A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. PRIME YEARS
  4. /
  5. Disease
  6. /
  7. Leukemia (Kanser Darah)

Leukemia (Kanser Darah)

Apakah itu leukemia?

Leukemia merupakan sejenis kanser darah yang berasal dari sum-sum tulang. Sum-sum tulang merupakan satu organ penghasilan darah yang terdapat di dalam kesemua tulang dalam tubuh badan manusia. Sel-sel leukemia merupakan sel kanser yang luar biasa dan berupaya membiak dengan cepat serta hidup lebih lama bebanding sel-sel darah yang normal. Oleh sebab itu, sel-sel leukemia mampu menghapuskan fungsi sum-sum tulang dan menghalang penghasilan sel-sel darah yang normal.

Terdapat pelbagai jenis leukemia dan adalah penting untuk mengenalpasti jenis leukemia yang dihadapi. Ini adalah disebabkan rawatan dan peluang sembuh untuk leukemia yang berlainan adalah berbeza.

Terdapat 2 jenis leukemia yang utama iaitu “Acute Leukaemia” atau “Chronic Leukaemia”. Perbezaaan utama diantara kedua-dua jenis leukemia ini adalah kematangan dan kepantasan sel-sel kanser itu membiak. “Acute Leukaemia” adalah sel kanser yang kurang matang dan membiak dengan pantas berbanding “Chronic Leukaemia” yang terdiri daripada sel kanser yang matang dan membiak dengan perlahan.

Setiap jenis leukemia ini pula dibahagikan kepada dua bentuk utama bergantung kepada sel darah asal dimana leukemia ini mula terjadi iaitu dari jenis “myeloid” atau “lymphoid”. Dengan ini terdapat 4 kumpulan penyakit leukemia yang utama iaitu ;

  • Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL)
  • Chronic Lymphocytic Leukaemia (CLL)
  • Acute Myeloid Leukaemia (AML)
  • Chronic Myeloid Leukaemia (CML)

Apakah yang menyebabkan terjadinya leukemia?

Adalah diketahui bahawa leukemia boleh terjadi apabila berlaku kerosakan yang penting dalam bahan genetik sel itu. Kebiasaannya punca kerosakan itu tidak dapat dikenalpasti tetapi kesannya dapat dilihat dengan jelas menggunakan teknologi yang canggih.

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang itu mendapat penyakit leukemia. Contohnya;

  • Pendedahan kepada radiasi
  • Pendedahan kepada ubat “chemotherapy” pada masa yang lampau
  • Pendedahan kepada bahan kimia tertentu contohnya benzene
  • Dilahirkan dengan penyakit genetik tertentu

Tanda-Tanda Penyakit Leukemia

Tanda-tanda penyakit leukemia berpunca dari kegagalan sum-sum tulang menghasilkan sel-sel darah yang normal. Tanda-tanda utama adalah seperti keletihan disebabkan kekurangan darah merah, lebam-lebam atau tanda-tanda pendarahan disebabkan kekurangan sel darah platelet serta demam yang berpanjangan. Tanda-tanda lain termasuk kekurangan selera makan, kehilangan berat badan yang ketara serta kesakitan dalam tulang dan sendi.

Komplikasi

Jika tidak dirawat, pendarahan yang serius boleh berlaku seperti pendarahan dalam otak atau jangkitan yang serius seperti jangkitan bakteria dan kulat. Disamping itu, kesesakan nafas dan kesakitan dada boleh juga berlaku akibat kekurangan sel darah merah. Biasanya penyakit “Acute Leukaemia” yang tidak dirawat akan membawa maut dalam masa yang singkat.

Penyakit leukemia adalah tidak berjangkit dan tidak diwarisi.

Diagnosa

Penyakit leukemia boleh dikenalpasti melalui pemeriksaan sum-sum tulang. Dalam prosedur ini, satu sample darah sum-sum diperolehi daripada sum-sum tulang yang kebiasaanya tulang pinggul. Prosedur ini merupakan prosedur yang selamat dan hanya memerlukan bius setempat. Kemudian sampel darah sum-sum ini diperiksa dengan menggunakan beberapa ujian khas untuk mengenalpasti jenis sel leukemia berkenaan.

Rawatan

Pada hari ini, penyakit leukemia dapat dirawat dengan baik. Bergantung kepada jenis leukemia, rawatannya adalah berbeza. Penyakit leukemia yang akut memerlukan rawatan “chemotherapy” yang intensif dan dalam kes-kes tertentu pemindahan sum-sum tulang. Tujuan rawatan adalah untuk menghapuskan sel-sel leukemia dan membenarkan sel-sel darah yang normal pulih kembali. Dalam kes-kes yang berisiko tinggi untuk berulang, rawatan pemindahan sum-sum tulang adalah disyorkan. Dengan rawatan moden, penyakit leukemia mampu disembuhkan.

Penyakit “Chronic Leukaemia” pula biasanya boleh dikawal dengan mengambil ubat. Contohnya penyakit “Chronic Myeloid Leukaemia” (CML) boleh dikawal dengan amat memuaskan dengan menggunakan sejenis ubat yang dinamakan “Tyrosine Kinase Inhibitor”. Kini, pesakit CML mampu hidup dengan normal tanpa apa-apa tanda penyakit untuk jangka masa yang amat lama.

Pada hari ini, rawatan untuk penyakit leukemia sedang berkembang dengan pesat dan banyak penyelidikan sedang dijalankan untuk mendapatkan rawatan yang lebih mujarab dan selamat. Pengidap penyakit leukemia yang tidak dapat dirawat pada masa lampau mempunyai masa depan yang lebih cerah dan diharap penyakit ini boleh disembuhkan dengan sepenuhnya pada masa hadapan.

Normal

 

Acute Lymphoblastic Leukaemia

 

Acute Myeloid Leukaemia

 

Chronic Lymphocytic Leukaemia

 

Chronic Myeloid Leukaemia

 

Pemeriksaan sum sum tulang

 

Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Dr. Jameela Sathar
Akreditor : Dr. Ilunihayati bt. Ibrahim
Penyemak : Dr. Hamiza bt. Shahar

 

Related Article

Earache

Introduction Earache is mainly due to problems in either the

Ear Keloid

Keloid is a sharply elevated, irregularly shaped, progressively enlarging scar, due to excessive collagen formation in the process of tissue repair and wound healing. They may occur anywhere on our body. They most commonly developed on the earlobes, arms, pelvic region and chest.

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,396,362

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia