A A +A
Jata

WELCOME TO OFFICIAL PORTAL
MYHEALTH MINISTRY OF HEALTH MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Writer
  4. /
  5. Dr. Hatta bin Sidi

Dr. Hatta bin Sidi

Profesor Dr. Hatta bin Sidi dilahirkan pada 16 September 1963 di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. Memulakan alam persekolahan di kedua-dua Sekolah Rendah dan menengah Bukit Bintang Lelaki di Petaling Jaya, Selangor. Selepas mendapat sijil SPM, beliau melanjutkan pelajaran ke Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya dan seterusnya beliau melanjutkan pendidikan peringkat atas di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dan pada 1988, beliau dianugerahi ijazah sarjanamuda MBBS (Malaya).

Selepas menamatkan ijazah pertama beliau dengan jayanya, Dr. Hatta telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan Siswazah atau houseman, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah ditugaskan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada tahun yang sama. Pada 1990, beliau telah ditukarkan ke Hospital Mentakab, Pahang dan ditempatkan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi sebagai Pegawai Perubatan. Seterusnya beliau ditukarkan sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Pusat Kesihatan Sungai Lembing, Kuantan Pahang. Pada 1991 beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Kepakaran Perubatan (Psikiatri) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dianugerahi dengan ijazah MMed(Psych.) UKM pada 1995

Dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, UKM pada 3 November 1995, Dr. Hatta Sidi dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada 31 Mei 2003. Beliau memperolehi Diploma of Sexual Health Counseling (DipSHC) daripada Australia Society for Sex Educators and Therapists (ASSERT) dan Australian College of Sexual Health Physician (ACSHP) pada Disember 2003. Di atas kecemerlangannya di dalam kerja kursus di Sydney, Australia, beliau telah dianugerahkan The Richard Derekson Prize pada masa yang sama beliau menerima anugerah DipSHC. Beliau telah dinaikkan ke jawatan Profesor pada 12 Jun 2008. Pernah berkhidmat sebagai Ketua Penyelaras Program Sarjana Perubatan (Psikiatri), sekarang beliau menyandang tugas sebagai Ketua, Jabatan Psikiatri UKM sejak dari 1 April 2010 sehingga 1 April 2013. Kini beliau merupakan ahli Jawatankuasa Lembaga Pengkhususan Kepakaran Psikiatri yang bertanggung-jawab ke atas urusan pemantauan serta melatih para doktor pakar psikiatri di KKM dan juga di universiti-universiti tempatan

Bidang penyelidikan Prof. Dr. Hatta Sidi meliputi bidang psikiatri am dan kesihatan mental; penyelidikan pendidikan pasca-siswazah psikiatri dan kajian seksualiti manusia, terutama sekali kajian mengenai seksualiti wanita. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 50 penerbitan seperti buku, prosiding dan makalah di dalam jurnal. Antara buku beliau yang dihasilkan serta diulang-cetak adalah Seksualiti Manusia: Keharmonian Antara Jantina dan Stres dan Pengurusannya, kedua-duanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga telah menerbitkan beberapa makalah yang berimpak faktor tinggi di dalam jurnal antarabangsa seperti di dalam The Journal of Sexual Medicine (JSM). Di atas penyelidikan dan penerbitan beliau itu, beliau pernah dilantik sebagai Pewasit/Penilai kepada makalah di dalam JSM, Journal of Sexual Health, ASEAN Journal of Psychiatry, Medicine and Health, Malaysian Journal of Psychiatry dan Malaysian Medical Journal. Kajian beliau telah menarik minat para pengkaji daripada United Kingdom, Australia, Brazil, Spain dan di dalam negara di mana hasil kajian Prof. Dr. Hatta telah dipohon sebagai rujukan masing-masing

Beliau merupakan Ketua Penyunting, ASEAN Journal of Psychiatry (sejak 1 Januari 2009 sehingga 31 Disember 2012), Penyunting Bersekutu untuk Malaysian e-Journal of Psychiatry (sejak September 2008) dan Ahli Sidang Editor, The Thailand Journal of Psychiatry (sejak 1 April 2009)

Di atas usaha-usaha beliau, Prof. Dr. Hatta seringkali muncul di media massa serta dijemput untuk memberi syarahan/ceramah kepada badan-badan professional kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB), para soldadu laut di Pengkalan Tentera Laut di Lumut Perak dan juga bukan kerajaan seperti: Persatuan Psikiatri Malaysia (Malaysian Psychiatric Association), Persatuan Sidang Kedoktoran Pakar Jiwa Indonesia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Badan Kebajikan Psikiatri Ipoh, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan sebagainya di dalam bidang pengurusan stres/penyakit mental dan juga di dalam bidang perubatan psikoseksual. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pemeriksa Luar kepada universiti-universiti tempatan untuk peperiksaan MBBS/MD iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), UNIMAS dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Profesor Dr. Hatta kini merupakan Ahli Panel Penasihat kepada The National Health Survey (NHS) on Sexual Behaviors, Ahli Panel Penasihat kepada Portal Kesihatan, “MyHEALTH” bagi seksyen Kesihatan Seksual serta Pakarunding siri buku terbitan Remaja dan Seks anjuran Bahagian Pendidikan Kesihahatan KKM. Beliau berkahwin dengan Dr. Hasnida Darussamin, seorang pengamal perubatan am dan dikurniakan dengan 4 orang anak.

Related Article

ADDRESS

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

GENERAL LINE :   +603 8000 8000

FAX :   +603 8888 6200

EMAIL :   myhealth@moh.gov.my

VISITORS : 223,369,350

LAST UPDATE :
2024-04-25 09:43:09
FOLLOW US

BEST VIEW   Best viewed with Internet Explorer 10 and above, Mozilla Firefox 40 above, or Google Chrome 40 and above or Safari 4 and above with minimum resolution at 1366 x 768

Copyright ©2005-2022 Health Online Unit, Ministry of Health Malaysia