A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiasi
  6. /
  7. Fungsi dan Peranan Pegawai...

Fungsi dan Peranan Pegawai Sains (Fizik) KKM dalam menangani isu-isu radiasi di Malaysia

Pengenalan

Tanpa disedari, kita sentiasa terdedah kepada radiasi atau sinaran dalam kehidupan seharian. Sinaran boleh berpunca dari sumber semula jadi dan sumber buatan manusia (man-made). Contohnya sinaran semula jadi ialah sinaran ultra-ungu (ultra-violet) . manakala sinar-x dari mesin x-ray adalah contoh sinaran buatan manusia. Peralatan seharian seperti ketuhar gelombang mikro (micro wave oven) dan peranti komunikasi tanpa wayar juga memancarkan sinaran.

Sinaran merupakan gelombang tenaga yang bergerak. Ia adalah gelombang elektromagnet yang terdiri dari dua komponen iaitu medan elektrik dan magnet yang bergerak secara bersama melalui ruang pada kelajuan cahaya. Sinaran boleh dikelaskan kepada dua kategori, iaitu sinaran mengion (ionising radiation) dan sinaran tak-mengion (non-ionising radiation). Sinaran mengion mempunyai tenaga yang berkeupayaan untuk menyebabkan pengionan manakala sinaran tak mengion pula tidak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk menyebabkan pengionan berlaku. Kategori sinaran ini adalah seperti ditunjukkan dalam gambarajah 1.

spektrum-elektromagnet

Gambarajah 1: Spektrum Elektromagnet

Pegawai Sains (Fizik)

Perkhidmatan fizik di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bermula dengan penubuhan Institut Radiotherapi, Ongkologi dan Perubatan Nuklear di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 1968. Pegawai Sains (Fizik)Di Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, jawatan Pegawai Sains (Fizik) telah diwujudkan sejak tahun 1974 untuk melaksanakan fungsi regulatori susulan kepada pewartaan Akta Bahan Radioaktif 1968.

Fungsi dan peranan Pegawai Sains (Fizik) di Kementerian KKM boleh dibahagikan kepada tiga bidang utama iaitu; kawalan regulatori, pekhidmatan klinikal dan khidmat nasihat teknikal seperti yang ditunjukkan dalam Gambarajah 2.

peranan-fizik

Gambarajah 2: Ringkasan peranan Pegawai Sains (Fizik) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Pada masa ini, Pegawai Sains (Fizik) telah ditempatkan di pelbagai jabatan dan hospital di KKM untuk melaksanakan tugas-tugas seperti berikut;

  1. Kawalan Regulatori
    • Seksyen Keselamatan Sinaran, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan (penguatkuasaan Akta 304)
    • Jabatan Kesihatan Negeri (penguatkuasaan Akta 304)
    • Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (penguatkuasaan Akta 737)
  2. Perkhidmatan Klinikal di hospital KKM
    • Jabatan Pengimejan Diagnostik
    • Jabatan Radioterapi dan Onkologi
    • Jabatan Perubatan Nuklear
  3. Khidmat Nasihat Teknikal
    • Unit Sains Fizik, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan
    • Jabatan Kesihatan Negeri

Kawalan Regulatori

Penggunaan sinaran mengion dalam bidang perubatan dikawal di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) manakala peranti perubatan selain dari yang melibatkan sinaran mengion pula dikawal di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) . Kedua-kedua akta ini saling melengkapi dalam menangani isu-isu radiasi yang merangkumi sinaran mengion dan sinaran tak-mengion. Peruntukan di bawah Akta 737 digunakan bagi menangani isu-isu yang tidak termasuk di bawah bidang kuasa Akta 304.

  1. Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304)

    Akta ini diwujudkan untuk mengawalselia dan mengawal uosakan nuklear dan menangani perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

    Seksyen 15(2) akta ini telah memberikan urusan melibatkan tenaga atom serta bagi menetapkan standard berhubung liabiliti terhadap ker kuasa yang menyeluruh kepada Ketua Pengarah Kesihatan selaku ‘pihak berkuasa yang berkenaan’ untuk mengeluarkan lesen yang berasingan bagi pihak Lembaga kepada pemohon yang ingin menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan maksud perubatan. Seksyen Keselamatan Sinaran, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti ini bagi pihak Ketua Pengarah Kesihatan. Walau bagaimanapun, kawalan akta ini hanya terhad kepada radas yang melibatkan tenaga atom dan sinaran mengion sahaja.

  2. Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737)

    Akta Peranti Perubatan 2012 atau Akta 737 telah digubal untuk mengawal penggunaan peranti perubatan, industri peranti perubatan serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta ini telah memberikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan untuk mengawal peranti perubatan di Malaysia melalui Akta Pihak Berkuasa Peranti Perubatan 2012 (Akta 738). Akta 737 telah mula dikuatkuasakan pada tahun 2013. Di bawah akta ini, semua peranti perubatan yang akan memasuki pasaran Malaysia perlu didaftarkan dan hanya boleh diletakkan ke dalam pasaran oleh establisment yang berlesen.

    Pegawai di Pihak Berkuasa Peranti Perubatan adalah terdiri dari pelbagai disiplin termasuk Pegawai Sains (Fizik)

Perkhidmatan Klinikal di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia

Perkhidmatan fizik klinikal amat berkait rapat dengan prosidur perubatan yang melibatkan sinaran mengion, kawalseliaan bahan radioaktif, perlindungan sinaran dan kawalan kualiti peralatan penyinaran. Peranan utama Pegawai Sains (Fizik) adalah bagi memastikan dos radiasi yang diberikan kepada pesakit adalah selamat dan berkesan dalam mencapai matlamat diagnostik atau terapeutik seperti yang direncanakan oleh pegawai perubatan.

  1. Radioterapi dan Onkologi
    • Fokus kepada rawatan pesakit
    • Memastikan pesakit yang menerima rawatan dan terapi radiasi mengikut perancangan dan pelan yang telah ditetapkan dan selaras dengan good scientific practice.
  2. Perubatan Nuklear dan Radiologi
    • Fokus kepada diagnosis pesakit
    • Memastikan semua peralatan diagnostik yang menggunakan sinaran mengion menghasilkan imej yang berkualiti dengan dedahan dos yang minima selaras dengan konsep ALARA (as low as reasonably achievable)

Dalam penyampaian perkhidmatan klinikal di hospital, Pegawai Sains (Fizik) berkerjasama secara rapat dengan pegawai perubatan, jurutera biomedikal, juru x-ray, juruteknilogi serta jururawat. Pegawai Sains (Fizik) juga perlu sentiasa mengawasi keselamatan pekerja dari bahaya sinaran. Pegawai Sains (Fizik) juga perlu memastikan semua radas yang menghasilkan sinaran diselenggara dan dikalibras agar sentiasa selamat, i, mengeluarkan dos sinaran yang tepat, dan berfungsi pada tahap yang optima.

Khidmat Nasihat Teknikal

Pegawai Sains (Fizik) juga berperanan dalam memberi khidmat nasihat berhubung isu- keselamatan sinaran melibatkan kedua-dua sinaran mengion dan sinaran tak mengion. Sebagai contoh, isu berkaitan kesan kesihatan dari pemancar telekomunikasi, laser dan pencawang elektrik. Disamping itu, Pegawai Sains (Fizik) juga berperanan dalam menyelaras dan membangunkan program pendidikan dan kesedaran berhubung perkara ini. Khidmat nasihat teknikal ini dilakukan bersama oleh -Pegawai Sains (Fizik) di Unit Sains Fizik, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan dan Pejabat Kesihatan Negeri.

Antara peranan Pegawai Sains (Fizik) berkaitan khidmat nasihat teknikal adalah seperti berikut:

  1. Keselamatan Sinaran (Radiation safety)
    • Pengendalian aduan
    • Pendidikan dan kesedaran
    • Pogram perlindungan sinaran
  2. Kawalselia bahan radioaktif (Security of radioactive material)
    • Membangunkan program kawalselia bahan radioaktif yang melibatkan kawalan fizikal dan amalan
    • Melaksanakan penilaian (assessment)
  3. Teknologi & Regulatory Affairs
    • Peralatan & teknologi
    • Dasar & Perundangan
    • Pengharmonian Standards
    • Kerjasama antara agensi (nasional & international)
    • Kajian perundangan semasa

Rumusan

Fungsi dan peranan Pegawai Sains (Fizik) di KKM dalam menangani isu-isu radiasi adalah dan berdasarkan mandat dan bidangkuasa yang telah diberikan seperti berikut;

  1. Pegawai Sains (Fizik) yang bertugas di agensi penguatkuasaan akan memastikan pematuhan terhadap keperluan regulatori khususnya dalam hal yang berkaitan dengan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan Akta Peranti Perubatan 2012.
  2. Pegawai Sains (Fizik) yang bertugas di hospital- terlibat dalam memberikan perkhidmatan klinikal dan berperanan menangani isu-isu berkaitan saintifik (scientific), keberkesanan (effective), keselamatan (safe), kawalselia (security) and efficient use of radiation;
  3. Di peringkat pembuat dasar di ibupejabat KKM, mereka perlu memastikan sistem regulatori sentiasa dikemaskini sejajar dengan perkembangan semasa dan keperluan negara serta selaras dengan amalan antarabangsa;
  4. Pegawai-pegawai di Pejabat Kesihatan Negeri berperanan sebagai penyelaras dalam melaksanakan semua program perlindungan sinaran diperingkat negeri.

Rujukan

  1. International Atomic Energy Agency, Role and responsibilities, education and training requirements for clinically qualified medical physicist, Human Health Services Series No. 25, IAEA, Vienna (2013)
  2. Laws of Malaysia, Act 304, Atomic Energy Licensing Act 1984
  3. Laws of Malaysia, Radiation Protection (Licensing) Regulations 1986, P.U. [A] 149/86
  4. Calcagini G, Censi F, Bartolini P, Electromagnetic immunity of medical devices: the European regulatory framework, Ann Ist Super Sanita 2007;Vol. 43, No. 3, p. 268-276
  5. Caruana CJ, Padovani R, Christofides S, Physics and Society: The medical physics profession and its contribution to healthcare
  6. Laws of Malaysia, Act 737, Medical Devices Act 2012
  7. https://radia.moh.gov.my/project/new/radia/perundangan.php
  8. http://www.mdb.gov.my/mdb/
  9. Smith PHS, The role of the medical physicist in relation to medical devices, IOMP
  10. Federal Government Gazette, Medical Device Regulation 2012, P.U. [A] 500
  11. Laws of Malaysia, Act 738, Medical Devices Authority Act 2012
Semakan Akhir : 04 Mac 2016
Penulis : Mohd Amin bin Yaakob
Akreditor : Dr. Bidi bin Ab. Hamid

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,234,916

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia