A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Forensik dan Mitos

Forensik dan Mitos

Mayat adalah tidak berbahaya asalkan kematiannya tidak disebabkan oleh penyakit berjangkit atau ianya bukan pembawa penyakit berjangkit. Setakat ini, masih tiada sebarang bukti yang dilaporkan mengenai risiko kesihatan kepada orang awam yang terdapat pada jasad si mati.

Mitos:

Badi mayat.

Kenyataan:

Mayat adalah tidak berbahaya asalkan kematiannya tidak disebabkan oleh penyakit berjangkit atau ianya bukan pembawa penyakit berjangkit. Setakat ini, masih tiada sebarang bukti yang dilaporkan mengenai risiko kesihatan kepada orang awam yang terdapat pada jasad si mati. Sebaliknya, terdapat banyak fakta yang membangkang isu badi mayat.

Walaupun perkembangan sains dan teknologi masa kini telah menyangkal pelbagai mitos berkenaan mayat, namun pemikiran manusia masih terhad kepada konsep bahawa mayat adalah ‘kotor’. Mayat dianggap penuh dengan kekotoran dan kuman, serta berupaya merebakkan pelbagai jenis penyakit. Maka, kita tidak seharusnya menyentuh ataupun mendekati mayat.

Proses pereputan akan bermula sebaik sahaja seseorang itu mati, tetapi perubahan pereputan  berlaku secara beransur-ansur. Ianya tidak terus membusuk sejurus selepas kematian. Dalam 12 – 24 jam yang pertama, bahagian luaran mayat masih dalam keadaan utuh dan perubahan pereputan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tambahan pula, proses ini akan jika mayat diawet atau disimpan di bawah suhu 70C. Apabila pereputan menjadi lebih jelas, mayat tersebut kelihatan solah-olah ianya ‘kotor’ walhal ianya hanyalah mengalami perubahan selepas kematian (perubahan postmortem).

Jikalau sudah wujud dalam pemikiran seseorang bahawa mayat itu berjangkit, semestinya beliau akan berasa tidak selesa apabila mendekati mayat. Dengan itu, perlu ditekankan di sini bahawa perubahan postmortem bukanlah tanda satu-satu mayat itu berjangkit.

Mitos:

Organ si mati akan dicuri sebaik sahaja dihantar ke bilik mayat.

Kenyataan:

Terdapat spekulasi bahawa organ si mati akan dicuri untuk dijual sebaik sahaja jasad si mati dihantar ke mortuari (bilik mayat). Walau bagaimanapun, tiada sebarang laporan yang sah menyatakan terdapatnya kes sebegini di Malaysia. Sekiranya benar berlaku, proses tuntutan mayat dari hospital akan menjadi lambat, sejurusnya menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan waris / keluarga. Bayangkan keadaan boleh menjadi huru-hara  jika kesan pemotongan dijumpai pada  jasad si mati tanpa sebarang alasan yang munasabah!

Bagi membongkar mitos ini, beberapa fakta perlu diambil kira. Pertamanya, perlu difahamkan bahawa justifikasi untuk mendapatkan organ dari jasad si mati adalah besar kemungkinan, secara logiknya, untuk memenuhi keperluan pemindahan (transplan) organ bagi mereka yang memerlukannya. Dari segi undang-undang, bagi memastikan organ tersebut sesuai untuk transplan, organ tersebut mestilah diperolehi dengan kaedah yang betul oleh pakar yang terlatih dan mestilah disimpan dengan cara yang betul. Sekiranya cara pengambilan organ tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan, organ tersebut akan rosak dan tidak boleh digunakan untuk pemindahan. Agak sukar untuk memenuhi keperluan ini sekiranya pengambilan organ dilakukan secara sulit di dalam mortuari, tanpa pengetahuan dunia luar. Pelaku kesalahan ini sudah semestinya mudah ditangkap.

Keduanya, organ-organ manusia mudah rosak setelah dikeluarkan dari badan. Bagi memastikan organ boleh berfungsi setelah dipindahkan kepada penerima organ, ianya perlu dipelihara dengan cara yang betul dalam tempoh pemeliharaan yang terhad. Dalam ertikata lain, organ-organ mempunyai tarikh tamat tempoh masing-masing selepas diambil dari jasad, supaya ianya sesuai digunakan untuk transplan. Anggaran tempoh pemeliharaan bagi pelbagai organ adalah seperti berikut :

  • Jantung/peparu: 4 – 6 jam
  • Pankreas: 12 – 24 jam
  • Hati: sehingga 24 jam
  • Ginjal: 48 – 72 jam
  • Kornea: mesti ditransplan dalam masa 5 – 7 hari
  • Injap jantung, kulit, tulang, urat saphenous: Mungkin boleh dipelihara 3 – 10 tahun

Kadar kejayaan pemindahan organ-organ seperti jantung, hati, ginjal dan pankreas akan bertambah tinggi jika ianya dibekalkan darah dan oksigen secara berterusan. Bekalan ventilator oksigen yang mencukupi membolehkan organ terus berfungsi dan memberi masa untuk koordinasi proses pendermaan. Sebarang kesilapan dalam salah satu langkah akan menyebabkan organ-organ ini tidak boleh digunakan lagi.

Sebaik sahaja organ berjaya dipelihara, prosedur transplan hanya dapat dilakukan oleh pakar berkaitan dengan adanya bantuan dari warga kerja yang terlatih, peralatan yang betul dan bekalan darah yang mencukupi untuk pesakit.

Selepas transplan pula, pesakit perlu mendapatkan rawatan susulan dan dipantau oleh doktor pakar dalam bidang yang berkaitan. Pesakit juga perlu mengambil ubat pos-transplan, iaitu immunosuppressant drugs untuk jangkamasa tertentu, supaya organ tersebut boleh berfungsi dengan baik. Menurut Akta Racun 1952, immunosuppressant dikategorikan sebagai racun kumpulan B, iaitu preskripsi ubat ini hanya boleh dikeluarkan oleh pegawai perubatan yang berdaftar. Di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia pula, ubat ini diletakkan di bawah kumpulan ubat A*, iaitu preskripsi ubat ini hanya boleh diarahkan oleh pakar perunding bagi indikasi yang tertentu sahaja. Bukan sebarangan orang yang boleh mengeluarkan preskripsi ubat tersebut.

Justeru itu, di Malaysia, bukannya senang untuk seseorang mencuri organ dari jasad dan ditransplan ke orang lain tanpa menimbulkan syak wasangka. Dari sudut pandangan perubatan, prosedur pengambilan dan pemeliharaan organ, transplan organ dan rawatan pos-transplan merupakan prosedur yang besar, di mana banyak usaha dan masa diperlukan. Pusat Sumber Transplan Nasional, yang telah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bertanggungjawab menyelaraskan usaha ini dengan cara yang betul dan sah dari segi undang-undang.

Mitos:

Terdapat ‘kejadian luarbiasa’ berlaku di bilik mayat?

Kenyataan:

Soalan ini agak susah dijawab jika ‘kejadian luarbiasa’ di sini merujuk kepada fenomena ghaib. Walau bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada sebarang laporan atau aduan yang berkenaan  direkodkan oleh warga kerja di bilik mayat ataupun waris yang datang ke bilik mayat.

Kebanyakan orang beranggap bilik mortuari merupakan satu tempat yang menakutkan kerana mengendalikan jasad  orang mati. Ada yang percaya roh si mati akan keluar dari jasad menjadi hantu. Secara automatik, mortuari dilihat sebagai satu tempat yang dipenuhi hantu maka, banyaklah ‘kejadian luarbiasa’ akan berlaku.

Apabila terdapat perasaan takut, pemikiran manusia senang dipengaruhi. Sebagai contoh, apabila sebatang pen terjatuh dari meja di mortuari, seseorang mungkin terfikir bahawa hantu yang menyebabkannya terjatuh. Padahal, terdapat pelbagai sebab pen itu jatuh. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa ‘kejadian luarbiasa’ ini sebenarnya adalah imaginasi manusia, dan bukanlah aktiviti paranormal.

Mitos:

Mendekati ataupun bekerja di mortuari akan menyebabkan jangkitan Human immunodeficiency virus (HIV).

Kenyataan:


(http://www.rkm.com.au/VIRUS/HIV/HIV-virion-laevo.html)
Gambar 1: HIV

HIV merupakan virus yang akan mengakibatkan sejenis penyakit yang dikenali sebagai AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome or Acquired Immunodeficiency Syndrome). Individu yang mempunyai HIV adalah seseorang yang mempunyai jangkitan HIV. Jika tidak dirawat, jangkitan HIV boleh menjadi bertambah serius dan individu tersebut akan menghidap penyakit AIDS.

HIV boleh dijumpai di dalam bendalir badan orang yang dijangkiti, seperti darah, air mani, bendair faraj dan susu ibu. HIV boleh dijangkiti melalui:

  • Penyentuhan darah (e.g. transfusi darah dan kontaminasi jarum hipodermik)
  • Hubungan seksual
  • Ibu menjangkiti bayi semasa hamil, kelahiran bayi dan menyusu badan.

Walaupun seseorang tidak boleh dijangkiti HIV melalui sentuhan, air mata, peluh atau air liur, adalah satu amalan di mortuari, supaya semua tisu dan cecair badan dari jasad yang dijangkiti HIV mesti dianggap sebagai berpotensi menyebabkan jangkitan.

Jasad si mati yang dijangkiti HIC akan dikendalikan dengan berhati-hati sebelum diserahkan kepada waris. Amalan kawalan infeksi yang baik dan langkah berjaga-jaga sejagat mesti dipatuhi oleh doktor patologi dan kakitangan mortuari apabila mengendalikan mayat, tanpa mengira samada si mati berkemungkinan besar atau kecil mempunyai jangkitan HIV, bagi merendahkan lagi risiko mendapat jangkitan. Pada dasarnya, pengurusan risiko yang betul digunakan untuk melindungi kakitangan dan ahli keluarga dari risiko jangkitan HIV.

Mitos:

Adakah bedah-siasat itu menyalahi undang-undang?

Kenyataan:

Dalam sistem perundangan Malaysia, seperti yang termaktub dalam Seksyen 329 dan 330 Kanun Tatacara Jenayah, kuasa untuk mengarahkan pemeriksaan bedah-siasat medikolegal terletak pada pihak polis dan majistret. Bagi kematian yang memerlukan siasatan medikolegal, polis dan majistret membuat keputusan sama ada untuk mengeluarkan permintaan bagi pemeriksaan bedah-siasat (dengan menggunakan Borang Polis 61 (P61)) atau tidak. Setelah borang P61 dikeluarkan, pegawai perubatan kerajaan yang berdaftar diberi kuasa undang-undang untuk menjalankan bedah-siasat ke atas si mati untuk menyiasat sebab kematian, dan memberi pendapat mengenai cara (manner) kematian. Bedah-siasat medikolegal tidak boleh dijalankan tanpa borang P61, dan ia adalah mandatori apabila borang itu dikeluarkan.

Oleh itu, bedah-siasat medikolegal adalah satu proses yang sah dari segi undang-undang untuk menyiasat punca kematian, dengan syarat bahawa ianya mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

Mitos:

Lebam vs lebam mayat

Kenyataan:

Lebam merupakan tanda pada kulit di mana darah terperangkap di bawah permukaan kulit. Ia disebabkan oleh pemecahan salur darah dan kebocoran darah di bawah kulit tanpa memecahkan kulit. Lebam biasanya bermula dengan warna kemerahan. Ia kemudian bertukar menjadi ungu-kebiruan dan kuning kehijauan sebelum kulit kembali kepada normal. Selain daripada perubahan warna kulit, kawasan lebam turut kelihatan bengkak dan individu yang tercedera akan merasa sakit di bahagian tersebut.

Lebam adalah disebabkan oleh impak dengan objek atau permukaan yang tumpul dan keras. Contohnya jatuh di atas permukaan keras dan tumpul atau pukulan dengan objek tumpul.

Sementara itu, lebam mayat, juga dikenali sebagai livor mortis, lividiti postmortem, lividiti hypostatik dan hypostasis, adalah satu keadaan di mana kulit menjadi keunguan selepas mati akibat pengumpulan darah di bahagian bawah badan oleh tarikan graviti. Apabila seseorang mati,  jantung berhenti mengepam dan peredaran darah juga terhenti. Tarikan graviti menyebabkan darah meresap dan bertakung di bahagian bawah badan. Jika si mati berada dalam posisi terlentang, perubahan warna akan dilihat di belakang badan; manakala jika dalam posisi meniarap, ia akan dilihat di bahagian hadapan badan.

 

(http://3.bp.blogspot.com/-9pqtqcNc8jw/T_9U0R-hHAI/AAAAAAAABy8/AJ_yAS0NzGE/s1600/bruised-leg2.jpg)   (http://writersforensicsblog.files.wordpress.com/2013/04/lividity-co.jpg?w=300&h=157)
Gambar 2: Lebam (kiri); lebam mayat (kanan)

Disebabkan persamaan warna, orang awam boleh menyalahtafsirkan lebam mayat sebagai lebam. Mereka akan fikir bahawa lebam mayat itu adalah kecederaan disebabkan oleh objek atau permukaan yang tumpul dan keras, walhal ia hanyalah satu fenomena semulajadi yang berlaku pada semua mayat.

Lebam yang dialami dari trauma sebelum kematian yang dilihat pada mayat perlu dibezakan daripada lebam mayat oleh kakitangan perubatan yang terlatih dalam bidang forensik.  Lebam-lebam tersebut boleh memberi petunjuk kepada punca dan cara kematian.

Rujukan

  1. Transplant Australia : The Facts about Donation. http://www.transplant.org.au/The-Facts-About-Donation.html
  2. National Transplant Resource Centre, Ministry of Health Malaysia. 2009. www.agiftoflife.gov.my
  3. Government of Malaysia. Laws of Malaysia – Act 366 Poison Act 1952. Malaysia : The Comissioner of Law Revision, 2006.
  4. Kementerian Kesihatan Malaysia. Garispanduan formulary ubat Kementerian Kesihatan Malaysia, ed. Ketiga. Petaling Jaya : Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2012.
  5. Medical News Today : What is AIDS? What is HIV? 2012. http://www.medicalnewstoday.com/articles/17131.php
  6. Eds, Burton J, Rutty G. The Hospital autopsy, 2nd ed. London : Arnold,2001.
  7. Government of Malaysia. Laws of Malaysia – Act 593 Criminal Procedure Code. Malaysia : The Comissioner of Law Revision, 2006.
  8. MedlinePlus: Bruises. 2013. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/bruises.html
  9. MedlinePlus: Bruises. 2013. http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/007213.htm
  10. Shepherd R. Simpson’s Forensic Medicine, 12th  ed. London : Arnold, 2003.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Chong Sin Leng
Akreditor : Dr. Sri Marni bt. Zainal Abidin
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

Artikel Berkaitan

Digigit Anjing : Rawatan Awal

Air liur anjing boleh mengandungi kuman-kuman yang berbahaya seperti tetanus, rabies dan lain-lain lagi. Jika seseorang dijangkiti tetanus, ia boleh menyebabkan mengsa mengalami kekejangan otot dan boleh membawa maut. Begitu juga dengan rabies (penyakit anjing gila), jika tidak dirawat awal, risiko kematian adalah amat tinggi.

Interaksi Dengan Anak Autisme

Kanak-kanak autisme kebiasaannya lambat bertutur jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka. Perkembangan bahasa kanak-kanak autisme adalah berbeza bagi setiap individu.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,494,109

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia