A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Setiap daripada kita pasti pernah mengalami gigi goyang, terutama ketika pada zaman kanak-kanak, di mana gigi susu mula longgar dan gugur. Keadaan ini merupakan proses fisiologi di mana gigi susu akan memberi ruang untuk gigi kekal tumbuh. Gigi susu atau kegigian primer akan mengalami proses pelesapan akar secara perlahan-lahan, dan akan dirangsang oleh pertumbuhan gigi kekal di bawahnya. Selepas beberapa ketika, gigi susu akan gugur dan digantikan dengan gigi kekal atau kegigian sekunder.

Bagaimana pun, gigi goyang pada kegigian sekunder merupakan satu pengalaman yang agak menakutkan dan ia bukanlah satu proses fisiologi. Malahan, ia dianggap sebagai petanda kepada penyakit. Kegigian kekal menjadi goyang oleh beberapa sebab, termasuklah kecederaan atau trauma, tabiat mengetam gigi, menggigit pada benda yang keras dan penyakit gusi.

Terdapat empat komponen periodontium:

  1. Gusi/gingiva
  2. Ligamen Periodontium
  3. Simentum
  4. Tulang alveolus

Periodontium juga dikenali sebagai alatan pelekatan atau tisu penyokong.

Gigi goyang boleh ditakrifkan sebagai pergerakan gigi yang berlaku di dalam soket, biasanya akibat daripada kurangnya sokongan daripada tulang.

 
Gambarajah 1:  Struktur Periodontium

Terdapat dua jenis kegoyangan gigi:

  1. Fisiologi, atau kegoyangan gigi normal. Gigi tidak melekat secara langsung di dalam tulang rahang, tetapi ianya dihubung dengan soket dan ligamen periodontium, sejenis tisu khas di dalam gusi. Pergerakan yang sedikit ini membantu dalam menampung  daya, terutama ketika mengunyah atau menggigit.
  2. Patologi, atau kegoyangan gigi tidak normal, di mana pelekatan ligament periodontium dengan gigi berkurangan disebabkan kehilangan pelekatan tisu, seperti kehilangan tulang dan jika berlakunya keradangan kepada tisu. Tahap kegoyangan bergantung kepada jumlah tulang dan ligament periodontium yang tinggal.

Sebab-sebab Kegoyangan Gigi

Penyakit gusi

Penyakit periodontium (penyakit gusi) boleh dimanifestasikan sebagai keradangan gusi (gingivitis) hinggalah kepada peringkat lanjut di mana berlakunya jangkitan pada tulang penyokong gigi (periodontitis). Kebanyakan penyebab kegoyangan gigi adalah daripada penyakit gusi, di mana berpunca dari plak bakteria, (tidak berwarna dan melekit) yang mengumpul di celah-celah atas dan bawah gusi. Bakteria di dalam plak menghasilkan toksin dan seterusnya merosakkan tisu-tisu penyokong gigi. Jika tidak mendapatkan rawatan, akhirnya gigi menjadi longgar dan terpaksa dicabut akibat tiada sokongan daripada tulang yang telah hilang.

 
Gambar di atas menunjukkan ciri-ciri penyakit Periodontitis Kronik , di mana terdapatnya penyusutan gusi, gigi menjadi jarang dan anjakan pada gigi depan rahang bawah.

Kecederaan dari trauma

Jika gigi mengalami kecederaan,(kanak-kanak biasanya terjatuh dan bagi golongan dewasa, terlibat di dalam kemalangan jalan raya), gigi juga boleh menjadi goyang. Bergantung kepada tahap keterukan,, sesetengah kes tidak memerlukan rawatan kerana ligamen pada gigi akan kukuh dan pulih semula dengan sendiri. Kecederaan saraf merupakan komplikasi yang agak kerap terjadi berikutan gigi tertrauma. Gejala seperti hipersensitiviti, kesakitan melampau, bengkak dan pembentukan nanah, memerlukan rawatan selanjutnya. Oleh itu, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor gigi dengan segera untuk pemeriksaan lanjut dan mungkin memerlukan rawatan kanal akar bagi kes-kes seperti ini.

Trauma Gigitan atau Oklusi

Terjadi apabila terdapat kecederaan pada ligamen akibat daripada daya oklusi yang berlebihan terhadap gigi. Contohnya, gigitan tinggi pada tampalan dan  restorasi yang salah akan menyebabkan daya berlebihan dikenakan ke atas gigi yang berlawanan. Trauma oklusi boleh juga berlaku kepada pesakit yang mempunyai kurang tulang penyokong gigi, misalnya penyakit gusi. Dalam situasi ini, sama ada daya gigitan normal atau berlebihan dikenakan, gigi lebih cenderung untuk terlibat. Jika terdapat penyakit gusi bersama-sama daya berlebihan, lebih banyak kerosakan tulang akan terjadi.

 


Gambar Rajah 2:
Sokongan tulang yang baik, bersama-sama daya gigitan berlebihan
 


Gambar Rajah 3: Trauma gigitan lebih kerap terjadi pada pesakit yang kurang tulang penyokong gigi

Bruksisme atau tabiat mengetam gigi boleh menyebabkan kegoyangan gigi  akibat daripada daya berlebihan yang dikenakan ke atas gigi atas dan bawah. Kegoyangan gigi tidak akan berlaku jika terdapat permukaan gigi yang haus. Bruksisme akan menerukkan kehilangan pelekatan tisu gusi jika pesakit sudah sedia ada penyakit gusi. Kegoyangan gigi tidak akan bertambah teruk jika tabiat mengetam gigi ini dapat dikawal dan di bawah pengawasan doktor.

Tumor atau ketumbuhan

Untuk kes-kes yang tertentu, kegoyangan gigi juga dikaitkan dengan ketumbuhan (tumor) pada rahang di mana tumor akan menyebabkan kemusnahan pada tulang penyokong gigi. Untuk kes seperti ini, penyiasatan yang teperinci haruslah dijalankan.

Tanda dan Gejala

Kegoyangan gigi bukanlah penyakit semata-mata, bahkan ianya adalah tanda dan gejala bagi sesuatu keadaan atau penyakit. Pakar atau doktor pergigian perlu menyiasat penyebabnya. Keterukan pada kegoyangan gigi berdasarkan kepada jumlah tulang yang hilang (sila lihat gambar x-ray di bawah yang jelas menunjukkan tulang normal dan kehilangan tulang akibat penyakit gusi)


Tulang penyokong gigi kelihatan normal dan gigi yang kuat


Kehilangan tulang berikutan penyakit gusi dengan gigi yang goyang

Kegoyangan gigi boleh dikalsifikasikan, sama ada gred 1, apabila gigi bergoyang kurang daripada 1mm dalam kedudukan mendatar, atau gred 2 jika gigi boleh digerakkan melebihi 1mm, dan yang paling teruk, gred 3 iaitu apabila gigi boleh digerakkan pada arah atau kedudukan menegak dan melebihi 1mm.

Selain daripada kegoyangan gigi, pesakit yang mempunyai penyakit gusi juga akan mengalami:

  • Gusi menyusut
  • Gusi bengkak, kadang kala gusi bernanah
  • Keradangan gusi (gusi berwarna merah darah)
  • Anjakan gigi
  • Gigi sakit
  • Gusi berdarah
  • Ngilu pada gigi pada minuman sejuk dan panas

Jika anda mengalami sebarang tanda dan gejala di atas, berjumpalah doktor gigi anda dengan segera  untuk mengelakkan daripada terjadinya kegoyangan gigi  yang lebih serius atau penyakit gusi yang lebih teruk.

Untuk kes trauma gigitan pula, di antara tanda dan gejala yang dapat diperhatikan oleh pesakit dan doktor ialah kegoyangan yang bertambah teruk dan berterusan, permukaan gigi yang haus, anjakan satu atau lebih gigi, sensitif kepada haba dan gigi patah.

Komplikasi

Pesakit yang mengalami kegoyangan gigi biasanya berasa tidak selesa dan mengalami kesukaran ketika mengunyah atau menggigit, dan untuk kes yang teruk, jika ianya tidak dirawat, akan menyebabkan kehilangan gigi di mana tulang penyokong gigi sudah tidak mencukupi.

Rawatan

Di dalam ketiadaan jangkitan atau penyakit gusi, dan jika penyebab kegoyangan gigi dapat diatasi, maka gigi akan menjadi kukuh kembali. Jika anda mendapat penyakit gusi, doktor gigi anda akan merujuk anda ke Pakar Periodontik (Pakar Gusi”). Di Malaysia, setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya seorang Pakar untuk memberi perkhidmatan kepakaran bagi masalah ini.

Tunjuk Ajar Higin Mulut, rawatan penskaleran dan pendebridmen akar (rawatan membuang plak dan karang gigi di permukaan akar) adalah contoh-contoh rawatan yang dijalankan. Anda haruslah memastikan setiap protokol rawatan ini diikuti, termasuklah rawatan tanpa pembedahan, rawatan pembedahan dan rawatan fasa pengekalan.

Trauma Oklusi pula biasanya dirawat dengan pengubahsuaian oklusi (gigitan), rawatan ortodontik (memakai pendakap gigi) untuk memperbaiki gigi yang tidak teratur.

Pensplinan merupakan sejenis rawatan menghubungkan dua atau lebih gigi. Ianya diindikasikan bagi gigi yang goyang, dengan tujuan untuk menstabilkan gigi tersebut, terutama sekali jika pesakit mengalami masalah kesukaran untuk mengunyah.  Bagaimana pun ianya bergantung kepada prognosis (ramalan untuk gigi tersebut sama ada boleh diselamatkan atau tidak) dan anda perlu menjaga kebersihan gigi dan gusi anda dengan baik.

Bagi kes pengetaman gigi, pemakaian splint pada waktu malam adalah berguna untuk mengurangkan tanda dan gejala kegoyangan gigi. Memandangkan tabiat ini sering dikaitkan dengan tekanan, anda hendaklah sentiasa tenang dan mendapatkan tabiat tidur yang baik. Latihan merehatkan otot juga boleh dilakukan bagi mengurangkan kesan daripada tabiat ini.

Pencegahan

Seperti yang sedia maklum, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Pastikan kebersihan mulut anda sentiasa berada dalam keadaan baik iaitu dengan memberus gigi secara berkesan, 3 kali sehari, elakkan menggigit benda yang keras, amalkan pemakanan sihat, dan berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan sekali.

Secara ringkasnya, jangan ambil mudah jika gigi anda mengalami kegoyangan. Segeralah berjumpa dengan doktor gigi anda. Paling penting di sini ialah menghentikan daripada penyakit itu menjadi lebih teruk. Rawatan awal adalah penting demi menyelamatkan gigi anda!

Rujukan

  1. Clinical Periodontology and Implant Dentistry,Sixth Edition,Jan Lindhe, Niklaus P. Lang, Thorkild Karring
  2. http://dentalmobility.com/en/tooth-mobility.html
  3. http://www.dentalcare.com
  4. http://en.wikipedia.org/wiki/Tooth_mobility
  5. http://www.nidcr.nih.gov/oralhealth/Topics/GumDiseases
  6. http://www.nhs.uk/Conditions/teeth-grinding

 

Semakan Akhir : 19 Jun 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Rusmizan bin Yahaya
Akreditor : Dr. Rasidah bt. Ayob

 

Artikel Berkaitan

Masalah Penelanan : Penjagaan Kesihatan Mulut

Individu yang mengalami masalah sukar menelan mempunyai kecenderungan untuk menyedut rembesan mulut ke dalam paru-paru. Mengekalkan kebersihan mulut adalah penting bukan sahaja untuk kesihatan umum tetapi juga untuk mencegah jangkitan paru-paru.

Batu Karang Kelenjar Air Liur

Batu karang kelenjar air liur adalah sejenis formasi seperti batu yang terbentuk di dalam kelenjar air liur atau duktus kelenjar air liur.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,386,886

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia