A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gigi Terimpak : Rawatan Ortodontik

Gigi terimpak ialah gigi yang gagal tumbuh di dalam mulut. Ia tertanam di dalam tulang rahang di bawah gusi.

Apakah Itu Gigi Terimpak?

Gigi terimpak ialah gigi yang gagal tumbuh di dalam mulut. Ia tertanam di dalam tulang rahang di bawah gusi. Gigi yang terimpak mempunyai kesan yang besar terhadap fungsi kegigian dan estetik muka seseorang individu1.

Kelaziman (Prevalence) gigi terimpak adalah seperti yang berikut:

  • Gigi Insisal Sentral: 0.13%7
  • Gigi Taring Atas: 1.5%3
  • Gigi Molar Kekal Pertama: 0.75% and 6%2,3

Kenapa Gigi Terimpak?

Penyebab gigi terimpak masih tidak jelas. Punca-punca yang mungkin menyebabkan gigi gagal untuk tumbuh ke dalam mulut ialah:3,5,6:

  • Kesesakan arkus atau kekurangan ruang untuk gigi kekal tumbuh
  • Terdapat halangan seperti gigi lebih (supernumerary) dan tisu berserat (fibrous tissue)
  • Gigi susu belum tanggal
  • Gigi insisal kekal atas yang dilacerasi (dilacerated). Dilacerasi terjadi kerana trauma ke atas gigi kekal dan mengakibatkan gangguan dalam pembentukan akar gigi kekal
  • Patologi lain seperti sista dan struktur gigi yang tidak normal (odontomes)
  • Ankylosis di mana akar gigi melekat pada tulang rahang
  • Penyakit sindromik seperti cleidocranial dysplasia, rekahan bibir dan lelangit
  • Sejarah pergigian dalam keluarga

Pilihan Rawatan Yang Ada?

Kaunseling bersama dengan pesakit dan ibu bapa tentang pelbagai pilihan rawatan yang ada amatlah penting.

  1. Prinsip Rawatan Untuk Gigi Insisal Kekal Atas Terimpak3,6,7
    Cabut gigi susu yang belum tanggal
    • Gigi susu yang belum tanggal perlu dicabut
    Mewujudkan dan mengekalkan ruang yang mencukupi
    • Kebanyakan gigi insisal yang tertanam di dalam tulang rahang akan tumbuh secara spontan sekiranya terdapat ruang yang mencukupi.
    • Ruang yang mencukupi dapat diwujudkan dan/atau dikekalkan dengan menggunakan pendakap gigi tetap atau aplian boleh tanggal.
    Membuang halangan fisikal
    • Sebarang halangan fisikal seperti gigi lebih(supernumerary), struktur gigi yang tidak normal (odontome), tisu berserat (fibrous tissue) dan sista perlu dibuang.
    • Gigi insisal yang tertanam selalunya akan tumbuh secara spontan dalam masa 16 bulan selepas pembuangan halangan fisikal.
    • Kemungkinan kemajuan secara spontan lebih cenderung berlaku dalam pesakit yang muda.
    • Sekiranya gigi insisal yang tertanam gagal untuk tumbuh, pendakap gigi boleh digunakan untuk menggerakkan gigi tersebut ke kedudukan yang betul.
    • Kadang-kala, pembedahan perlu dijalankan untuk melekatkan “rantaian emas” di atas gigi tertanam supaya pergerakan gigi dengan memakai pendakap dapat dilakukan.
    Pembentukan akar gigi yang tidak memuaskan
    • Kalang-kala, gigi yang tertanam mempunyai bentuk akar yang tidak normal (dilacerated)
    • Jika dilaceration itu tidak teruk, gigi insisal tersebut dapat dibetulkan dengan pendakap gigi.
    • Gigi ini mungkin memerlukan rawatan akar dan/atau apicectomy.
    • Jika dilaceration itu adalah teruk, gigi insisal terpaksa dicabut secara pembedahan.
    Cabutan gigi insisal dan pengurusan ruang
    • Ruang akan wujud sekiranya gigi insisal kekal terpaksa dicabut.
    • Ruang ini boleh dirapatkan dengan menggunakan pendakap gigi Selepas itu, gigi bersebelahan boleh dibentuk semula untuk menyerupai gigi insisal yang telah hilang.
    • Ruang yang ada boleh di gantikan dengan gigi palsu, jambatan, implan atau gigi autotransplantation.
    • Autotransplantation melibatkan penggantian gigi insisal yang hilang dengan gigi geraham kecil (premolar) pesakit sendiri. Gigi geraham kecil ini perlu dibentukkan untuk menyerupai gigi insisal yang telah hilang.
    Gigi insisal atas yang ankylosed
    • Kadang-kala, gigi insisal ini melekat pada tulang rahang dan tidak akan bergerak (ankylosis)
    • Gigi insisal yang ankylosed boleh dicabut. Ruang ini boleh diganti dengan menggunakan gigi palsu, jambatan atau implan.

    Â

    Ruang tidak mencukupi untuk gigi insisal atas kanan yang terimpak untuk tumbuh

    Gigi insisal atas kiri tidak dapat tumbuh kerana dihalang oleh gigi lebih (supernumerary)

  2. Prinsip Rawatan Untuk Gigi Taring Kekal Atas Terimpak1,2,3,4,5
    Pilihan 1: Tiada rawatan dan pemerhatian
    • Tiada rawatan.
    • Gigi taring yang tertanam boleh dibiarkan jika tidak menimbulkan sebarang masalah.
    • Pilihan ini diindikasikan kepada pesakit yang tidak berminat untuk menerima rawatan.
    • X-ray boleh diambil secara berkala untuk memeriksa sama ada gigi taring yang tertanam menimbulkan sebarang masalah.
    • Gigi yang tertanam mempunyai risiko untuk merosakkan akar gigi bersebelahan. Sista juga mungkin terbentuk di sekitar gigi taring yang tertanam.
    • Gigi taring susu yang belum tanggal boleh dikekalkan. Namun, gigi ini mungkin tidak dapat bertahan untuk seumur hidup.
    • Ruang akan wujud jika gigi susu hilang apabila pesakit sudah dewasa. Ruang ini boleh diganti dengan menggunakan gigi palsu, jambatan atau implan.
    Pilihan 2: Cabutan gigi taring susu yang belum tanggal
    • Cabutan gigi taring susu pada masa yang tepat, iaitu semasa pesakit berumur 10-13 tahun dapat membantu gigi taring yang terimpak tumbuh secara normal.
    • Jika tiada perubahan dalam x-ray selepas 12 bulan, gigi taring terimpak tidak akan tumbuh secara normal. Pilihan rawatan yang lain harus dipertimbangkan.
    Pilihan 3: Pembedahan (surgical exposure) and rawatan ortodontik
    • Pilihan ini diindikasikan kepada pesakit yang bermotivasi tinggi dan gigi taring yang mempunyai kedudukan yang memuaskan.
    • Surgical exposure ialah pembedahan di mana gusi dan tulang di sekitar gigi yang terimpak dibuang untuk membantu gigi tersebut tumbuh.
    • Pembedahan ini boleh dilakukan dengan bius umum atau setempat. (general or local anaesthetic).
    • Kadang-kala, “rantaian emas” akan dilekatkan di atas gigi terimpak semasa pembedahan.
    • Pendakap gigi tetap digunakan untuk menggerakkan gigi taring yang terimpak ke kedudukan yang betul.
    • Proses menggerakkan gigi taring amatlah lambat. Sering kali, tempoh rawatan mengambil masa lebih dari 2 tahun.
    • Jarang sekali berlaku ankylosed pada gigi taring yang terimpak. Sekiranya ini berlaku, gigi terimpak terpaksa dibuang secara pembedahan.
    Pilihan 4: Cabutan gigi secara pembedahan (surgical removal)
    • Ini merupakan pembedahan untuk mencabut gigi taring terimpak
    • Pilihan ini diindikasikan untuk gigi taring yang mempunyai kedudukan yang tidak memuaskan.
    • Pilihan ini juga sesuai untuk pesakit yang tidak mahu rawatan ortodontik.
    Pilihan 5: Autotransplantation
    • Pembedahan ini melibatkan pengeluaran gigi taring yang terimpak dan kemudiannya ditanam semula (transplant) di kedudukan yang betul.
    • Pilihan ini boleh dipertimbangkan jika gigi taring terimpak dan mempunyai kedudukan yang tidak memuaskan, juga terdapat ruang yang mencukupi untuk tanam gigi taring di kedudukan yang betul.
    • Rawatan ortodontik yang singkat mungkin diperlukan untuk menwujudkan ruang yang mencukupi bagi penanaman gigi taring.
    • Rawatan ini jarang dipilih dan hanya dipertimbangkan dalam kes-kes tertentu sahaja. Ini kerana rawatan ini mempunyai kadar kejayaan yang lebih rendah berbanding dengan rawatan yang lain.

    Gigi taring kanan terimpak dengan gigi susu yang belum tanggal

    Cabutan gigi susu pada masa yang tepat dapat membantu gigi taring terimpak tumbuh secara normal

     

    Pendakap gigi tetap dan ‘rantaian emas’ digunakan untuk membawa gigi taring terimpak ke kedudukan yang betul

  3. Prinsip Rawatan Untuk Gigi Geraham Kecil Kekal Terimpak Dalam kes di mana gigi geraham kecil terimpak, cabutan gigi geraham kecil pertama yang telah tumbuh perlu dipertimbangkan. Pendakap ortodontik dapat digunakan untuk mengekalkan ruang cabutan sementara menunggu gigi geraham kecil terimpak tumbuh secara spontan3.
  4. Prinsip Rawatan Untuk Gigi Molar Kekal Pertama Atas Terimpak2,3
    Pemerhatian
    • Dalam kes yang tidak kompleks, gigi molar terimpak perlu dipantau untuk satu jangka masa.
    • Kebanyakan gigi molar ini akan betul secara sendiri.
    • Jika tiada kemajuan secara spontan dalam masa 3-6 bulan, rawatan aktif perlu dijalankan.
    Pengasingan gigi
    • ‘Brass wire’ atau ‘elastic separator’ boleh digunakan untuk mengasingkan gigi molar kekal dari gigi molar susu.
    Rawatan ortodontik
    • Aplians ortodontik seperti aplians boleh tanggal, aplians tetap atau headgear boleh digunakan untuk menegakkan gigi molar kekal yang terimpak.
    Cabutan gigi molar susu kedua
    • Cabutan gigi molar susu kedua merupakan pilihan rawatan yang terakhir.
    • Pilihan ini hanya dipertimbangkan sekiranya akar gigi susu mengalami kerosakan yang teruk.
    • Pilihan rawatan ini akan menyebabkan kehilangan ruang untuk gigi geraham kecil tumbuh. Kesesakan gigi mungkin akan berlaku pada masa depan.

Kesimpulan

Kaedah rawatan bagi pesakit yang ada masalah gigi terimpak adalah berlainan. Ini merupakan maklumat umum tentang pelbagai pilihan rawatan. Untuk nasihat dan bantuan lanjut, sila hubungi pakar ortodontik atau doktor gigi anda.

Rujukan

  1. British Orthodontic Society (2015). Patient information leaflets: Impacted canines. Retrieved March 31, 2015 from http://www.bos.org.uk/Portals/0/Public/docs/PILs/impactedcaninesnovember2013.pdf
  2. Cobourne, M.T., & DiBiase A.T. (2010). Handbook of Orthodontics. Philadelphia: Mosby Elsevier.
  3. Gill, D.S. (2008). Orthodontics at a Glance. West Sussex: Blackwell Munksgaard.
  4. Husain, J., Burden, D., McSherry, P., Morris, D., & Allen, M. (2012). National clinical guidelines for management of the palatally ectopic maxillary canine. British Dental Journal, 213, 171-176.
  5. Ministry of Health Malaysia. 2004. Clinical Practice Guidelines: Management of the palatally ectopic canine.
  6. Ministry of Health Malaysia. 2006. Clinical Practice Guidelines: Management of unerupted maxillary incisor.
  7. Yaqoob, O., O’Neill, J., Gregg, T., Noar, J., Cobourne, M., & Morris, D. (2010). Management of unerupted maxillary incisors. The Royal College of Surgeons of England.
  8. Ortho Technology. (2015). Image of Gold Chain. Retrieved April 05, 2015 from http://www.orthotechnology.com/new_products/eruptionappliance.cfm
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Then Poh Kiun
Akreditor : Dr. Rafeaah bt. Ayat Khan
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

Artikel Berkaitan

Kenali Risiko Karies Gigi Anda

Karies gigi adalah suatu proses yang melibatkan keseimbangan antara kehilangan mineral pada gigi dan penggantiannya semula dalam suatu tempoh masa tertentu sebagai kesan tindak balas daripada serangan asid yang terhasil daripada pengambilan makanan.

Aplians Tetap

Aplians Tetap adalah salah satu jenis pendakap gigi. Ia adalah pendakap gigi yang paling popular pada masa ini. Hal ini demikian kerana pergerakan gigi dapat dilakukan dengan lebih efektif dengan pendakap ini dan pesakit juga menggemarinya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,377,339

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia