A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Dunia Baru: Bekas Penagih Dadah di dalam Proses Pemulihan

Pengenalan

Ramai bekas penagih mencuba pelbagai cara untuk pulih daripada ketagihan dadah. Pelbagai program telah diadakan dan berjuta ringgit telah dibelanjakan agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Ada yang berjaya tetapi ramai yang kembali semula menagih dadah. Mengapakah hal ini terjadi? Adakah program-program yang dianjurkan tidak bagus atau mereka memang tidak boleh diubah lagi?

Rawatan

Salah satu program yang mula menampakkan kesan positif ialah Program Terapi Gantian Dengan Metadon yang dianjurkan  oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Program ini telah dilancarkan hampir tujuh tahun yang lalu untuk membendung masalah penagihan dadah. Matlamat utama program ini adalah untuk mencegah penularan virus HIV atau lain-lain jangkitan penyakit melalui perkongsian jarum suntikan. Dengan perkataan lain, program ini bukanlah untuk menghentikan ketagihan dadah tetapi adalah untuk membantu penagih dadah menjalani kehidupan yang lebih selamat.

Kini, Klinik Metadon telah wujud hampir di semua daerah di Malaysia. Di samping klinik-klinik kesihatan tertentu memberi perkhidmatan rawatan pemulihan dengan metadon ini, terdapat juga pusat-pusat Cure & Care (C&C) yang diselia oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menawarkan rawatan ini. Walaupun pada mulanya program ini dipersoalkan oleh pelbagai pihak, tetapi ramai bekas penagih dadah yang telah mampu membina ‘dunia baru’. Yang pasti, kadar jenayah telah berkurangan, kadar penularan HIV / AIDS lebih rendah dan ada di kalangan mereka ini telah mula memberi sumbangan kepada masyarakat seperti terlibat secara sukarela dengan aktiviti pencegahan dadah.

Pencegahan

Dalam usaha membantu kerajaan agar tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melatih bekas penagih dadah dengan pelbagai kemahiran bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan tenaga kerja di negara ini. Bagi mencapai tujuan tersebut, AADK telah menubuhkan pusat rawatan dan pemulihan vokasional (CCVC) yang menawarkan beberapa kursus kemahiran jangka pendek dan panjang kepada bekas-bekas penagih di Sepang, Selangor.

Bekas penagih dadah yang ingin mendapatkan kemahiran untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan atau belajar berniaga, kini boleh memohon memasuki CCVC yang dibuka sejak Januari tahun lalu. Semua kursus ditawarkan secara percuma dan diajar oleh tenaga pengajar dari Pusat Giat Mara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari www.adk.gov.my.

Pertubuhan Sokongan

Tidak dinafikan, peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani masalah ketagihan dadah amat penting. Antara yang paling aktif ialah PENGASIH Malaysia yang mula beroperasi pada 1993 dan rawatannya menjurus kepada sistem “Bimbingan Kepulihan Rakan Sebaya” yang menekankan penstrukturan semula pemikiran, pengurusan dan penstabilan emosi, perubahan tingkah laku dan penyuburan kerohanian.

Antara program yang disediakan oleh Rumah PENGASIH ialah Program ‘Teduhan Kasih’ iaitu sebuah penempatan sementara (Halfway House) bagi penagih-penagih jalanan dan juga bagi bekas-bekas penagih yang baru bebas dari mana-mana pusat pemulihan yang kebanyakannya masih belum berkeyakinan untuk kembali ke pangkuan masyarakat sepenuhnya. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.pengasih.net.

Satu lagi NGO yang terlibat secara aktif dalam membantu bekas-bekas penagih dadah ialah Drugs intervention Community Pahang (DiCP) iaitu sebuah Pertubuhan NGO berdaftar yang tidak berorientasikan keuntungan yang diterajui dan dianggotai oleh bekas-bekas penagih dadah / bekas penagih dadah HIV positif yang ditubuhkan bagi membantu menangani permasalahan dadah dan HIV / AIDS. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.dicpahang.org.

Kesimpulan

Mereka pernah tersilap langkah, menyakitkan hati dan mungkin juga mengancam keselamatan kita. Tetapi ramai di kalangan mereka yang sedang di dalam proses pemulihan sedang cuba untuk mencipta ‘dunia baru’ yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada keluarga dan orang terdekat. Malah, ‘dunia baru’ mereka ini juga merupakan langkah pencegahan kepada generasi seterusnya daripada terjebak kepada penagihan dadah. Oleh itu, kita sebagai ahli masyarakat perlu bersama-sama menyokong program-program yang dirancang untuk mereka ini dengan cara memberi peluang kepada mereka mencipta ‘dunia baru’ yang lebih baik dan tidak melabel atau menyisihkan mereka dari kehidupan kita.

Semakan Akhir : 26 Mac 2014
Penulis : Juliana Ikhzawati bt Mohamed Lazim

Artikel Berkaitan

Warga Emas Terabai

Pengenalan Warga emas didefinisikan menerusi had umur tertentu berdasarkan kepada

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,935,695

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia