Home > Umum > Disengat Serangga Berbisa.

Disengat Serangga Berbisa.

Pengenalan.

Kita seringkali mendengar berita kematian akibat sengatan serangga berbisa. Sengatan serangga berbisa lazimnya hanya menyebabkan kesakitan, bengkak dan kemerahan. Namun begitu, ia juga boleh mengakibatkan tindak balas yang lebih serius kepada badan dan fungsi organ akibat berlakunya kejutan anafilaksis. Tindak balas ini boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan segera.

Jenis-jenis sengatan serangga berbisa.

 

1
Tebuan
2
Labah-labah
3
Lebah
4
Semut Api

Foto 1: Contoh-contoh serangga berbisa

Kepercayaan dan rawatan tradisi

Pelbagai kepercayaan dan amalan tradisi mengenai sengatan serangga. Ada orang beranggapan bahawa sengatan serangga hanyalah suatu perkara yang remeh dan tidak perlu mendapat rawatan segera. Ada pula mereka yang percaya penawar yang mujarab bagi sengatan ini adalah ubat gigi, garam, abu daun kayu, tanah dan wang siling tembaga. Semua  kepercayaan ini adalah tidak rasional, malahan boleh memudaratkan mangsa.

6

Foto 2: Wang siling tembaga dipercayai kononnya boleh menjadi penawar sengatan berbisa.

Perihal  sengatan

Serangga daripada spesis himenoptera ini sebenarnya boleh menyebabkan tindak balas keracunan mendadak serta alahan. Semasa menyengat, ia meninggalkan kantung racunnya di tempat sengatan dan kemudian bahan racun tersebut mengalir ke seluruh tubuh mangsa.

7

Foto 3: Sengatan tebuan

Tanda dan gejala.

Setempat.

  • Kesakitan yang teruk pada bahagian yang disengat.
  • Rasa gatal  di sekeliling tempat sengatan.
  • Lebam di sekeliling tempat sengatan
  • Titik kesan sengatan kelihatan kemerah-merahan.
  • Sengatan kadang-kadang masih melekat pada tisu badan.
  • Bernanah.8

Foto 4: Kesan lebam sengatan lebah

     Gejala Sistemik.

  • Bagi mangsa yang sangat sensitif kepada racun sengatan ini,mereka akan mengalami gejala pengsan dan turun tekanan darah.
  • Mengalami gejala kejutan anafilaksis yang boleh  membawa maut, kalau tidak mendapat rawatan segera.
  • Gejala kejutan anafilaksis adalah seperti :
    • Pucat dan kulit yang sejuk.
    • Berpeluh.
    • Ruam menyeluruh
    • Bengkak pada salur darah.
    • Pertuturan yang tidak jelas (slurred)
    • Gangguan emosi, keliru dan resah-gelisah.
    • Kadar pernafasan meningkat.
    • Kesukaran bernafas.
    • Tidak sedarkan diri.

Komplikasi

  • Bengkak yang serius
  • Kegagalan sistem pernafasan
  • Kegagalan fungsi jantung
  • Gangrene
  • Kematian9

Foto 5: Bengkak akibat sengatan tebuan

Pencegahan awal

  • Elakkan diri dari berada di tempat yang berisiko sebagai sarang serangga berbisa :-
    • Semak-samun dan hutan  bagi tebuan, lebah, penyengat dan semut api.
    • Bangunan lama dan tempat gelap bagi labah-labah.
    • Kawasan tanah lembap dan kayu buruk bagi tungau.
  • Elakkan bahagian tubuh yang terdedah dengan memakai seluar panjang, baju berlengan panjang dan berkasut semasa bekerja di kawasan semak dan hutan.
  • Elakkan menggunakan pakaian bewarna-warni yang boleh menarik perhatian serangga.
  • Elakkan memakai bau-bauan atau minyak wangi kerana ia boleh menarik perhatian serangga bila berada di kawasan belukar.

Rawatan pertolongan cemas

  • Bagi sengatan lebah, penyengat dan tebuan, cuba buangkan sengatan menggunakan penyepit (tweezers)
  • Bagi tungau yang masih melekat pada kulit jangan sekali-kali menarik secara paksa kerana dikhuatiri mulutnya akan tertanggal dan memasuki tisu badan yang akan  menyebabkan inflamasi yang teruk.
  • Cuci luka dengan air bersih atau antiseptik selepas membuang sengat dari tempat sengatan.
  • Letakkan demahan sejuk atau ais untuk meredakan kesakitan.
  • Bagi rawatan bengkak di dalam mulut atau  kerongkong, berikan ais untuk diletakkan di dalam mulut dan dihisap. Nasihatkan juga berkumur dengan air sejuk .
  • Hadkan pergerakan anggota yang terkena sengatan.
  • Letakkan mangsa dalam kedudukan menyandar sekiranya mangsa mengalami kesukaran bernafas.
  • Letakkan mangsa dalam kedudukan mengiring sekiranya mangsa tidak sedarkan diri.
  • Selimutkan mangsa sekiranya  dalam kesejukan.
  • Hantar segera mangsa ke hospital atau klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.

Rawatan di hospital

  • Mangsa akan diperiksa kadar denyutan nadi, tekanan darah, kadar pernafasan dan tahap kesedaran.
  • Tempat sengatan dan gigitan akan dirawat dan dibalut sekiranya ada pendarahan.
  • Ubat antihistamin akan diberi sama ada dalam bentuk suntikan atau tablet.
  • Preskripsi ubat penahan kesakitan juga mungkin akan diberikan sekiranya mangsa mengalami kesakitan yang teruk.
  • Sekiranya mangsa mengalami gejala kejutan anafilaksis, infusi cecair intravena dan alat bantuan pernafasan akan diberikan.

 

Semakan Akhir : 1 Jun 2016
Penulis : Samasu bin Johari
Akreditor : Mahadir bin Yunos