A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Bolehkah Kanak-Kanak Bekeperluan Khas Memakai Pendakap Gigi?

Bolehkah kanak-kanak berkeperluan khas memakai pendakap gigi? Mampukah pendakap gigi memperbaiki kualiti hidup dan penerimaan mereka di kalangan masyarakat? Jawapannya ya. Pendakap gigi untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah disifatkan sebagai rawatan elektif untuk mereka. Indikasi dan kriteria untuk rawatan adalah sama dengan kanak-kanak normal. Apa yang membuatnya berbeza adalan pelan rawatan dan perlaksanaan penjagaan pergigian yang akan diubah mengikut kemampuan pesakit, pemberian kerjasamanya dan penjagaan di rumah.

Siapakah kanak-kanak berkeperluan khas?

Mereka adalah kanak-kanak yang kehilangan upaya dari segi fizikal dan/atau intelektual atau emosi yang menahan mereka daripada diberi rawatan dalam keadaan biasa.

Mereka boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang mempunyai kecacatan perkembangan, berkompromi perubatan dan kanak-kanak berisiko tinggi. Rajah di bawah adalah contoh ringkas klasifikasi kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-Kanak Bekeperluan Khas

Perlukah kanak-kanak berkeperluan khas memakai pendakap gigi?

Terdapat beberapa faedah memakai pendakap gigi. Ianya termasuk:

  1. Memperbaiki susunan gigi dan kecantikan senyuman
  2. Memperbaiki kesihatan pergigian kerana gigi yang tersusun lebih mudah dibersihkan
  3. Memperbaiki pertuturan dan daya kunyahan dalam situasi di mana gigi hadapan tidak bersentuhan antara satu sama lain. Dengan pendakap gigi, posisi gigi boleh diperbetulkan dan fungsi gigi akan menjadi lebih baik

Seperti juga kanak-kanak normal, kanak-kanak berkeperluan khas tidak semestinya memerlukan pendakap gigi sekiranya mereka tidak mahu memakainya. Pendakap gigi mudah memerangkap makanan di celahan gigi. Ini akan meninggikan risiko penyakit pergigian seperti karies gigi sekiranya kebersihan mulut tidak dijaga sepanjang rawatan.

Mengapa Kanak-kanak Berkeperluan Khas Memerlukan Perhatian Khas Sepanjang Rawatan Pendakap Gigi?

Ini adalah kerana kanak-kanak berkeperluan khas

  1. Sering mempunyai kefahaman yang rendah, tahap kebimbangan yang tinggi, tempoh tumpuan yang pendek dan daya toleransi yang terbatas
  2. Mempunyai pergerakan anggota yang tidak terkawal membuatkan mereka sukar untuk duduk di kerusi pergigian
  3. Mempunyai tahap kerjasama yang rendah
  4. Mempunyai refleks geg (rasa nak muntah) dan fobia kepada rawatan pergigian
  5. Mempunyai aliran air liur yang tidak terkawal

Apakah Jenis-jenis Pendakap Gigi Untuk Kanak-kanak Berkeperluan Khas?

Jenis rawatan yang diberikan untuk kanak-kanak ini tidak semestinya berbeza dari pesakit normal. Selalunya,rawatan adalah berdasarkan maloklusi (susunan gigi). Namun begitu, pakar yang merawat akan mengambil kira keupayaan kanak-kanak dan penjaga untuk menyelenggara pendakap gigi dengan selamat.

Berikut adalah jenis-jenis rawatan yang boleh diberikan:

  1. Pendakap gigi boleh tanggal Pesakit akan boleh menanggalkan dan memasang semula pendakap gigi ini dengan sendirinya. Untuk memastikan rawatan ini berjaya, pendakap gigi mesti dipakai 24 jam kecuali ketika memberus gigi. Pendakap gigi boleh tanggal ini digunakan untuk merawat maloklusi (susunan gigi) yang mudah dan memerlukan pergerakan gigi yang sedikit. Pendakap gigi boleh tanggal ini juga berfungsi untuk menahan pergerakan gigi dan menjaga susunan gigi setelah rawatan selesai.  
  2. Pendakap gigi untuk merangsang tumbesaran rahang(Pendakap Fungsi –Functional brace) Pendakap gigi jenis ini digunakan untuk mempertingkatkan/merangsang tumbesaran rahang bawah pada kanak-kanak yang sedang membesar. Pendakap gigi ini sesuai untuk pesakit yang mempunyai rahang bawah yang kecil dan gigi depan atas yang menonjol ke luar (jongang).  
  3. Penyelenggara ruang (Space Maintainer) Penyelenggara ruang seringkali dipasang pada gigi geraham kekal pertama, di mana gigi susu bersebelahannya telah rosak disebabkan karies gigi atau perlu dicabut. Penyelenggara ruang akan menahan pergerakan ke hadapan gigi geraham kekal pertama dan mencegah berlakunya kesesakan (gigi berlapis kerana ruang tidak mencukupi untuk susunan gigi yang baik)  
  4. Pendakap di atas kepala (Head brace) Pendakap di atas kepala digunakan untuk menghadkan tumbesaran rahang atas dan dalam masa yang sama memperbaiki kedudukan gigi atas hadapan yang jongang. Pendakap di atas kepala ini sesuai untuk kanak-kanak yang masih membesar dengan kedudukan rahang atas yang ke hadapan dan gigi atas hadapan yang menonjol ke luar (jongang).  
  5. Pendakap pada Tulang (Bone Brace) Pendakap pada tulang pula adalah skru besi seperti pin kecil yang dimasukkan melalui gusi ke tulang rahang. Bagi pesakit dewasa, pendakap ini digunakan sebagai tambatan untuk memperbaiki gigi hadapan yang jongang. Pendakap yang tertanam ini digunakan untuk sementara waktu sahaja. Ianya akan dikeluarkan selepas rawatan selesai.

     
  6. Pendakap tetap untuk meluaskan rahang (Expanding brace) Pendakap tetap ini digunakan untuk mengembangkan rahang atas bagi menyesuaikan dengan kelebaran rahang bawah. Kanak-kanak yang mempunyai rahang atas yang sempit dan terbatas untuk menempatkan kesemua gigi atas didapati sesuai untuk memakai pendakap ini.  
  7. Pendakap tetap (Fixed brace) Pendakap tetap diperbuat daripada logam. Pendakap ini jelas kelihatan logamnya dan dilekatkan pada permukaan gigi. Sekiranya kanak-kanak atau ibu-bapa bimbang mengenai pendakap logam yang jelas kelihatan ini, mereka boleh memilih untuk memakai pendakap seramik yang mempunyai warna hampir sama dengan gigi.  

Apakah situasi di mana kanak-kanak berkeperluan khas ini perlu dirujuk kepada Pakar Ortodontik untuk rawatan yang melibatkan gabungan kerjasama Pakar Pergigian Pediatrik?

  1. Tabiat menghisap jari Tabiat menghisap jari boleh menyebabkan pengherotan susunan gigi dan alat pencegah tabiat (habit breaker) akan dipasang sebagai peringatan untuk memberhentikan tabiat tersebut
  2. Keterbatasan ruang untuk gigi tumbuh

    Ketidakcukupan ruang sewaktu kegigian campuran perlu dipintas dengan mencabut gigi susu untuk membenarkan gigi kekal tumbuh. Sekiranya rahang atas sempit dan ruang tidak mencukupi, pelebaran rahang atas mungkin perlu.

  3. Gigi tidak tumbuh Sekiranya gigi terbenam di dalam tulang selepas waktu pertumbuhannya, pandangan dari Pakar Ortodontik atau Pakar Pergigian Pediatrik diperlukan untuk mencegah kerosakan kepada gigi lain. Ini boleh berlaku apabila gigi yang tidak tumbuh ini bergerak di dalam tulang dan melanggar akar yang menjadi penyokong posisi gigi lain
  4. Kehilangan awal gigi susu Penyelenggara ruang diperlukan untuk mencegah pergerakan gigi dan menyebabkan kesesakan(gigi berlapis)
  5. Kehilangan gigi Penyusunan gigi atau prosthesis diperlukan untuk memelihara estetik dan fungsi kegigian sedia ada
  6. Keadaan di mana rahang atas berposisi kehadapan,rahang bawah ke belakang dan gigi hadapan ke hadapan. Pendakap gigi yang merangsang tumbesaran rahang (functional brace) diperlukan untuk memperbaiki posisi gigi hadapan atas dan dalam masa yang sama memperbaiki rahang atas dan bawah

Sekiranya kanak-kanak Berkeperluan khas ini Memerlukan Pendakap Gigi, Apakah Perkara Penting yang Ibu Bapa perlu Ketahui?

  1. Motivasi

    Ibu bapa harus faham sebelum bertemu dengan Pakar Ortodontik, temujanji berkala dengan Pakar Pergigian Pediatrik adalah penting bagi pengawasan pertumbuhan gigi dan penjagaan kebersihan mulut. Ibu bapa juga mesti mengambil tanggungjawab untuk memastikan anak-anak mereka mencapai aras kebersihan mulut yang baik sebelum memulakan rawatan pendakap gigi. Penjagaan kebersihan mulut yang baik dan menghadiri temujanji lanjutan setiap 6 minggu adalah faktor penting dalam menjamin keberhasilan rawatan.

  2. Harapan (Expectation)

    Ibu bapa haruslah tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap hasil rawatan kerana sebahagian kanak-kanak berkeperluan khas ini berasa khuatir dan menghadapi kepayahan untuk menjalani rawatan pendakap gigi ini.

  3. Ubat-ubatan

    Kanak-kanak berkeperluan khas kadangkala memerlukan sedatif (ubat penenang) untuk menenangkan dan mendapat kerjasama mereka sewaktu rawatan dijalankan. Ini akan memerlukan pengendalian bersama dengan Pakar Pergigian Pediatrik.

  4. Cabutan gigi

    Gigi perlu dicabut untuk sebahagian kes bagi mengwujudkan ruang dalam mengatasi kesesakan dan mengurangkan penonjolan keluar gigi atas hadapan (jongang).

  5. Jangkamasa rawatan

    Pada kebiasaannya, rawatan pendakap gigi mungkin mengambil masa selama 2-3 tahun bergantung kepada keparahan maloklusi. Rawatan akan mengambil masa yang lebih panjang bagi kanak-kanak ini disebabkan kurangnya kemampuan untuk bekerjasama dengan rawatan

  6. Kos Rawatan

    Komplikasi dan lanjutan masa rawatan akan menambah kos rawatan secara keseluruhannya

  7. Gigi bergerak ke posisi asal (Relapse)

    Setelah selesai rawatan pendakap gigi ini, pesakit mestilah memakai alat penahan untuk memegang gigi di posisi yang baharu. Kegagalan mengikuti arahan pemakaian alat penahan akan mendorong ke arah pergerakan gigi kembali ke posisi asal. Pemakaian alat penahan pada waktu malam masih diperlukan selama pesakit mahu gigi mereka kelihatan tersusun

Perkara penting yang mesti di titikberatkan oleh ibu bapa serta halangan-halangan yang mungkin di hadapi sekiranya kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan rawatan pendakap gigi.

        1. Penjagaan kebersihan mulut yang baik Kebersihan mulut mestilah sangat baik untuk mencegah risiko pemakaian pendakap gigi. Kegagalan membersihkan gigi dangan baik boleh mendorong ke arah tompokan lesi putih, karies gigi, pembengkakan dan pendarahan gusi . Gigi mesti diberus setiap kali selepas makan dan sebelum tidur dengan ubat gigi berfluorida. Penggunaan berus gigi elektrik adalah digalakkan untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah neuromuskular.
        2. Pengambilan rekod Sekiranya pengambilan rekod pergigian memerlukan sedasi atau bius am, prosedur pergigian yang lain juga akan digabungkan untuk mengurangkan kekerapan temujanji klinik. Pengambilan acuan gigi (impresi) Proses ini selalunya tidak selesa tetapi boleh dijalani dengan baik oleh kanak-kanak biasa. Namun begitu, kanak-kanak yang bimbang mungkin tidak dapat menghadapi proses ini dengan hanya komunikasi yang baik. Rawatan alternatif untuk menenangkan mereka termasuk memberi gas sedasi sedar nitrus oksida sahaja atau digabungkan dengan ubat penenang yang diberikan oleh Pakar Pediatrik Pengambilan radiograf (X-ray) Kanak-kanak berkeperluan khas akan selalunya takut atau panik apabila berdepan dengan mesin X-ray. Bagi pesakit yang kurang memberi kerjasama, bermasalah neuromuskular atau kelainan upaya mental, untuk mendapatkan imej radiograf (X-ray) yang jelas agak sukar. Ibu-bapa juga boleh diminta untuk memegang filem X-ray ketika prosedur dijalankan kerana wajah yang dikenali bersama mereka boleh mengurangkan perasaan gelisah.
        3. Rawatan
          • Pelan rawatan boleh dinilai kembali bergantung kepada kerjasama pesakit berdasarkan peringkat rawatan yang sebelumnya
          • Pendakap gigi boleh tanggal diutamakan berbanding pendakap gigi tetap untuk kanak-kanak berkeperluan khas kerana pendakap gigi jenis ini memerlukan permukaan gigi yang betul-betul kering, ketepatan posisi pendakap gigi dan jangkamasa rawatan yang lebih lama. Kadangkala ubat sedasi diperlukan untuk perlekatan pendakap gigi. Ubat-ubatan sialogog yang mengurangkan pengeluaran air liur untuk sementara waktu juga digunakan untuk mengekalkan kekeringan mulut.
          • Pesakit dengan pendakap gigi tetap memerlukan motivasi yang tinggi untuk mengekalkan kebersihan mulut yang baik berbanding pemakai pendakap gigi boleh tanggal. Dalam rawatan pendakap gigi tetap, cabutan gigi boleh ditangguhkan atau dielakkan bagi mengurangkan jangkamasa dan memudahkan rawatan.
          • Aspirasi (bendasing tersedut masuk ke paru-paru) boleh terjadi pada pesakit yang kehilangan refleks perlindungan. Penjagaan teliti harus diambil kira untuk mengelakkan cebisan, air, air liur, darah dan bahagian dari pendakap gigi daripada termasuk kedalam salur pernafasan dengan menggunakan kapas kasa atau empangan getah. Perlekatan tidak langsung pendakap boleh mengurangkan kemungkinan bendasing masuk ke dalam paru-paru.
        4. Pengekalan posisi gigi (Retention)

          Pesakit perlu memakai alat penahan (retainer) selama mana pesakit mahu gigi mereka kelihatan tersusun. Alat penahan boleh tanggal akan memegang gigi di dalam rahang atas dan bawah. Namun begitu, kerjasama yang baik sangat diperlukan. Alat penahan tetap akan dilekatkan di belakang permukaan gigi hadapan atas dan bawah bagi mencegah pergerakan gigi yang telah disusun kembali ke posisi asal, akan tetapi peletakan alat penahan tetap yang tepat mungkin melibatkan sedasi. Tambahan pula, untuk membersihkan alat penahan tetap adalah sukar kerana ianya terletak di belakang gigi. Ini akan meninggikan risiko pereputan gigi di sekeliling alat penahan.

Apa yang harus dibuat Sekiranya kanak-kanak tertelan bahagian Pendakap Gigi?

Kejadian tertelan komponen pendakap gigi jarang terjadi. Walaupun demikian langkah berjaga-jaga perlulah diambil sekiranya ia terjadi. Ibu bapa mesti memaklumkan kepada Pakar Orthodontik dan mendapatkan rawatan kecemasan di hospital. Kebiasaannya doktor perubatan akan menjejaki lokasi bahan tersebut, sama ada ianya telah tersedut masuk ke dalam paru-paru atau tertelan ke dalam perut. Sekiranya bahan tersebut ada di dalam perut, ianya akan keluar dari badan melalui saluran najis. Namun sekiranya ia di dalam paru-paru, bronkoskopi akan membantu mengeluarkan bahan tersebut.

 

Semakan Akhir : 28 Oktober 2015
Penulis : Dr. Mohd Zambri bin Mohamed Makhbul
Penterjemah : Dr. Mimi Syazleen bt. Abd Rahman
Akreditor : Dr. Laila bt. Abd Jalil

Artikel Berkaitan

Penyakit Periodontium

Penyakit Peridontium diperingkat awal (gingivitis) boleh dicegah dengan memberus gigi secara berkesan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,318,384

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia