A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Dukung Anak

Pengenalan

Dukung Anak atau nama saintifiknya Phyllanthus adalah spesies tumbuhan herba berubat yang boleh dijumpai di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand serta di negara China dan Amerika Selatan. Spesies tumbuhan Dukung Anak terdiri dari pelbagai jenis (varieties) di mana kebanyakan yang terdapat di Malaysia adalah dari jenis P. amarus, P. niruri, P. urinaria dan P. debilis.

Dukung Anak ini juga dikenali dengan nama buah amin, rami buah, turi hutan, nipon-nipon (Malaysia), chanca piedra (India), keelaanelli (Tamil), meniran (Indonesia), quebra pedra (Amerika Selatan), zhen chu cao, ye xia zhu (China), stone breaker, shatter stone, child pick-a-back (Inggeris).

Dukung Anak kebiasaannya tumbuh di kawasan tanahnya yang agak keras, seperti di celah retakan simen. Ia banyak ditemui di kawasan tanah terbiar, di tepi-tepi jalan atau di kebun-kebun sayur serta kawasan rumah termasuk di dalam pasu bunga. Ia selalunya tumbuh meliar di pinggiran batas tanaman dan dianggap sebagai rumpai yang sukar dikawal. Walaupun dianggap sebagai rumpai, tumbuhan ini mempunyai pelbagai nilai perubatan (medicinal properties) dan diiktiraf di kalangan pengamal perubatan herba tradisional tempatan.

Deskripsi

Pokok Dukung Anak merupakan herba tahunan yang kecil, boleh tumbuh sehingga 50-70 cm tinggi dan mudah dikenali daripada lenggainya yang kecil dan melanjut sepanjang sisi bawah daunnya. Ia adalah sejenis herba renek berbatang lembut. Batangnya berwarna hijau atau merah bergantung kepada spesies. Daun berbentuk bulat lonjong, berwarna hijau (atau merah), bersaiz kecil (2-3 mm panjang) dan tersusun di sepanjang tangkai daun. Buahnya pula terbentuk di bawah setiap pelepah daun.

dukung anak1

Daun & buah Dukung Anak

dukung anak2

Pokok Dukung Anak

dukung anak3

Pokok Dukung Anak

(Sumber: http://agromedia.mardi.gov.my/MEPIS/index.php/galeri-herba-2/55-dukung-anak)

Kegunaan tradisional

Akar, daun, buah, dan keseluruhan pokok Dukung Anak mempunyai pelbagai nilai perubatan. Ia sangat popular di India dan banyak digunakan dalam perubatan Ayurvedic samaada dalam bentuk tumbuhan yang dikeringkan menjadi serbuk atau terus menggunakan tumbuhan ini dalam bentuk tumbuhan segar.

Ia digunakan secara meluas di China dan Amerika Selatan sebagai herba untuk merawat penyakit berkaitan hati, batu karang, malaria, asma, diuretik dan untuk menambah selera makan.

Di Malaysia, Dukung Anak banyak digunakan untuk merawat penyakit berkaitan buah pinggang dan hati seperti jaundis dan hepatitis B. Akarnya yang masih segar adalah penawar yang berkesan untuk penyakit kuning (jaundis) terutamanya pada bayi yang baru lahir. Buahnya digunakan untuk mengubati luka, kerengsaan, dan penyakit kulit seperti kurap. Daun yang telah dilumatkan dan dicampur dengan sedikit garam dapur boleh merawat jangkitan kudis buta (scabies). Manakala jus atau pati (ekstrak) akar dan daun muda digunakan untuk menguatkan ginjal, dan air rebusan daun muda diminum untuk merawat batuk.

Dukung Anak juga sering digunakan untuk merawat masalah batu karang (batu buah pinggang dan batu hempedu), kencing manis, darah tinggi, gigitan serangga berbisa, gatal dan cirit birit. Ia turut digunakan sebagai diuretik dan tonik selepas keguguran, dan sebagai penawar penyakit gonorrhea dan sifilis.

Satu kajian telah menunjukkan bahawa ekstrak Dukung Anak dari jenis P. niruri mempunyai kesan untuk melindungi organ badan terutamanya hati dan buah pinggang. Ekstrak dari P. niruri memberi kesan menghalang pembentukan hablur kalsium oksalat yang dapat membantu dalam merawat penyakit batu karang sama ada batu buah pinggang ataupun batu hempedu. Selain daripada itu, terdapat kajian yang menunjukkan Dukung Anak juga mempunyai kesan yang memberangsangkan dalam melawan virus Hepatitis B.

Dukung Anak mengandungi pelbagai kumpulan bahan kimia seperti, phenolics, lignans dan xylans yang mungkin boleh membantu dalam merawat atau mengawal penyakit-penyakit yang telah dinyatakan seperti di atas.

Produk tradisional yang mengandungi dukung anak

Penggunaan produk tradisional sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden semakin menjadi pilihan rakyat Malaysia. Sehubungan dengan itu, pihak pengilang atau pengeluar produk tradisional perlu memainkan peranan dalam memastikan produk yang dikilangkan adalah berkualiti dan selamat untuk digunakan.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan satu monograf Dukung Anak yang boleh diperolehi dari sesawang Globinmed (www.globinmed.com) di mana ianya merupakan salah satu langkah kerajaan untuk membantu pihak pengilang atau pengeluar produk tradisional dalam menjayakan peranan mereka. Monograf ini adalah sebagai satu panduan bagi pengilang atau pengeluar produk tradisional tempatan untuk menjalankan ujian-ujian kualiti seperti ujian identifikasi (ujian pengesahan bahan mentah Dukung Anak) dan ujian-ujian keselamatan, contohnya ujian pencemaran kuman (microbial contamination).

Pengguna pula perlu bijak dalam memilih dan membeli produk–produk tradisional yang dipasarkan di Malaysia Pengguna disarankan memilih produk tradisional yang telah didaftarkan terlebih dahulu dengan KKM. Setiap produk tradisional yang didaftarkan mempunyai nombor pendaftaran dengan huruf MAL berserta dengan logo hologram pada pembungkusan produk–produk tradsional.

Pengguna juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami alahan atau kesan sampingan yang berterusan apabila mengambil produk tradisional ini.

Rujukan

  1. Paithankar V.V., Raut K.S., Charde R.M., Vyas J.V: Phyllanthus Niruri: A Magic Herb, Research in Pharmacy 1(4):1-9 (2011)
  2. Jamal J.A: Malay Traditional Medicine. An Overview of Scientific and Technological Progress, Tech Monitor (Nov-Dec 2006)
  3. Gyana R. R: Phylogenic Study of Twelve Species of Phyllanthus Originated from India through Molecular Markers for Conservation, American Journal of Plant Sciences, 2010, 1, 32-37
  4. Dhandayuthapani K., Sundaramoorthi K. R. et.al : Systematic Studies in Herbaceous Phyllanthus Spp.(Region: Tiruchirappalli District in India) and A Simple Key To Authenticate ‘Bhumyamalaki’ Complex Members , Journal of Phytology 2011, 3(2): 37-48
  5. http://www.bio-asli.com/herb/dukunganak.asp
Semakan Akhir : 14 Julai 2014
Penulis : Nik Juzaimah bt. Juhari
Akreditor : Dr. Noraida bt. Mohamad Zainoor

Artikel Berkaitan

Antihistamin

Pendahuluan Antihistamin adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat alahan/alergi.

Penggunaan Steroid

Pengenalan Steroid merupakan hormon semulajadi yang dihasilkan oleh tubuh badan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,421,817

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia