A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Gagap di Kalangan Kanak-Kanak

Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat.

 Apa itu gagap di kalangan kanak-kanak?

Adakah anak anda sering tersekat-sekat semasa bercakap atau anak anda kerap mengulangi suku kata dan perkataan yang sama semasa bercakap? Jika ya, seringkah anda tertanya-tanya sama ada anak anda mengalami kegagapan?

Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat.

Kebiasaannya, kanak-kanak berusia 2 hingga 5 tahun mengalami tempoh kegagapan dalam proses perkembangan bahasa mereka. Semasa bercakap mereka sering tersekat-sekat, mengulangi suku kata, perkataan atau ayat, pemanjangan sesuatu bunyi perkataan atau berhenti ketika bercakap. Ini bukanlah fenomena luar biasa. Hampir 5% kanak-kanak mengalami kegagapan normal pada usia ini.

Kadang-kadang ini terjadi disebabkan oleh kanak-kanak terlampau penat, gembira, teruja untuk bercakap atau ingin bercakap dengan pantas.

 Apakah gagap normal di kalangan kanak-kanak?

  1. Kanak-kanak mengalami kegagapan normal apabila mengulangi suku kata atau perkataan 1 hingga 2 kali contohnya sa-sa-saya. Kegagapan juga disertai sisipan seperti “um”, “uh” dan “er”
  2. Kegagapan muncul antara umur 2 hingga 5 tahun. Muncul dan hilang pada waktu-waktu tertentu.
  3. Kegagapan muncul dan hilang pada waktu-waktu tertentu disebabkan oleh kanak-kanak sedang melalui proses pembelajaran benda baru dan cuba untuk memahirkan kemahiran bahasa yang ada

 Apakah faktor mempengaruhi kegagapan?

Faktor utama yang menyebabkan kegagapan masih belum dikenal pasti namun beberapa faktor yang sering dikaitkan dengan kegagapan adalah seperti berikut:

  • Genetik ? Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah gagap berkemungkinan besar untuk mengalami masalah tersebut.
  • Faktor perkembangan ? Kanak-kanak mengalami perkembangan kognitif, fizikal, sosial/emosi dan bahasa pertuturan dengan cepat pada usia 2 hingga 5 tahun.
  • Persekitaran ? Individu terutamanya kanak-kanak yang terdedah kepada persekitan individu gagap (bapa, abang, saudara-mara), cenderung untuk mengikut gaya percakapan mereka dan boleh menjadi gagap. Selain itu harapan tinggi ibu bapa juga menyumbang kepada kegagapan di kalangan kanak-kanak, kerana ini boleh meningkatkan ketakutan kanak-kanak dan seterusnya meningkatkan kemungkinan berlakunya gagap.

Apakah ciri-ciri masalah kegagapan di kalangan kanak-kanak?

  • Pengulangan suku kata dan perkataan lebih dari 2 kali seperti sa-sa-sa-saya.
  • Pengulangan melibatkan kepayahan dan ketegangan otot-otot yang ketara di kawasan muka dan mulut.
  • Bermula dan berterusan selepas 3 tahun setengah
  • Tempoh kemunculan dan hilang gagap semakin bertambah. Tempoh gagap berlanjutan 6 hingga 12 bulan dan ada yang kekal.
  • Kanak-kanak mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyebabkan kegagapan.
  • Mengalami kegagapan lebih 10 perkataan daripada 100 perkataan.

Apakah kesan kegagapan di kalangan kanak-kanak?

Semakin meningkat dewasa, kanak-kanak akan semakin menyedari masalah pertuturan yang di alami. Oleh yang demikian, kegagapan meningkatkan rasa malu di kalangan kanak-kanak. Ini mengakibatkan kanak-kanak rasa kurang yakin diri untuk berkomunikasi. Selain itu, rakan sebaya mula menyedari masalah ini dan mula mengejek.

Selain itu, kegagapan meningkatkan tekanan kanak-kanak di situasi yang memerlukan mereka bercakap.

Bagaimanakah kegagapan dapat dikenal pasti?

Jika terdapat ciri-ciri kegagapan yang dinyatakan di atas, ibu bapa digalakkan untuk membawa anak berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) untuk mendapatkan penilaian dan rawatan yang sewajarnya.

Tip-tip yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak gagap.

Berikut merupakan antara tips yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak gagap:

  • Bercakap secara tenang dan tanpa tergesa-gesa. Tunggu seketika dalam beberapa saat sebelum memberikan respon kepada anak selepas mereka habis bercakap. Model bercakap dengan tenang dan lancar adalah lebih berkesan berbanding memberi komen atau nasihat tentang bagaimana mereka bercakap.
  • Model percakapan yang lancar. Bercakap dengan menggunakan ayat-ayat pendek dan mudah.
  • Elakkan meminta anak bercakap dengan betul setiap masa
  • Wujudkan peluang untuk anak bercakap dengan tenang, harmoni dan gembira
  • Dengar apa yang dituturkan oleh anak sehingga habis, tanpa perlu menyudahkan atau membetulkan ayat yang dituturkan oleh anak.
  • Kurangkan bertanya kepada anak. Banyakkan komen atau perjelaskan apa yang dituturkan oleh anak berbanding bertanya banyak soalan mengenainya.
  • Luangkan masa bersama anak. Luangkan masa untuk berinteraksi dengan anak dengan lebih efektif untuk meningkatkan keyakinan anak untuk bertutur. 

Rujukan

  1. http://www.webmd.com/parenting/stuttering diperoleh pada 2 September 2015.
  2. http://www.stutteringhelp.org/kids diperoleh pada 2 September 2015.
  3. https://www.mnsu.edu/comdis/kuster/Parents/Parentsguide.html diperoleh pada 2 September 2015.
  4. (http://myhealth.moh.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=8170&Itemid=3 diperoleh pada 2 September 2015.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurul Fatehah bt. Ismail
Akreditor : Noormala bt. Anuar Ali
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Vaksin BCG/TB

Apa itu BCG? BCG adalah singkatan bagi Bacillus Calmette Gurrain.

Cerebral Palsi

Memahami Penyakit Cerebral Palsi (CP) Cerebral Palsi (CP) adalah gangguan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,270

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia