Home > Umum > Radiologi > Kaedah Pemeriksaan > PEMERIKSAAN CT KARDIAK

PEMERIKSAAN CT KARDIAK

Apakah CT Kardiak?

  • CT Kardiak ialah pemeriksaan jantung untuk mengetahui risiko penyakit jantung menggunakan imbasan CT.
  • Kadar degupan jantung yang stabil dan rendah adalah penting untuk membolehkan imej jantung dilihat dengan lebih baik seperti Gambar 3.
  • Media kontras akan digunakan untuk memperlihatkan salur darah.
  • CT Kardiak adalah prosedur yang selamat dan mengambil masa yang singkat.

Sebab-sebab CT Kardiak dijalankan

Antara sebab utama pemeriksaan ini dilakukan adalah untuk melihat dan mengkaji salur darah ke jantung. Selalunya CT Kardiak dijalankan kerana (Shakespeare C., 2014):

  • Mengalami sakit/ sesak dada
  • Menghidap darah tinggi
  • Mempunyai sejarah keluarga sakit jantung
  • Masih sakit dada selepas menjalani pembedahan jantung

Bagaimana dan di mana untuk mendapatkan pemeriksaan ini?

Pemeriksaan ini hanya boleh ditentukan oleh doktor pakar di hospital-hospital kerajaan yang berpakar dan mempunyai kemudahan CT scan.

Sebelum pemeriksaan

  • Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
  • Elakkan minuman mengandungi kafein sehari sebelum pemeriksaan.
  • Anda perlu mengambil ubat steroid jika pernah mengalami alahan atau asma.
  • Anda perlu mengambil ubat untuk menstabilkan dan merendahkan degupan jantung (contoh: Metoprolol/ Beta Bloker)
  • Anda perlu berpuasa 4-6 jam sebelum pemeriksaan dijalankan.
  • Anda dimasukkan jarum (branula).
  • Anda perlu menanggalkan pakaian atau aksesori di bahagian badan dan memakai pakaian hospital.
  • Bacaan berat badan, kadar degupan jantung dan tekanan darah akan diambil sebelum pemeriksaan dijalankan.
  • Kadar degupan jantung yang stabil amat perlu untuk membolehkan pemeriksaan dijalankan dengan jayanya.

Semasa pemeriksaan

  • Anda diminta baring di atas meja pesakit di bilik CT.
  • Juru X-ray akan memasang ECG (Electrocardiogram) lead pada dada anda (Gambar 1).
  • Juru X-ray akan menerangkan bahawa anda perlu mengikut arahan yang akan diberikan nanti.
  • Semasa imbasan dilakukan, pesakit boleh berkomunikasi dengan Juru X-ray melalui interkom.
  • Juru X-ray akan meletakkan Tablet GTN (Glyceryl Trinitrate) di bawah lidah anda untuk mengembangkan saluran darah.
  • Media kontras akan dimasukkan melalui salur darah oleh doktor.
  • Imej jantung yang diperiksa akan terhasil dan dipamerkan di monitor.

pemeriksaan_ct_kardiak_1Gambar 1: lokasi ECG lead diletakkan pada dada anda

Sumber: http://lifeinthefastlane.com/education/procedures/lead-positioning/

 

pemeriksaan_ct_kardiak_2a(a)

pemeriksaan_ct_kardiak_2b(b)

 Gambar 2 (a), (b): Imej Kalsium Skor

Sumber: Institut Kanser Negara

 

pemeriksaan_ct_kardiak_3Gambar 3: Imej-imej CTA kardiak

Sumber: Hospital Raja Permaisuri Bainun

Selepas pemeriksaan

  • Kadar degupan jantung dan tekanan darah anda akan dipantau sebelum dibenarkan pulang.
  • Pemeriksaan selesai dan sila ikut temujanji anda seperti yang ditetapkan.
  • Anda dibenarkan makan dan digalakkan minum air yang berlebihan untuk mempercepatkan media kontras keluar dari badan melalui proses pembuangan air kencing.

Laporan pemeriksaan

Imej-imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.

Rujukan

  1. Cadogan M, 2014, Lead positioning, 3-electrode system, Life In The Fast Lane, (http://lifeinthefastlane.com/education/procedures/lead-positioning/)
  2. Shakespeare C, Kardiak CT Angiography, 2014, (http://www.kardiakctangiography.com/ use_kardiak_ct_angiography.htm)

 

Semakan Akhir : 3 Januari 2017
Penulis : Solehah binti Ismail
Akreditor : Norman Serbastian Alangaram