A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Demam Denggi

Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah atau ‘Dengue Shock Syndrome’ yang boleh membawa maut.

Apa itu demam denggi?

Demam denggi adalah disebabkan oleh virus denggi. Terdapat 4 jenis serotype virus denggi (DEN-1, DEN-2, DEN-3, DEN-4). Ia merebak melalui gigitan nyamuk aedes. Dianggarkan terdapat lebih 390 juta kes denggi di serata dunia setiap tahun.

Tanda dan Gejala

Bagaimanakah untuk mengetahui saya berkemungkinan menghidap demam denggi?

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti virus denggi tidak mempunyai gejala. Seseorang akan disyaki menghidapi demam denggi sekiranya beliau tinggal di tempat endemik denggi dan demam beserta 2 dari gejala-gejala berikut:

  • Loya, muntah
  • Ruam
  • Sakit badan/sendi
  • Bacaan sel darah putih yang rendah
  • Tanda-tanda bahaya : sakit perut, muntah berterusan, cirit-birit berterusan, pendarahan, keletihan yang melampau, gelisah

Komplikasi

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?

Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah atau ‘Dengue Shock Syndrome’ yang boleh membawa maut.

Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:

  • Mudah lebam
  • Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
  • Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut

Untuk ‘Dengue Shock Syndrome’, pesakit akan mengalami :

  • ‘Shock state’
  • Tekanan darah rendah
  • Kulit yang sejuk
  • Kematian

Rawatan

Apakah rawatan untuk demam denggi?

Masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap tanda-tanda bahaya, demam denggi berdarah, atau ‘Dengue Shock Syndrome’.

>> Ujian Denggi

Pencegahan

Apakah perlu saya lakukan untuk mencegah demam denggi?

Terdapat pelbagai jenis cara untuk mencegah demam denggi :

  1. Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
    • Membuang bekas yang boleh menakung air
    • Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup
    • Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali
    • Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
    • Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
  2. Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  3. Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
    • Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
    • Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
    • Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
    • Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup

Dimanakah saya boleh mendapat ubat pembunuh jentik-jentik?

Ubat pembunuh jentik-jentik boleh didapati di kebanyakan pasaraya, hypermarket dan kedai menjual racun serangga di seluruh Malaysia atau mendapatkannya dari Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran secara percuma.

Kumpulan sokongan

Sila rujuk pejabat kesihatan terdekat untuk sebarang pertanyaan. Laman web untuk maklumat lanjutan : http://www.cdc.gov/ncidod/dvbid/dengue/index.htm

Rujukan

  1. Who.int/news-room/fact-sheets/detail/dengue-and-severe-dengue
  2. Clinical Practice Guidelines Management of Dengue Infecton In Adults 3rd Edition, 2015, Malaysia
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Fuad Hashim
  : Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali

Artikel Berkaitan

Influenza Pandemik

Influenza Pandemik berlaku apabila virus selesema baru muncul dan sebelum ini tidak pernah beredar di dalam badan manusia. Kebimbangan sekarang adalah selesema burung yang akan bertukar kepada bentuk jangkitan yang berisiko tinggi kepada manusia dan mudah merebak di antara satu sama lain.

SARS

Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) adalah penyakit paru-paru yang teruk. Ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan menyebabkan kematian. SARS disebabkan oleh virus baru dalam kumpulan virus corona (dari kumpulan yang sama penyebab selesema biasa).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,107

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia