbuh separa atau gigi tidak tumbuh sepenuhnya. Gigi tumbuh separa bermaksud, gigi tersebut boleh kelihatan di dalam mulut tetapi gagal untuk tumbuh ke posisi normal malah berkemungkinan tidak tumbuh sepenuhnya. Manakala, gigi yang tidak tumbuh sepenuhnya bermaksud keseluruhan gigi telah tertanam serta ditutupi oleh tisu lembut dan tulang. Oleh yang demikian, ia tidak dapat tumbuh sepenuhnya.

Kebiasaannya, gigi yang paling kerap terimpak adalah gigi geraham bongsu, diikuti gigi taring maksila (maxilla merujuk rahang atas) dan gigi geraham kecil mandibel (mandible merujuk rahang bawah).

Gigi geraham bongsu merupakan gigi yang paling kerap terimpak kerana ia adalah gigi yang paling lewat tumbuh, berkemungkinan disebabkan oleh ruang yang tidak mencukupi bagi pertumbuhannya. Pada rahang mandibel, gigi geraham bongsu biasanya berada di ramus menaik (ascending ramus). Pada rahang maksila, gigi geraham bongsu yang terimpak boleh tersasar jauh sehingga ke lantai mata (floor of the orbit). Semasa pemeriksaan pergigian dilakukan, gigi geraham bongsu merupakan gigi yang paling kerap di kesan terimpak. Namun demikian, pesakit kebiasaannya mendapat rawatan hanya apabila terdapat kewujudan simptom-simptom klinikal.

Gigi taring atas merupakan gigi kedua paling kerap terimpak selepas gigi geraham bongsu. Insiden terjadi gigi taring maksila yang terimpak berlaku 20 kali ganda lebih tinggi berbanding gigi taring mandibel yang terimpak. Lebih kurang 50% gigi taring maksila terimpak berada di bahagian lelangit, 30% terimpak di bukal (buccal), diikuti 20% gigi yang terimpak berada di posisi pertengahan (kejadian gigi terimpak berada di antara tulang lelangit dan bukal).

Kebiasaan rahang maksila di bahagian hadapan, pertumbuhan gigi taring di halang oleh kesesakan gigi-gigi yang lain. Gigi taring maksila akan tumbuh selepas pertumbuhan gigi kacip kedua maksila dan gigi geraham kecil pertama. Oleh yang demikian, gigi taring akan terimpak apabila ruang menjadi terhad dan ini tidak membenarkan pertumbuhan gigi tersebut.

Gigi taring mandibel yang terimpak tidak sering berlaku. Sesetengah situasi, tunas gigi (tooth bud) taring mandibel boleh terpusing di dalam tulang basal mandibel. Ini menyebabkan akar gigi taring beransur-ansur berkembang dalam arah yang melintang dan menjadikan gigi tersebut boleh terimpak pada kedudukan akar gigi kacip.

Kewujudan gigi geraham kecil yang terimpak boleh berubah mengikut umur. Gigi geraham kecil kedua mandibel merupakan gigi pada kedudukan ketiga yang kerap terimpak selepas gigi geraham bongsu dan gigi taring maksila. Sekiranya gigi geraham besar pertama dan gigi taring tumbuh lebih awal dari gigi geraham kecil, maka gigi geraham kecil akan terimpak disebabkan ruang pertumbuhan gigi yang sempit.

Gigi kacip yang terimpak biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur di antara 8-10 tahun. Gigi kacip pertama maksila yang terimpak sering berlaku disebabkan oleh kehadiran gigi yang berlebihan (dikenali sebagai supernumerary atau mesiodens). Gigi kacip mandibel yang terimpak amat jarang berlaku dan ia biasa berkaitan dengan kewujudan ketumbuhan cecair atau sista (cysts).

Jenis Impaksi

Gambar rajah di bawah menunjukan jenis gigi terimpak yang sering berlaku.

  • Gigi geraham bongsu maksila yang terimpak


    Sumber: www.pocketdentistry.com

  • Gigi geraham bongsu mandibel yang terimpak


    Sumber: M Eshghpour et al. Pattern of mandibular third molar impaction: A cross-sectional study in the northeast of Iran. Niger J Clin Pract. 2014;17(6): 673-677.

  • Gigi taring maksila yang terimpak


    Sumber: http://www.slideshare.net/koli_tanvi/impaction

    1. Gigi terimpak di bahagian lelangit
    1. Gigi terimpak di bahagian labial
    1. Gigi terimpak sebahagian di kawasan labial dan sebahagian di kawasan lelangit
    1. Gigi taring yang terimpak, terperangkap di antara akar gigi berhampiran antara satu sama lain.
    1. Gigi taring terimpak di rahang maksila yang mempunyai tiada gigi langsung (edentulous)

Etiologi Gigi yang Terimpak

  • Faktor setempat
    • Ruang yang tidak mencukupi disebabkan perkembangan rahang yang tidak sempurna.
    • Halangan pada tisu lembut atau tisu keras yang disebabkan oleh gigi tunggul akar desidus, odontom, sista atau tumor.
    • Laluan pertumbuhan gigi yang tidak normal disebabkan daya tarikan trauma semasa waktu pertumbuhan.
    • Ketidakseragaman dalam posisi dan tekanan dari gigi berhampiran.
  • Faktor sistemik
    • Prenatal
      • Keturunan
  • Postnatal
    • Rickets
    • Sifilis kongenital
    • Tuberkulosis
    • Malnutrisi
    • Penyakit endokrin

Indikasi bagi pembuangan gigi yang terimpak

  • Jangkitan seperti perikoronitis, nanah, kebengkakan tisu lembut (celulitis).
  • Karies gigi yang tidak boleh ditampal atau dilakukan pencegahan.
  • Penyakit periodontal atau pencegahan.
  • Berhubungkait dengan patologi.
  • Sebab-sebab ortodontik.
  • Sebelum pembedahan ortognatik.
  • Pembuangan gigi terimpak secara profilaktik disebabkan masalah perubatan.
  • Gigi di garisan tulang yang patah (seperti kepatahan tulang rahang).
  • Sakit yang tidak diketahui punca.

Kontraindikasi bagi pembuangan gigi terimpak

  • Kehadiran ruang yang mencukupi bagi pertumbuhan gigi terimpak.
  • Pesakit yang langsung tiada sejarah tulang berpatologi.
  • Pesakit dengan sejarah perubatan lampau yang menghalang pembuangan gigi, berlaku apabila risiko melebihi faedah apabila rawatan pembedahan dilakukan.
  • Gigi terimpak separuh yang boleh dijadikan gigi tupang dalam pembuatan gigi palsu separa tetap.

Penilaian radiografi

  • Penilaian radiografi di buat bagi menilai :
    • Orientasi (contoh, mesioangular, vertical, distoangular, palatal atau bukal)
    • Kedalaman di bawah satah oklusal
    • Saiz corona dan lebar folikular
    • Morfologi akar (nombor , panjang, bentuk: bercantum atau terpisah, apeks yang lengkung, bulbous, ankilosis)
    • Keadaan corona dan gigi berhampiran
    • Aproksimasi ramus menaik, Inferior Dental Canal , sinus maxillary, plat pterigoid dan fossa piriform
  • Jenis Penilaian Radiografi
    • Pandangan dalam mulut: periapical dan occlusal view
    • Pandangan luar mulut : OPG, Lateral skull dan CBCT

Rawatan Tersedia untuk Gigi Terimpak

Pilihan rawatan :

  • Tiada rawatan
  • Pengurusan konservatif
  • Pembedahan mengubah semula dan transplantasi
  • Pendedahan gigi dengan atau tanpa aplikasi ortodontik
  • Pembuangan secara pembedahan

Sebagai peraturan umum , gigi tidak harus dibuang tanpa sebarang indikasi yang sesuai.

Rujukan

  1. James R. Hupp, Myron R. Tucker, Edward Ellis III, Contemporary Oral and Maxillofacial Surgery, 6th edition, Mosby, 2013.
  2. SM Balaji, Text book of Oral and Maxillofacial Surgery, Elsevier, 2009.
  3. M Eshghpour et al. Pattern of mandibular third molar impaction: A cross-sectional study in the northeast of Iran Niger J Clin Pract. 2014:17(6): 673-677.
  4. http://www.pocketdentistry.com
  5. http://www.slideshare.net/koli_tanvi/impaction
  6. http://jasonerasmus.com/procedures/impacted-canines

 

Semakan Akhir : 12 Jun 2018
Penulis / Penterjemah : Dr. Sundrarajan Naidu a/l Ramasamy
Akreditor : Dr. Khairulzaman bin Adnan

Artikel Berkaitan

Komplikasi Cabutan Gigi

Cabutan gigi adalah satu proses pembuangan gigi dari soketnya di tulang rahang .Cabutan gigi yang ideal ditakrifkan sebagai satu  proses pembuangan keseluruhan gigi atau akar gigi yang tidak menyakitkan, dengan trauma yang minimum ke atas  tisu sekelilingnya supaya luka bekas cabutan akan sembuh dengan sempurna.

Ubat Gigi Berfluorida untuk Kanak-Kanak

Fluorida ialah mineral semula jadi yang boleh menguatkan lapisan luar gigi dan membantu mencegah kerosakan gigi. Walau bagaimanapun, penggunaan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan fluorosis enamel iaitu kecacatan lapisan luar gigi.

Aplians Boleh Tanggal

Aplians Boleh Tanggal adalah salah satu jenis aplians yang digunakan dalam rawatan ortodontik selain daripada aplians tetap, aplians fungsi dan alat ekstra-oral.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,642,096

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia