A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu Cannabis?

Cannabis adalah sejenis pokok yang mempunyai tiga spesies. Cannabis sativa adalah spesies yang menghasilkan bahan kimia yang dikenali sebagai cannabinoids. Cannabinoid utama cannabis adalah ?-9-tetrahydrocannabinol (THC) dan merupakan bahan psikoaktif yang menyumbang kepada kesan halusinasi cannabis. Cannabis adalah dadah haram yang paling banyak ditanam, diperdagangkan dan disalahguna didunia. Cannabis adalah antara dadah yang sering disalahguna di Malaysia dan menyumbang sebanyak 16% populasi penyalahguna dadah dalam negara. “Marijuana’ adalah terma yang sering digunakan untuk merujuk kepada daun dan lain-lain bahan mentah pokok cannabis manakala ‘hashish’ merujuk kepada resin yang diekstrak dari bunga pokok tersebut. Cannabis disenaraikan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaannya.

 Cannabis LeavesDaun cannabis

Nama Jalanan Cannabis Di Kalangan Penagih Dadah

  • Ganja
  • Grass
  • Sayur
  • Tarek daun
  • Indian hemp
  • Barang weed
  • Joints
  • Sticks
  • Hashish
  • Dope
  • Pot
  • Weed

Kesan Penggunaan Cannabis

Gejala pengambilan dadah cannabis adalah seperti berikut:

  • Anak mata membesar
  • Kurang penumpuan dan pertimbangan
  • Ketagihan gula-gula
  • Bertambah selera makan
  • Mudah ketawa tanpa sebab

Bahaya pengambilan cannabis kepada kesihatan

Penbambilan cannabis boleh mengakibatkan peningkatan denyutan jantung, kehilangan daya ingatan jangka pendek, berasa cemas, kerosakan paru-paru dan boleh menyebabkan sakit jiwa jika digunakan secara berpanjangan.

Cannabis Sintetik

Cannabis sintetik adalah ramuan herba yang dicampur dengan sejenis bahan kimia yang hasilnya menyerupai kesan psikoaktif dari ganja (cannabis). Cannabis sintetik boleh menyebabkan gejala ketagihan seperti ganja dari tumbuhan. Cannabis sintetik ini sah dijual di beberapa negara dengan nama seperti Spice, K2, No More Mr Nice Guy, dan lain-lain. Ganja sintetik mengandungi bahan kimia yang disebut cannabimimetics yang dapat mengakibatkan kesan berbahaya ke atas kesihatan.

Dadah ini mempunyai risiko tinggi untuk disalahgunakan. Seperti kebanyakan dadah berbahaya lain, ganja sintetik tidak diuji keselamatannya. Pada tahun 2012, pusat pengendalian keracunan Amerika Syarikat menerima lima laporan mengenai kesan berbahaya dari cannabis sintetik.

Kesan Penggunaan Cannabis Sintetik

Gejala pengambilan cannabis sintetik seakan menyamai kesan cannabis dari sumber tumbuhan seperti berikut:

  • Perasaan cemas yang sangat tinggi.
  • Detak jantung sangat cepat dan tekanan darah tinggi.
  • Mual dan muntah.
  • Kejang otot dan menggigil.
  • Halusinasi dan gangguan psikotik.
  • Perasaan ingin bunuh diri dan atau melakukan tindakan yang berbahaya.

Metabolisme Cannabis (THC)

THC masuk ke dalam badan melalui kaedah menghidu atau menghisap. Kaedah ini menyebabkan THC meresap dengan cepat ke dalam darah melalui rongga hidung dan paru-paru. Proses metabolisme THC berlaku dalam organ hati manusia. Dalam hati bahan utama yang terbentuk ialah 11-hydroxy-THC. Dalam darah THC boleh dikesan diantara 12-24 jam selepas kemasukan bagi pengguna tegar. Sifat THC yang larut lipid menyebabkan dadah ini boleh berada dalam jangkamasa lama dalam tubuh manusia.

Perkumuhan Cannabis (THC)

Hasil kumuh cannabis adalah dalam bentuk 11-nor-THC-carboxylic acid. THC boleh dikesan di dalam air kencing lebih lama berbanding dadah lain seperti morphine dan amphetamine. Jangkamasa pengesanan adalah sehingga 20-28 hari selepas penggunaan. Spesimen ujian THC perlu dihantar segera ke Makmal Patologi, KKM kerana ia tidak stabil pada suhu tinggi. Spesimen hendaklah dihantar ke Makmal Patologi dengan disertakan ais. Jika tidak dapat dihantar segera, spesimen hendaklah disimpan pada suhu 2-4 ? C atau dibekukan jika perlu disimpan lebih dari tiga hari.

Teknik Pengesanan Penyalahgunaan Dadah Cannabis

Penyalahgunaan cannabis boleh dikesan melalui ujian 11-nor-THC-carboxilic acid dalam urin. Terdapat dua kategori ujian dadah iaitu saringan dan pengesahan.

 Pengesanan Penyalahgunaan Cannabis

Ujian Saringan

Ujian saringan adalah ujian permulaan dan merupakan ujian kualitatif yang digunakan untuk mengenalpasti kelas dadah yang terkandung dalam urin. Teknik yang digunakan adalah immunoassay berdasarkan prinsip competitive binding. Kit ujian saringan dadah boleh didapati dalam bentuk ujian di lokasi atau analisis di makmal. Ujian pantas biasa digunakan sebagai ujian di lokasi dan diguna di klinik, ditempatkerja atau oleh pihak berkuasa semasa melakukan operasi mengesan penyalahgunaan dadah. Ujian saringan bergantung pada paras cut off. Cut-off adalah kepekatan yang digunakan untuk membezakan ujian positif dan negatif. Spesimen yang mengandungi kepekatan dadah sama atau lebih dari nilai cut-off akan dianggap sebagai positif manakala spesimen dengan kepekatan dadah kurang dari nilai cut-off akan dianggap negatif. Cut-off ujian saringan bagi cannabinoid dalam urin adalah 50 ng/ml. Ujian saringan tidak spesifik dan oleh itu bagi kes yang melibatkan perundangan, spesimen positif ujian saringan hendaklah disahkan dengan ujian pengesahan yang dilakukan oleh makmal.

 Alat perubatan immunoassay yang digunakan dalam ujian saringan cannabis di hospital KKMAlat perubatan immunoassay yang digunakan dalam ujian saringan cannabis di hospital KKM 

Ujian Pengesahan  

Ujian pengesahan digunakan untuk mengesahkan keputusan positif ujian saringan. Ujian pengesahan boleh mengesan dadah dalam urin secara spesifik. Ujian pengesahan biasa dilakukan dengan menggunakan teknik kromatografi. Teknik kromatografi yang biasa digunakan untuk mengesahkan morfin adalah Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS) dan Liquid Tandem Mass Spectrometry (LC/MS/MS).

Gas Chromatography Mass SpectrometryGas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS)

 Liquid Chromatography Tandem Mass SpectrometryLiquid Chromatography Tandem Mass Spectrometry (LC/MS/MS) 

Rujukan

  1. http://www.aapcc.org/alerts/synthetic-marijuana/
  2. http://www.adk.gov.my
  3. Garis Panduan Ujian Pengesanan Dadah Dalam Air Kencing.Pekeliling KPK Bil. 6/2002
  4. Peat, M.A. and Peat J.J. Cannabinoids: Abused Drugs Monograph Series, Abbott Laboratories, Diagnostic Division, Texas, 1994.
Semakan Akhir : 04 Januari 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Norlida bt. Harun
Akreditor : Dr. Raja Elina bt. Raja Aziddin

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,586

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia