A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

Pengenalan

Migrain merupakan salah satu sebab kepada sakit kepala yang berulang. Kira-kira 1 daripada 4 wanita dan 1 daripada 12 lelaki mengidap migrain pada suatu masa sepanjang hayat mereka. Biasanya migrain bermula dari zaman kanak-kanak atau remaja, dan menjadi lebih ketara pada zaman remaja. Umumnya migrain menjadi kurang kerap selepas umur 45-50 tahun, walaupun ada yang mungkin tidak hilang seumur hidup mereka. Punca sebenar migrain masih tidak diketahui. Namun begitu, peluang untuk seseorang mendapat migrain menjadi lebih tinggi jika ahli keluarga terdekatnya juga mengidap migrain.

Migrain secara umumnya boleh dibahagikan kepada 2 jenis yang utama :

  1. Migrain tanpa aura: pesakit mendapat sakit kepala tanpa aura (tanda amaran). Ini adalah 5 kali lebih kerap daripada migrain dengan aura.
  2. Migrain dengan aura: sakit kepala didahului dengan aura.

Gejala-gejala

A. Sakit kepala

Sakit kepala migrain biasanya terjadi pada sebelah kepala sahaja dan biasanya digambarkan sebagai ‘berdenyut’. Kadang-kadang sakit juga boleh dirasai pada kedua-dua belah kepala. Biasanya, kesakitan bertambah secara perlahan-lahan, selepas itu ia beransur pulih dan hilang sepenuhnya selepas 4-72 jam. Kesakitan migrain boleh berada pada tahap sederhana atau sangat sakit. Pesakit mengadu mereka tidak dapat meneruskan kerja atau aktiviti-aktiviti apabila diserang oleh migrain. Serangan migrain mungkin jarang berlaku, contohnya sekali dalam beberapa bulan, atau kadang-kadang lebih kerap contohnya beberapa kali dalam seminggu.

Selain itu, pesakit boleh merasa loya dan kadang-kadang muntah. Semasa serangan migrain, kebanyakan pesakit tidak tahan dengan cahaya yang terang atau bunyi yang kuat, dan mereka lebih selesa berbaring di dalam bilik yang gelap sehingga sakit kepala hilang. Pergerakan kepala juga mungkin menyebabkan kesakitan bertambah.

B. Aura

Aura bermaksud tanda-tanda amaran sebelum sakit kepala. Biasanya ia berlaku selama 1-15 minit. Contoh-contoh aura ialah:

  • Aura penglihatan (visual aura): contohnya kehilang sebahagian daripada penglihatan secara sementara, dan kelipan cahaya seperti garisan zig-zag yang merebak sebelum hilang sepenuhnya dari penglihatan
  • Perasaan kebas pada bibir, muka dan tangan
  • Masalah pertuturan
  • Lain-lain: bau atau perasaan yang aneh, sedikit kekeliruan dalam pemikiran

Sebelum setiap serangan, pesakit mungkin mengalami perubahan dalam perasaan dan selera yang tidak begitu ketara. Perasaan ini bermula beberapa jam atau beberapa hari sebelum sakit kepala yang sebenar. Ini diikuti dengan aura, kemudian sakit kepala. Akhirnya sakit kepala hilang secara beransur-ansur. Pada masa ini pesakit mungkin berasa letih, senang marah, murung dan mungkin menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian.

C. Faktor pencetus:

Migrain mungkin berlaku lebih kerap jika adanya faktor pencetus :

  • Makanan: alkohol, buah-buahan sitrus, kafein (kopi, teh), makanan yang mengandungi tyramine (keju, yogurt, kacang dan sebagainya)
  • Persekitaran: merokok atau bilik yang berasap rokok, cahaya terang seperti skrin yang terang atau cahaya yang berkelipan dari rancangan televisyen, bunyi bising, dan bau yang kuat contohnya minyak wangi
  • Psikologi:Kemurungan, cemas, marah, keletihan, tekanan dan sebagaimya. Sesetengah serangan sakit kepala tidak berlaku semasa pesakit mengalami tekanan, tetapi berlaku apabila pesakit berada dalam keadaan yang relaks, sepertimana yang dipanggil ‘migrainhujung minggu’ (weekend migraine)
  • Ubat-ubatan: rawatan hormon, sesetengah ubat tidur dan ubat perancang keluarga.
  • Lain-lain: haid, pertukaran masa tidur, putus haid

Namun begitu kesan daripada faktor-faktor di atas mungkin tidak sama bagi semua pesakit, contohnya untuk sesetengah pesakit serangan migrain tidak menjadi lebih kerap walaupun mereka mengambil keju dan coklat.

Migrain yang jarang berlaku

a. Migrain semasa haid (Menstrual migrain)

Migrain yang hanya berlaku sekitar haid, tetapi tidak menyerang pada masa-masa lain

b. Abdominal migraine

Biasanya berlaku pada kanak-kanak. Serangan adalah dalam bentuk sakit perut selama beberapa jam tanpa sakit kepala

c. Ocular migraine

Ia menyebabkan kehilangan semua atau sebahagian daripada penglihatan pada sebelah mata, atau kadang-kadang pergerakan mata yang tidak normal.

d. Hemiplegic migraine

Serangan dalam bentuk sakit kepala dan lemah pada satu belah badan. Ia boleh menyebabkan kekeliruan dengan angin ahmar (strok).

e. Basilar-type migraine

Tanda-tandanya termasuk sakit pada bahagian belakang kepala, dan aura yang luar biasa contohnya menjadi buta secara sementara, imej berganda, pening yang memusing, dengung, pertuturan yang tidak jelas dan pening kepala.

Diagnosa

Seseorang pesakit diputuskan sebagai mengidap migrain bedasarkan gejala-gejala yang khas seperti di atas, setelah doktor berpuas hati daripada pemeriksaaan fizikal bahawa pesakit tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa. Tidak ada ujian yang khusus untuk migrain. Kadang-kadang pesakit juga boleh mendapat sakit kepala yang lain sebagai tambahan kepada sakit migrain. Doktor yang merawat seharusnya bertanyakan semua tanda-tanda secara terperinci untuk membuat diagnosa yang betul. Jika terdapat ketidakpastian, ujian-ujian seperti pemeriksaan darah atau imbasan kepala (scan) perlu dibuat untuk memastikan tiada punca sakit kepala yang lain.

Rawatan

Rawatan migrain boleh dibahagikan kepada rawatan akut dan rawatan pencegahan. Pesakit adalah dinasihatkan untuk berunding dengan doktor mereka sebelum memulakan rawatan.

a. Rawatan akut:

Tujuan rawatan akut ialah untuk memberikan kelegaan yang segera. Ubat penahan sakit haruslah diambil secepat mungkin apabila tanda-tanda sakit kepala baru bermula, untuk mengurangkan tahap kesakitan atau menghilangkan sakit secara sepenuhnya. Contoh-contoh ubat penahan sakit ialah paracetamol (Panadol), mefenamic acid(ponstan), ibuprofen, diclofenac(voltaren), naproxen(synflex) dan sebagainya.

Rawatan ini boleh diulangi beberapa jam kemudian jika tiada kelegaan. Namun begitu, ubat-ubat ini tidak harus digunakan terlalu kerap kerana ia boleh menyebabkan sakit kepala menjadi lagi teruk jika digunakan berlebihan. Pesakit juga perlu berwaspada dengan kesan-kesan sampingan ubat penahan sakit sebelum mengambilnya, contohnya masalah gastrik dan alahan terhadap ubat sebegini.

Untuk loya dan muntah, pesakit boleh mengambil ubat penahan muntah. Ubat penahan muntah dalam bentuk mudah larut lebih senang diserap oleh badan. Contoh ubat penahan muntah ialah metoclopramide (maxolon)dan prochlorperazine( stemetil).

Ubat daripada kumpulan triptan (contohnya sumatriptan) boleh diambil jika ubat penahan sakit tidak berkesan. Ubat-ubat ini adalah khas untuk migrain dan biasanya ia berkesan untuk mengurangkan atau menghilangkan sakit kepala. Pesakit haruslah mengambil dos pertama dengan awal semasa sakit baru bermula, untuk mendapatkan kesan yang terbaik.

Ergot alkaloid seperti cafergot juga digunakan dalam serangan migrain yang teruk, tetapi ia haruslah dielakkan bagi golongan yang berumur, ibu yang mengandung dan pesakit yang mempunyai masalah jantung.

b. Rawatan pencegahan

Rawatan pencegahan membantu untuk mengurangkan tahap kesakitan serta kekerapan serangan migrain. Ia diberikan apabila sakit kepala menjadi terlalu kuat atau terlalu kerap, dan mula mengganggu aktiviti seharian atau pekerjaan pesakit. Ia haruslah diambil setiap hari secara berterusan, walaupun sakit kepala tidak berlaku pada hari tersebut. Rawatan boleh dihentikan selepas 3 atau 6 bulan jika sakit kepala adalah terkawal.

Contoh-contoh rawatan pencegahan adalah: pizotifen (sandomigran), flunarizine(sibelium), propranolol, sodium valproic(epilim) dan sebagainya. Pilihan ubat adalah berdasarkan kesesuaian dan kesan-kesan sampingan yang dihadapi oleh setiap pesakit.

c. Rawatan tanpa ubatan

Selain mengambil rawatan ubatan, pesakit juga dinasihatkan mengambil rawatan tanpa uabtan untuk mengurangkan serangan migrain seperti ‘relaxation training’, menangani stres, mengelakkan faktor pencetus seperti cahaya yang terang, setengah makanan/minuman, stres dan kurang tidur.

Komplikasi

Jarang sekali, pesakit mungkin boleh mendapat angin ahmar yang berkaitan dengan serangan migrain. Sesetengah pesakit pula mungkin mendapat serangan yang sangat teruk dan berpanjangan yang dipanggil ’status migrainosus’, di mana ubat tahan sakit yang lebih kuat biasanya diperlukan.

Kesimpulan

Serangan migrain yang kerap atau teruk boleh menggangu kehidupan seharian. Pesakit digalakkan untuk mendapatkan rawatan bagi mengawal gejala migrain untuk menjamin kualiti hidup yang lebih baik.

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Ooi Phaik Yee
Penyemak : Dato’ Dr. Hj. Md Hanip b. Rafia

 

Related Article

Lekangan Retina

Pengenalan Retina merupakan lapisan nipis tisu saraf yang melapisi bahagian

Ear Discharge

Introduction Discharge from the ear canal and most commonly associated

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,368,982

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia