A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Semasa Mengandung
  6. /
  7. Bersalin Di Rumah Secara...

Bersalin Di Rumah Secara Selamat

Kelahiran anak atau bersalin adalah satu proses yang berlaku pada akhir kehamilan, iaitu apabila selaput mentuban, janin dan uri keluar dari rahim ibu. Ia bermula dengan kontraksi yang berterusan pada rahim menghasilkan pembukaan os serviks (pangkal rahim).

Proses bersalin terbahagi kepada 3 peringkat iaitu fasa pertama, kedua dan ketiga yang bermaksud:

  • Fasa pertama
    • Berlaku pengecutan rahim yang berterusan setiap 10-30 minit  dan kadar pengecutan ini meningkat perlahan-lahan, menghasilkan pembukaan pangkal rahim hingga mencapai 10cm. Show (lapisan mukus bercampur darah) akan terkeluar dan diikuti dengan pecah selaput mentuban.
  • Fasa kedua kelahiran
    • Pengecutan otot rahim yang kuat dan berterusan menyebabkan bayi / janin dikeluarkan dari rahim melalui vagina/ faraj.
    • Selepas bayi dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi kepada uri yang masih melekat pada ibu akan dikepit dan kemudian dipotong.
  • Fasa ketiga kelahiran
    • Pada masa ini berlaku proses pemisahan uri dari rahim ibu dan ia berlaku lebih kurang 15 hingga 30 minit selepas bayi dilahirkan.

Apakah maksud kelahiran selamat dan kepentingannya?

  • Kelahiran selamat bermaksud kelahiran yang dikendalikan oleh individu terlatih (skilled birth attendants) dan ia mesti dikendalikan dalam persekitaran yang bersih dan sesuai.
  • Setiap peringkat kelahiran mempunyai risiko pada ibu dan bayi.  Pengawasan, pemerhatian, pemantauan dan pengendalian yang wajar oleh anggota kesihatan yang terlatih wajib dilakukan untuk menghindar atau mengurangkan komplikasi yang mungkin boleh berlaku semasa kelahiran.   Kadangkala alat-alat seperti vakum, forsep atau pembedahan perlu dilakukan untuk mengelak kemudaratkan.
  • Oleh itu, ibu yang ingin bersalin di rumah secara selamat perlu mendapatkan pemeriksaan dan menempah anggota kesihatan terlatih yang mempunyai pengkhususan di dalam bidang kebidanan dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Adalah menjadi hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia bagi setiap ibu melahirkan bayi secara selamat agar kehidupan ibu dan bayi sihat sejahtera serta berkualiti.

Di manakah maklumat bersalin di rumah secara selamat boleh diperolehi?

  • Klinik Kesihatan
  • Klinik Desa
  • Klinik Komuniti
  • Klinik Bergerak
  • Hospital Kerajaan
  • Hospital Pengajian Tinggi
  • Hospital Angkatan Tentera
  • Klinik Swasta
  • Hospital Swasta

Siapakah yang layak untuk bersalin di rumah?

Ibu yang dikenalpasti tidak mempunyai faktor risiko setelah menjalani pemeriksaan kehamilan di fasiliti kesihatan dan berbincang dengan anggota kesihatan untuk tempahan bersalin di rumah.

Berdasarkan pemeriksaan kehamilan, kelayakan ibu untuk bersalin di rumah adalah seperti berikut:

  • Ibu yang mengandung kali ke 2 hingga ke 5
  • Ukuran tinggi ibu >145 cm
  • Umur ibu lebih daripada 18 tahun dan kurang 40 tahun
  • Ibu berkahwin dan mempunyai sokongan keluarga
  • Jangkamasa kandungan lebih dari 37 minggu atau kurang dari 41 minggu
  • Anggaran berat bayi 2.5 kg hingga 3.5 kg
  • TIDAK mempunyai masalah obstetrik lalu yang mungkin berulang dan memberi kesan pada kandungan sekarang seperti sejarah kelahiran secara pembedahan, lekat uri, pendarahan selepas bersalin dan lain-lain.
  • TIDAK mempunyai masalah obstetrik sekarang seperti kedudukan uri di bawah atau menutupi pintu rahim (placenta praevia), kandungan kembar, kedudukan janin di dalam rahim tidak normal (seperti menyongsang/ melintang/ menyerong) dan lain-lain.
  • TIDAK mempunyai masalah perubatan yang lalu dan sekarang seperti diabetes, hipertensi (darah tinggi), penyakit jantung, penyakit tiroid, psikiatri, obesiti, anemia dan lain-lain.
  • Keadaan rumah yang sesuai untuk bersalin di rumah.

**Nota penting : Semasa proses kelahiran, jika berlaku komplikasi terhadap ibu dan bayi, anggota kesihatan yang menyambut kelahiran perlu merujuk dengan SEGERA ke hospital berhampiran.

Siapakah yang layak menyambut kelahiran di rumah?

Anggota kesihatan terlatih yang mempunyai pengkhususan di dalam bidang kebidanan dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Jururawat Masyarakat dan Jururawat Terlatih.

Bila dan bagaimana perbincangan untuk menempah tempat bersalin perlu dibuat bersama anggota kesihatan?

  • Perbincangan tentang tempat bersalin perlu dimulakan semasa trimester pertama kehamilan manakala penentuan tempat bersalin sesuai dilakukan pada 36 minggu kandungan.     Ibu perlu berbincang dengan anggota kesihatan, suami dan keluarga. Perbincangan akan meliputi aspek-aspek risiko bersalin di rumah.
  • Peranan anggota kesihatan sekiranya ibu memilih untuk bersalin di rumah adalah:

    Mengenalpasti kesesuaian ibu bersalin di rumah berdasarkan:

    • Faktor risiko (mengikut sistem kod warna yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia)
    • Kesesuaian persekitaran rumah (anggota kesihatan akan melakukan lawatan ke rumah ibu)

Bolehkah ibu ditemani oleh suami, keluarga atau individu yang diingini semasa bersalin di rumah yang dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih?

Ya, boleh.

Walaubagaimanapun, suami, keluarga atau individu berkaitan yang tidak mempunyai kemahiran di dalam bidang kebidanan dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak boleh mengendalikan atau menyambut kelahiran secara langsung.

Apakah risiko dan komplikasi bersalin di rumah TANPA disambut oleh anggota kesihatan terlatih?

Risiko dan komplikasi boleh berlaku kepada ibu dan bayi semasa proses kelahiran. Tambahan pula, individu yang menyambut kelahiran tidak mempunyai kemahiran dan peralatan perubatan yang lengkap untuk mengendalikan kelahiran serta memberi bantuan  kecemasan.

  1. Risiko dan komplikasi ke atas ibu :
    • Peningkatan dan penurunan tekanan darah boleh berlaku semasa proses kelahiran yang boleh mengakibatkan kematian sekiranya tiada rawatan.
    • Mengalami sakit bersalin berpanjangan yang mungkin menjurus kepada keperluan untuk bersalin dengan bantuan peralatan atau pembedahan.
    • Melalui kelahiran yang sukar (obstructed labour) dan boleh mengakibatkan uterine rupture (kepecahan rahim) seterusnya menyebabkan pendarahan dan kematian.
    • Mengalami lekat uri dan cebisan selaput mentuban yang mengakibatkan pendarahan yang banyak dan menjurus kepada kematian sekiranya tidak dirawat.
    • Mengalami koyak yang teruk di vagina dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan pendarahan dan jangkitan kuman.
    • Boleh mendapat jangkitan kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dibasmi kuman.
  2. Risiko dan komplikasi ke atas bayi :
    • Bayi lemas yang disebabkan oleh kemungkinan kedudukan bayi yang tidak normal seperti menyongsang, menyerong atau melintang. Ini mengakibatkan kelahiran tersekat, tali pusat terkeluar dahulu dan bayi lemas kerana tiada pemeriksaan dijalankan terhadap bayi dalam kandungan.
    • Kemasukan air mentuban yang dicemari oleh najis bayi dalam kandungan (meconium) ke dalam saluran pernafasan bayi yang mengakibatkan pernafasan tersekat dan jangkitan paru-paru.
    • Dijangkiti kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dinyahkuman ketika memotong tali pusat.
    • Mengalami suhu badan terlalu rendah (hypothermia) yang mengakibatkan kekurangan penyerapan oksigen dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera.
    • Kecacatan kongenital dan masalah perubatan pada bayi tidak dikesan dan diberi rawatan awal kerana tiada pemeriksaan dijalankan ke atas bayi.

Rujukan

  1. Perinatal Care Manual, National Technical Committee on Perinatal Health Coordinated by Family Health Development Division, Ministry of Health Malaysia, 3rd edition 2013
  2. Garis Panduan Senarai Semak Bagi Penjagaan Kesihatan Ibu dan Anak mengikut Sistem Kod Warna Edisi 2013, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. Garis Panduan Pusat Bersalin Alternatif (ABC) di Klinik Kesihatan Edisi 2013, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Zul Azuin bt. Zulkifli
Akreditor : Dr. Hj. Mohamed Hatta b. Mohamed Tarmizi
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

Senaman Pranatal

Senaman pranatal adalah senaman semasa mengandung. Senaman pranatal sangat digalakkan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,686

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia