A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Berdengkur ditakrifkan sebagai bernafas dengan menghasilkan bunyi keras disebabkan oleh getaran lelangit melalui mulut dan hidung yang terbuka semasa tidur.

Adakah berdengkur perkara biasa?

Dianggarkan 40% penduduk dewasa mengalamai berdengkur. Namun, prevalen adalah berlainan antara populasi. Persepsi mengenai berdengkur adalah berbeza-beza mengikut individu yang menjawab soalan (samada pendengkur atau teman tidur), cara soalan itu diajukan, dan samada teman tidur pendengkur ada semasa sesi temuramah dijalankan. Saiaz badan orang yang berdengkur adalah pelbagai. Secara umumnya, masalah berdengkur meningkat apabila usia dan berat badan individu meningkat.

Masalah berdengkur sering dirujuk kepada pihak kesihatan. Kesedaran mengenai apnea (pernafasan terhenti beberapa ketika semasa tidur) yang semakin meningkat sehinggakan terdapat individu mensyaki mereka menghadapi penyakit. Terdapat juga individu yang mahu melakukan sesuatu terhadap bunyi dengkur agar tidak mengganggu teman tidur serta mengelakkan rasa malu (contohnya semasa berkongsi bilik hotel atau semasa melancong).

Bagaimana dengkur dihasilkan?

Berdengkur adalah bunyi yang dihasilkan oleh struktur saluran pernafasan atas yang bergetar. Apabila tidur, ruang di belakang tekak kadang-kadang menjadi sempit. Udara yang melalui ruang sempit ini menyebabkan tisu di sekitar ruang yang sempit ini bergetar dan menghasilkan bunyi dengkur. Punca ruangan menjadi sempit antara individu adalah berbeza. Penyempitan boleh berlaku dalam hidung, mulut atau tekak.

Kesan berdengkur

Berdengkur adalah tanda seseorang mempunyai masalah yang lebih serius. Orang yang berdengkur perlu diperiksa untuk memastikan bahawa dengkuran bukan tanda apnea tidur obstruktif, sindrom rintangan saluran pernafasan atas, insomnia atau gangguan tidur yang lain.

Bagaimana untuk mengetahui berdengkur mungkin memudaratkan?

Berdengkur merupakan gejala penyakit. Sejarah/latarbelakang berdengkur dan pemeriksaan fizikal pendengkur dapat menentukan kebarangkalian masalah apnea, faktor risiko berdengkur serta keabnormalan anatomi atau fungsi pendengkur. Ia bertujuan untuk mengatasi masalah berdengkur serta memberi nasihat mengenai rawatan.

Kajian telah mengenal pasti beberapa faktor risiko (contohnya berat badan berlebihan, alkohol, alahan, hidung tersumbat, otot kendur, atau merokok). Namun, hanya berlebihan berat badan, alkohol, dan hidung tersumbat (semasa musim alahan) sahaja yang berkaitan dengan berdengkur. Jika anda mula berdengkur atau dengkuran menjadi lebih teruk, anda perlu mengawasi samada terdapat perubahan dalam mana-mana faktor risiko ini.

Maklumat mengenai berdengkur boleh diperolehi daripada teman tidur kerana pendengkur tidak sedar bahawa mereka berdengkur.

  • Adakah pendengkur berasa segar setelah terjaga dari tidur?
  • Adakah pendengkur keletihan atau terlalu mengantuk pada siang hari?
  • Apakah prestasi pendengkur di tempat kerja?
  • Adakah pendengkur menghadapi masalah berkaitan dengan memori, menumpukan perhatian dan mengekalkan prestasi semasa mejalankan tugas harian?

Terdapat soal selidik yang digunakan dalam menilai pesakit mengenai apnea (contohnya Epworth Scale). Ia berguna untuk menentukan perlakuan pendengkur di siang hari. Epworth Sleepiness Scale adalah ujian berasakan maklumat daripada pendengkur bagi mentukan tahap mengantuk. Pendengkur membuat penilaian mengenai kebarangkalian tertidur semasa melakukan aktiviti tertentu. Menggunakan skala 0 hingga 3, pesakit menandakan risiko tertidur pada carta di bawah. (Carta ini boleh dicetak dan ditunjukkan kepada doktor)

0 = Tidak tertidur
1 = risiko tertidur sedikit
2 = risiko tertidur sederhana
3 = kebarangkalian tertidur tinggi

Specific Activity
Score
Duduk dan membaca  
Menonton televisyen  
Duduk diam di tempat awam  
Dalam kereta, semasa berhenti untuk beberapa minit dalam trafik  
Sebagai penumpang di dalam kereta selama sejam, tanpa rehat  
Duduk dan berbual dengan seseorang  
Duduk diam selepas makan tengah hari, tanpa alkohol  
Berbaring untuk berehat pada waktu petang  

Markah berjumlah sebanyak 10 atau lebih memerlukan pemeriksaan lanjut mengenai gangguan tidur.

Individu yang tidur (atau berbaring tetapi tidak tidur) dengan pendengkur sering melaporkan tanda-tanda yang menunjukkan masalah yang lebih serius. Pernafasan terhenti atau tercungap-cungap adalah tanda pendengkur mungkin mengalami masalah pernafasan seperti apnea tidur (lihat di bawah) atau masalah jantung. Menendang kaki atau lain-lain gerak sentakan menunjukkan masalah seperti sindrom kaki resah (restless leg syndrome) atau gangguan pergerakan anggota berkala (periodic limb movement disorder)..

Penentuan jenis ujian makmal yang perlu dijalani adalah berdasarkan kepada hasil penyiasatan.

Penyiasatan yang akan dilakukan adalah penilaian saluran pernafasan atas dan kajian tidur (nocturnal polysomnography). Mengantuk pada waktu siang ditentukan dengan senarai semak mengantuk, dan kajian tidur dilakukan jika pendengkur disyaki mengalami masalah tidur.

Rawatan

Rawatan berdengkur serupa dengan rawatan apnea tidur. Langkah pertama adalah menentukan samada pendengkur bukan apnea memerlukan rawatan. Pertimbangan ini dibuat secara kes demi kes.  Pendengkur yang tidur tetapi tidak berasa segar, mempunyai penyakit kardiovaskular, mendengkur sehingga mengganggu teman tidur serta menyebabkan malu perlu menjalani rawatan yang sesuai.

Pilihan rawatan untuk semua gangguan pernafasan yang berkaitan dengan tidur (apnea tidur, berdengkur asimptomatik bukan apnea, dan Upper Airway Resistance Syndrome (UARS)) termasuk dalam empat kategori rawatan umum iaitu perubahan cara hidup,  peralatan mulut, tekanan saluran udara positif berterusan (continuous positive airway pressure (CPAP)) dan pembedahan.

Cara terbaik untuk merawat berdengkur adalah mengubahsuai faktor risiko, termasuk obesiti dan pengambilan alcohol serta latihan kedudukan badan (jika berkenaan). Pendengkur juga perlu diajar  mengamalkan cara tidur yang baik. Rawatan lain jika rawatan ini tidak berkesan adalah peralatan oral dan tekanan berterusan saluran udara positif (CPAP).

Pembedahan secara umumnya berjaya dalam mengurangkan dengkuran. Kejayaan prosedur bergantung kepada bahagian bermasalah yang menyebabkan dengkuran. Sebagai contoh, masalah hidung tersumbat tidak boleh dirawat  dengan prosedur lelangit dan sebaliknya. Faktor lain yang menjadikan kejayaan sesuatu rawatan sukar diukur adalah definisi kejayaan. Masalah berdengkur biasanya adalah masalah yang dialami oleh teman tidur atau rakan sebilik. Oleh itu, rawatan yang berjaya mesti mencapai matlamat agar teman tidur atau rakan sebilik pendegkur dapat tidur nyenyak. Oleh itu, merawat pendengkur adalah amat mencabar. Walau bagaimanapun, jika pembedahan dilakukan oleh pakar yang berpengalaman prosedur ini berkesan pada ramai individu yang mengalami tidur dengan gangguan pernafasan. Oleh yang demikian, penilaian keperluan pembedahan pendengkur bukan apnea adalah wajar.

Jenis pembedahan

Pembedahan hidung –

  • Pengurangan Frekuensi Radio Turbinat
  • Pembetulan septum hidung tersasar
  • Pembuangan polip hidung
  • Adenoidectomy

Pilihan pembedahan oral –

  • Uvulopalatopharygoplasty
  • Modified Cautery-Assisted Palatal Stiffening Operation CAPSO (Anterior palatoplasty)
  • Pengukuhan frequensi radio lelangit lembut
  • Implan palatal
  • Prosedur untuk mengurangkan gangguan pada lidah

Kesimpulan

Berdengkur disebabkan oleh getaran tisu dalam saluran pernafasan hidung terutamanya tekak. Getaran ini menyebabkan dengkuran. Getaran ini berpunca dari aliran udara yang melalui saluran udara yang mengecil. Berdengkur dipengaruhi oleh peringkat tidur, postur tidur serta penggunaan ubat-ubatan dan alkohol. Berdengkur adalah tanda awal sesuatu penyakit. Ia mesti disiasat. Kaedah rawatan berdengkur termasuklah pembedahan dan bukan pembedahan.

 

Semakan Akhir : 9 Mei 2014
Penulis : Dr. Balwinder Singh a/l Saroop Singh

 

Artikel Berkaitan

Kesakitan Telinga

Pengenalan Kesakitan telinga biasanya disebabkan masalah samada telinga luar (dari

Pengurusan Tinitus

Tinitus adalah bunyi di dalam telinga yang hadir tanpa rangsangan bunyi luar. Ia boleh didengari di sebelah telinga, kedua-dua belah telinga, atau di dalam kepala. Secara amnya tinitus difahami sebagai desingan, atau dengungan di dalam telinga yang terjadi secara berterusan atau berselang-seli. Tinitus boleh berlaku kepada semua peringkat umur tetapi dianggarkan hanya 0.5% hingga 2% sahaja yang terjejas akibat tinitus.

Patah Tulang Hidung

Patah tulang hidung adalah salah satu kecederaan yang paling kerap berlaku melibatkan -tulang muka. Ianya disebabkan oleh kecederaan kepada atas hidung. Dalam kebanyakan kes, terdapat juga patah ‘septum’ hidung (septum ialah struktur terdiri dari rawan ditengah rongga hidung yang membahagikanya kepada 2 bahagian iaitu kiri dan kanan).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,267,567

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia