Home > Dewasa > Filariasis Limfatik (Penyakit Untut)

Filariasis Limfatik (Penyakit Untut)

Pengenalan

Filariasis limfatik atau penyakit untut masih menjadi masalah kesihatan awam dan dianggarkan 120 juta penduduk di 80 buah negara dijangkiti dengan penyakit ini. Satu pertiga pengidap tinggal di India, satu pertiga di kawasan Afrika dan selebihnya di Asia Tenggara, Pasifik dan Amerika.

Di Malaysia, terdapat 8 buah negeri yang mempunyai kawasan-kawasan endemik filariasis iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Semua negeri tersebut diberi tumpuan khusus dalam Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Strategi program ini adalah untuk menghentikan transmisi jangkitan filariasis dan mengawal morbiditi pesakit filariasis limfatik. Melalui program ini pemberian ubat skala besar dijalankan melibatkan penduduk di kawasan endemik yang dijalankan setiap tahun untuk 5 pusingan. Program ini juga melibatkan aktiviti pendidikan kesihatan yang diberikan kepada komuniti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini. Ia juga memberi penekanan tentang pengamalan cara hidup sihat dan mementingkan penjagaan kebersihan diri terutama di kalangan pengidap penyakit ini

Penyebab

Filariasis limfatik adalah disebabkan oleh cacing parasit berbentuk benang (pita) yang dipanggil filaria. Sepsis filaria yang terdapat di Malaysia ialah Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi. Parasit filaria ini, pada peringkat dewasa, hidup dalam system saluran limfatik iaitu rangkaian saluran dan nodus-nodus yang mengekalkan imbangan cecair di antara tisu dan darah, yang merupakan komponen penting dalam system pertahanan melawan penyakit badan. Jangka hayat filaria ialah 4 hinga 6 tahun dan ia menghasilkan berjuta-juta mikrofilaria yang hidup dalam sirkulasi darah manusia.

Transmisi

Penyakit ini disebarkan oleh nyamuk yang menggigit individu yang telah dijangkiti dan membawa bersama mikrofilaria daripada darah pengidap. Microfilaria ini akan diserap ke dalam badan nyamuk tersebut yang akan menembusi dinding perut, memasuki bahagian dalam dan seterusnya di otot toraks nyamuk. Selepas tempoh lebih kurang dua minggu, parasit ini akan berhijrah ke kepala nyamuk dan menempatkan dirinya di mulut nyamuk tersebut, yang kemudiannya akan bersedia untuk memasuki kulit manusia yang seterusnya, apabila digigit oleh nyamuk ini, mewujudkan kitaran yang lengkap.

Diagnosis

Pembacaan slaid darah digunakan bagi menentukan kehadiran mikrofilaria. Walaubagaimanapun, pengambilan sampel slaid darah ini perlu dijalankan pada waktu malam kerana parasit ini mempunyai sifat periodisiti nokturnal yang menyebabkan parasit ini hanya boleh dikesan dalam darah pada waktu malam. Namun begitu, teknologi terkini yang diperkenalkan ialah penggunaan “card test” yang lebih mudah dan spesifik yang mana parasit ini boleh dikesan pada bila-bila masa dengan hanya memerlukan pengambilan sampel darah hujung jari untuk mendiagnosa kehadiran microfilaria dalam darah.

Gejala/ Tanda

Penyakit filariasis limfatik mempunyai manifestasi akut dan manifestasi kronik.

Manifestasi akut penyakit ini menunjukkan symptom-simptom setempat seperti pembengkakan, demam, radang kemerahan dan kesakitan melampau pada kawasan yang dijangkiti. Simptom am adalah seperti demam, kesejukan, pening kepala dan kelesuan. Simptom ini berlaku pada anggota badan atau dalam skrotum( pundi kemaluan) dan berkaitan dengan jangkitan kulat atau jangkitan bakteria yang melampau. Radang yang berlaku semasa serangan akut ini akan merosakkan saluran-saluran limfa yang kecil di dalam kulit dan mengurangkan keupayaan kulit untuk menyerap cecair. Radang ini juga menyebabkan kerosakan pada kulit itu sendiri. Semasa badan memperbaiki kerosakan tersebut, kulit akan menjadi keras dan tebal dalam proses yang dikenali sebagai ‘fibrosis’. Dengan setiap serangan akut, kulit akan menjadi semakin tebal. Proses ini akan berterusan dan pembengkakan berpanjangan menyebabkan kulit mendapat jangkitan bakteria.

Manifestasi kronik pula melibatkan manifestasi limfoedema dan urogenital. Limfoedema adalah disebabkan oleh saluran limfatik yang tidak berfungsi kerana penyumbatan saluran tersebut akibat kehadiran cacing filaria dewasa. Ia lebih kerap berlaku di bahagian bawah badan tetapi boleh berlaku pada buah dada, skrotum, penis, tangan dan pada yang jarang berlaku di bahagian vulva. Manifestasi kronik filariasis limfatik terdiri daripada hematuria (kehadiran darah dalam air kencing), hidrocele (pengumpulan cecair dalam pundi kencing), chyocele (kehadiran cecair limfa dalam tunika vaginalis), chyluria (kehadiran cecair limfa dalam air kencing) dan limfoedema pada skrotum atau penis.

Komplikasi

Pesakit yang mempunyai limfoedema dan kerosakan saluran limfatik selalunya terdapat luka, rekahan, celar pada permukaan kulitnya dan di antara ruang kaki yang dipanggil lubang nanah. Keadaan ini menggalakkan berlakunya jangkitan sekunder bacteria. Jangkitan ini menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan, menjadi sangat sakit, panas dan membengkak. Sekiranya tiada rawatan diberi, bacteria boleh masuk ke dalam system darah dan seterusnya boleh membahayakan nyawa pesakit.

Rawatan

Melalui Program Eliminasi Limfatik Kebangsaan, ubat diberikan dengan matlamat untuk membebaskan generasi akan datang daripada elephantiasis, hydrocele dan lain-lain manifestasi daripada filariasis limfatik dengan memutuskan kitaran jangkitan antara nyamuk dan manusia. Rawatan pemberian ubat beramai-ramai dijalankan di kawasan-kawasan yang endemik filariasis setahun sekali. Rawatan yang diberikan melibatkan dua jenis ubat dalam bentuk tablet.

  1. Diethylcarbamazine (DEC) – 6mg/kg
  2. Albendazole – 400mg (dos sama bagi semua tahap umur)

Kedua-dua ubat ini diberikan serentak dibawah kawalselian langsung/ D.O.T (Direct Observation Therapy). Dua jenis ubat digunakan kerana ia lebih berkesan jika dibandingkan dengan penggunaan hanya satu jenis ubat kerana ia dapat mengurangkan densiti filaria dalam darah.

Kedua-dua ubat ini adalah selamat dan mudah dihadam. Walaubagaimanapun, terdapat kesan sampingan am seperti pening, sengal badan, kelesuan, demam, mual dan muntah. Ianya dikaitkan secara positif dengan tahap dan kepadatan mikrofilaria dalam darah. Reaksi ini biasanya berlaku semasa awal rawatan dan kebiasaannya tidak berlanjutan lebih daripada 3 hari. Manakala, kesan sampingan setempat pula adalah gumpalan kecil pada skrotum atau radang kemerahan pada kawasan kulit di mana jangkitan berlaku.

Bagi pengidap limfatik filariasis kronik, penjagaan kebersihan adalah penting untuk mencegah jangkitan sekunder dan peradangan system limfatik. Pembengkakan kecil yang berlaku terhadap bahagian tertentu badan boleh dipulihkan dengan rawatan. Namun, pembengkakan yang besar mungkin boleh diperbaiki melalui pembedahan yang rumit tetapi menghasilkan pembaikan terhad.

Pencegahan

Bagi penduduk yang tinggal di kawasan endemic filariasis adalah dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada gigitan nyamuk kerana nyamuk merupakan vector bagi transmisi penyakit filariasis ini. Penduduk perlu memastikan kawasan kediaman bebas dari pembiakan nyamuk dan mengurangkan aktiviti luar pada waktu malam terutamanya di kawasan luar bandar atau hutan. Mereka juga perlu memakai pakaian seperti baju berlengan panjang dan seluar panjang serta elakkan daripada memakai pakaian bewarna gelap.

Di samping itu, bagi pengidap penyakit filariasis limfatik kronik perlu menjaga kebersihan diri terutama bahagian anggota badan yang mengalami limfoedema. Penjagaan kebersihan diri ini penting bagi mencegah daripada berlakunya jangkitan sekunder bakteria yang seterusnya boleh menyebabkan manifestasi penyakit yang lebih teruk.

Rujukan

  1. Preparing and Implementing a National Plan to Eliminate Lymphatic Filariasis Module by WHO
  2. The Carter Center (2002-10) (PDF), “Summary of the Third Meeting of the International Task Force for Disease Eradication”, http://www.cartercenter.org/documents/1181.pdf, retrieved on 2008-07-17
Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Mohd Hafizi Abdul Hamid
Penyemak : Dr. Sri Wahyu Taher

 

(Visited 994 times, 3 visits today)