Apa itu ekzema?
Ekzema biasanya terjadi pada bayi/kanak kanak. Ia dikenali juga sebagai atopik dermatitis (kulit).
Kulit kelihatan kering dan meradang, serta bengkak, gatal dan mempunyai ruam merah yang kadang-kadang kelihatan seperti kulit melecur yang berair. Ekzema adalah penyakit kronik (berpanjangan) yang menyebabkan kegatalan.
Ekzema selalunya berlaku di muka, pergelangan tangan, pertengahan siku dan juga lutut. Kulit yang terlibat akan menjadi berkuping.
Biasanya kanak-kanak mendapat ekzema sebelum berumur 5 tahun. Ekzema tidak dapat disembuhkan tetapi boleh dikawal. Ia bukanlah satu jangkitan kuman, dan tidak berjangkit. Terdapat banyak cara untuk memastikan ekzema terkawal.
Apa penyebab ekzema?
- Keturunan.
- Ia adalah penyakit atopik (sensitif kepada alergen), dan dikaitkan dengan penyakit atopik lain seperti asma dan resdung.
- Ekzema bukanlah alahan, tetapi alahan merupakan salah satu pencetus ekzema.
- Ia boleh terjadi akibat perkara-perkara seperti berikut:-
- kepanasan apabila menggunakan pakaian dan selimut berbulu
- kulit yang kering
- kerengsaan daripada bahan kimia/perangsang seperti sabun, pembersih atau minyak wangi
- alahan/ alergi kepada bahan makanan
- lain lain jangkitan.
Apakah tanda-tanda dan gejala ekzema?
- Bayi dengan ekzema biasanya mengalami ruam merah dan kering di muka mereka. Ruam mungkin pada kulit kepala, badan, lengan, kaki atau di belakang telinga mereka.
- Untuk kanak-kanak, ruam ekzema selalunya pada lipatan kulit di sekitar lutut, pergelangan tangan, siku dan buku lali.
- Untuk sesetengah kanak-kanak, ruam boleh meliputi seluruh badan mereka.
- Jangkitan sekunder daripada bakteria atau virus boleh terjadi apabila ekzema tidak dikawal dengan baik. Tanda-tanda jangkitan sekunder ialah kulit ekzema yang berair, bernanah, berkuping dan pecah.
Contoh ekzema.
![]() |
![]() |
Atopic ekzema pada muka kanak-kanak. |
Bagaimana ekzema boleh dirawat secara perubatan?
Dapatkan nasihat doktor untuk memastikan diagnosa. Doktor akan memberikan rawatan seperti berikut:
- Ubat pencegah gatal seperti antihistamin.
- Losyen pelembab, atau krim untuk menahan kekeringan dan kegatalan.
- Krim Steroid digunakan untuk kes-kes yang teruk.
- Antibiotik jika terdapat jangkitan kuman bakteria.
Rawatan di atas hanya untuk mengawal, mengurangkan gejala dan tanda tetapi bukan untuk penyembuhan ekzema. Gejala ekzema boleh muncul semula apabila terdedah dengan alergen.
Bagaimana cara saya boleh menolong anak saya?
Kenal pasti dan elakkan pencetus:
- Sabun dan Pencuci
Penggunaan sabun, pencuci antiseptik, dan mandi buih sebaiknya dielakkan. Ia mengeringkan minyak semulajadi dari kulit, menjadikan kulit kering, gatal, dan lebih cenderung mengalami iritasi. Sebaliknya, gunakan sabun tanpa wangian ditambah dengan emolien mandi/mandian, seperti krim aqueous.
- Serbuk pencuci dan pelembut fabrik
Pendedahan kepada bahan ini boleh menjadikan ekzema lebih teruk. Pesakit dinasihatkan untuk memakai sarung tangan getah dengan lapisan kapas ketika menggunakan pencuci atau bekerja dengan bahan kimia yang serupa. Selepas mencuci pakaian dengan pencuci, bilas pakaian dengan baik.
- Peralatan mandi dan minyak wangi
Ramai kanak-kanak dengan ekzema mendapati produk-produk ini menyebabkan iritasi pada kulit. Ia adalah lebih baik untuk hanya menggunakan produk tanpa wangian.
- Pakaian, cadar, dan penutup tempat duduk kereta
Gunakan bahan kapas kerana bahan yang kasar atau berbulu mungkin menyebabkan iritasi pada kulit.
- Suhu
Suhu dan kelembapan yang melampau boleh menjadi pencetus ekzema. Hadkan tempoh mandian kepada 10 minit dan gunakan air suam/ sejuk untuk mengurangkan kecenderungan ekzema. Pakaikan anak anda satu atau dua lapisan pakaian kapas yang nipis.
- Puting tiruan bayi, lelehan air liur atau makanan di sekitar mulut
Sapukan pelembap tebal di sekitar mulut, lap kulit dengan kain basah lembut selepas makan, dan kemudian sapukan semula pelembap.
- Alergen alam sekitar
Bulu haiwan peliharaan, debunga dan hama adalah beberapa contoh alergen yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit dan mencetuskan ekzema. Jika anda mengesyaki anak anda mungkin alergik kepada salah satu alergen ini, adalah baik untuk mengelakkan alergen tersebut dan memerhatikan sebarang perubahan.
Elakkan karpet dan peralatan lembut di bilik tidur, dan hadkan bilangan mainan lembut. Basahkan dan lap bersih perabot bilik tidur setiap 1-2 minggu. Vakum atau bersihkan lantai dan tilam bilik tidur secara berkala. Gunakan penyedut vakum dengan penapis yang baik (ini mengeluarkan hama dan mencegah zarah kecil keluar melalui ekzos penyedut vakum). Pastikan pengudaraan bilik tidur yang bagus (buka pintu dan tingkap untuk sementara waktu setiap hari).
- Stres, menggaru secara berlebihan dan ‘itch-scratch cycle’
Stres telah dikenal pasti sebagai pencetus ekzema. Sesetengah orang bertindak balas terhadap stres dengan menggaru secara berlebihan. Ia adalah dipercayai bahawa menggaru boleh mengeluarkankan lebih banyak bahan kimia, yang menambahkan rasa kegatalan. Ini dikenali sebagai ‘itch-scratch cycle’. Untuk elakkan pencetus ini, potong dan bersihkan kuku anak anda. Pertimbangkan sarung tangan kapas pada waktu malam jika anak anda cenderung menggaru pada waktu malam. Latihan relaksasi boleh membantu mengurangkan stres. Ini mungkin membantu mengurangkan menggaru secara berlebihan, dan mengurangkan keparahan ekzema.
- Jangkitan
Jangkitan kulit biasanya diakibatkan daripada menggaru dan ia boleh menjadikan ekzema lebih teruk. Selesema biasa dan beberapa jangkitan bakteria lain juga boleh mencetuskan ekzema.
- Alergi makanan dan ekzema
Kanak-kanak dengan ekzema yang serius mungkin mempunyai alergi makanan sebagai faktor pencetus. Makanan yang paling biasa mencetuskan ekzema termasuk susu lembu, telur, soya, gandum, ikan, dan kacang. Jika alergi makanan disyaki, dapatkan nasihat doktor. Mengelak makanan tertentu tanpa mengesahkan alergi biasanya tidak disyorkan.
- Pencetus lain yang mungkin
-
- Kulat
- Debu dan pasir
- Klorin
- Pelarut
- Perengsa daripada alam sekitar
- Asap rokok
- Pencetus lain yang menyebabkan kulit kering:
-
- Pendedahan yang berpanjangan kepada air
-
- Terlalu panas atau terlalu sejuk
-
- Berpeluh dan kemudian menggigil kesejukan
-
- Mandi dengan air yang terlalu panas untuk tempoh yang lama
-
- Tidak menggunakan pelembap kulit selepas mandi
-
- Kelembapan rendah pada musim sejuk
-
- Menetap di iklim yang kering sepanjang tahun
Pastikan kulit sentiasa lembap:
- Pelembap tebal dan biasa tanpa wangian harus digunakan sekerap yang mungkin pada anak anda, walaupun kulit bebas daripada ekzema. Sesetengah kanak-kanak memerlukan penggunaan pelembap sekali atau dua kali sehari, manakala yang lain memerlukannya dengan lebih kerap. Krim yang lebih tebal lebih berkesan daripada losyen.
Peringatan penting
- Tiada ubat untuk ekzema tetapi ia boleh dikawal dengan baik.
- Peringkat keterukan ekzema boleh berubah, dan adalah penting untuk mengawal ekzema sebaik sahaja ada gejala.
- Untuk mengawal ekzema, pastikan suhu sekitar yang sejuk, gunakan pelembap secara kerap, dan jauhkan anak daripada pencetus ekzema.
- Untuk ekzema yang sukar dikawal, dapatkan nasihat daripada doktor untuk merancang rawatan ekzema.
Rujukan:
- http://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/eczema/eczema-causes
- http://kidshealth.org/parent/infections/skin/eczema_atopic_dermatitis.html
- http://www.patient.co.uk/health/Eczema-Triggers-and-Irritants.htm
- https://www.rch.org.au/kidsinfo/fact_sheets/eczema/
Semakan akhir |
: |
10 Mei 2024 |
Penulis |
: |
Dr. Thenmoli a/p Palaniyappan |
Penyemak |
: |
Dr. Zahrni bt. Muda |