A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Cacar Air

Biasanya jangkitan cacar air ini menghasilkan pelalian seumur hidup. Walau bagaimanapun, virus ini mungkin bersembunyi dan berulang sebagai kayap (shingles)

Apa itu jangkitan cacar air?

Ini ialah jangkitan biasa yang berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh virus. Virus cacar air juga dikenali sebagai virus varicella. Ia adalah virus sama yang menyebabkan kayap. Ia merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak daripada seorang ke seorang. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters). Ianya merebak:

  • Melalui udara apabila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.
  • Dengan menyentuh atau bernafas masuk “partikel virus” yang terdapat pada cecair yang keluar daripada lepuh (blister) .

Apakah tanda dan gejala?

Anak anda akan mendapat cacar air 10-21 hari selepas terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air. Cacar air boleh merebak 1–2 hari sebelum ruam kelihatan pada orang yang di jangkiti sehingga semua ruam  kering. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan yang tidak serius. Namun jangkitan cacar air bagi orang dewasa,remaja serta anak kecil kurang dari setahun boleh menjadi lebih serius.

Gejala:

  • Demam, rasa tidak sihat dan letih lima hari sebelum ruam timbul.
  • Ruam bermula bintik merah yang kecil dan gatal (seperti jerawat) pada semua badan termasuk mulut. Biasanya ruam bermula di dada dan belakang, kemudian merebak ke muka, kepala, kedua-dua lengan dan kaki.
  • Dalam masa 24 jam, ruam-ruam akan kelihatan seperti lepuh air (blister), kemudian pecah, kering dan menjadi keruping (4 -5 hari).
  • Bintik-bintik baru akan terus timbul untuk lima hari dan mengambil masa dua minggu untuk hilang.


Cacar Air

Biasanya jangkitan cacar air ini menghasilkan pelalian seumur hidup. Walau bagaimanapun, virus ini mungkin bersembunyi dan berulang sebagai kayap (shingles) kepada orang dewasa dan kadang-kala kepada kanak-kanak.

Apakah komplikasinya?

Biasanya cacar air ialah masalah kesihatan ringan bagi kanak-kanak dan kebanyakannya akan pulih.

Walau bagaimanapun, sesetengah orang berisiko mendapat komplikasi yang teruk, iaitu bayi yang baru lahir, orang dewasa dan seseorang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.

Komplikasi lain yang boleh berlaku termasuk:

  • Jangkitan kuman pada kulit.
  • Jangkitan pada darah (blood stream infection).
  • Radang paru-paru.
  • Keradangan otak (“encephalitis,cerebellar ataxia”).

Bagaimana jangkitan cacar air dirawat?

Amnya:

  • Elakkan anak anda ke sekolah atau taman asuhan kanak-kanak sehingga ruam menjadi berkerak (lebih kurang tujuh hari daripada permulaan ruam). Jika tidak kemungkinan kawan-kawannya akan turut dijangkiti. Elakkan dari naik kapal terbang pada masa ini.
  • Ambil ubat paracetamol untuk mengurangkan demam.
  • Minum banyak air masak.
  • Ambil makanan yang seimbang.
  • Sentiasa membasuh tangan.

Untuk rasa gatal:

  • Sapu losen kalamine di tempat ruam.
  • Potong kuku pendek untuk mengelakkan kecederaan kulit semasa menggaru.
  • Ubat antihistamine mungkin diberi oleh doktor jika rasa gatal yang teramat sangat sehingga anak anda tidak dapat tidur.

Ubat antivirus untuk cacar air (dalam bentuk makan) boleh didapati dan selalunya akan diberi oleh doktor kepada mereka yang berisiko mendapat jangkitan yang teruk, iaitu:

  • Berumur 12 tahun ke atas.
  • Mengidap penyakit paru-paru/kulit yang kronik.
  • Mereka yang menjalani terapi lama dengan mengambil ubat “salicylate” seperti aspirin.
  • Mereka yang menjalani terapi steroid sama ada jangka pendek atau berkala (dalam bentuk sedut).
  • Segolongan ibu-ibu mengandung.

Bagaimana cacar air boleh dicegah?

  1. Cacar air boleh dicegah dengan suntikan pelalian.Vaksin “varicella” ini tiada di dapati dalam program immunisasi sekarang akan tetapi terdapat pada sektor swasta. 2 dos diperlukan, suntikan pertama pada usia 12-18 bulan dan suntikan kedua pada usia 4-6 tahun.
  2. Bayi yang baru lahir di mana ibunya mendapat penyakit cacar samada 5 hingga 7 hari sebelum atau 5 hingga 7 hari selepas bersalin perlu diberi profilaksis.
  3. Jika anda mendapat cacar air, elakkan jangkitan kepada orang lain dengan tidak pergi ke sekolah atau ke tempat kerja sehingga lepuh menjadi kering dan berkerak.
  4. Vaksin juga boleh diberi kepada anak anda yang belum pernah dijangkiti penyakit ini jika terdedah kepada individu yang menghidap cacar air untuk mengelakkan anak anda daripada mendapat penyakit ini. Sila berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.
  5. Seseorang yang berisiko mendapat cacar air yang teruk (bayi yang baru lahir, yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, wanita mengandung) yang terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air, mungkin diberi antibodi dalam bentuk immunoglobulin untuk memberi perlindungan segera.
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Lynster Liaw Chiew Tung
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Demam Campak

Demam campak (Rubeola) adalah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan oleh virus measles. Pesakit demam campak biasanya mengalami gejala jangkitan respiratori dan disertai ruam pada kulit.

Demam Denggi

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

SARS

Pengenalan SARS telah dilaporkan di selatan China, tetapi pada masa

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,231,470

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia