A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Neurologi
  8. /
  9. Gagap Di Kalangan Dewasa

Gagap Di Kalangan Dewasa

Gagap di kalangan dewasa selalunya bersifat gagap neurogenik yang terjadi kesan daripada kerosakan sistem saraf.

Apa itu gagap di kalangan dewasa?

Gagap ialah keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau tersekat-sekat. Gagap di kalangan dewasa selalunya bersifat gagap neurogenik yang terjadi kesan daripada kerosakan sistem saraf.

Kerosakan sistem saraf boleh berpunca daripada:

  • Strok atau angin ahmar dengan ada atau tiada aphasia
  • Kecederaan kepala
  • Kanser
  • Penyakit degenaritif seperti Parkinson
  • Lain-lain seperti meningitis
  • Kesan daripada sesetengah ubatan

Apakah faktor mempengaruhi kegagapan?

Kegagapan neurogenik terjadi akibat daripada kerosakan saraf. Pada asalnya, individu ini dapat bertutur dengan lancar dan jelas, namun akibat kerosakan saraf kelancaran pertuturan mereka terganggu. Pada kebiasaannya, individu dewasa yang mengalami kegagapan neurogenik mempunyai sejarah kegagapan pada waktu kecil tetapi hilang apabila meningkat dewasa.

Apakah ciri-ciri kegagapan di kalangan dewasa?

Kebiasaannya ciri-ciri kegagapan di kalangan dewasa adalah pelbagai dan berbeza mengikut individu yang dipengaruhi oleh pelbagai penyakit dan kecelaruan.

Ciri-ciri gagap di kalangan dewasa adalah seperti berikut:

  • Ketidaklancaran atau gangguan yang ketara dalam pertuturan akibat sekatan dan sisipan (interjection) seperti mmm, errr, aaa
  • Pengulangan suku kata, perkatan atau ayat dalam percakapan
  • Pemanjangan atau sekatan bunyi pertuturan
  • Teragak-agak dan jeda yang tidak menentu dalam percakapan
  • Jeda atau terdiam semasa menghasilkan pertuturan tanpa menyudahkan sebutan sesuatu perkataan
  • Terdapat bunyi-bunyi tambahan ketika bercakap
  • Letusan pertuturan yang tidak dijangka dan kurang kejelasan
  • Pergerakan berlebihan pada bibir, rahang dan lidah ketika cuba bercakap

Sesetengah individu yang mempunyai ciri-ciri kegagapan di atas juga mungkin turut mengalami keadaan berikut:

  • Kegagapan sekunder iaitu melibatkan pergerakan anggota badan. (contoh, mata berkelip-kelip berulang kali, menepuk meja, menghentak kaki, hidung bergerak-gerak atau kembang, kepala bergerak-gerak)
  • Menangguhkan perbualan atau mengelak untuk bertutur pada waktu tertentu.

Kebanyakkan individu dewasa tidak menyedari atau tidak peduli masalah kelancaran dalam percakapan mereka. Namun begitu, terdapat individu yang menyedari masalah ini dan menunjukkan kegusaran dan kemurungan untuk bercakap. Ciri-ciri ini kadang-kadang terhasil bertujuan untuk mereka mengatasi masalah kelancaran dan menyembunyikan masalah pertuturan yang di alami.

Apakah kesan kegagapan di kalangan dewasa?

Lazimnya kegagapan menganggu kelancaran percakapan serta menjejaskan sesuatu mesej disampaikan. Selain daripada itu ia turut memberikan kesan berikut:

  • Mengurangkan keyakinan diri semasa bercakap
  • Mengurangkan peluang untuk bersosial dengan rakan sebaya
  • Boleh mengakibatkan kemurungan
  • Kegusaran berlebihan untuk bercakap
  • Meningkatkan tekanan disebabkan rasa malu untuk bercakap

Bagaimanakah kegagapan dapat dikenal pasti?

Jika terdapat ciri-ciri kegagapan yang dinyatakan di atas, adalah digalakkan untuk berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) supaya diagnosis boleh dibuat. Terapis pertuturan seterusnya boleh bekerjasama dengan profesional lain mengenai status penyakit yang dialami oleh pesakit supaya diagnosis yang bersesuaian boleh dibuat.

Apakah strategi dalam membantu kegagapan?

Kebiasaannya gagap neurogenik hadir bersama masalah lain seperti apraxia, aphasia dan disartria. Oleh yang demikian, tiada cara rawatan yang khusus untuk merawat gagap neurogenik.

Namun begitu, strategi berikut mampu untuk mengurangkan kegagapan:

  • Bercakap Dengan Lembut Dan Lancar (Smooth Speech Techniques). Mulakan bunyi (huruf) pertama untuk setiap perkataan selembut yang boleh. Gunakan setiap organ pertuturan (lidah, bibir, rahang) anda dengan berhati-hati dan cuba fikirkan macam mana anda menghasilkan setiap bunyi dan di mana kedudukan setiap organ pertuturan berada untuk setiap bunyi. Ingat untuk sentiasa sebut dengan lembut untuk setiap bunyi konsonan dan cuba memanjangkan bunyi vokal selembutnya semasa bercakap.
  • Bercakap dengan kadar yang perlahan, mengurangkan jumlah perkataan yang disebut untuk satu hela nafas.
  • Fokuskan kepada permulaan percakapan yang lembut (gentle onset)
  • Mengubah posisi organ pertuturan supaya lebih pertuturan dihasilkan lebih lembut dan relaks
  • Kenal pasti corak pertuturan yang menyebabkan kegagapan dan mengubah corak tersebut kepada yang lebih sesuai

Selain itu, rawatan juga melibatkan kaunseling untuk mengurangkan kegusaran dan tekanan terhadap masalah kegagapan yang di alami. (Lihat Tips-tips Berkomunikasi dengan Individu Gagap)

Rujukan

  1. http://www.icommunicatetherapy.com/adult-communication-difficulties-2/adult-speech-hearing-difficulties-deafness/stammering-stuttering-adult-dysfluency/ diperoleh pada 2 September 2015
  2. http://www.stutteringhelp.org/neurogenic-stuttering diperoleh pada 2 September 2015
  3. http://myhealth.moh.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=8170&Itemid=3 diperoleh pada 2 September 2015
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurul Fatehah bt. Ismail
Akreditor : Noormala bt. Anuar Ali
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

HIV / AIDS – TA

Pengenalan Wabak jangkitan virus Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Sindrom

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,388,267

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia