Home > Bayi & Kanak-Kanak > Paru-paru > Bunyi Stridor dikalangan Kanak-kanak

Bunyi Stridor dikalangan Kanak-kanak

Stridor adalah bunyi tambahan yang keras dan jelas didengari semasa proses menarik nafas. Ia menandakan masalah penyempitan saluran pernafasan yang boleh disebabkan oleh beberapa penyakit (Rajah 1).


Rajah 1: Ilustrasi saluran pernafasan kanak-kanak

Kesempitan saluran pernafasan di kalangan kanak-kanak boleh menjadi serius kerana secara amnya saluran pernafasan kanak-kanak adalah lebih kecil daripada orang dewasa. Sebarang penyempitan akan menyebabkan masalah pernafasan yang jelas dan serius.


Rajah 2: Ilustrasi bandingan saluran pernafasan kanak- kanak dan dewasa

Stridor boleh terjadi secara akut (jangka pendek, tiba-tiba) atau kronik (lebih lama atau secara beransur-ansur). Sebab-sebab stridor bergantung umur dan tanda-tanda penyakit. (Jadual 1)

Penyebab

Akut stridor

  • Kroup Viral
  • Bacterial tracheitis (jangkitan & radang trakea)
  • Penyedutan bahan asing pejal/separa pejal
  • Bengkak selepas intubasi endotrakeal
  • Epiglotitis
  • Retropharyngeal abscess

Kronik stridor

  • Laryngomalacia
  • Tracheomalacia
  • Subglottic or tracheal stenosis
  • Tekanan saluran pernafasan e.g. saluran darah, ketumbuhan dll
  • Haemangioma
  • Laryngeal web
  • Laryngeal systs
  • Vocal cord paralysis
Jadual 1: Penyebab biasa stridor di kalangan kanak- kanak

Kroup: Jangkitan saluran pernafasan atas (proximal) seperti larynx, trachea dan bronkus menyebabkan penyempitan saluran pernafasan.

Laryngomalacia: Masalah congenital di kalangan bayi disebabkan saluran pernafasan larynx yang lembut. (Rajah 3)

Subglottic stenosis: Penyempitan saluran pernafasan di bahagian bawah peti suara sama ada secara kongenital atau disebabkan kecederaan kawasan-terbabit seperti semasa intubasi endotrakeal.

Tracheomalacia: Penyempitan di saluran trakea disebabkan dinding saluran yang lembut. Keadaan boleh bertambah baik dengan peningkatan umur. Walau bagaimanapun, kes-kes yang teruk boleh membawa maut (Rajah 4).

Tekanan dari luar saluran pernafasan: Tekanan dari luar seperti ketumbuhan, saluran darah yang tidak normal, kelenjar, bengkak bernanah etc.

Haemangioma: Ketumbuhan dari saluran darah di dalam atau sekitar saluran pernafasan. Keseriusan masalah bergantung kedudukan dan saiz haemangioma terbabit.

Tersedak/Terhidu bahan asing pejal/ separa pejal: Bahan asing pepejal atau separa pepejal di dalam saluran pernafasan akan menyebabkan penyempitan saluran terbabit dan boleh membawa maut sekiranya tersumbat sepenuhnya.

Laryngeal cysts: Ini adalah kerana sumbatan kepada “submucosal gland” atau “sacculel” di larinks. Masalah pernafasan atau simptom lain bergantung kepada kadar sumbatan.

Vocal cord paralysis: Kelumpuhan kepada pergerakan vocal cord (peti suara). Ia mungkin disebabkan kecederaan pada peti suara semasa intubasi atau kecederaan pada saraf laryngeal semasa pembedahan, masaalah saraf atau tanpa sebab yang di ketahui.


A


B


C

 

Rajah 3: Gambar bronkoskopi:
A. Normal larynx
B. Laryngomalacia
C. Larynx bengkak

 
 


A


B


C

 

Rajah 4: Gambar bronkoskopi:
A. Tracheomalacia
B. Normal trakea
C. Trakea stenosis

 

Tanda-tanda Penyakit

Stridor boleh berserta dengan tanda-tanda penyakit yang lebih khusus seperti kesukaran bernafas, demam, batuk, kesukaran menelan dan gangguan tumbesaran.

Tanda-tanda lain yang boleh menunjukkan diagnose ialah seperti hemangioma di kulit, bunyi jantung yang berbeza (murmur), sejarah tersedak ketika makan atau main, sejarah lampau menjalani intubasi endotrakeal dan kemerosotan tanda dengan jangkitan saluran pernafasan.

Komplikasi

Stridor yang teruk menyebabkan kanak-kanak boleh mendapatkan jangkitan paru-paru yang kerap, tumbesaran terganggu, kesukaran pernafasan, kekurangan oksigen dan gangguan untuk menelan.

Rawatan

Rawatan stridor bergantung kepada penyebab masing-masing.

Masalah Laryngomalacia, tracheal stenosis, tracheomalacia atau “subglottic stenosis” yang ringan tidak memerlukan rawatan khusus. Walau bagaimanapun, kes-kes yang sederhana atau lebih teruk memerlukan rawatan khusus seperti pembedahan atau rawatan perubatan lain.

Semua kes tersedut/tersedak bahan-bahan pepejal asing perlu dikeluarkan dengan segera oleh pakar atau doktor yang berkelayakan.

Rawatan haemangioma bergantung kepada kedudukannya. Ini termasuk rawatan perubatan seperti steroid dan propanolol. Pembedahan trakeostomi (lubang di leher) diperlukan untuk melegakan saluran pernafasan di kalangan kes-kes tertentu.

Kompresi dari luar saluran pernafasan memerlukan rawatan khusus bergantung kepada penyebab seperti rawatan kemoterapi untuk kanser, antibiotik untuk jangkitan atau pembedahan untuk masalah jantung atau saluran darah abnormal. Sista di larinks perlu di keluarkan melalui pembedahan.

“Vocal cord paralysis” memerlukan trakeostomi sekiranya masalah pernafasan adalah serius.

Rawatan sokongan lain juga amat penting seperti pemakanan seimbang dan oksigen yang optima.

Pencegahan

Penyakit kongenital (semenjak dilahirkan) tidak mempunyai pencegahan secara khusus.

Walau bagaimanapun, pencegahan tersedut bahan-bahan asing ke dalam saluran pernafasan dapat dielakkan sekiranya kanak-kanak diberi perhatian oleh orang dewasa untuk mengawasi kanak-kanak dengan lebih teliti.

Risiko stridor disebabkan penyakit berjangkit tertentu dapat dikurangkan oleh vaksinasi seperti influenza, Hemophilus influenza dan pneumococcal.

Sebarang prosedur yang melibatkan saluran pernafasan seperti rawatan intubasi endotrakeal perlu dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecederaan ke atas saluran terbabit.

Tanda stridor perlu dikenal pasti lebih awal agar kanak-kanak terbabit dapat mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya bagi mengelakkan komplikasi.

Sebab paling kerap di kalangan bayi untuk akut stridor adalah “viral croup” dan untuk kronik stridor ” ialah laryngomalacia”.

Semakan akhir : 18 June 2014
Penterjemah : Dr Asiah Kassim
Akreditor : Dr. Norzila md. Zainuddin
Penyemak : Dr Irene Cheah Guat Sim

 

(Visited 407 times, 1 visits today)