A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

2 -5% kanak-kanak boleh mengalami sawan demam dan ini adalah sawan yang agak lazim berlaku.

  • Sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 6 tahun dan khususnya anak kecil yang baru bertatih (toddler).
  • Lebih kurang 1 dalam 25 orang kanak-kanak akan mengalami sawan demam sekurang-kurangnya sekali.
  • Sebahagian kanak-kanak (lebih kurang 30%) ini akan mengalami sawan demam yang berulang-ulang, terutamanya mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko (lihat di bawah).

Diagnosa

Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dikalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Diagnosa sawan demam hanya boleh dibuat selepas doktor mendapati tidak ada punca-punca lain yang menyebabkan sawan selain dari suhu badan yang tinggi (biasanya melebihi 38ºC).

Tanda dan gejala

  • Anak akan tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindakbalas bila dipanggil.
  • Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak.
  • Mata mungkin terbeliak ke atas.
  • Kadang-kala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan sahaja, seperti satu tangan atau satu kaki.
  • Sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas 2-3 minit atau kurang, dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun dalam kes di mana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan secepat mungkin.
  • Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
  • Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5oC.
  • Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
  • Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam.

Faktor-faktor risiko untuk sawan demam berulang

  • Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.
  • Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal.
  • Sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga terdekat (ibubapa dan adik-beradik).
  • Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) di kalangan ahli keluarga terdekat.

Sawan demam yang berlarutan (melebihi 30 minit) tidak meningkatkan risiko sawan demam berulang.

Kesan jangka masa panjang sawan demam

  • Majoriti besar sawan demam adalah tidak membahayakan.
  • Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak.

Kajian perubatan mendapati kanak-kanak yang sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan yang sama seperti adik-beradik lain yang tidak mengalami masalah sawan demam.

Malah dalam kes-kes yang jarang berlaku di mana sawan berlarutan sangat lama melebihi satu jam, didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya.

Kira-kira 3% daripada kanak-kanak mengalami sawan demam akan mendapat epilepsi.

Ini termasuk kanak-kanak dengan:

  • Sawan demam yang panjang, melibatkan satu bahagian badan sahaja atau berulang dalam masa 24 jam.
  • Perkembangan yang lambat.
  • Ahli keluarga lain yang mengidap epilepsi.

Di kalangan kanak-kanak tanpa sebarang faktor seperti di atas, hanya 1% akan mengidap epilepsi selepas sawan demam (risiko yang sama seperti orang lain).

Rawatan

Mengambil langkah-langkah kecemasan (Lihat topik ‘Rawatan Kecemasan Semasa Sawan’).

Mengawal sawan

  • Majoriti kanak-kanak tidak memerlukan ubat-ubatan.
  • Jika sawan berpanjangan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi.

Mengawal demam

  • Memberi ubat paracetamol atau ibu profen.
  • Membasahkan badan anak dengan air juga dapat membantu mengurangkan suhu badan.
  • Pastikan anak tidak  dipakai atau diselimuti pakaian yang tebal.

Kemasukan ke hospital

Anak anda kemungkinan akan dimasukkan ke wad, walaupun tidak semua kanak-kanak perlu dimasukkan ke wad. Tujuan kemasukan ke dalam wad ialah:

  • Takut sawan akan berulang.
  • Untuk memastikan tiada jangkitan di otak atau lain-lain penyakit.
  • Untuk mencari dan merawat penyebab demam selain jangkitan otak.
  • Untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa.

Ujian makmal tidak diperlukan untuk mendiagnosakan sawan demam. Walaubagaimanapun, doktor mungkin membuat beberapa ujian untuk mencari penyebab demam dan apabila dijangka ada jangkitan di otak, ujian cecair saraf (lumbar puncture) mungkin perlu dijalankan.

Mencegah demam sawan

Doktor mungkin akan membekalkan untuk anak anda ubat rectal diazepam (valium) sekiranya demam sawan berulang-ulang. Bagaimanapun tidak ada ubatan atau kaedah yang didapati betul-betul berkesan untuk mencegah sawan demam dari berulang.  Kekerapan sawan biasanya akan semakin berkurangan dengan sendiri apabila usia anak anda menghampiri 5-6 tahun.

Semakan akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Irene Cheah Guat Sim
  : Dr. Terrance Thomas
  : Dr. Umathevi Paramasivam
Penyemak : Dr. Nor Azni b. Yahaya

 

Artikel Berkaitan

Spina Bifida

Apakah yang dimaksudkan dengan Spina Bifida? Spina Bifida (dalam bahasa

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,225,151

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia