Home > Bayi & Kanak-Kanak > Epilepsi, Keluarga dan Pertuturan

Epilepsi, Keluarga dan Pertuturan

Pengenalan

Perkembangan pertuturan kanak-kanak boleh terganggu akibat masalah kesihatan seperti Epilepsi. Epilepsi atau dikenali juga sebagai sawan merupakan gejala di mana terdapat gangguan pada aktiviti otak. Gangguan ini boleh menyebabkan perubahan pada tingkah laku atau fizikal kanak-kanak seperti diam secara tiba-tiba, kekejangan atau hilang kesedaran.

Epilepsi Dan Pertuturan

Aktiviti pemahaman bahasa dan pertuturan dikawal oleh otak. Apabila berlaku serangan sawan, aktiviti otak akan terganggu. Hal ini menyebabkan aktiviti pembelajaran bahasa dan pertuturan kanak-kanak turut terjejas. Terdapat situasi di mana kanak-kanak boleh lupa akan perkara-perkara yang telah dipelajari. Perkara ini sering menjadi kebimbingan kepada ibu bapa.

Antara kesan-kesan epilepsi terhadap bahasa dan pertuturan kanak-kanak adalah:

  • Sukar memahami arahan

  • Lupa/hilang perkataan

  • Sukar memberi tumpuan

  • Pertuturan tidak jelas/sukar difahami

Epilepsi dan Peranan Keluarga

Ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting dalam menangani masalah pertuturan selepas serangan sawan. Kehilangan perkataan kerana epilepsi tidak seharusnya mematahkan semangat ibubapa untuk membantu perkembangan bahasa dan pertuturan anak. Rangsangan bahasa secara berterusan perlu dilakukan setiap hari bagi mengatasi masalah tersebut.

Antara perkara yang perlu dilakukan adalah:

  • Bermain dengan anak

    • Bermain adalah cara yang amat berkesan untuk proses pembelajaran bahasa dan pertuturan. Selain daripada menyeronokkan, kanak-kanak diberi kebebasan untuk mencuba sesuatu yang baru melalui permainan. Bermain menggalakkan anak-anak berkomunikasi dengan individu lain. Hal ini akan menggalakkan perkembangan bahasa dan pertuturan yang baik.

  • Beri input bahasa kepada anak

    • Input bahasa amat penting dalam memastikan kanak-kanak memahami sesuatu. Bercakap, menerangkan sesuatu dan bercerita kepada anak merupakan antara aktiviti yang boleh dilakukan. Ulas apa yang dibuat oleh anak dan elakkan daripada terlalu banyak bertanya soalan.

  • Kawal kelajuan bercakap

    • Kelajuan percakapan merupakan antara faktor yang boleh mengganggu proses pemahaman bahasa kanak-kanak. Bercakap dengan laju menyukarkan kanak-kanak mendapat input bahasa yang tepat. Tumpuan anak terhadap perbualan juga akan turut terjejas. Ini kerana ia mengganggu mereka untuk menerima maklumat yang cuba disampaikan. Kanak-kanak memerlukan masa untuk memahami apa yang di dengari.  Justeru, elakkan bercakap laju!

  • Berikan pujian dan galakan

    • Kanak-kanak sering merasa gembira apabila dipuji. Berikan pujian apabila anak berjaya melakukan sesuatu dengan baik. Berikan galakan untuk terus mencuba jika anak masih belum berjaya. Pujian dan galakan merupakan senjata untuk menaikkan motivasi kanak-kanak. Ia juga boleh membantu dalam membina keyakinan diri kanak-kanak untuk berkomunikasi.

  • Ulang dan lakukan secara konsisten

    • Pengulangan adalah penting untuk membantu kanak-kanak mengingati apa yang dipelajari. Sentiasa ulang perkataan atau ayat yang digunakan semasa bercakap dengan anak. Ini akan membantu mereka untuk mendapat input bahasa yang tepat. Selain itu, pastikan aktiviti rangsangan bahasa dilakukan secara konsisten dalam rutin harian anak.

  • Beri peluang anak berkomunikasi

    • Proses belajar bahasa dan pertuturan tidak akan berhasil jika anak tidak diberi ruang untuk bercakap. Luangkan masa  anda untuk mendengar anak anda bercerita atau bertanyakan sesuatu kepada anda. Beri anak kebebasan untuk memilih topik perbualan. Jadilah pendengar yang baik supaya anak suka untuk bercakap dengan anda.

Secara kesimpulan, epilepsi boleh mempengaruhi kemahiran bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Justeru itu, ibubapa dan keluarga perlu memainkan peranan dalam proses pembelajaran dan pemulihan kerana ibubapa dan keluarga merupakan model terbaik untuk anak mereka. Rangsangan bahasa secara konsisten pasti membantu anak berkomunikasi dengan baik.

Rujukan

  1. Bee, H., & Boyd, D. (2004). The Developing Child. (10th Ed.). United States; Pearson Education, Inc.

  2. Paul, R. (2001). Language Disorders From Infancy Through Adolescence. (2nd Ed.). United States; Mosby, Inc.

Semakan Akhir : 06 Mac 2014
Penulis : Rozila bt. Sumardi
Akreditor Zaidi bin Ya’acob