A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Tradisional
  6. /
  7. Daun Gelenggang (Cassia Senna)

Daun Gelenggang (Cassia Senna)

Pengenalan

Daun gelenggang yang lebih dikenali sebagai daun Senna adalah dari pokok herba tumbuhan renek dengan ketinggian 1 – 1.5 meter. Cassia senna L (C. acutifolia Delile) dan Cassia angustifolia Vahl adalah di antara nama saintifik bagi daun gelenggang.

Daun gelenggang telah digunakan sebagai ubat tradisional di negara Arab semenjak zaman dahulu lagi. Ianya telah diperkenalkan ke Eropah oleh pengamal perubatan tradisional Arab pada abad ke-9.

Daun gelenggang kering yang belum dikisar berwarna kuning pucat, manakala serbuk daun gelenggang berwarna kuning kehijauan. Bahan aktif yang terdapat dalam daun gelenggang adalah antraquinone glucosides. Pada lazimnya, daun gelenggang mengandungi tidak kurang dari 2.5 peratus antraquinone glucosides. Pengiraan kandungan bahan aktif yang terdapat dalam daun gelenggang yang telah dikeringkan adalah berdasarkan sennoside ataupun dikenali sebagai senna glycoside. Sennoside merupakan derivatif anthraquinone.

Gambar 1: Daun Gelenggang

Indikasi

Secara tradisional, daun gelanggang digunakan sebagai bahan laksatif (julap). Bahan laksatif bertindak bagi memudahkan pembuangan air besar.

Ianya bertindak dalam usus besar manusia dengan meningkatkan pergerakan peristalsis kolon dengan merangsang mukosa kolon. Dengan ini, ianya dapat mengurangkan sembelit.

Dewasa ini daun gelenggang juga digunakan dalam perubatan moden. Sama seperti kegunaannya secara tradisional, ianya digunakan sebagai laksatif. Bahan aktif dalam daun senna iaitu sennoside akan diekstrak dan digunakan sebagai ubat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mendaftarkan ubat yang mengandungi daun gelenggang dalam kategori ubat tradisional dan dalam kategori ubat farmaseutikal, ianya didaftarkan sebagai Ubat Bukan Preskripsi (OTC: Over The Counter).

Bagi ubat tradisional, indikasi yang dibenarkan adalah seperti berikut:

Digunakan secara traditional untuk melegakan sembelit ringan.

Ubat tradisional yang mengandungi daun gelenggang bersama dengan kombinasi bahan herba lain, indikasinya bergantung kepada kandungan dan formulasi keseluruhan ubat tradisional tersebut.

Bagi ubat tradisional yang mengandungi kuantiti daun gelenggang kering kurang daripada 0.5g atau mempunyai kandungan sennoside kurang dari 20 mg melalui persediaan ekstrak piawai (standardized preparation), indikasi yang dibenarkan adalah seperti berikut:

Digunakan secara traditional untuk kesihatan umum.

Daun gelenggang dikatakan selamat untuk digunakan dalam jangka masa pendek bagi indikasi sembelit. Ianya boleh diambil oleh warga tua, wanita selepas bersalin, dan pesakit kanser yang masih mengambil dadah narkotik.

Pengguna hendaklah mematuhi arahan pengambilan seperti yang jelas tertera pada label ubat tradisional tersebut. Dos yang dinyatakan adalah berdasarkan pengalaman serta kesan penggunaannya turun temurun.

Kesan Sampingan

Pengambilan mana-mana ubat , sama ada ubat tradisional mahupun ubat farmaseutikal tidak terkecuali dari kesan sampingan. Kesan sampingan adalah kesan yang tidak dikehendaki akibat dari pengambilan ubat. Begitu juga dengan ubat tradisional yang mengandungi daun gelenggang. Di antara kesan sampingan daun gelenggang adalah kekejangan serta sakit perut, sakit sendi, loya, cirit-birit, angin, perubahan warna pada air kencing, perubahan dalam anatomi kolon atau kerosakan pada dinding kolon, kerosakan hati yang kronik dan sebagainya.

Kesan sampingan dapat diminimakan dengan mematuhi arahan pengambilan/ cadangan dos yang disyorkan seperti pada label ubat tersebut. Sekiranya kesan sampingan itu adalah ringan dan tidak memudaratkan, pengambilan ubat tersebut boleh diteruskan. Walau bagaimana pun sekiranya ianya memudaratkan, pengguna diminta untuk berjumpa dengan pengamal perubatan / pegawai farmasi dengan segera.

Amaran Penggunaan

Penggunaan daun gelenggang perlu dielakkan oleh pengguna yang mempunyai alahan kepada daun gelenggang.

Pengguna yang mempunyai gejala seperti loya, muntah-muntah atau gejala apendik tidak disyorkan mengambil ubat yang mengandungi daun gelenggang.

Perhatian juga perlu diambil oleh pengguna yang mempunyai masalah dengan saluran gastrousus, buasir, ulser perut serta radang usus kerana dikhuatiri memburukkan lagi keadaan. Tiada kajian yang jelas membuktikan interaksi daun gelenggang dengan herba lain, suplemen kesihatan, ubat-ubatan atau makanan. Walaubagaimanapun, bagi pengguna yang mengambil ubat lain seperti digoxin, diuretik atau laksatif yang lain, pemonitoran harus dilakukan dengan rapi.

Oleh kerana tiada dokumen keselamatan penggunaan bagi kanak-kanak, ubat tradisional yang mengandungi daun gelenggang hanya dibenarkan untuk pengguna yang berumur lebih dari 12 tahun. Disamping itu, ianya hendaklah digunakan untuk jangka masa pendek sahaja. (tidak melebihi seminggu).

Pada masa ini, KKM telah mewajibkan kenyataan amaran berikut diletakkan pada label semua ubat berdaftar yang mengandungi daun gelenggang:

  • “Do not use when abdominal pain, nausea or vomiting is present.”
  • “Frequent or prolonged used of this preparation may result in dependence towards the product and “imbalanced electrolytes.”
  • “Please consult a healthcare practitioner for use beyond 7 days.”

Pengguna perlu memaklumkan kepada pengamal perubatan (moden atau tradisional) sekiranya terdapat ubat lain atau suplemen kesihatan yang diambil bersama. Ini dapat membantu mengelakkan interaksi yang tidak diingini.

Jenis Sediaan Yang Terdapat Di Pasaran

Terdapat lebih dari 60 ubat tradisional yang mengandungi daun gelenggang berdaftar dengan KKM. Kebanyakan ubat tradisional tersebut mengandungi kombinasi daun gelenggang dengan herba yang lain.

Ubat-ubat tradisional ini dipasarkan dalam bentuk tablet, kapsul, granul dan teh-herba. Semua ubat tradisional tersebut diambil secara oral.

Selain dari bahagian daun, buah dari pokok gelenggang juga boleh diguna dalam ubat tradisional.

     

Gambar 2: Contoh bentuk persediaan (tablet, kapsul dan teh-herba)

Semakan Akhir : 05 Februari 2014
Penulis : Sarawani bt. Hassan
Akreditor : Datin Shantini Thevanderan

 

Artikel Berkaitan

Lozenges

Apa itu lozenges dan fungsinya Lozenges merupakan sediaan berbentuk gula-gula

Antihipertensif

Index Antihipertensif Amiloride Enalapril Nifedipine Amlodipine Felodipine Perindopril Atenolol Furosemide

Kepatuhan Kepada Ubat Antidiabetes

Terdapat dua jenis Diabetes Mellitus, iaitu Diabetes Mellitus Bergantung Insulin (Jenis 1) dan Diabetes Mellitus Tidak Bergantung Insulin (Jenis 2). Pesakit yang menghidapi Diabetes Mellitus Jenis 1 biasanya tidak dapat menghasilkan insulin langsung, manakala Diabetes Mellitus Jenis 2 berlaku apabila insulin yang dihasilkan adalah tidak mencukupi, atau badan pesakit mengalami ketidakpekaan terhadap insulin yang dihasilkan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,473,966

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia