A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gagap

Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat. Masalah ini boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Apa itu gagap?

Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat. Masalah ini boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Walaupun gagap bukan merupakan masalah kesihatan, namun masalah ini boleh menyebabkan proses komunikasi terganggu.

Apakah ciri-ciri gagap?

Masalah gagap boleh dikenal pasti melalui dua ciri utama iaitu gagap primer dan gagap sekunder

Gagap Primer

Gagap primer terjadi apabila pertuturan individu mengalami sekatan (blocking), pengulangan (repetition), pemanjangan (prolongation) atau sisipan (interjection).

  • Sekatan – berlaku apabila pertuturan tersangkut ketika cuba menyebut sesuatu perkataan. Sebagai contoh, ketika ingin menyebut ‘bola’, bibir individu mungkin tertutup dengan sangat rapat dan sukar digerakkan untuk menyebut perkataan tersebut.

  • Pengulangan – berlaku apabila bunyi, sukukata, sebahagian atau keseluruhan perkataan diulang-ulang beberapa kali dalam percakapan. Sebagai contoh, “Nak bu..bu..bu..bu,,,buka pintu”. Masalah ini kerap berlaku pada sukukata awal dan tidak pada sukukata akhir sesuatu perkataan.

  • Pemanjangan – berlaku apabila bunyi dalam perkataan dipanjangkan. Sebagai contoh, “ssssssaya nak booola”.

  • Sisipan – berlaku apabila terlalu kerap menambah bunyi tidak bermakna dalam percakapan. Sebagai contoh, menambah bunyi ‘aaa’ dan ‘hmmm’ semasa bercakap “aaa.. saya suka aaa… makan hmmm…. kek”

Gagap Sekunder

Gagap sekunder melibatkan pergerakan anggota badan yang terjadi semasa gagap primer berlaku. Sebagai contoh, mata berkelip-kelip berulang kali semasa berlakunya gagap. Selain itu, individu gagap juga boleh melakukan gerakan gagap sekunder seperti berikut:

  • Menepuk meja

  • Menghentak kaki

  • Hidung bergerak-gerak atau kembang

  • Kepala bergerak-gerak

Apakah punca-punca berlakunya gagap?

Sehingga kini, punca sebenar masalah gagap masih belum dapat di kenalpasti. Namun, menurut kajian, faktor-faktor berikut boleh menjadi punca gagap:

  • Genetik

    • Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah gagap berkemungkinan besar untuk mengalami masalah tersebut.

  • Kerosakan saraf

    • Kecederaan atau kerosakan sistem saraf akibat strok atau kemalangan boleh menjadi punca gagap yang dikenali sebagai gagap neurogenik.

  • Persekitaran

    • Individu terutamanya kanak-kanak yang terdedah kepada persekitan individu gagap (bapa, abang, saudara-mara), cenderung untuk mengikut gaya percakapan mereka dan boleh menjadi gagap.

  • Tekanan

    • Individu dalam tekanan untuk bercakap cenderung untuk menjadi gagap. Seperti contoh, kanak-kanak sering menjadi gagap apabila ibubapa menekan anak untuk menyebut perkataan dengan betul dan tepat. Ini menyebabkan tekanan pada otot-otot pertuturan dan menjadi punca anak gagap.

Bila gagap boleh menjadi lebih teruk?

Gagap boleh menjadi lebih teruk disebabkan faktor-faktor berikut:

  • Keadaan persekitaran

    • Keadaan persekitaran yang bising merupakan antara punca gagap menjadi lebih teruk.

  • Rakan komunikasi

    • Individu mudah menjadi lebih gagap apabila bercakap dengan orang yang tidak dikenali, berlainan jantina atau orang yang tidak rapat. Selain itu, keadaan akan menjadi lebih teruk apabila indvidu tersebut bercakap di hadapan orang ramai.

  • Topik perbualan

    • Topik perbualan atau perkataan yang susah dan jarang digunakan adalah lebih sukar untuk individu gagap. Misalnya, perkataan ‘perbendaharaan’, ‘

  • Perasaan

    • Perasaan individu sendiri boleh mempengaruhi masalah gagap. Individu yang berada dalam keadaan cemas, takut, teruja, penat, atau terkejut boleh menyebabkan gagap menjadi lebih teruk.

Apakah kesan-kesan gagap?

Masalah gagap boleh memberi kesan yang besar kepada individu dan masyarakat. Antara kesan-kesan gagap ialah:

  • Individu berasa rendah diri dan malu

  • Mengelak dari berbual dengan orang luar atau orang ramai.

  • Komunikasi menjadi tidak berkesan, maklumat tidak sampai kerana kurang difahami oleh pendengar.

  • Tekanan perasaan atau kemurungan.

Apakah yang boleh anda lakukan?

Masalah gagap merupakan masalah yang boleh dibantu melalui rawatan terapi pertuturan. Sekiranya anda, anak atau ahli keluarga anda mengalami masalah ini, anda boleh mendapatkan rujukan dan temujanji untuk berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan-Bahasa) di hospital-hospital yang berhampiran.

Bagaimanakah cara membezakan masalah Gagap dengan Pertuturan Tidak Lancar Yang Normal?

  Gagap Pertuturan Tidak Lancar Tetapi Normal
Umur Masalah bermula selepas umur tiga tahun enam bulan Masalah berlaku dalam lingkungan dua hingga lima tahun
Kekerapan Kerap dan semakin teruk Sekali sekala
Tempoh masa Berterusan sehingga enam atau 12 bulan atau lebih Beberapa minggu
Pengulangan suku-kata atau perkataan Mengulang lebih daripada dua kali “Le-le-le-letak sini” Mengulang sekali atau dua kali sahaja “Se-se-sekolah adik besar”
Nada suara Nada suara semakin meninggi dengan lebih banyak pengulangan Tiada perubahan pada nada suara
Perbuatan sekunder Kelihatan susah untuk bercakap, seperti memejam mata atau mengherotkan mulut Tidak mengalami kesukaran untuk bercakap

Rujukan

  1. British Stammering Association. 2000. Retrieved September 4, 2012 from http://www.stammering.org

  2. American Speech-Language-Hearing Association. 1997. Retrieved September 4, 2012 from http://www.asha.org

  3. The Stuttering Foundation. 2008. If You Think Your Child Is Stuttering. Retrieved September 4, 2012 from http://www.stutteringhelp.org

  4. Mayo Clinic. 2012. Risk Factors For Stuttering. Retrieved September 4, 2012 from http://www.mayoclinic.com/health/stuttering

  5. Lebrun, Y., & Van Borsel, J. (1990) Final sound repetitions. Journal of Fluency Disorders, 15, 107-113.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Raphidah bt. Rusly
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Neuroblastoma

Neuroblastoma adalah barah yang paling utama ditemui di kalangan bayi.

Demam Kepialu

Apa itu Demam Kepialu? Ini adalah jangkitan kuman bakteria pada

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,098,156

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia